Home Novel Cinta Tawan Hatinya!
Tawan Hatinya!
Nana Riana
7/11/2016 11:06:29
10,411
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

“AKU pergi sendirilah.”

“Jual mahal betul kau dengan aku, ya”

“Kau ni Liq. Aku bukannya nak jual mahal. Tapi aku dah biasa pergi seorang. Kau tak payahlah nak hantar aku.”

“Ala, Riana. Hari ni je la. Bukan selalu pun,” Khaliq mula merengek seperti budak kecil.

“Hesy! Malaslah aku nak layan kau. Sudahlah. Aku nak bersiap dulu. Assalamualaikum.” Aku terus mematikan talian. Kalau dilayan lagi mamat tu makin bertambah buruk pula jadinya nanti.

Argh! Pagi-pagi lagi dia dah kacau aku. Aku nak tidur kejap pun tak boleh! Sudahlah semalam aku tidur lewat gara-gara assignment aku yang tak siap lagi. Lepas subuh tadi, aku sambung buat balik assignment aku. Bila dah selesai, aku nak melelapkan mata sebentar, tapi dia pula sibuk nak telefon aku. Menyesal aku bagi tahu dia nombor baru aku ni. Aku saja je nak tukar nombor telefon lama dengan yang baru. Aku tukar nombor telefon ini pun sejak tiga hari yang lepas. Dia pula dah sibuk nak meminta. Kalau aku tak bagi, nanti macam-macam pula dia buat dekat aku.

Aku menguap sambil mengerling jam yang berada di atas meja sebelahku. Nasib baik masih awal. Kalau tak, nanti lambat lagi aku nak ke kampus. Tahun ni tahun ketiga dan tahun terakhir aku belajar di Universiti Aurora iaitu salah satu universiti swasta yang popular di kalangan orang-orang berada.

Aku tak cakap diri aku ni anak orang berada tapi tuah yang membawa aku ke unibersiti itu. Aku dapat biasiswa penuh daripada salah satu syarikat. Mereka tanggung pelajaran aku sehingga aku tamat pengajian. Pada mulanya aku tak nak terima tapi mereka pujuk untuk terima juga biasiswa tersebut. Siapa yang tak nak sambung belajar, kan? So, aku terima sajalah.

“Riana! Turun cepat!”

Tersentak aku dengan jeritan mama dari tingkat bawah. Cepat-cepat aku turun. Takut dimarahi nanti.

“Ya, mama.” Tergagap-gagap aku membuka mulut. Sebenarnya aku takut betul dengan mama a.k.a Puan Zarisya. Lagi pula dia bukan mama kandung aku. Ayah bernikah dengan dia sejak lapan tahun yang lepas. Ibu kandung aku sudah lama meninggal dunia semasa umurku 10 tahun.

“Lepas kuliah kau ke mana?” Suara garang mama menakutkan aku. Pandangannya tajam seperti hendak makan orang saja.

“Riana tak ke mana-mana, ma. Riana terus pulang nanti.” Laju aku memberikan jawapan.

Good. Sebaik saja kau pulang, mama nak kau kemas semua ni. Bersihkan kawasan rumah ni. Dalam dan juga luar. Faham?” Suaranya tegas memberi arahan kepada aku.

Ini yang aku tak suka! Semua kerja dalam rumah ni aku yang kena buat. Tak adil langsung! Tak pernah sekalipun mama beri aku kesenangan dalam rumah ini.

“Kak Dasha dengan kak Risyah…” Belum sempat aku menghabiskan ayat mama mencerlung tajam tepat ke anak mataku.

“Jangan nak pandai-pandai libatkan anak-anak mama tu. Arahan ni cuma untuk kau dan bukan untuk Dasha mahupun Risyah. Faham!” Mama meninggikan suara.

Aku tertunduk.

Kecut perut aku dibuatnya. Bicara mama betul-betul membuatkan hati aku pedih. Sayang betul dia dengan anak-anaknya. Aku pula dilayan seperti orang gaji. Aku tak faham kenapa mama sangat membenci aku. Adakah aku pernah membuat salah kepadanya atau mungkin juga sebab aku ni anak tiri dia? Tak boleh ke aku nak minta sedikit kasih sayang daripada seorang ibu tiri? Aku tak pernah pun anggap mama aku ni orang luar. Dia sudah seperti ibu kandung aku sendiri. Tapi, kenapa aku diperlakukan juga seperti begini? Akhirnya, hanya keluhan saja yang mampu aku lepaskan. Mana mungkin aku berani meluahkan rasa di hati pada ibu tiri aku ini.

“Faham ma,” aku hendak melawan pun tidak boleh. Dia tetap mamaku walaupun berstatuskan ‘tiri’. Ibu yang perlu aku hormati.

Entah bilalah ayah nak pulang. Kalau ada ayah, mama tentu tak akan buat aku macam ni. Plastik betul! Depan ayah, dia buat-buat baik dekat aku tapi kalau ayah pergi outstation perangai buruknya tu terserlah betul! Hesy, sabar sajalah.

“Dah, cepat naik atas. Siap, lepas tu pergi kampus terus. Mama malas nak tengok muka kamu dekat sini lama-lama.” Mama menghalau aku. Sampai hati mama…

Aku menutup pintu bilik perlahan. Masih teringat lagi akan arahan yang mama berikan kepada aku. Kuliah aku hari ini habis dalam pukul 4.00 petang. Aku menghempap badan di atas tilam empukku. Bantal di tepi aku ambil lalu menutup wajahku ketat. Aku menjerit sepuas-puasnya untuk menghilangkan tekanan sebentar tadi. Lega apabila berbuat seperti itu.

TOK!! TOK!!

Ketukan pintu menyedarkan aku. Cepat-cepat aku bangun lalu membuka pintu bilik. Aku mengurut dada. Nasib baik bukan mama.

“Kak Dasha,” panggil aku. Dia adalah kakak tiri aku yang sulung.

“Boleh akak masuk sekejap?” Dia meminta izin. Aku mengangguk lalu membenarkan dia masuk ke dalam bilik. Dia mengambil tempat di birai katil. Aku menutup semula pintu dan menuju ke arahnya.

“Ada apa kak Dasha?” Tanya aku. Dia tersenyum. Dia satu-satunya kakak tiri yang masih mengambil berat tentang diri aku sejak ayah berkhawin dengan mama. Namun, sikap kak Dasha yang ambil berat tentang diri aku ini hanya terlihat semasa aku bersama dengannya sahaja. Kalau di hadapan mama kak Dasha tidak mampu untuk melindungi dan membela aku. Dia sendiri juga takut dengan mama. Lagipun, mama tidak suka aku mendekati anak-anaknya.

“Akak nak beritahu Riana…” Kak Dasha menghela nafas berat. Sepertinya dia susah untuk meluahkan hal tersebut. Riak wajahnya turut berubah.

“Akak ada masalah ke?” Soalku prihatin. Risau pula bila aku tengok wajah sungul kak Dasha ini.

Dia memandang aku dengan senyuman nipisnya. Dia geleng kepala.

“Berat rasanya akak nak beritahu kamu ni. Tapi, akak kena juga bagi tahu.” Dia menepuk lembut tangan aku.

Wajahku berkerut.

“Akak sebenarnya ada kursus tiga hari dekat Sabah.” Beritahunya.

Aku menundukkan kepala. Perasaan berat hati mula menerjah ke dalam diri. Lagi sekali kak Dasha ke luar negeri. Entah apalah nasib aku jika kak Dasha tiada nanti. Kalau kak Dasha ada di rumah, hilang sikit tekanan yang aku rasa. Dia selalu sahaja memberi aku semangat jika aku merasakan diri aku lemah.

“Tiga hari kak? Lama tu…” Aku memuncungkan mulutku.

“Tak lamalah. Akak janji nanti akak belikan buah tangan dari sana. Tapi akak nak Riana janji dengan akak dulu.”

Laju aku memandang wajah kak Dasha.

“Janji? Janji apa kak?” Tanya aku.

“Janji yang Riana kena sabar dengan karenah mama dengan Risyah. Akak tahu akak tak boleh tolong Riana kalau di hadapan mama dengan Risyah. Tapi akak nak Riana kuat dan sabar. Boleh?” Sebelah tangannya mengusap lembut pipiku.

“Janji kak.” Jawabku lemah. Selama ini aku bertahan pun sebab kak Dasha dan juga ayah. Tetapi, memandangkan ayah selalu sahaja sibuk dengan kerja luarnya, kak Dashalah yang sentiasa menemani aku di sisi. Dia yang selalu ada bila aku perlukan semangat, nasihat dan tempat untuk meluahkan perasaan.

Pintu tiba-tiba dikuak kasar dari luar menyebabkan kak Dasha dan aku serentak berdiri. Dengan wajah bengisnya dia menuju ke arah kami berdua. Aku dan kak Dasha tidak keruan apabila dipandang sebegitu. Macam nak makan orang!

“Kak! Apa akak buat dalam bilik budak ni?” Tajam matanya melihat kami secara bergilir-gilir.

“A... aa... Risyah. Akak cuma suruh dia iron baju-baju akak kat dalam bilik tu nanti.” Kalut kak Dasha memberi alasan.

“Apa-apa sajalah.” Kak Risyah menjulingkan matanya ke atas. Dia kemudian memandang aku dengan renungan tajam.

“Nah!” Dia melemparkan pakaiannya di atas tilamku.

Iron sekali dengan pakaian ni. Aku nak pakai kejap lagi.” Dia memberi arahan.

“Aku tak nak kusut tau! Iron tu elok-elok sikit!” Katanya dengan tegas.

Aku menganggukkan kepala. ‘Seekor’ lagi singa yang menakutkan aku. Hesy!

“Kak, jom. Mama panggil suruh breakfast dulu.” Kak Risyah menarik lengan kak Dasha.

“Tadi akak gurau saja, ya.” Sempat juga kak Dasha berbisik kepada aku. Nasib baik pandangan kak Risyah di hadapan. Aku mengangguk. Aku tahu kak Dasha tidak akan menyuruh aku membuat kerja-kerjanya melainkan bila ada singa-singa itu dihadapan aku.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nana Riana