Bab 26

AWAL PAGI lagi Aniq sudah bersiap untuk keluar kerja. Dia nampak segak dan bergaya dengan pakaian formalnya. Hana yang nampak akan kelibat tunangnya keluar daripada rumah itu terus mengejarnya.

“Rafisqy, awak nak ke mana?” Tanya Hana dengan suara yang tercungap-cungap.

“Kerja.” Aniq memandang tunangnya.

"Tadi Suha panggi abang dengan nama apa?"

"Err... Buat apa? Awak buat apa pergi kerja? Bukan awak tengah bercuti?” Hana melanjutkan topiknya. Tidak mahu menjawab soalan lelaki itu.

Geram pula Aniq bila Hana buat tidak tahu sahaja dengan soalannya itu. Dia berdeham sebelum bersuara.

“Cuti dah habis. Suha duduk sini saja. Jaga dua orang budak tu.”

“Awak kerja dekat mana?” Tanya Hana lagi. Aniq mengangkat kening sebelah. Butang pada baju formalnya dibetulkan.

“Kenapa Suha nak tahu?”

“Saja nak tahu.” Hana tersengih.

“Nanti saja abang bagi tahu. Abang dah lambat.” Ujarnya. Dia membuka pintu kereta bahagian penumpang. Hana laju menghalang. Wajahnya dicomelkan sehabis yang mungkin.

“Kenapa ni? Nak goda abang ke?” Terbit senyuman nakal di bibir lelaki itu. Mencerlung tajam Hana memandangnya.

“Mana ada saya goda awak! Awak ni janganlah ber‘abang-abang’ dengan saya. Geli tau tak.”

“Aik, semalam bukan main lagi Suha panggil abang.”

"Oh, ya. Abang hampir lupa dengan mesej semalam. Abang kan suruh Suha panggil abang dengan panggilan abang Ishq. So, mana panggilan tu? Kenapa tak guna terus panggilan tu dekat abang, huh?"

"Err..." Hana tidak tahu untuk membalas dengan kata apa. Wajahnya mula membahang apabila situasi semalam muncul di fikirannya. Gara-gara tunangnya merajuk, sanggup dia memujuknya.

Aniq suka melihat wajah Hana yang sudah bertukar warna itu. Dia tahu gadis itu masih tidak mahu memanggilnya dengan panggilan abang Isqh. Tak apa Aniq, suatu hari nanti dia akan panggil kau dengan panggilan itu juga, pujuk hatinya.

“Sudahlah. Abang dah lambat ni.” Aniq melangkah masuk ke dalam. Sekali lagi Hana menghalangnya. Dia menarik hujung lengan baju Aniq.

Yes, dear.”

“Saya ikut. Saya bosan duduk dekat rumah besar ni.” Akhirnya terluah juga kata yang tersimpan di hatinya sejak dari tadi.

Aniq senyum kemudian wajahnya serius. “No. You stay here. Kalau bosan berbual dengan pembantu rumah. Tidak pun Suha masak atau main dengan budak-budak tu.”

Hana menjuih bibir.

“Rafisqy, awak tak boleh buat saya macam ni. Kalau awak tak bagi saya ikut, bagilah saya keluar ke tempat lain. Please…” Hana merayu. Aniq tetap dengan wajah seriusnya. Hana tidak mahu mengalah. Sekali lagi dia membuat muka comelnya. Mengharapkan Aniq memberi keizinan untuk dia keluar.

“Sepuluh minit. Cepat bersiap. Abang tunggu.” Aniq mengalah. Hana senyum kemenangan.

“Tak payah tunggu. Saya dah siap, pun. Tak payah nak cantik-cantik sangat kalau nak keluar. Beg duit, handphone pun sudah ada.” Tersengih-sengih Hana memberitahunya. Aniq melihat pakaian Hana dari atas ke bawah. Memang cukup simple. Make up pula tidak terlalu menyerlah.

“Masuk.” Arah Aniq. Hana tersenyum puas. Hari ini hari kemenangannya. Aniq turut sama meloloskan diri ke dalam perut kereta. Aniq segera memberi arahan kepada pemandunya. Pemandunya yang sudah memanaskan enjin kereta itu terus memandu keluar daripada perkarangan rumah.

 

HANA kecewa. Dia ingat dia sudah menang tapi rupanya tidak kerana Aniq membawanya ke tempat kerja. Hana bermati-matian menyuruh pemandu itu turunkan dia di kawasan Sunway Pyramid tapi disebabkan arahan Aniq, pemandu itu meneruskan pemanduannya sehingga ke tempat kerja lelaki itu.

“Iris Star Holding.” Hana mengerling Aniq.

“Awak kerja sini?” Tanya Hana. Satu apapun dia tidak tahu tentang diri Aniq itu. Yang dia tahu ibu Aniq, Datin Ruhaina punya perusahaannya sendiri yang diuruskan oleh anak lelaki sulungnya.

"Ya. Abang bos dekat sini."

"Syarikat ni buat kerja apa?" Tanya Hana ingin tahu lagi.

"Syarikat abang buat barang-barang kemas dan juga barang perhiasan daripada kristal. Kalau Suha nak tengok, jom. Abang boleh bawa Suha keliling syarikat ni." Dengan senang hati Aniq mempelawa tunangnya itu.

“Okey. Tak dapat pergi Sunway Pyramid pun tak apalah. Dapat tengok syarikat awak pun kira okeylah bagi saya." Kata Hana selamba. Aniq tersenyum.

"Jom," Aniq terus masuk ke dalam bangunan tersebut. Sebelum membawa tunangnya keliling satu bangunan syarikat ini dia perlu berjumpa dengan Muaz dulu. Dia mahu selesaikan masalah yang sudah berlaku sebelum ini. Dia tidak mahu sampai media tahu tentang masalah yang timbul di syarikat ini. Hana yang masih terpinga-pinga di depan bangunan itu terus berlari mengejar Aniq yang sudah ke depan.

Tiba-tiba tangannya ditarik kasar dari belakang. Dia berpaling ke belakang dan tidak semena-mena dia ditolak kasar sehingga jatuh ke bawah. Hana ketap bibir. Dia mengamati perempuan yang tersenyum sinis kepadanya. Pakaiannya agak singkat dan amat ketat.

“Aku dah agak, Aniq jadi macam ni sebab kau, kan?!” Tengkingnya. Hana diam. Dia sudah ingat siapa perempuan seksi di depannya ini.

“Apa yang kau dah buat dekat boyfriend aku, hah?!” Lagi sekali dia menengking Hana. Hana bangun merapikan pakaiannya. Kemudian dia memandang perempuan itu dengan pandangan tajam.

“Hoi, perempuan! Kau memang nak kena dengan aku, kan?! Tak beradab langsung!” Hana mengepal penumbuk. Bila-bila masa sahaja dia akan melepaskan tumbukkannya pada wajah perempuan itu.

“Aku peduli apa! Aku nak kau tinggalkan dia sekarang!”

Hana senyum sinis. “Sedapnya mulut kau nak mengarah aku suruh tinggalkan Aniq. Aku tak nak!” Bidas Hana.

“Tak sangka pula kau ni degil orangnya. Kau tak kenal lagi aku siapa!” Herdik perempuan itu.

“Aku memang tak kenal kau. Tapi, tengok kau depan aku ni, aku dah boleh bau macam mana perangai kau.” Hana membidas lagi. Turun naik nafas Edine dibuat oleh Hana.

“Perempuan jenis apa kau ni, hah?! Perampas! Tak sedar diri. Kau tu dah rampas boyfriend orang.” Edine menyindir Hana. Bola mata Hana besar. Pantang dia dengar perkataan yang tidak sepatutnya tentang dirinya.

PANG!

Satu tamparan kuat mengena di pipi perempuan seksi itu. Hana senyum sinis. Puas dapat menampar perempuan di depannya ini. “Kau nak sangat aku tampar kau, kan. Dari first time kita jumpa lagi aku memang nak buat kau macam ni.” Hana mula serius.

Edine memandangnya dengan penuh amarah. Dia menggosok tempat yang ditampar. Saat itu juga datang beberapa pengawal mendekati mereka berdua. Seorang pengawal lagi sudah berlari masuk ke dalam bangunan untuk memberitahu pekerja yang ada di dalam.

“Kau tau tak yang kau ni dah malukan kaum Hawa! Sedarlah diri tu sikit. Muka melayu, sudah tentu islam, kan? Tapi, kenapa berperangai buruk macam ni?! Pakaian pun dah macam orang barat.” Marah Hana. Lagaknya seperti seorang ustazah yang sedang memarahi anak muridnya. Edine mendengus kasar.

“Hei, perempuan! Kau ingat kau tu bagus sangat! Kau pun sama saja dengan aku yang nak kan Aniq semata-mata kerana harta dia. Bukan cintakan dia sepenuh hati, pun.” Giliran Edine melemparkan senyuman sinisnya. Hana tarik nafas panjang.

“Aku tak sama dengan kaulah! Aku tak suka dia tapi dia yang suka aku. Aku tak suka harta dia. Aku tak suka orang kaya. Jelas sekali kita banyak perbezaan dan….” Hana merenung tajam dari atas ke bawah penampilan perempuan itu.

“Dan aku bukan perempuan seksi yang sanggup menggadaikan maruah semata-mata kerana seorang lelaki seperti kau.” Puas! Puas Hana dapat mengenakan perempuan itu.

“Kau!” Edine meluru ke arah Hana. Namun, langkahnya gagal bila pengawal-pengawal itu memegangnya dan Aniq muncul pada waktu yang tepat. Kelihatan beberapa pekerja yang lain sedang melihat situasi tersebut.

“Suha, okey?” Dari atas ke bawah Aniq meneliti tunangnya. Pakaian Hana sedikit kusut. Hana merengus.

“Okey. Cuma jatuh saja tadi!” Sengaja dia menguatkan suaranya agar perempuan itu dengar. Aniq beralih pandang. Edine direnung tajam seperti hendak makan sahaja manusia di depannya itu.

What did you do to my fiancée?” Keras bunyinya namun langsung tidak menakutkan Edine.

“Huh! Fiancee?” Sinis pandangannya pada Aniq.

You liar! I tau yang you tipu I, kan?”

“Buat apa I nak tipu you, huh! Ni buktinya. Kami berdua dah bertunang.” Aniq menunjukkan cincin tunang yang tersarung di jari manisnya. Hati Edine mula panas. Dia memerhatikan jari Hana pula. Cincin yang sama rekaannya juga tersarung di jari manis Hana.

“Aniq, I tau you bergurau, kan.” Edine mula takut. Hana pula geram mendengar ayat tersebut.

“Aniq tak tipulah. Lagipun, kami akan kahwin minggu depan!” Cepat Hana membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Edine bagai tidak percaya. Muaz dan yang lain yang berada di luar itu juga terkejut dengan kata-kata Hana. Aniq bereaksi selamba.

Yes, we will get marry soon!” Sengaja Aniq menayangkan senyuman yang menggoda dan kenyitan mata pada Hana. Makin panas hati Edine melihat kemesraan mereka berdua. Hana buat tidak tahu dengan pandangan Aniq kepadanya. Apa yang penting, hatinya puas mengenakan perempuan itu.

“Aniq, you tipu! You janji nak kahwin dengan I, kan? You tak ingat ke janji you dengan I. Aniq…” Edine merayu. Aniq senyum sinis. Terkejut dengan kata-kata yang baru sahaja dia dengar dari mulut Edine itu. Hana pula tenang sahaja melihat perempuan seksi itu merayu dengan tunangnya.

“Bila masa I janji dengan you? Selama ni, I anggap you sebagai kawan saja. Not more then that! I dah banyak sabar dengan karenah you tahu tak. Kalau boleh dah lama I nak putuskan persahabatan kita. Tapi, atas belas kasihan, I cuba bersabar dan sehingga hari ini I dah tak tahan lagi dengan you!” Aniq menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata lagi.

You ingat I tak tahu ke pasal you. I tahu you tak ikhlas dengan I tapi I buat tak tahu saja. I know you are using me for the satisfaction of your own! You nak kikis duit I dan harta I saja, kan?!” Aniq mula naik berang. Hana diam tidak berkutik. Terkejut juga dia mendengar kata-kata Aniq itu. Tidak sangka perangai gadis di depannya itu seperti itu.

“Aniq... I... cinta you bukan kerana nak kikis duit, harta you. I... Benar-benar cintakan you, Aniq.” Edine semakin takut. Tergagap-gagap dia bercakap dengan lelaki di depannya itu. Aniq senyum sinis. Dia kemudian ketawa besar.

“Edine, cukup!” Aniq kembali serius. Suaranya tegang.

I tak nak dengar semua tu. You ingat you boleh tipu I. Jangan gunakan I untuk kepentingan you lagi. Cukup sampai di sini saja. tak nak tengok muka you lagi!” Marah Aniq.

“Kamu semua! Bawa dia keluar dari sini. And…” Aniq merapatkan wajahnya ke wajah Edine.

You should thankful to me sebab I lepaskan you kali ini. Kalau you buat sekali lagi, I will never let you go! I will make sure yang you akan masuk ke penjara.” Amaran keras dari Aniq atas kejadian yang berlaku kelmarin. Edine telan liur. Aniq memberi signal pada pengawal-pengawal tersebut agar membawa perempuan itu keluar daripada kawasan bangunan tersebut. Raungan Edine tidak diendahkan.

Aniq kemudian memberi isyarat pada Muaz supaya menyuruh pekerja-pekerja lain masuk ke dalam. Dia kemudian memandang Hana dengan pandangan tajam. Hana cuak. Berkali-kali dia menelan airliurnya.

 

HANA diam sejak Aniq menghadiahkan pandangan tajam kepadanya. Kini, dia berada di dalam bilik pejabat Aniq yang begitu luas. Aniq melonggarkan sedikit tali lehernya itu. Hana masih kaku di depan daun pintu yang terbuka.

Terimbas kembali sewaktu dia mengikut Aniq masuk ke dalam bangunan selepas kejadian tadi. Aniq meminta semua pekerja berkumpul di dewan utama kerana ingin mengumumkan sesuatu. Ternyata pengumuman itu mengejutkan Hana kerana Aniq sudah menguaruarkan tentang pertunangan mereka di depan pekerja-pekerjanya.

“Kenapa tak tutup pintu tu?” Lembut suaranya menegur Hana.

Hana tersengih. Laju tangannya menutup pintu tersebut.

“Kenapa tercegat dekat sana? Come here. Duduk dekat sini.” Arah Aniq menunjukkan tempat untuk tunangnya duduk. Hana terpinga-pinga. Namun diikutkan saja arahan lelaki itu. Tidak lama kemudian seorang wanita masuk ke dalam membawa air kopi untuk mereka. Sesudah itu dia kembali keluar dari ruangan tersebut. Hana memandang kosong kopi di depan mata.

“Suha, diam je. Cik Bento kita ni dah habis suara ke?” Perli Aniq yang sedang sibuk meneliti beberapa dokumen penting. Hana berpaling ke belakang. Melihat Aniq yang tengah sibuk, tidak jadi dia hendak cari gaduh.

"Maaflah sebab abang tak dapat nak bawa Suha melawat satu bangunan ni."

Hana masih diam. Dia faham kenapa Aniq meminta maaf kepadanya. Ini semua gara-gara Edine. Hilang terus mood tunangnya itu.

Hana menyandarkan tubuhnya di sofa. Mata diliarkan di sekitar ruangan pejabat itu. Semua nampak tersusun kemas dan cantik. Sekejap-kejap matanya mengerling ke arah Aniq. Melayang kembali ingatannya dengan kejadian sebentar tadi.

Banyak persoalan yang bermain di mindanya. Hana ingin tahu siapa perempuan itu pada Aniq. Berapa lama sudah mereka berdua saling kenal-mengenali? Sebab apa mereka jadi macam itu? Argh! Kusut fikiran bila memikirkan hal tersebut.

