Home Novel Thriller/Aksi PENYELAMAT UMMAH
PROLOG 1 – PENIPUAN SEJARAH

“Tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekelian. Marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur ‘Alhamdulillah’ ke hadrat Allah yang memberi kesempatan kepada kita untuk terus hidup dan berada dalam ‘taman-taman syurga’ ini,” mukadimah Ustaz Zulhaidi dalam kuliah subuhnya pun bermula.

Para jemaah memenuhi ruang tempat solat, bergerak ke hadapan bagi membolehkan jemaah yang ada di luar masuk ke dalam surau.

“Yang mana ada di luar, harap semua dapat masuk ke dalam surau. Banyak lagi tempat kosong. Yang di dalam diharap dapat memenuhi ruang hadapan untuk sama-sama kita mendengar kuliah,” Ustaz Zulhaidi memberi arahan kerana masih terdapat jemaah yang tidak dapat masuk ke ruangan solat.

“Kita telah mendengar banyak sejarah negara yang telah dipesongkan untuk menyembunyi fakta. Kita semua tahu bahawa penulis-penulis upahan yang diangkat oleh Orientalis Barat memesongkan fakta sebenar,” Ustaz Zulhaidi memulakan bicaranya.

“Bangsa Melayu adalah bangsa yang hebat. Kita pernah mempunyai sebuah kerajaan Khilafah Islam yang berpusat di Ayuthia, yang kini disebut Ayuthya oleh Thailand.”

“Saya sudah melawat Ayuthia pada minggu lepas, masya-Allah! Terdapat sebuah masjid yang cukup besar di sana yang dikatakan berusia kira-kira 800 tahun.”

“Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, jika masjid itu hebat tentulah kerajaan yang menjaganya juga hebat. Masjid itu memakai lambang Bunga Teratai, suatu lambang yang dipakai oleh Nabi Sulaiman di Palestin dan diteruskan pemakaian oleh Nabi Ayub dahulu.”

“Apa maksud Bunga Teratai ini?” tanya Ustaz Zulhaidi.

“Maksudnya berkaitan dengan kekuasaan…,” ujar Ustaz Zulhaidi seterusnya.

“Kerajaan Khilafah Ayuthia dikatakan menguasai jajahan takluk yang cukup luas, merentasi Acheh, Sumatera, hingga ke Burma, kepulauan Borneo, Filipina hingga ke India dan Sri Langka,” ujar ustaz Zulhaidi yang mengejutkan para jemaah yang hadir.

“Yang diPertuan Agong bagi Kerajaan ini digilirkan setiap lima tahun sekali oleh raja-raja dari jajahan takluknya.”

“Fakta sejarah yang telah dipesongkan cukup banyak. Untuk apa?,” tanya Ustaz Zulhaidi lagi.

“Supaya kita lupa pada sejarah sebenar bahawa kita adalah satu bangsa yang cukup gagah. Banyak fakta sejarah dipesongkan untuk menunjukkan kita lemah.”

“Manila, ibu negara Filipina sekarang adalah berasal daripada perkataan ‘Fi Amanillah’ yang bermaksud sejahtera dengan kehendak Allah. Begitu juga nama Patih Gajah Mada yang dikatakan beragama Hindu dari Kerajaan Majapahit adalah nama sebenar bagi Gaj Ahmad, seorang pemerintah Muslim.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.