Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 45

Demamnya kebah dua hari selepas itu.

Langkah harian bermula seperti biasa. Masih awal, sangat santai dan tak terkocoh-kocoh. Seperti biasa juga, Danny akan hantar Min ke lobby utama, kerana ia lebih dekat dengan pintu lif. Sempat Min menyapa beberapa orang yang awal, sambil melangkah tenang.

MIN!

Terdengar satu suara yang seakan dia biasa dengar. Min terpaku. Terkemudian, Min dapat rasakan dadanya yang tenang mula berombak kuat. Kaget mendengar suara itu. Dia tidak cuba menoleh malahan langkahnya dipercepatkan ke pintu lif.

MIIIN!

Sekali lagi kedengaran namanya dipanggil. Kali ini lebih kuat, lebih dekat. Tatkala itu juga dia rasa sentapan di lengan kiri serentak dengan kilasan keras ke belakang. Badannya terpusing sebelum sempat dia bersedia. Dia sudah jangka….

IZHA!

Beberapa orang berdekatan mula menoleh-noleh dan berpandangan sesama mereka.

Masih dengan uniform nya, pastinya Izha baru habis kerja shift malam. Selekeh. Lelaki itu cuba merapatkan badannya dan memeluk kasar. Min sekuat tenaga cuba menolak dan sekaligus merenung lelaki yang macam orang separuh siuman sambil menggertap bibir. Dipukul lelaki itu dimuka. Laju Izha menjauh, saat itu Min cuba bergerak untuk lari. Namun pantas lengannya dicengkam kuat. 8 tahun melakukan penderaan itu hampir setiap hari, Izha memang jadi tangkas dan cekap. Dia tahu sudut dan bagaimana untuk menjatuhkan Min.

Min mendengus, menolak lagi dengan kuat, cuba melepaskan diri. Nafasnya turun naik menahan marah. Kalau dulu dia rasa berdosa menolak dan membalas perlakuan kasar Izha, sekarang dia boleh tendang Izha sekuat-kuatnya. Min cuba menghayun kaki, tapi Izha terus kilas tangan Min kebelakang dan pantas menarik Min rapat kepadanya. Berbisik-bisik cuba mengucapkan sesuatu tetapi Min terus mengelak. Mengelak untuk mendengar dan mengelak untuk dirapati. Min seakan terbiasa untuk tidak menjerit atau menangis. Dia menahan kesakitan dan bertolak tarik.

Mujur dia menyarung seluar panjang, kalau tidak entah apa rupanya saat itu.

Beberapa rakan sekerja mula hampir, cuba meleraikan, tetapi di tengking Izha. Namun, tonasi suara Izha berubah tatkala berbicaradengan Min. Penuh rayuan , berbisik lembut.

Lelaki itu turut berlaku gila cuba untuk mencumbui Min dikhalayak ramai. Persis orang hilang akal dengan cengkamannya yang sedikit pun tidak dilonggarkan.

Min tidak berhenti meronta, menolak dan mengelak. Dia mula rasa nak menangis kerana diasak kuat dan dilakukan sebegitu rupa. Beberapa orang lain cuba rapat dan turut sama meleraikan. Sementara beberapa orang lain turut ke kawalan sekuriti untuk meminta bantuan.

Pertelingkahan mulut berlaku. Izha tetap memaki hamun orang sekeliling tanpa sedikitpun melonggarkan cengkaman tangannya ke lengan Min. Seakan tebusan.

Semua orang yang cuba membantu di tendang dan ditumbuk oleh Izha. Min terpaksa menahan dirinya yang terhoyong-hayang dikerja kan bekas suami yang semakin gila. Tiba-tiba muncul pergerakan kuat dari sisi. Izha tersembab ke lantai selepas satu tumbukan keras tepat menyinggah mukanya. Cengkaman terlepas.

Danny muncul entah dari mana. Sempat Danny tarik Min dari tersembam sama. Orang mula berkerumun menyaksikan kejadian itu. Muka Danny kelihatan merah padam menahan marah yang teramat sangat. Izha memandang bengis ke arah mereka berdua, lebih-lebih lagi kepada Danny. Suara Izha meninggi, makian dan cercaan bertalu-talu muntah dari mulut lelaki itu. Beberapa orang lelaki di sekitar cuba memegang Izha dan menghalangnya dari terus menyerang dan meluru kearah Min.

Izha akhirnya ‘ditawan’ dan dalam keberangan itu dihumban ke lantai, diikat tangannya sementara menunggu kedatangan pihak polis.

“aku nak hak aku! Pulangkan isteri aku!! Kau khianati aku- abang kau sendiri kerana perempuan ni?? Dia kakak ipar kau sial!!!” Butir-butir kata dari Izha membuatkan sekalian yang ada berbisik-bisik sesama sendiri.

Danny berdiri tegak memandang Izha yang masih separuh terbaring di atas lantai.

Semakin ramai orang menghampiri kawasan itu, dan sepantas itu juga Danny menarik tangan Min dan berlalu pergi. Beberapa orang pegawai keselamatan segera menghampiri mereka berdua untuk pengesahan lanjut. Min terpaksa membenarkan Izha diangkut ke balai. Danny turut tidak mahu ‘beri muka’ lagi.

Sepanjang waktu itu Izha tidak berhenti menjerit dan menjerkah.  Setiap yang rapat dan memandang memang ditengking dan dihamun.

Danny yang kembali tenang, kini sudah tidak peduli jerkahan si abang. Sebaik sahaja selesai dengan pegawai-pegawai keselamatan itu, Danny segera menarik Min berlalu. Jemari Min digenggam erat, perlahan mereka berjalan meninggalkan kawasan lobby yang masih dipenuhi orang ramai. Kelihatan kereta Danny yang sempat di letakkan di bahu jalan tadi.

Mujur Danny sempat berpatah balik. Entah macamana agaknya hingga suaminya itu tergerak untuk berpusing dan kembali ke lobby tersebut. Mungkin gerak hati. Di dalam kereta pun, jemari Min tidak lepas digenggamnya.

Masih tiada kata sepatah pun.  Ada kerisauan di riak wajah Danny dan ia sangat kelihatan. Kecewa sebenarnya...

Manakala airmata Min….sudah terhapus sebaik sahaja jemari digenggam sang suami.

Hari itu, sekali lagi mereka berdua ambil emergency leave.

Min akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja. Majikan pada awalnya tidak mahu melepaskan, tetapi setelah berbincang, lebih-lebih lagi dengan kejadian terbaru, notis Min diterima. Untuk menamatkan tempoh notis, majikannya turut membenarkan Min bekerja dari rumah sahaja. Tiada gunanya untuk dia melangkah ke pejabat dan menyerah diri menunggu serangan Izha setiap hari.

Apa terjadi dengan Izha? Min tidak ambil pusing, Min minta Danny batalkan saja semua pertuduhan, kerana … mama akan terbabit sama. Mama yang akan menerima susahnya. Danny tidak pernah membincangkan hal tersebut. Min turut sama.

Maka bermulalah kehidupannya sebagai isteri sepenuh masa. Mencuci, membasuh, memasak, menghias diri, menonton, mencuci, membasuh, memasak....sesuatu yang tidak pernah berada di kotak fikiran Min selama ini. Bunga-bunga cinta terus mekar menyinari kehidupan Min kala itu.

Hati-hati yang ceria.

 

 

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu