Bab 47

LELAKI itu melepaskan amarahnya. Habis meja di dalam bilik menjadi sasaran tumbukannya. Pandangan tajam dihalakan pada dua orang suruhannya. Hanya tinggal mereka berdua lagi.

“Kenapa dia orang tu tak bunuh saja perempuan tu di sana. Menyusahkan!”  Marah lelaki itu.

“Maaf, tuan. Kami tak tahu pula ada orang yang akan tolong perempuan tu.” Jawab salah seorang daripada mereka.

“Sepatutnya, korang lebih berhati-hati. Fikir dulu sebelum bertindak. Korang tak kenal siapa lagi lelaki tu.” Nadanya keras.

“Siapa lelaki tu, tuan?” Tanya lelaki berpakaian singlet hitam.

Dia merengus.

“Itu Aniq Rafisqy. Pengarah syarikat Iris Star Holding.”

“Syarikat yang mengeluarkan barangan-barangan eksklusif daripada kristal dan juga emas putih tu ke? Saya dengar ramai yang tertawan dan suka dengan produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut.”

Dia tersenyum sinis mendengar pujian orang suruhannya itu.

“Dia bukan lelaki sembarangan. Lelaki yang cukup perisai dan bukan mudah untuk kita tembusinya. Sebelum korang bertindak lebih, dia terlebih dulu yang akan bertindak untuk menghalang dan dia tidak akan sesekali melepaskan orang itu bila orang itu sudah membuat kesilapan.” Beritahunya. Mereka berdua menelan liur bila mendengar serba sedikit tentang pengarah syarikat itu.

“Apa yang mereka berdua buat jadi pengajaran kamu berdua. Rancangan kita tetap diteruskan dan saya mahu kamu berdua lebih berhati-hati lagi selepas ini. Berfikir sebelum bertindak!”

“Mereka berdua tiada kaitan lagi dengan saya. Korang berdua jangan lagi masuk campur dalam hal mereka berdua yang sudah ditangkap itu.” Dia memberi amaran dan terus meninggalkan dua orang suruhannya yang jelas masih terpinga-pinga.

 

MATAHARI mulai terbenam. Hana masih terlantar di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Sebaik sahaja Hana dibawa ke HKL, Aniq terus menghubungi abangnya untuk meminta tolong. Arissa dan Yana sudah dibawa pulang oleh Harith. Mamanya dan juga keluarga Hana sudah dihubungi tadi dan sebentar lagi mereka akan tiba.

Telefonnya berdering mahu diminta angkat.

“Helo, Muaz. Ada apa-apa perkembangan tentang penculik tu?” Tanya Aniq. Dia meminta Muaz terus ke balai polis selepas menghantar kereta milik kakak Hana itu.

“Mereka berdua mengaku yang mereka memang hendak menculik Cik Aivy dan mereka memberitahu yang mereka juga telah diupah oleh seseorang untuk melakukan penculikan tersebut. Tapi, sampai sekarang mereka masih tidak memberitahu siapa yang mengupah mereka berdua tu.” Beritahu Muaz. Aniq tergamam. Hana yang masih belum sedarkan diri itu dipandang dengan belas kasihan.

“Kenapa dan apa sebab mereka mahu menculik tunang saya?” Tanya Aniq lagi.

“Maaf, tuan. Tentang itu, mereka masih belum mahu mengaku sepenuhnya. Hanya itu saja maklumat yang saya dapat tadi. Pihak polis masih lagi membuat soal selidik terhadap mereka berdua sekarang.”

“Okey. Saya mahu kamu terus di sana sehingga perbicaraan mereka selesai. Apa-apa hal beritahu saya segera.” Ujar Aniq sebelum menamatkan panggilannya.

Aniq duduk di kerusi dan menghala pandangannya ke wajah Hana. Polos dan tenang sahaja wajah gadis itu. Saat itu fikirannya melayang kepada dua orang penculik lelaki itu. Siapa mereka? Apa motif mereka mahu menculik tunangnya?

Aniq meramas kasar rambutnya. Jam di dinding dikerling sekilas pandang. Sudah masuk waktu Maghrib dan dia harus menunaikan solat terlebih dahulu. Dia keluar dan meninggalkan Hana yang masih tidak sedarkan diri itu.


HANA membuka matanya perlahan. Bau ubat-ubatan menusuk ke rongga hidungnya. Tahulah dia sekarang berada di dalam hospital. Tekaknya terasa haus. Dia mengagahkan diri untuk bangun daripada pembaringannya.

Gelas yang berisi air yang tersedia di atas meja tepi katil itu diambil dan diteguk perlahan. Sambil minum sambil dia memerhatikan ruang bilik pesakit itu. Nampaknya, hanya dia seorang sahaja di dalam bilik ini. Siapa agaknya yang menghantarnya ke sini?

Hana turun daripada katil dan menuju ke bilik air yang ada di dalam bilik tersebut. Baru beberapa kali melangkah dan dia mematikan langkahnya semula apabila terdengar bunyi pintu dikuak dari luar. Hana cemas lalu menyembunyikan diri di sebalik langsir.

"Perempuan tu tak ada dekat sini." Kata lelaki berbadan gempal itu. Di belakangnya ada seorang lagi lelaki yang berpakaian singlet hitam dan berkepala botak.

"Jahanamlah kita berdua kalau kita tak bawa perempuan tu sekarang!" Lelaki berkepala botak itu menumbuk kuat dinding di tepinya.

"Hoi, gempal. Betul juga ke ini bilik perempuan tu?" Lelaki berkepala botak itu meminta kepastian dan lelaki berbadang gempal itu mengangguk. Dia mendengus. Kalau mereka gagal kali ini sudah tentu mereka berdua tidak mendapat habuan daripada bos mereka. Kejadian tengah hari tadi tidak mungkin akan berlaku kepada mereka berdua. Apa yang penting sekarang adalah mencari perempuan itu dengan segera!

Hana telan liur. Seluruh badannya menggeletar. Dia amat takut sekiranya dua orang lelaki itu dapat mencarinya di dalam bilik ini. Apa yang mereka mahu dari aku ini? Tanya Hana di dalam hati.

Hana menggenggam erat hujung langsir itu apabila dua orang lelaki itu melangkah ke arahnya. Dia tidak putus-putus berdoa agar terselamat daripada dua lelaki itu. Nasib baiklah langsir di dalam bilik pesakit ini tebal dan panjang mencecah sehingga ke lantai. Harap-harap mereka berdua tidak perasan aku.

"Kau rasa perempuan tu ke mana?" Tanya lelaki berbadan gempal itu.

"Kau tanya aku, manalah aku tahu." Lelaki berkepala botak itu mendengus. Lelaki itu betul-betul berdiri di hadapan Hana yang sedang menyembunyikan dirinya di sebalik langsir. Hana menahan nafas agar tidak didengari oleh lelaki itu.

"Sekarang ni apa kita nak buat? Macam mana kita nak bagi tahu dengan tuan kita yang perempuan tu tak ada dalam bilik ni?!"

"Tak apa. Kita tunggu saja di bilik ini." Kata lelaki berbadan gempal itu.

Hana bertambah takut apabila dua orang lelaki itu tidak mahu berganjak dari ruang bilik ini dan saat itu mereka terdengar bunyi deringan telefon. Hana terkejut apatah lagi dua lelaki itu.

"Oh, tak sangka pula dia ada dekat sini." Lelaki berbadan gempal itu cuba mencari arah datangnya bunyi telefon tersebut.

Hana cuak. Telefon yang berdering itu ada dengannya. Otaknya tidak dapat berfungsi sekarang kerana ketakutan sudah menyelubungi dirinya. Jadi, dia hanya membiarkan sahaja telefonnya itu terus berdering.

"Hoi, botak. Aku rasa aku tahu mana dia sembunyikan diri dia ni."

Dari tempat persembunyiannya jelas terdengar dua lelaki itu sedang meledakkan tawa mereka. Hana cuba memberi semangat berani untuk dirinya. Dia harus selamatkan diri. Dia mengumpul kekuatan sebelum keluar melarikan diri dari tempat persembunyian.

Nasibnya malang. Lelaki berbadan gempal itu berjaya menangkapnya sebelum dia sempat membuka pintu bilik tersebut.

"Lepaskan saya!" Hana meronta mahu minta dilepaskan. Terkekek-kekek kedua-dua lelaki itu melihat Hana yang berada dalam ketakutan.

"Hoi, perempuan! Kau ingat kami nak lepaskan kau macam tu saja ke setelah apa yang terjadi dekat dua orang kawan kami tengah hari tadi?" Lelaki berkepala botak itu menunjal kepala Hana dengan kuat.

"Hoi, gempal. Kau pegang dia ketat-ketat. Aku nak pengsankan dia dulu. Senang sikit kita nak bawa dia keluar dari bilik ni nanti."

Lelaki berbadan gempal itu mengikut arahan. Lelaki berkepala botak itu mengeluarkan sapu tangan dan meletakkan sesuatu pada sapu tangan tersebut sebelum diletakkan di hidung Hana. Hana meronta dan terus meronta sehingga pipinya ditampar kuat oleh lelaki berkepala botak itu.

"Hana!" Tepat pada masanya. Aniq muncul di bilik itu. Dia terkejut melihat tunangnya berada dalam tangan dua lelaki yang tidak dikenali itu.

"Lepaskan tunang saya!"

"Gempal kau pegang dia ni. Biar aku saja yang uruskan lelaki tu."

Belum sempat tumbukkan itu kena pada Aniq, bilik itu terus diserbu oleh beberapa anggota polis. Terkejut bukan kepalang lagi dua lelaki itu. Mereka berdua tidak dapat berbuat apa-apa lagi apabila bilik itu sudah dikepung oleh anggota polis. Hana dilepaskan. Aniq cepat menyambut tunangnya yang sudah tidak sedarkan diri itu.


"JANGAN apa-apakan saya!" Jeritan Hana membuatkan tidur Aniq terganggu. Aniq segera merapati Hana yang berbaring di atas katil.

"Suha, tenang. Abang sini. Abang ada dengan Suha." Aniq cuba untuk menenangkan tunangnya.

Hana membuka matanya. Dia menangis dan terus memeluk Aniq. Kejadian tadi terbawa-bawa sampai ke mimpinya. Dia sungguh takut sekali.

"Dah. Jangan nangis lagi. Penculik-penculik tu dah ditangkap pun." Aniq masih berusaha menenangkan tunangnya. Makin erat pelukan Hana pada Aniq.

"Saya takut..."

"Suha tak payah takut. Abang ada."

Beberapa minit kemudian Hana terlena di pangkuan Aniq. Aniq membaringkan semula tunangnya. Selimut ditarik hingga ke paras dada Hana. Dia menarik kerusi lalu duduk memerhatikan tunangnya yang sedang tidur itu.


PERLAHAN-LAHAN Hana membuka matanya. Dia memandang sekeliling sebelum matanya jatuh pada tunangnya yang sedang tidur sambil melentokkan kepala di birai katil dengan beralaskan lengan. Tidak semena-mena kolam air matanya pecah semula.

Allah sayangkan aku dan dia hantar lelaki ini untuk menolong aku. Hana… Apa yang dia buat hari ini jelas membuktikan yang dia sangat mengambil berat tentang kau, bisik kata hatinya.

Aku tak tahu apa yang akan terjadi kalau Aniq tidak ada masa tu. Ya Allah, terima kasih atas bantuan yang Engkau berikan kepada ku. Hana tidak henti-henti mengucap syukur kepada Allah.

“Suha, awak dah sedar?” Aniq menegur Hana sebaik sahaja dia tersedar dari tidurnya. Hana senyum tawar. Comel pula dia melihat Aniq memisat-misat matanya itu.

“Rafisqy, terima kasih sebab tolong saya tadi. Saya tak tahu apa yang akan jadi lepas tu kalau awak tak ada di sini.” Air matanya mengalir semakin deras. Aniq ubah posisi. Dia duduk di birai katil pesakit itu.

“Dah. Jangan nangis. Buruk muka tu.”

Hana mengesat air matanya.

“Nasib baik abang datang tepat masa. Kalau tidak abang akan kehilangan Suha hari ini juga.”

"Kejadian tengah hari tadi, awak juga ke yang tolong?" Hana meminta kepastian. Aniq mengangguk.

“Tapi, macam mana awak boleh ada dekat sana?” Terkebil-kebil mata Hana mahu bertanya. Bila dia fikir semula mustahil lelaki di depannya ini ada di tempat seperti itu. Aniq senyum nipis.