“Suha nak perkahwinan kita nanti tema warna apa? Nak konsep yang macam mana?” Soalan Aniq menyentak lamunannya.

“Te… tema? Awak tanya apa tadi?” Hana kurang dengar.  

“Tema dan konsep perkahwinan. Suha nak konsep yang macam mana? Nak tema warna apa nanti?” Aniq mengulangi semula soalannya. Hana telan liur. Tidak tahu hendak menjawab apa. Salah dia kerana terlepas cakap tentang hal tersebut di depan Edine.

“Suha…”

TOKK!! TOKK!!

Hana menarik nafas lega. Bunyi ketukan pintu menyelamatkan dia daripada terus menjawab soalan tersebut. Seorang lelaki masuk dan menuju ke arah Aniq. Sempat lelaki itu mengerlingnya sambil menghadiahkan senyuman kecil.

Yes, Muaz. Dah settle?” Tanya Aniq pada pembantunya. Sejak kelmarin dia menyuruh Muaz menyelesaikan masalah tersebut. Dia tidak mahu kejadian kereta-kereta syarikat yang terbakar itu sampai ke tangan pihak media.

“Ya, tuan. Semuanya dah diuruskan dengan baik. Tapi, tentang Cik Edine tu…”

“Saya lepaskan dia untuk kali ini. Tapi, kita tengok macam mana nanti. Sekiranya dia bertindak lebih jauh lagi, saya tak akan teragak-agak untuk sumbat dia ke dalam penjara.” Tegas Aniq mengatakannya.

“Siapa? Cik Edine? Perempuan seksi tadi tu ke?” Hana mencelah.

“Kenapa nak sumbat dia sampai ke penjara? Dia ada buat kesalahan besar ke?” Tanya Hana lagi. Muaz memandang majikannya. Aniq memberi isyarat supaya Muaz keluar dari bilik pejabatnya. Muaz mengangguk dan mengikut arahan. Hana hanya menghantar Muaz dengan ekor matanya. Aniq mengangkat punggung dan menuju ke tempat Hana.

“Lain kali jangan nak menyibuk bila abang tengah berbincang dengan Muaz.”

“Saya bukannya nak menyibuk tapi nak tahu saja.”

Aniq mengeluh. Dia menyandarkan tubuhnya di sofa.

“Kalau nak tahu, Suha kena janji dulu.”

“Janji apa?”

“Setuju untuk kahwin dengan abang. Kita akan kahwin seperti yang Suha cakap. Minggu depan.” Aniq memandang Hana lama. Hana pula jadi tidak keruan bila Aniq membahaskan perkara itu semula.

“Rafisqy, tadi tu saya main-main saja. Saya geram dengan perempuan tu. Sebab tu saya cakap macam tu.”

“Abang tak kira. Apa yang penting sekarang abang nak kita kahwin cepat.” Aniq tetap dengan keputusannya. Mahu atau tidak, Hana kena terimanya juga. Hana pandang Aniq dengan wajah geram.

“Saya tak nak. Semua ni terlalu cepat bagi saya. Awak tak kenal siapa saya lagi dan saya pun tak kenal awak dengan sepenuhnya. Kita kenal pun bukan lama. Lepas tu, awak bertunang dengan saya. Sekarang pula nak suruh saya setuju kahwin dengan awak. Saya tak dapat nak terimanya, Rafisqy.”

Mana lagi hatinya yang sedang memikirkan Faiz. Entah macam manalah keadaan lelaki itu sekarang? Bilalah dia hendak pulang ke sini?

“Suha, cukup abang kenal Suha sedikit saja. Kalau Suha nak kita saling kenal lebih mendalam lagi biarlah selepas kahwin nanti.”

Hana senyum sinis.

“Itu awak. Bagi saya, saya perlu kenal dengan orang tu terlebih dahulu sebelum dia mahu melangkah ke alam perkahwinan.”

Aniq menghela nafas.

“Cik Bento nak kita kenal berapa lama baru nak kahwin, huh?” Aniq mula serius.

Hana baru hendak buka mulut namun Aniq lebih laju memotongnya.

“Nak kenal setahun, dua atau lebih dari itu baru Cik Bento tahu sama ada Cik Bento nak kahwin atau tidak?”

“Awak ingat kahwin tu mudah ke?!” Hana meninggikan suara.

“Bukan senang nak kahwin begitu je. Saya nak kenal hati budi awak dulu. Bercinta then baru boleh fikir sama ada…” Katanya laju dipotong oleh Aniq.

“Sama ada nak kahwin dengan saya ataupun tidak, begitu? Hana cinta seperti yang awak harapkan itu saya tak berapa nak setuju.” Bidas Aniq. Dia menghela nafas sebelum meneruskan lagi bicaranya.

 “Saya tahu kahwin tu bukannya mudah. Bukan sehari kita akan bersama. Tapi, saya yakin kita akan kekal hinggah ke jannah dan hanya ajal saja yang dapat memisahkan kita.”

Hana terkesima. Tunangnya sudah mengubah panggilan. Sesuatu menjentik lubuk hatinya. Dia cuba berlagak tenang. “Awak yakin sangat ke dengan kata-kata awak tu?” Hana menduganya.

“Saya tak akan katakan sesuatu itu jika saya tidak yakin, Suha.” Tenang Aniq menutur katanya.

“Tapi kenapa saya? Kenapa saya yang awak pilih?! Kenapa bukan perempuan tadi tu atau orang lain saja?!” Hana masih belum berpuas hati.

“Sebab awak sudah ada tempat di hati saya. Awak menjentik hati saya. Awak membuatkan tulang rusuk saya bergetar. Awak nak saya cakap apa lagi?”

“Ingat pickup lines awak tu berguna sangat ke dengan saya?!” Hana senyum sinis. Aniq mengeluh.

“Suha, umur saya bukannya muda lagi. Saya dah 27 tahun. Perempuan yang sesuai untuk saya sudah ada di depan mata saya ni. Buat apa lagi abang nak cari perempuan lain.” Aniq mengubah panggilannya kembali.

“Kemaruk betul dia ni nak kahwin.” Perli Hana. Dia berpeluk tubuh.

“Saya tak nak kahwin. Saya masih muda. 24 tahun, okey! Saya masih mahu berseronok dengan kehidupan single saya sekarang.” Tegas Hana.

“Kalau kita kahwin pun, abang tak akan ganggu keseronokkan Suha tu.” Aniq tidak mahu mengalah.

“Saya tak nak! Awak carilah perempuan lain. Kalau awak nak kahwin juga dengan saya, awak kena bagi jawapan dulu dengan soalan saya. Kenapa awak nak kahwin dengan saya?” Hana membalas renungan tunangnya. Dia mahu Aniq menjawab soalannya itu sekarang juga.

“Kalau awak nak jawapannya saya boleh bagi. Tapi bukan sekarang. Tunggu selepas kita kahwin. Saya tak akan kahwin orang lain selain awak!” Aniq berdiri lalu meninggalkan Hana. Makin lama dia di situ makin teruk jadinya nanti.

“Yakin sangat! Saya tak akan kahwin dengan awaklah!” Jerit Hana. Soalan senang macam tu pun dia tak nak jawab. Menyampah!

 

DIA sudah tidak peduli dengan lelaki itu lagi. Apa yang dia mahu sekarang, keluar daripada rumah besar tersebut. Pergaduhan di antara dia dengan Aniq membuatkan dia hilang sabar. Bukannya dia tak ada rumah untuk tinggal. Kunci pendua kakaknya ada dengannya juga. Hatinya masih panas dengan sikap dan kelakuan Aniq. Langsung tidak memahaminya. Sejurus Aniq meninggalkannya di bilik pejabat, Hana terus keluar dan kembali ke rumah besar ini.

Selesai memasukkan pakaiannya ke dalam beg bagasi, Hana membawa Arissa keluar daripada rumah tersebut. Teksi yang dihubunginya sebentar tadi sudah pun tiba di luar. Mulanya Arissa tidak mahu tapi Hana memujuknya. Mujurlah budak itu tidak membuat hal.

Aunty Aivy tak nak tinggal dekat sini lagi ke?” Sayu suara Yana bertanya. Hana jadi kasihan.

Aunty tak boleh, Yana. Ini rumah Yana dan bukan tempat tinggal aunty. Aunty kena balik. Tapi, aunty janji dengan Yana yang aunty akan buat bento untuk Yana. Aunty akan bagi bila cuti sekolah dah habis, ya?” Wajah sayu sudah bertukar ceria kembali. Hana melepaskan kelegaan. Nasib baik pujukannya menjadi. Arissa turut tersenyum lalu memeluk temannya itu.

“Cik Aivy betul tak nak tunggu Tuan Aniq balik?” Tanya Mak Yah. Hana geleng kepala sambil tersenyum.

“Cakap dengan dia yang saya tak nak dia jumpa saya buat masa ni. Saya nak tenangkan fikiran saya. Saya tak dapat nak terima lagi dengan apa yang sedang berlaku sekarang ni. Terlalu cepat bagi saya, Mak Yah.” Mak Yah mengangguk walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku antara majikannya dengan gadis di depannya itu. Hana memeluknya dan pelukannya berbalas.

“Jaga diri. Ada masa datanglah sini.”

Insya-Allah…” Hana bersalaman dengan wanita itu.

Masuk sahaja ke dalam teksi Hana terus meminta pemandu teksi itu menghantar mereka ke rumah kakaknya. Hana mengerling Arissa yang sibuk melambai-lambaikan tangan ke arah Yana.

“Arissa sedih?” Tanya Hana. Siapa yang tidak sedih berpisah dengan teman sendiri.

“Mestilah sedih. Arissa tak dapat nak main dengan Yana.”

“Balik sekolah nanti, Arissa dapat jumpa Yana lagikan...”

Arissa diam tidak menjawab. Dia membuang pandang ke luar tingkap.

Aunty gaduh dengan uncle Aniq ke?” Tanya Arissa tanpa memandang wajah auntynya itu. Hana tergamam. Dengan anak buahnya ini dia langsung tidak boleh menipu. Kecil tapi bijak. Cepat sangat Arissa menghidu masalah yang berlaku antara dia dengan Aniq.

“Mana ada aunty gaduh dengan uncle Aniq. Aunty cuma tak biasa tinggal dekat rumah besar tu.” Hana memberi alasan. Harap Arissa dapat menerimanya.

“Tipu. Aunty ingat Arissa tak tahu ke aunty menipu. Arissa yakin aunty mesti ada masalah dengan uncle Aniq, kan?” Arissa merenung tajam auntynya. Hana tersengih.

“Aiyo, budak pun boleh hidu bau masalah kamu ke? Bijak budak ni.” Tiba-tiba pemandu teksi yang berbangsa india itu mencelah. Siap memuji Arissa lagi.

“Saya memang bijak uncle. Aunty saya ni je yang kurang bijak.” Ikut sedap mulut Arissa bercakap dengan pemandu teksi itu. Hana mengetap bibir. Pemandu teksi itu pula sudah mentertawakannya.

“Kalau ada masalah cubalah bawa berbincang baik-baik. Masalah apa? Cinta? Rumah tangga? Atau masalah lain?” Tanya pemandu India itu sambil memandang Hana melalui cermin tengah kereta. Cara dia bercakap sudah seperti uncle Muthu dalam cerita Upin dan Ipin. Hana sekadar senyum.

“Apa-apa pun masalah, kita kena bincang dengan cara yang baik. Selesaikan dengan cara yang baik. Kalau terus menerus lari daripada masalah, sampai bila pun tak akan selesai.” Kata pemandu teksi itu.

Hana menggigit bibir bawahnya. Kalau tak tahu apa-apa diamlah! Bawa saja teksi tu. Nak menyibuk masalah aku, kenapa?! Bentaknya dalam hati lalu dia membuang pandang ke luar tingkap kereta. Dibiarkan sahaja Arissa dengan pemandu teksi itu bercerita.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh