Home Novel Cinta Tawan Hatinya!
Tawan Hatinya!
Nana Riana
7/11/2016 11:06:29
10,436
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

HUJAN renyai petang itu langsung tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Aku memandang ke luar tingkap besar. Awan masih kelihatan hitam. Nampaknya, hari ini aku akan balik lewat lagi. Loceng angin yang tergantung di atas pintu berbunyi nyaring memberi tanda bahawa ada pengunjung yang datang ke kafe ini. Serta merta pandangan aku beralih ke arah pintu masuk kafe tersebut. Beberapa pengunjung juga turut mencuri pandang ke arah daun pintu yang terbuka itu. Aku tersenyum. Hujan macam ini pun masih ada lagi yang datang berkunjung ke kafe tempat aku bekerja ini.

Café Love Friend.” Aku menyebut perlahan nama kafe yang tertulis di dinding kaca hadapan. Nama kafe yang cukup menjadi perhatian di kalangan orang-orang dewasa berkerjaya terutama kepada mereka yang bergelar pelajar.

“Riana! Sini kejap!” Panggil seseorang. Suara itu datangnya dari arah kaunter juruwang.

“Ya!” Aku cepat-cepat menuju ke arah pemilik suara tersebut.

“Ada apa kak Joy?” Tanya aku sebaik sahaja berada di hadapannya. Juhaina atau lebih senang dikenali dengan nama Joy ini adalah salah seorang pekerja yang sudah lama bekerja di kafe ini. Sementara aku pula baru sahaja enam bulan bekerja. Umur kak Joy tua tiga tahun daripada aku yang berumur 23 tahun ini.

Kak Joy masih sibuk melayan pelanggan yang membuat pembayaran di kaunter ini. Aku pula masih setia berdiri di sebelahnya. Sekali sekala matanya melirik ke arah aku sambil tersenyum. Jauh dari sudut hatiku, aku amat mengagumi cara bekerja kak Joy. Dia seorang yang fokus, teliti dan rajin membuat kerja. Tidak kiralah dia di antara pekerja kesayangan majikan kami.

“Tolong akak jaga kaunter kejap. Akak nak ke belakang.” Ujarnya sambil tersengih.

“Okey!” Aku mengangguk sambil tersenyum.

 

SEDANG aku sibuk menyusun not-not wang kertas yang ada di dalam mesin juruwang, tiba-tiba selendang jenama pashmina yang aku pakai ditarik dari arah depan. Aku mendengus kasar lalu memandang tajam ke arah lelaki itu. Dia tersengih melihat aku yang sedang menahan geram.

“Comellah bila kau buat macam tu.” Pujiannya hanya menyakitkan hati aku saja.

Aku mencebik. Khaliq Azriq. Kami rakan sekerja. Dia juga kawan baik aku dan kami belajar di tempat yang sama. Umur lelaki ni tua setahun daripada aku.

“Jangan kacau aku boleh tak, Khaliq?” Kecil besar, kecil besar aje aku tengok dia. Selalu sahaja buat aku sakit hati. Dengan kawan sekerja yang lain dia tak nak kacau pula. Dengan aku ini jugalah yang jadi mangsa usikan dia. Hesy!

“Kacau sikit pun tak boleh.” Dia menjuih bibirnya. Tangannya pula sibuk mengacau duit siling yang berada di dalam mesin juruwang itu.

“Tu hah, lelaki yang sama datang nak jumpa kau lagi.” Beritahu Khaliq sambil menunjuk ke arah seorang lelaki berbadan sasa dengan pakaian formalnya yang sedang duduk di hujung kafe.

“Riana, aku peliklah,” Dahinya berkerut.

“Pelik? Apa yang pelik?” Tanya aku.

“Lelaki tu la. Kenapa dia asyik jumpa kau je?” Soalnya.

Aku menarik nafas dalam.

“Manalah aku tahu. Masuk hari ini, dah lima kali abang ‘no feel’ tu datang kat sini. Tak lain tak bukan mesti dia tanya benda yang sama. Aku pula langsung tak ada peluang nak tanya dia.” Dari jauh aku memerhatikan dia. Dia perasan aku sedang memerhatikannya lalu melambai-lambai ke arah aku. Aku tersenyum nipis.

“Abang ‘no feel’? Kenapa kau gelar dia begitu pula?” Khaliq ketawa kecil. Mungkin terasa lucu dengan nama yang baru didengarinya itu.

“Dari hari pertama sehinggalah pertemuan kami yang ke-empat tu, air muka dia serius saja. Bila aku senyum dia tak balas. Aku buat lawak pun dia tak ketawa juga.”

“Yeke? Mungkin lawak kau tu memang tak kelakar kut?” Khaliq ketawa.

“Entahlah.” Aku menjongket bahu. Malas hendak berdalih dengannya.

“Tak apa. Biar aku ganti tempat kau ni. Kau pergilah layan abang ‘no feel’ kau tu.” Khaliq menghalau aku. Dia sudah berdiri di sebelah aku untuk mengambil alih menjaga kaunter juruwang. Aku menjelir lidah kepadanya sebelum beredar dari tempat tersebut.

 

“ASSALAMUALAIKUM.” Aku memberi salam dengan senyuman yang terukir di wajahku. Aku menarik kerusi bertentangan dengannya.

Waalaikumussalam.” Jawabnya. Wajahnya serius tapi tenang.

“Cik Riana sihat?” Soalan pertama darinya.

Aku sekadar mengangguk.

“Kerja cik Riana ada apa-apa masalah?” Soalan kedua.

Aku geleng kepala. Asyik dengan soalan yang sama sahaja. Soalan seterusnya mesti dia nak tanya aku nak pergi mana lepas daripada kerja ni.

“Lepas kerja ni, cik Riana ada nak pergi mana-mana tak?” Soalan ketiga seperti yang aku jangkakan. Sebelum inipun dia bertanyakan soalan yang sama.

“Rasanya saya tak ke mana-mana lepas kerja ni.”

Dia mengangguk lalu menghirup kopi yang dipesan olehnya sebentar tadi.

“Kampus okey? Kuliah ada masalah? Duit semua cukup?”

Tersentak aku dengan soalan yang bertubi-tubi itu. Ini adalah soalan baru untuk hari ini. Tapi, macam mana dia tahu aku ni pelajar. Takut pula aku tengok abang ‘no feel’ ni tau. Sampai ke situ sekali dia bertanyakan soalan. Siapa dia sebenarnya?

Aku mengerutkan dahi. Nak jawab ke tak nak?

“Tak apalah kalau cik Riana tak nak jawab. Saya faham. Tapi kalau ada apa-apa masalah jangan segan beritahu saya. Lagipun, saya dah berikan nombor telefon saya dekat cik Riana, kan?” Dia meminta kepastian. Aku angguk.

Prihatin betul abang ni.Tapi sayang aku masih ragu-ragu lagi untuk terima bantuan daripada dia.

“Abang ‘no feel’.”

Dia memandang aku. Aku memberikan senyuman walaupun tahu dia tidak akan membalasnya.

“Abang ‘no feel’?” Tanyanya pelik. Wajahnya kekal serius. Langsung tidak mengerutkan dahi apabila pelik dengan panggilan yang aku bahaskan kepadanya.

Sebelum ini aku hanya menggelarkannya dengan panggilan abang. Tapi, sekarang aku sudah terfikir nama yang sesuai dengan perwatakannya itu.

“Sesuailah dengan abang yang langsung tak ada perasaan.” Aku ketawa kecil.

“Lagipun, bila saya tanya nama abang, abang langsung tak nak beritahu. Sebab itu saya panggil abang dengan panggilan tu.” Sambungku lagi.

“Oh.”

“Abang, hmmm…

Patut ke aku luah? Aku sebenarnya tak puas hati dengan abang ni. Bila diingatkkan kembali pada hari pertama pertemuan kami tu amat menakutkan. Dengan wajah yang serius, abang depan aku ini tiba-tiba menyapa aku dan bertanyakan dengan bermacam-macam soalan pelik. Lagak seperti seorang penyiasat saja. Bukan main takut lagi aku masa tu. Tapi, bila abang ini sendiri dah cakap yang dia orang baik, aku jadi percaya. Mudah sangatkan aku percayakan dia.

Pertemuan kedua, aku masih lagi tidak selesa dengannya. Seperti biasa dia akan mencari aku di kafe ini dan bertanyakan aku dengan soalan-soalan pelik. Aku hanya menjawab pertanyaannya sahaja. Dia langsung tidak memberikan aku peluang untuk bertanya. Bila aku hendak bertanya, dia laju memotong. Geram betul aku!

Pertemuan kali ketiga, aku sudah dapat membiasakan diri dengannya. Satu yang aku perasan tentang abang ni adalah riak wajahnya. Sejak aku kenal abang ni, dia langsung tak nak senyum mahupun ketawa. Pelik.

“Cik Riana?”

“Hah!” Aku tersedar daripada lamunanku.

“Cik Riana tak apa-apa?” Soalnya.

Aku tersengih. Malu.

Hmmm… abang, saya nak cakap sesuatu dengan abang. Boleh tak?” Aku memandangnya. Dia pula merenungku. Kemudian dia menganggukkan kepala.

“Sejak hari pertama saya kenal abang, saya langsung tak tahu nama abang,” aku tersengih sebelum menyambung semula ayatku.

“Saya nak juga tahu nama abang. Itu pun kalau...”

“Ezmil. 27 tahun.” Laju dia menjawab.

“Ezmil? Ezmil tu nama abang?” Aku meminta kepastian.

Dia mengangguk. Aku tersenyum lebar. Akhirnya dia beritahu juga namanya. Siap beritahu umur dia lagi.

Aku pandang dia dan bertanya lagi, “saya ada nak tanya lagi dengan abang Ezmil. Boleh?”

“Tanya apa?”

“Motif abang. Abang jumpa saya, tanya saya itu dan ini sebab apa? Apa motif abang Ezmil sebenarnya?”

“Maaf. Saya tak boleh beritahu cik Riana. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk saya beritahu kepada cik.”

Aku terkedu mendengar jawapannya.

“Ke…” Baru aku mahu buka mulut untuk bertanya lagi tapi dia lebih laju memotong.

“Bila tiba masanya akan saya beritahu juga. Maaf cik Riana, saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Dia berdiri merapikan pakaian formalnya sebelum beredar daripada kawasan kafe ini. Sempat juga dia meletakkan dua keping not wang kertas bewarna merah di tepi cawan kopi itu.

Waalaikumussalam.” Aku membalas salamnya seiring dengan helaan nafas berat. Hari ini pun aku tak dapat jawapan yang aku mahu lagi.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Nana Riana