“Abang ikut kata hati. Entah kenapa abang rasa tak sedap hati dan terus teringatkan Suha. Lepas ambil Yana, abang tak terus pulang tapi ikut Suha dari belakang. Mana Suha pergi abang ikut.” Beritahu Aniq. Hana terpana. Perasaan itu menjentik hatinya kembali.

“Habis, penculik tu?”

“Dah diberkas. Abang telefon polis sebelum mereka bertindak lebih jauh. Pasal penculik tu, Suha jangan risau. Biar abang je yang uruskan.”

"Jadi, kejadian tadi..."

"Motif yang sama. Orang tu hantar penculik lain lepas tu suruh culik Suha. Nasib baik, abang minta beberapa anggota polis datang ke sini. Polis-polis tu dah ada masa penculik-penculik tu ada dekat dalam bilik ni. Mereka saja nak dengar perbualan dua penculik tu."

"Jadi, awak dah tahu siapa dalangnya?" Soal Hana yang ingin tahu.

"Buat masa ni tak tahu. Penculik-penculik tu enggan bekerjasama dengan pihak polis." Kata Aniq.

Hana diam seketika. Fikirannya memikirkan satu hal. Siapa lagi kalau bukan perempuan tidak cukup kain itu. Takkan dia yang upah penculik tu? Hana masih ingat lagi ugutan perempuan itu kepadanya.

“Suha, you okay?” Tanya Aniq bila Hana tidak bersuara.

Bagi tahu saja Hana! Bisik hatinya. Hana memandang Aniq lama. Mencari kekuatan untuk memberitahu lelaki itu.

“Rafisqy, kalau saya bagitahu awak… awak jangan marah, ya. Lagipun, benda ni awak juga yang nak tahu tapi saya tak sampai hati nak bagi tahu. Saya tak nak orang risaukan tentang saya.”

Aniq mengerutkan dahi. “What it is?” Suaranya bertukar serius. Hana telan liur bila Aniq bertukar nada.

Tell me, now. Suha dah buat abang risau tau. Sekarang bagi tahu abang apa yang Suha rahsiakan daripada abang.” Aniq berpeluk tubuh. Tajam matanya memandang Hana.

“Pasal…”

“Pasal apa?!”

“Edine!” Laju Hana menjawab bila suara Aniq menyergahnya.

“Edine?! Cepat, bagi tahu abang apa yang dia cakap dengan Suha tempoh hari.” Gesa Aniq. Kejadian di Tesco itu mana boleh dia lupakan. Hana garu kepalanya yang bertutup.

“Dia ugut saya. Kalau saya tak putuskan pertunangan dengan awak, tak pergi jauh dari awak dia akan buat saya rasa menyesal. Dia juga cakap yang dia akan apa-apakan Arissa dengan Yana sekiranya saya tetap berdegil.” Akhirnya terluah juga apa yang cuba dia ingin sampaikan kepada tunangnya ini. Bulat mata Aniq mendengar bicara Hana.

Aniq berdiri dan mundar-mandir di depan Hana.

“Suha, benda macam ni Suha mana boleh rahsiakan. Suha sepatutnya beritahu abang. Abang lebih kenal Edine tu macam mana orangnya.” Geram sungguh Aniq dengan sikap Hana itu. Benda begitu sepatutnya tunangnya beritahu kepadanya. Lagipun, ini soal keselamatan.

“Saya cuma tak nak awak dengan yang lain risau. Selagi saya boleh lawan saya lawanlah.” Perlahan saja suaranya namun dapat ditangkap oleh Aniq.

Aniq menghela nafas dan memandang serius pada gadis itu. Dia mahu marah tapi tidak sampai hati pula. 

“Suha, kahwin dengan abang, ya? Abang boleh jaga Suha dan lindungi Suha. Lepas apa yang terjadi tadi dan juga pasal Edine tu, mana mungkin abang akan duduk diam. Abang tak akan biarkan hal ini macam tu saja. Suha dah jadi sebahagian daripada hidup abang. Abang tak nak apa-apa berlaku dekat Suha lagi.”

Hana bungkam. Dia berpaling membelakangi Aniq. Lama mereka mendiamkan diri. Aniq kaku di tempatnya dan begitu juga dengan Hana.

“Baiklah…” Jawab Hana perlahan setelah lama berfikir. Aniq tersenyum. Akhirnya jawapan yang dinantikan daripada tunangnya itu sudah berjawab.

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh