Bab 32

MACAM manalah Faiz boleh ada dekat tempat macam tu? Lepas tu cakap pasal kekasih dia pula. Kau tak tahu ke hati aku sakit bila kau cakap pasal kekasih kau tu! Sudahlah geram dengan perangai si Aniq. Tambah sakit hati lagi bila Faiz muncul. Lagi bagus hidup single daripada berpasangan. Aku nak pergi jauh dari semua orang!

“Tapi…” Dia membuang pandang ke arah Tasik Putrajaya. Beberapa jam yang lalu dia sempat menunaikan solat maghrib di Masjid Putra dan berjalan mengambil angin sekejap di sekitar kawasan tersebut.

“Aku mana sampai hati nak tinggalkan dia orang. Terutamanya Arissa…” Hana akhirnya melepaskan keluhan beratnya. Tiba-tiba perutnya berbunyi.

“Dahlah satu hari tak makan nasi…” Hana baru hendak bangun dari tempat duduknya dan dia duduk semula apabila terdengar tazkirah seorang lelaki kepada beberapa golongan remaja lelaki yang tidak jauh berdiri dari tempat dia duduk.

“Kenapa pula abang cakap couple tu haram?” Tanya salah seorang daripada remaja tersebut. Lelaki itu senyum.

“Dalam islam ni kita terikat dengan hukum. Couple itu tidak haram sekiranya kita sudah bernikah. Maksudnya bercouple selepas berkahwin. Segalanya menjadi halal bagi kamu dan juga isteri kamu, bahkan kamu akan mendapat pahala lagi.”

“Habis, abang kata tadi…”

Couple tu haram sekiranya pasangan itu belum bernikah. Faham?” Lelaki itu laju memintas kata remaja tersebut.

Mereka mengerutkan dahi. Lelaki itu senyum lagi.

“Takkan tak faham lagi? Contohnya remaja sekarang ni. Suka sangat berkasih-kasihan padahal mereka belum mempunyai status yang sah lagi. Yang menjadikannya haram lagi bila mereka membuat zina. Kamu semua tahu kan Allah tidak suka akan perbuatan terkutuk itu.”

Semua diam cuba mencerna apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Hana yang turut sama mendengarnya juga tergamam. Teringat dia dengan kata-kata Aniq. Mempercepatkan perkahwinan itu adalah lebih baik daripada melambat-lambatkannya.

 “Allah s.w.t. memerintahkan dalam surah Al-Israk, ayat 32: Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” Lelaki itu menyatakan salah satu ayat yang terkandung dalam Al-Quran.

“Ala… abang, kalau tak boleh bercouple, macam mana kami nak kenal hati budi orang tu? Tak bahagialah kami nanti, kan?” Rungut salah seorang lagi remaja. Lagi sekali lelaki itu mengukirkan senyuman.

“Kenal hati budi orang itu tidak semestinya bercouple. Sebagai kawan juga sudah cukup untuk mengenal hati budi dia. Cumanya...” Lelaki itu memandang semula remaja yang mengajukan soalan kepadanya sebentar tadi.

“Kita perlu tahu batasan kita sebagai lelaki dengan perempuan. Dalam Al-Quran, Allah menyuruh lelaki dan perempuan yang muslim agar menundukkan pandangannya. Sebabnya, untuk menjaga kesucian hati kedua-dua pihak. Islam membenarkan lelaki dan perempuan berjumpa sekiranya mempunyai urusan tertentu seperti belajar, bekerja, berjual-beli dan bermesyuarat. Tapi, islam melarang lelaki dan perempuan bergaul bebas dan berjumpa jika tidak ada urusan penting.”

“Cuba kamu ingat dan perhatikan orang-orang yang bercouple. Adakah mereka bercouple dengan niat hendak mengenal hati budi semata-mata sahaja?” Lelaki itu menduga setiap remaja yang ada di depan matanya.

“Tak, abang. Niat mereka menyimpang jauh. Mula-mula memang niat hendak kenal hati budi orang tu. Tapi, bila dah kenal lebih mereka akan sering berjumpa, berbual mesra dan keluar bersama-sama.” Jawab salah seorang remaja yang memakai cermin mata.

“Akibatnya?” Tanya lelaki itu pada remaja tadi.

“Terjerumus dalam perzinaan...” Jawapan remaja itu membuatkan lelaki itu teranggguk-angguk sambil tersenyum.

“Kalau begitu jelas sekali bercouple sebelum kahwin itu haram, kan? Bukan mudah sebenarnya untuk seseorang itu menahan diri bila mereka bercouple. Kadang-kadang orang yang beriman juga tersasar daripada landasannya bila mereka bercouple. Dan ingat, bila mereka bercouple, bukan hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ tapi syaitan, si penghasut manusia juga ada bersama dengan mereka.”

Masing-masing menganggukkan kepala.

“Abang nak tanya lagi ni. Apa yang kamu faham tentang cinta?” Tanyanya. Semua memandang antara satu sama lain kemudian menjungkit bahu. Hana yang turut sama mendengar dari jauh mengerutkan dahinya. Sedikit sebanyak kata-kata lelaki itu tadi membuatkan dia tersedar tentang sesuatu.

“Cinta itu meluas maksudnya.Tapi, berhati-hati juga dengan namanya cinta ini kerana cinta akan buatkan diri kita binasa. Sebaik-baik cinta adalah mencintai Allah lebih daripada segalanya. Mencintai pasangan kita itu adalah kerana-Nya dan bukan kerana nafsu mahupun kecantikan luarannya,”

“Bila kita dah suka dengan seseorang, buat apa kita nak bercouple dengan dia. Sedangkan Nabi S.A.W bersabda: Tidak ada yang lagi patut bagi dua orang yang saling mencintai selain dari berkahwin! (HR Ibn Majah).” 

Korang semua jangan takut untuk memilih pasangan. Sentiasa berdoa dan perbaiki diri sendiri untuk jadi lebih baik daripada sebelum ini. Bila niat kita bersandarkan kepadaAllah, Insyaa-Allah, Allah akan bantu kita.”

Hana tersentak bila mendengar kata-kata lelaki itu. Hujah-hujah lelaki itu cukup menikam lubuk hatinya. Bila dia fikir semula, kata-kata Aniq itu ada betulnya. Niat Aniq untuk berkahwin dengannya adalah untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak baik.

Hana tidak sanggup untuk mendengar lebih lanjut lagi tazkirah tersebut. Dia mengangkat punggung lalu beredar daripada tempat tersebut.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh