Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 61

Menghitung saat menanti kelahiran, mama semakin kerap bermalam di rumah ibu. Ibu ternyata tambah seronok dan sering mengajak mama mengikuti semua aktiviti yang dihadiri. Jadilah kedua wanita bersara itu - sahabat karib.

“mama rasa nak balik ke rumah sana kejap dik,” tutur mama di satu hari, tatkala sedang minum petang berempat.

Seingat Min, sudah 3 hari mama bermalam dirumah mereka. Selama ini mama drive sendiri, tetapi kala ini keretanya tersadai di pusat servis.

Danny angguk saja, memandang Min sekilas sambil mengenyit mata.

Min rasa nak ikut, tapi Danny mula mengerut dahi mendengar permintaan itu. Mama dan ibu masing-masing berpandangan.

“larat ke?” soal Danny sambil memegang perut wanita hamil yang sentiasa mengunyah ini.

Min angguk laju. "Doktor kan kata kena banyak berjalan?" 

“naik turun tangga tu kan dah cukup?” Danny cuba menongkah. Danny kata Min perlu berehat sahaja kerana ia sudahpun 38 minggu.

Mama mengerut dahi. Ibu membuat memek muka yang lucu. Min mula rasa nak marah.

"Okay lah!" Min mengangkat mug airnya. Menghirup lalu terus berdiri dengan kepayahan, mengusap perut lalu berjalan ke arah dapur. 

Min tahu mama telah menjengilkan mata. Danny mesti garu dahi yang tidak gatal. Min tidak mahu peduli.

Min terus membuka peti ais, mencari bahan untuk digigit, dikunyah dan dimamah. Rasa geram mula membuku. 

Salah ke suka nak ikut kemana suaminya pergi? Hantar mama balik je kan? Apa, dah tak mau bawa dia sebab lambat? Leceh? Malu bini dah boyot macam ni? Min mendongkol terus. Hanya di dalam hati.

Tatkala itu juga dirasa lengannya disentuh. Min toleh laju. Danny sudah memegang beg tangannya disebelah kiri, dan menggamitnya dengan tangan kanan.

Boleh pulak? Min mendongkol di dalam hati. Dicebik bibirnya tanda protes.

“I just want to make sure you larat. Bukan I tak mau you ikut,” Danny bersuara perlahan, sambil memberikan senyuman memujuk yang paling hebat. Akhirnya mereka sudah di dalam perut kereta 15 minit kemudian.

Wanita hamil memang akan berubah mood. Sekelip mata. Isu kecil pun boleh jadi besar.

Min menyedari emosinya yang sangat mengelirukan. Danny kata NO tegas sikit pun dia boleh menangis teresak. Kasut favorite koyak pun dia menangis. Cerita P Ramlee yang dah beratus kali tengok dia boleh gelak mengilai macam perempuan gila. Macam kelakar sangat. Ibu lupa tutup air pun dia marah. Dari sekecil perkara hingga isu serius, emosi Min berombakan macam ribut taufan. Sukar dijangka.

Min cuba membayangkan kalau dia bukan dengan Danny, adakah dia akan meruntun hati melayan kerenah diri sendiri? Mungkinkah dia akan depress, macam Faizah? Sedangkan di sini, semua orang kelihatan sangat sabar berdepan dengan dirinya.

Min harap kesabaran itu berkekalan.

 

 

 

 

Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu