Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 7

Tiga puluh hari berlalu, Min sudah hampir lupa akan kisahnya dengan Danny. Ibu juga sudah berhenti mengutarakan apa-apa.

 

Min hampir yakin, bahawasanya Danny akhirnya sedar yang dia bukan lah semudah yang disangka. Bukan terdesak. Min tidak kisah pun kalau dia akan membujang sehingga tua, daripada menjadi ahli keluarga itu sekali lagi.

 

Namun, pagi itu entah macamana terlihat bekas biru diatas meja sisinya. Digenggam bekas itu dan segera dibawa turun. Terkelihatan ibunya sibuk nun di dapur, dengan perlahan Min meletakkan bekas itu di atas meja konsol diruangan makan. Bersalaman dengan ibunya dan laju berjalan keluar. Min pasti ibu tidak akan perasan.

 

Biarkan ia bersawang di sudut sana.

 

Sepanjang di pejabat, Min cuba untuk tidak memikirkan reaksi ibu. Min rindukan kehidupannya yang tenang, ceria dan relaks.  Dia berharap semua kekalutan ini berhenti segera, walau ada sedikit bicara di sudut hatinya berfikir yang tidak-tidak. Entah mengapa dia bagai dapat merasakan kekecewaan ibu.

 

Min rasa sebu. Perut rasa tak sedap, badan rasa lesu. Mungkin inilah akibatnya cuba membantah kata orang tua, tapi…. bantahan ini hanya untuk menyatakan yang ibu tidak tahu duduk perkara sebenar. Ibu terlalu percaya bohongan lelaki itu. Ibu akan terpedaya! Min akan terseksa!

 

Malam itu, seperti diduga, ibu berbicara lagi. Min yang pada awalnya ambil keputusan untuk hanya mendiamkan diri tanda protes, mula rasa sayu.

 

“Min sayang, ibu tidak meminta lebih. Ibu mahu Min beri peluang kepada Danny. Ibu yakin dengan dia. Kalau sewaktu dengan Izha dulu ibu tidak bersuara, maka kali ini benarkan ibu membuat pilihan untukmu nak.”

 

Entah kenapa, kata-kata ibu sangat terkesan dihatinya. Adakah ibu nak katakan yang Izha tu memang bukan calon yang sesuai? Kenalpun di salah sebuah majlis makan malam amal yang dia hadir secara tak sengaja. Tapi…bagaimana pula ibu tau yang Danny ini sesuai? Atas dasar apa?

 

Aduhaiii.

 

“Min cuma rasa Danny ini tak berbeza dengan Izha bu…,”cuba dia menongkah.

 

Ibu sentiasa tenang mendengar bait-bait katanya…menarik nafas perlahan, dan kembali menutur lembut. Nada ibu itu,  memungkinkan untuknya agar terus menurut dan menerima sahaja.

 

Ibu ibu ibu ibu ibu…

 

Mindanya tidak berhenti dihujani persoalan. Ribuan soalan. Dia tidak yakin dengan semua ini. Macamana nak teruskan kalau keyakinan itu kosong?

 

Lagipun, apakah sebenarnya yang Danny mahu untuk beristerikan seorang wanita sepertinya? Apa? Apa? Selain dari persoalan tentang maruah keluarganya…

 

Bukankah Danny memang tidak suka Min dari dulu lagi? Mereka tidak langsung pernah berbual. Tidak pernah berkongsi cerita. Mereka adalah orang yang sangat pelik untuk bersama dan tidak sesuai langsung antara satu sama lain. Apakah keindahan perkahwinan sekiranya seorang kekiri dan kekanan? Apa eloknya jika diluar kerelaan dan penuh paksaan? Ini akan jadi perkahwinan yang bakal meremuk jiwa raganya sekali lagi kan?

 

Menguatkan lagi yang ini semua hanya perangkap.

 

Ibu, Min tidak akan bahagia ibu. Kenapa Min kena hadapi semua ini?

 

Umur yang terlalu jauh berbeza. Tidak ideal langsung!

 

Bukankah ini kelihatan nyata hanyalah percubaan untuk membalas dendam akibat kemusnahan rumahtangga abangnya? Hati Min terus-menerus dengan hal yang itu. Dia yakin ia sentiasa berkaitan. Lagi, tidakkah dia malu beristerikan seorang wanita tua? Tidakkah?

 

Gila!

 

Dan lagi, berada di dalam keluarga itu semula? Ibu tidak fikir kah yang Min akan didera lagi jiwa dan raga, batin dan zahir? Sampaikah hati ibu?

 

Min cuba utarakan perkara itu kepada ibu. Tapi ibu balas dengan tertawa kecil seolah-olah apa yang dia fikir tidak rasional langsung. Ibu mahu Min beri peluang. Ibu menolak semua andaiannya dengan patah-patah kata yang sangat syahdu.

 

Min kelu.

 

Resah dia menunggu siang. Dia sudah pun dalam paksa menyanggupi kehendak ibu. Waktu itu juga dia menghantar text kepada Danny. Paksaan dalam pengorbanan. Ini lah dia.

 

- I terima. Now everybody can be happy- Send. 

 

Min segera menutup handphone nya. Dia tidak mahu Danny membalas apa-apa. Cukuplah satu perkara pada satu masa. Malas nak difikirkan apa yang bakal terjadi, biarlah!

 

Ibu memeluknya pagi itu dengan kuntuman senyum. Cincin cantik bermata satu telah tersarung dijarinya malam tadi. Min cuma boleh membalas dengan senyuman tawar. Untuk menidakkan memang tidak lagi berdaya. Segalanya untuk ibu, walau tiada kepastian sejauh mana hubungan ini boleh berjaya.

 

Jiwanya masih memberontak dan hati masih berkecamuk. Remuk!

 

Longlai dia melangkah ke tempat kerja. Segera dibuka cincin dijari dan disumbat ke dalam beg. Dia umpama kan dirinya bagai hamba dirantai kaki dan tangan. Diarah bergerak dan berkerja menurut arahan.

 

Tatkala tiba di pejabat kelihatan satu jambangan bunga sangat besar telah sedia ada dimeja kerja. Kecoh seketika. Masing-masing mengusik dan Min hanya mampu menggertap bibir.

 

-Thank you so much – H

 

Kad tertulis. H untuk Hadani kah? Kenapa bukan D?

 

Persoalan bodoh sentiasa menjelma. Memang semua perkara dirasa tidak kena. Hatinya menggelegak dan rasa nak marah sepanjang masa. Meluap-luap bagai lahar gunung berapi. Tunggu meletus.

 

Tiada keperluan untuk Danny melakukan ini. Hatinya tidak beremosi. Segunung emas pun tidak berharga padanya sekarang.

 

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu