Bab 41

HANA tidak senang duduk. Posisinya asyik berubah. Sekejap berdiri, duduk, dan kini posisinya baring di atas sofa pula. Puan Hanis dan yang lain tiada di rumah. Katanya ke rumah Datin Ruhaina. Entah apa lagi yang mereka buat di rumah agam itu.

Hana mahu mengajak Mitsuha keluar berjalan hari ini sementara temannya masih di sini. Tapi, alasan Mitsuha pula dia mahu keluar berjalan dengan Encik Muaz, pembantu tunangnya itu. Hana jadi pelik. Bila masa teman aku ini suka keluar dengan Muaz? Cepat pula dia mesra dengan lelaki itu.

Hana mengubah posisi lagi dan kemudian menghela nafas. Kusut memikirkan bukunya yang masih ada dengan Aniq. Satu hal lagi dia kena bagi jawapan untuk soalan lelaki itu. Hana meramas kasar rambutnya yang panjang tidak berikat. Mesej yang di hantar oleh lelaki itu langsung tidak dibalasnya.

Hana memandang Arissa. Hanya mereka berdua sahaja berada di rumah itu sekarang. Matanya sekejap ke sana dan ke sini melihat anak buahnya yang sedang sibuk mengemas buku-buku sekolah. Hari ini adalah hari terakhir cuti sekolah dan esok Arissa akan ke sekolah semula. Hana perasan anak buahnya itu asyik mengeluh sahaja dari tadi.

“Arissa mengeluh ni, kenapa?” Tanya Hana. Dia membetulkan posisinya. Hana duduk menegak menghadap anak buahnya yang sedang memegang beberapa buah buku latihan.

Aunty, Arissa malaslah nak pergi sekolah esok.” Arissa merungut. Buku-buku sekolahnya dicampak begitu sahaja di dalam beg sekolah.

“Arissa mana boleh malas. Kalau malas ke sekolah macam mana Arissa nak dapat ilmu?”

“Arissa tahu. Tapi, lecehlah nak kemas itu ini.” Dia membuat mulut itik. Laju Hana mencubit pipi gebu Arissa itu.

“Arissa ni manjalah. Cubalah rajin sikit.” Geram Hana dengan perangai manja anak buahnya ini. Kemudian dia mendapat satu idea. Dia rasa dengan cara itu saja yang boleh menaikkan semangat Arissa.

“Kalau Arissa tak kemas semua barang-barang sekolah Arissa tu elok-elok, aunty tak nak bawa Arissa jalan kejap lagi. Arissa kan nak bawa bento esok. Kalau Arissa tak nak pun tak apa. Aunty bolehlah rehat, kan?” Saja Hana mengenakannya.

“Eee… mana boleh! Bento tu wajib. Aunty dah janji, kan! Kalau aunty dekat sini, aunty mesti buatkan makanan kesukaan Arissa dan juga kawan-kawan Arissa. Hesy, aunty ni tak aci betullah.” Arissa berpeluk tubuh. Merajuk dengan kata-kata Hana.

“Okey. Kalau nak, cepat kemas. Lepas tu, siap-siap. Kita keluar cari bahan-bahan untuk buat bento.” Arissa terus bersemangat sebaik sahaja mendengar perkataan bento. Dia laju mengemaskan barang-barang sekolahnya.

Sedang Hana ralit memerhatikan Arissa, dia terfikirkan Yana. Budak itu juga sukakan bento yang dia buat. Pantas dia mendail nombor Rafidah dan panggilannya berjaya dijawab.

“Assalamualaikum, kak Fidah.” Hana memberi salam.

Waalaikumussalam. Eh, Hana telefon ni ada apa? Cari umi, ayah Hana? Dia orang tak angkat panggilan Hana ke?” Terkejut Rafidah bila bakal adik iparnya itu menghubunginya. Keluarga Hana yang lain masih ada di rumah mama mertuanya ini.

“Hana telefon bukan cari dia oranglah.”

“Habis tu Aniq? Aniq tak angkat telefon?”

“Eh, taklah. Hana mana ada telefon dia. Hana memang nak telefon akaklah.” Hana tersengih. Kedengaran suara tawa di hujung talian.

“Aik? Kenapa Hana tiba-tiba nak bercakap dengan akak pula?” Pelik Rafidah. Hana ketawa kecil.

“Hana telefon ni sebab nak minta kebenaran akak.” Hana ke topik utama.

“Nak minta kebenaran? Kebenaran apa pula ni?”

“Boleh tak Hana bawa Yana jalan-jalan hari ini? Hana bawa Arissa jalan. So, ajak sekali Yana. Itupun, kalau akak bagilah.” Hana tersengih.

“Apa pula tak boleh. Bila Hana nak ambil Yana? Jalan sekali dengan Aniq?” Tanya Rafidah lagi.

“Tak. Tak. Hana bawa Yana seorang je.” Laju Hana menjawab. Dia tidak mahu lelaki itu ikut sekali. Nanti, habis dia dikerjakan dengan soalan-soalan yang tidak mungkin dia akan dapat jawab.

“Okey. Nanti, akak suruh Yana siap. Hana ambil dekat sini?” Rafidah meminta kepastian. Hana tersentak. Dia ingin menjawab tapi mulutnya berat untuk memberitahunya. Hana baru sedar keretanya tidak ada di sini. Kereta kakaknya juga tidak ada. Hana mengeluh panjang.

“Hana,” panggil Rafidah di hujung talian.

“Hana okey tak?” Tanya Rafidah bila tiada balasan dari gadis itu.

“Akak,” Hana menghela nafas. Terpaksa juga dia minta tolong daripada tunangnya itu.

“Aniq kerja tak hari ni?” Hana bertanya.

“Tak. Dia cuti. Dia minta abang Harith yang tolong gantikan dia untuk beberapa hari ini.”

“Kenapa pula?” Berkerut dahi Hana.

“Entah. Rasanya dia nak rehat kut. Tapi, kalau Hana nak jawapan boleh saja sebab Aniq ada sebelah akak ni saja. Nak cakap dengan dia tak?”

Bulat mata Hana. Serta merta darah menyerbu naik ke mukanya. Mesti lelaki itu sudah mendengar perbualannya dengan bakal kakak iparnya ini.

“Tak payahlah, kak." Hana menolak dengan sengihan.

"Akak, nanti siapkan Yana, ya. Hana nak bersiap dulu.” Beritahu Hana lalu menamatkan perbualan mereka dengan kata salam masing-masing.

Hana menyentuh dadanya. Laju benar jantungnya ini berdegup. Kenapalah si Aniq ada dekat situ? Malu aku, marahnya dalam hati. Dia memandang Arissa. Barang-barang sekolah semuanya sudah dikemaskan. Hana tersenyum senang.

“Arissa nak mandi, nak bersiap. Aunty pun kenalah pergi bersiap juga.” Kata Arissa sebelum menghilangkan diri naik ke atas. Hana sekadar mengangguk. Telefon dipandang semula. Berfikir sama ada mahu atau tidak mengajak lelaki itu.

“Ah, telefon sajalah. Pedulilah kalau dia nak mengata aku.” Tanpa membuang masa, Hana terus menghubungi Aniq dan panggilannya berjaya dijawab.

“Assalamualaikum, Rafisqy.” Hana memberi salam. Aniq menjawabnya.

“Awak dekat rumah ke?” Hana cepat menutup mulutnya. Dia tersalah soalan.

“Err...”

“Bukan tadi kak Rafidah dah bagi tahu? Nak apa?” Nadanya sedikit tegang.

“Err... Awak tak ke mana-mana hari ini?” Soalan berbalas dengan soalan. Dia marah ke?

“Tak.”

“Awak nak keluar tak?” Tanya Hana lagi.

“Nak.” Jawab Aniq sepatah.

Hana mengeluh. Selalunya Aniq tak macam ni. Kenapa berat mulut pula lelaki ni nak bercakap dengan aku?

“Saya bawa Arissa jalan beli bahan-bahan untuk bekalan sekolah. Saya ajak Yana juga. Saya dah minta kebenaran dengan kak Rafidah. Saya nak ajak awak sekali. Itu pun, kalau awak sudi keluar dengan sayalah.” Jujur Hana memberitahu aktivitinya hari ini pada tunangnya. Hana menunggu jawapan.

Senyap. Hana geram. Sudahlah soalannya dijawab dengan jawapan yang pendek.

“Awak sudi tak ni? Kalau tak sudi tak apalah.” Kata Hana dengan geram.

“Siap cepat. Sekejap lagi abang ambil Suha dengan Arissa.” Serius dia menjawab lalu mematikan talian. Hana tercengang lalu mendengus.

 

TIDAK sampai setengah jam, kereta Aniq sudah ada di depan rumah Lina. Arissa laju berlari ke arah kereta tersebut. Sementara Hana pula mengunci pintu rumah dan juga pagar rumah. Selesai meneliti kawasan sekeliling rumah kakaknya itu, Hana langsung ke tempat Aniq. Dia masuk ke dalam perut kereta dan Aniq terus memandu keluar daripada kawasan tersebut.

“Nak beli barang dekat mana?” Aniq bersuara setelah lama berdiam. Yana dan Arissa pula sibuk dengan hal mereka masing-masing.

“Mana-mana sajalah yang awak nak bawa kami.” Balas Hana tanpa memandang Aniq yang sedang memandu. Dia lagi sedang memikirkan bagaimana hendak mengambil semula bukunya yang ada pada lelaki ini. Dia mencari dengan ekor matanya. Mana tahu, Aniq membawa buku itu bersamanya dan meletakkan di satu tempat dalam kereta ini.

“Tesco? Giant? Mydin? Apa lagi…” Aniq memberi pilihan. Dia langsung tidak perasan dengan kelakuan Hana yang sedang mencari sesuatu di dalam keretanya.

“Tesco.” Selamba Hana menjawab dan matanya masih fokus dengan pencarian buku tersebut. Agaknya mana si Aniq ni letak buku aku?

Aunty Aivy nak beli barang apa dekat Tesco?” Yana mencelah.

Aunty nak cari bahan buat bento kitalah, Yana. Esok kan dah mula sekolah.” Yana jadi teruja bila Arissa memberitahunya. Tersembul kepala Yana ke hadapan. Terkejut Hana.

Aunty betul nak buat bento?” Bola matanya besar. Teruja dengan apa yang baru sahaja didengarinya.

“Yup. Sebab tu aunty ajak Yana sekali. Boleh tolong aunty pilih bahan-bahan nak masak nanti.”

“Yana, kalau awak nak tahu, aunty Aivy ada janji dengan saya, tau.”

“Janji apa?” Tanya Yana pada Arissa dengan wajah peliknya. Arissa tersenyum-senyum.

Aunty Aivy dah janji kalau dia tinggal sini, dia akan buatkan apa saja makanan yang saya suka.” Bangga dia memberitahu Yana. Hana yang mendengar, mencebik.

“Wah, Bestnya! Yana pun naklah juga!”

“Kalau begitu uncle pun nak.” Kata Aniq sambil mengenyitkan sebelah matanya pada Hana.

“Ewah, ewah, ewah… sedap saja korang suruh, kan. Korang ingat Cik Bento korang ni orang gaji korang ke?” Geram Hana dengan mereka bertiga. Mentang-mentang dia pandai memasak. Suka hati dia orang saja nak suruh dia.

Aniq ketawa kecil. Suka dia mendengar Hana menggelarkan dirinya Cik Bento.

“Kalau tak suruh aunty nak suruh siapa lagi? Dah aunty seorang saja yang pandai buat bento.” Balas Arissa.

“Tak apa. Lepas ni, aunty buat kursus bento untuk korang. Lepas tu, korang bolehlah buat sendiri, kan?” Hana tersenyum. Puas dapat mengenakan mereka. 

Aunty!” Serentak Arissa dan Yana menjerit geram. Hana ketawa. Aniq yang menjadi pendengar mereka bertiga juga turut sama ketawa.

 


Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh