Bab 57

HANA duduk di tepi pintu beranda biliknya. Dia melunjurkan kakinya menghala ke kolam renang. Makan malam sudah disediakannya. Dia malas hendak berlama-lama di bawah. Dia hanya meninggalkan nota kecil di atas meja. Harap suaminya itu membaca nota tersebut bila dia pulang nanti.

Dia memandang langit yang gelap tanpa cahaya bintang. Hana mahu sahaja berjalan di tepi kolam itu tapi dia tidak mahu. Takut kerana kolam itu dekat dengan tebing berandanya.

Teringat dia dengan nasihat-nasihat teman baiknya petang tadi. Encik Muaz pun apa kurangnya. Dia denan Mitsuha tidak habis-habis berleter menasihatinya.

Matanya mula berat. Dia menguap berkali-kali. Hana berdiri lalu menuju ke arah sofa.

Hana membaringkan tubuhnya di sofa. Sejak dulu lagi dia suka tidur di atas sofa. Sofa membuatkan dia cepat mengantuk berbanding tidur di atas tilam. Rasanya ada tak yang berperangai pelik macam aku ni? Fikirnya.

 

ANIQ menguak pintu rumah perlahan. Hari ini dia balik lewat lagi kerana menguruskan beberapa dokumen dan juga mengagihkan tugas kepada pekerja-pekerjanya. Dia akan bercuti mulai esok dan segala hal kerja akan diserahkan kepada abang sulungnya. Selama beberapa minggu ini dia mahu bersama dengan isterinya. Dia sudah membuat banyak perancangan untuk mereka berdua.

Aniq meliau mencari kelibat Hana. Isterinya tiada di ruang tamu mahupun di bahagian dapur. Ketika melimpasi meja makan, Aniq perasan ada nota kecil yang diletakkan di atas meja makan. Dia mengambil dan membacanya.

Hana sudah menyediakan makan malam untuknya dan menyuruhnya makan. Aniq membuka tudung saji dan melihat hidangan yang dimasak oleh isterinya itu. Dia menguntum senyuman. Dia merasa sedikit hidangan tersebut sebelum menutup semula dengan tudung saji.

Dia perlu mandi terlebih dahulu dan menunaikan solat isyak. Aniq melajukan kaki naik ke bilik. Dia sudah memindahkan barang-barangnya ke bilik Hana semalam sewaktu isterinya itu sedang tidur mati. Aniq menguak pintu perlahan. Tersenyum melihat isteri sedang tidur di atas sofa. Dia mahu melepaskan rindunya tapi, perkara wajib harus ditunaikan dulu.

Selesai solat Aniq turun ke bawah untuk mengisi perut. Sesudah itu, dia naik semula ke atas. Dia mahu melepaskan rindu pada si isteri pula. Aniq duduk di atas meja sambil memerhatikan isterinya yang sedang tidur berbalut dengan selimut tebal. Aniq membongkokkan sedikit tubuhnya agar rapat dengan wajah si isteri. Dia membelai rambut panjang milik Hana. Dia suka dengan bau harum rambut isterinya itu.

Kali pertama dia melihat aurat Hana adalah sewaktu mereka berada di Pulau Langkawi. Ketika itu dia tidak sengaja terlihat Hana sedang berdiri di tepi tingkap dengan rambut yang tidak berikat. Hana mengerekot. Aniq menghentikan belaiannya pada rambut Hana. Wajah polos diperhatikan. Dielus lembut pipi gebu si isteri.

Hana tersedar bila ada sesuatu yang menyentuh pipinya. Perlahan-lahan Hana membuka mata. Terbeliak matanya bila mendapati suami ada di depan mata. Ketika itu juga bayangan Aniq dengan Chinta bermain di mindanya. Hana menayang wajah geram.

“Kenapa buat muka garang ni?”

“Suka hati sayalah! Awak keluar dari bilik ni sekarang juga!” Hana menghalau suaminya. Hatinya masih sakit dengan adegan mesra si suami dengan perempuan itu. Hana membelakangi Aniq.

Aniq terkesima. Hana tiba-tiba naik angin dengannya.

“Suha tiba-tiba marah abang ni kenapa? Suha nak abang merajuk lagi ke?”

“Pergilah merajuk. Lepas ni, saya malas dah nak pujuk awak! Suruh saja si Chinta tu pujuk awak!” Marah Hana.

“Chinta?! Apa kena mengena abang dengan Chinta ni?” Berkerut dahi Aniq bila nama Chinta di sebut.

