Home Novelet Keluarga Menggilap Gerhana
Bab 62

Sesaat dia mengelamun kereta pun tiba di pintu pagar rumah mama. Kelihatan mainan si kembar di bawah porch macam dilanggar todak. Penuh dan berselerak. Rumah teres dua tingkat yang besar itu dah macam tadika yang menempatkan 50 orang anak-anak kecil.

Tatkala mama melangkah keluar dari perut kereta, kelihatan bibik berlari-lari anak mengemas semua yang melambak. Danny turut turun dan bersama mengutip mainan-mainan itu. Min menurut sama, tapi memandang cuma. Kelihatan rumah mama semakin dasyat tidak terurus.

Si kembar tidur keduanya. Faizah terlelap di hadapan tv, bersama lambakan kain yang hendak dilipat. Izha masih ditempat kerja. Mungkin malam karang baru muncul kerana sekarang baru pukul 4.30pm. Tatkala mereka masuk ke dalam rumah, Faizah terbangun. Pantas dia merapikan dirinya dan mengumpul segala kain untuk dipodot ke dalam bakul besar. Mungkin mahu disambung lipat kemudian, atau dibiarkan sahaja. Selalunya di bawah tangga, tetap di dalam bakul besar itu.

Bibik keluar menatang sedulang minuman. Kelihatan mama berbual dengan Faizah di hujung dapur.

Danny masih sibuk tertinjau-tinjau sikecil yang masing-masing di dalam buaian. Seorang kelihatan tidak berbaju dan hanya berlampin, manakala seorang lagi hanya berlampin, tiada berbaju.

Min hanya duduk memerhati. Tidak cuba dekat kerana dia masih ingat Faizah masih tidak menyenangi kehadiran nya pada kala yang lepas.

“berapa minggu? Tunggu hari dah kan?” satu suara muncul dari tepi. Faizah datang dekat membawa semangkuk kerepek pisang.

Min menoleh. Faizah terus menyambung kata, katanya kerepek dari kampung. Perbualan pertama, semenjak peristiwa di pagar suatu masa dahulu.

Min mengunjuk perut Faizah.

“5 bulan. 22 minggu. Tak larat rasanya,” Faizah bersuara separuh mengeluh. Tanpa perlu Min bersuara, Faizah seakan tahu maksud unjukannya.

Min cuba berhati-hati dalam perbualan. Dia turut menganalisa adakah Faizah itu sedang menyindirnya secara halus atau sedang berbual secara ikhlas normal?

“Nasib baik dah tak kerja. Kalau tak lagi pensan,” Faizah menyambung lagi. Berulangkali diunjukkan kerepek pisang itu bila Min masih tidak menyentuh.

“makan lah, nanti dalam pantang semua tak boleh,” Faizah bersuara seraya tersenyum sedikit. Dia turut memandang Danny dan mengunjuk kerepek pisang itu.

Danny melangkah hampir, mengambil kerepek berkenaan dan menyuap ke mulut. Faizah kelihatannya macam nak cakap lagi, tapi terpotong bila bibik datang membawa buah rambutan segar.

“dari kampung jugak tu. Orang sana hantar, nak balik memang entah bila,” Faizah menambah kata.

Min cuba menjamah apa yang terhidang. Dia tidak dapat menafikan yang dirinya sibuk mengadili wanita itu. Berseluar sukan dan t-shirt yang sudah lusuh. Rambut yang kelihatan kusut macam tidak disikat - terus diikat. Muka yang pucat. Kuku yang kekuningan mungkin penangan serbuk kunyit tatkala memasak.

Inikah taste Izha? Kenapa dulu sewaktu dengan Izha, dia dilarang berkeadaan selekeh. Izha selalu compare Min dengan artis, dengan selebriti, dengan anak dara hujung jalan rumah ni. Tak cukup wangi, tak cukup cerah, padahal Izha tak pernah menghulur walau sesen pun untuk dia berhias. 

Min membayangkan budak kilang, yang dikatakan sering bergaya ranggi. Itu yang selalu diulang Izha. Tetapi, …mungkin Faizah lebih hebat memasak dari dirinya. Mungkin lebih hebat melayan Izha. Mungkin lebih menurut kata, lebih memahami. Jadi mungkin tidak hairan sekiranya Izha tidak mementingkan penampilan isterinya kali ini.

Namun, separuh fikiran Min menafikan ayat-ayat tersebut. 

Mereka pulang dengan perut hampir kenyang. Macam-macam dijamu oleh mama dan Faizah. Min rasa sedikit lega bila Faizah sudah mula menerima kehadirannya.

 

Previous: Bab 61
Next: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Linitsu