Turun naik nafas Hana bila adegan mesra itu tidak berhenti bermain di mindanya. Hana bangun. Tajam matanya mencerlung tepat ke anak mata Aniq. Senyuman sinis dihadiahkan buat suaminya.

“Awak tahu tak saya pergi mana pagi tadi?!” Hana menyoal dengan nada tinggi. Sakit betul hatinya bila kemesraan dua pasangan itu masih tidak hilang di ingatannya.

“Suha…” Aniq cuba menenangkan isterinya. Hana laju menjarakkan tubuhnya.

“Saya pergi tempat kerja awak. Saya nak bagi bento yang saya buat untuk awak tapi…” Hana cuba menahan air matanya yang mahu jatuh. Dia kemudian senyum sinis.

“Saya dah buang bento tu dalam tong sampah. Saya tak suka awak bermesra dengan si Chinta tu!” Hana melepaskan geram. Aniq sudah tentu tercengang.

“Abang dengan Chinta…”

“Awak ingat saya tak tahu siapa Chinta tu?! Dia teman seuniversiti awak, kan? Muaz dah bagi tahu saya semualah pasal Chinta tu. Saya tahulah saya ni orang bawahan yang boleh awak guna dan permainkan perasaan ikut suka hati awak. Chinta tu memang sepadan dengan awak. Kaya tak macam saya. Dia cantik dan bergaya. Memang sesuailah dengan awak.” Hana laju memintas katanya. Sinis bicaranya.  

Aniq terkesima. Tidak sangka mulut mungil itu mengeluarkan kata-kata seperti itu. Aniq mendekati Hana. Dia mahu beri penjelasan.

“Jangan dekat!” Amaran Hana.

“Suha, apa yang Suha nampak tu tak seperti apa yang Suha fikirkan. Abang dengan Chinta tak ada apa-apa pun.”

“Tak payah berabang-abang dengan saya. Saya tak suka!” Hana bingkas bangun menuju ke katil dengan selimut tebalnya.  

Aniq masih dalam keadaan tenang. Apa yang isterinya fikir itu semuanya tidak betul. Aniq menuju ke katil. Dia perlu jelaskan hal yang sebenar. Dia memanjat naik ke atas tilam dan terus memeluk Hana yang membelakanginya.

Hana terkejut bila tangan suaminya melingkari pinggangnya. Dia tidak mahu menoleh sebaliknya meronta minta dilepaskan. Aniq mengetatkan lagi pelukan di pinggang itu.

“Lepaskanlah!” Hana menarik tangan Aniq agar melepaskannya. Namun, pelukan lelaki itu terlalu kuat.

“Shhh… Suha diam kalau tak abang makan Suha sekarang.”   

Hana membeku. Faham dengan apa yang dimaksudkan oleh suaminya. Haruman Aniq menusuk masuk ke rongga hidungnya. Dadanya mula berdebar.

“Rafisqy, boleh tak awak lepaskan saya sekarang. Saya rimaslah.” Walaupun kaku, Hana tetap mahu Aniq melepaskan pelukan tersebut.

“Abang tak nak. Suha dengar dulu apa yang abang nak cakap, boleh?” Sebelah tangannya membelai rambut panjang Hana. Hana jadi tidak keruan dengan kelakuan suaminya.

“Ra... Rafisqy… awak tahu kan…”

“Shhh…” Aniq mendiamkan Hana. Belaian pada rambut panjang itu diteruskan.

“Abang tak tahu pun Suha pergi sana. Abang minta maaf kalau buat Suha sakit hati dengan kelakuan abang. Apa yang Suha nampak di sana bukan seperti yang Suha fikirkan. Abang dengan dia kawan saja.”

Kawanlah sangat!

“Abang tak kisah Suha kaya atau miskin. Tapi, Suha kena tau yang abang tak pernah main-mainkan perasaan Suha. Apa yang abang buat semua ini pun sebab Suha. Abang nak Suha dalam hidup abang.” Luah Aniq. Dia mencium bau harum rambut milik isterinya itu. Hana menarik rambutnya ke depan. Tidak suka dengan belaian tersebut.

Aniq senyum serot. Dia mahu mengusik Hana lagi. Pantas wajahnya diletakkan di atas bahu isteri. Hana semakin rimas. Dengan tenaga yang ada Hana terus bangun dari perbaringannya. Pandangan tajam dihadiahkan untuk suaminya. Aniq ketawa kecil. Dia juga bangun daripada posisi baringnya.

“Kenapa Suha ni? Abang buat macam tu pun Suha dah menggelabah.”

Hana mengetap bibir. Pantas dia bangun dan menarik selimut tebalnya ke arah sofa semula. Marah betul dia dengan suaminya. Aniq menghela nafas berat.

“Suha, abang minta maaf kalau abang dah buat Suha marah. Abang dengan Chinta tak lebih daripada kawan pun,”

Hana buat tidak dengar. Aniq memerhatikan isterinya dari tempat dia duduk.

“Suha ingat abang tak tahu yang isteri abang ni jeles dengan Chinta. Itu maknanya Suha dah mula sayang dekat abang, kan?” Bibir mengukir senyuman. Hana buat tidak tahu.

Hana baring. Selimut ditarik sehingga menutupi sebahagian wajahnya. Dia baring membelakangi Aniq. Hana menutup mata. Malas dia hendak mendengar penjelasan suaminya.

“Suha, please jangan macam ni. Kita baru saja kahwin. Tak naklah gaduh-gaduh. Suha tak suka macam ni, abang lagilah tak suka.” Aniq turun dari katil dan menuju ke tempat isterinya tidur.

“Abang tak ada niat pun nak sakiti hati Suha. Kalau Suha tak nak abang layan Chinta lagi, abang akan buat. Asalkan Suha tak merajuk, tak marah dengan abang lagi, okey?”

“Janji yang abang tak akan layan mesra dengan perempuan tu?” Hana masih membelakanginya. Tidak sedar yang dia sudah memanggil Aniq dengan panggilan abang.

“Abang janji!” Aniq mengangkat tangan.

“Abang janji yang Suha ni satu-satunya bintang di hati abang?”

Aniq tergamam. Dia seperti pernah dengar perkataan itu. Panggilan nama juga berubah.

“Abang! Abang janji atau tidak ni?!” Hana berpaling menghadapnya. Marahnya masih bersisa.

“Suha, dah baca kertas-kertas dalam balang tu ke?” Tersenyum-senyum Aniq mengutarakan soalannya. Hana terkena. Pantas dia bangkit mahu melarikan diri. Namun, tubuhnya pantas ditangkap oleh Aniq dan mereka terduduk di sofa. Tangan Hana dalam genggaman Aniq.

“Cepat bagi tahu abang. Suha dah baca kertas-kertas tu, kan?”

“Mana ada saya baca. Awak lepaskan sayalah.” Hana menarik tangannya. Aniq tidak mahu melepaskan tangannya. Sebaliknya, dia memaksa Hana merebahkan kepala di atas ribanya. Hana mendengus dengan paksaan suaminya.

“Aniq saya tak naklah.” Aniq tidak peduli. Dia merebahkan juga tubuh Hana. Kepala Hana pula di atas ribanya. Puas hati!

Eee… Aku tumbuk juga dia ni. Aku tak nak. Dia paksa aku juga! Ni, kau punya pasallah Hana! Siapa suruh celopar mulut, marah Hana dalam hati. Dia menutup dirinya dengan selimut. Aniq yang memandangnya itu tidak dipedulikan. Hana menutup separuh wajahnya dan menghadap ke tempat lain.

Aniq memerhati Hana yang masih lagi tidak selesa dengannya. Aniq tersenyum nakal. Rambut Hana menjadi mangsa. Dibelai manja lagi rambut panjang milik Hana itu. Hana pula makin tidak keruan dengan perbuatan suaminya itu.

“Suha cepatlah bagi tahu abang. Suha dah baca, kan?” Aniq masih dengan soalan yang sama.

“Saya tak baca pun. Awak, rimaslah macam ni.” Hana menafikannya. Tangannya pula memukul tangan suami yang membelai rambutnya.

“Kenapa dah tukar panggilan ni? Tadi elok saja panggil abang.” Pipi gebu Hana dicubit lembut. Hana mendengus. Aniq ketawa kecil mendengar dengusan si isteri.

“Tadi tu tak sengaja. Saya tak biasa lagi.” Alasan Hana. Langsung tidak memandang suaminya. Dia menguap. Mungkin disebabkan kesan daripada belaian si suami.

“Okey. Abang dah anggap yang Suha dah baca kertas-kertas dalam balang tu. Maknanya, Suha dah tahu isi hati abang, kan?” Dia memandang isterinya.

“Suha,”

Hana sudah menutup matanya. 

“Suha,” panggilan Aniq sekali lagi. Namun, tiada balasan. Hanya suara dengkuran kecil yang kedengaran. Aniq senyum segaris

“Sudah tidur rupanya dia ni,”

Aniq masih meneruskan belaian pada rambut isterinya. Tidak lama kemudian matanya mulai berat. Aniq tidak dapat menahan kantuknya dan akhirnya melentokkan kepalanya di sofa. 

Previous: Bab 56
Next: Bab 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh