Home Novel Thriller/Aksi PENYELAMAT UMMAH
BAB: KETUNDUKAN SYAM , SYRIA DAN PALETIN

Langit cerah dengan sinaran matahari yang memancar. Suasana dalam belukar di kaki gunung itu agak nyaman kerana hujan baru sahaja reda. Cahaya matahari menembusi daun-daun dan sebahagiannya terlindung membentuk teduhan di tempat kami berada.

Aku dan Tok Anjang bersembunyi dalam sebuah jerumun yang diperbuat dari rumput dan daun-daun kayu dengan disokong oleh batang-batang kayu yang disangga menjadi tiang. Ia seolah-olah sebuah khemah, bukan sahaja untuk berteduh daripada hujan, bahkan digunakan untuk mengintip haiwan seperti pelanduk, landak dan burung punai tanah.

Tok Anjang membetulkan buluh panjang yang dipasang pada beberapa ruas buluh besar. Buluh yang panjang itu disambungkan pada ruas buluh dengan tempelan sarang kelulut yang dibakar, kelihatan hitam dan melekat kuat pada ruas buluh. Hujung buluh yang panjang akan ditiupkan dan udara yang terperangkap di dalam ruas buluh dilepaskan sedikit demi sedikit melalui lubang kecil yang ditebuk.

Aku telah lama memerhatikan suatu alat yang digunakan oleh Tok Anjang untuk memerangkap burung punai tanah. Burung punai berbulu hijau dengan paruh dan kaki yang kemerah-merahan sungguh cantik. Bentuknya seakan-akan merpati tetapi saiznya lebih kecil.

“Yang ni orang tua-tua panggil menekut,” Tok Anjang memberitahuku setelah melihat aku terkebil-kebil memerhati beliau meniup hujung buluh yang panjang itu.

“Bunyi macam burung, “pintasku setelah mendengar bunyi yang ditiupkan.

“Memang bunyinya untuk memanggil burung punai. Burung punai menyangka pasangannya yang memanggil, kemudian jerat yang dipasang akan membidas kaki burung apabila saja terpijak.”

Shhh... jangan bercakap!” Tok Anjang memberi isyarat agar aku tidak bercakap-cakap kerana dari arah jerumun tempat persembunyian kaki kedengaran bunyi kepak dan beberapa ekor dari kawanan burung punai turun ke tanah mengahampiri denak yang ditambat pada pancang timah, di tempat lapang itu.

Bunyi tiupan dari buluh menekut tadi menarik perhatian burung punai yang berada disekitar. Bunyi dekut, seperti bunyi burung terhasil apabila buluh ditiup.

Kelihatan empat ekor burung punai terbang dan hinggap di tanah selajur menghampiri denak. Mereka seolah-olah berbicara dengan burung punai betina yang dijadikan denak itu. Jerat yang dipasang telah mengena dan bingkas, dua ekor burung punai tanah tergantung seperti bunga kecubung pada tali jerat dan mengepak-ngepak untuk menyelamatkan diri.

Cepat! Nanti terlepas. Kita perlu dapatkan burung-burung itu!,” Tok Anjang mengajak aku keluar dari jerumun, tempat persembunyian kami.

Burung yang tergantung pada tali jerat kemudian dilepaskan ke dalam sebuah uncang yang diperbuat dari kain. Kain itu sebenarnya adalah daripada pembungkus tepung gandum, yang dipotong dan dijahitkan pada anyaman buluh yang membentuk tapak bagi uncang tersebut. Beberapa buah lubang ditebuk pada kain yang masih tertera cap kereta kebal berwarna biru gelap itu. Lubang tersebut adalah untuk membolehkan burung-burung yang dimasukkan itu bernafas.

Tali jerat yang membelit kaki punai diuraikan satu persatu dengan tangan kanan memegang badan burung, supaya tidak terlepas. Sungguh cekap Tok Anjang melakukan kerja.

“Balik nanti kita sembelih buat gulai,” bisik Tok Anjang kepadaku. Enam ekor burung punai tanah telah berjaya ditangkap dan dimasukkan ke dalam uncang. Tok Anjang puas.

Kami pulang ke rumah dan seperti yang dijanjikan Tok Anjang menyembelih burung-burung yang diperolehi.

“Pegang kuat sikit dan mengadap arah kiblat,” pesan Tok Anjang, setelah seekor burung punai dikeluarkan dari uncang kain. Sayap punai dipegang kemas bersama kakinya, manakala kepala punai ditarik oleh Tok Anjang untuk membolehkan urat mareh, urat yang membawa darah dan oksigen diputuskan bagi proses sembelihan.

“Bismillahi Allahuakbar, Tok Anjang menarik pisau belati memutuskan urat Mareh itu. Punai kelihatan sedikit menggelupur dan lama-kelamaan kaku, darah bersimbah di atas tanah.

Punai-punai yang lain juga disembelih dengan cara yang sama. Kini, enam ekor burung punai menjadi lauk.

“Gulai dengan rias pisang bagus ini,” Tok Anjang menyarankan kepada Tok Anjang Teh, lalu menyerahkan bekas berisi.

Kami bergerak menyiapkan diri kerana waktu Zohor bakal menjelang. Selesai berwuduk aku menunaikan solat Zohor berjemaah bersama Tok Anjang. Selesai solat kami menghadap hidangan makanan tengahari yang cukup istimewa iaitu gulai burung beserta rias pisang.



-----------------------------------------------------------------------

Selesai makan kami berbual-bual dan di anjung rumah. Topik perbualan kami tentulah tidak lain dan tidak bukan, apa lagi kalau bukan sejarah. Aku menunjukkan sebuah artikel pada iPad kepada Tok Anjang.

Bunyi artikel adalah seperti berikut:
“Setelah jatuhnya Daulah Abbasiyah di Baghdad dimana dianggarkan seramai hampir 1.8 juta orang manusia dibunuh dan kotanya dihancurkan, Mongol mula menaruh perhatian untuk menjatuhkan negeri Syam dan Palestin.”

“Kota Baghdad roboh kerana wazir kepada Khalifah Al-Muktasim tamakan kuasa. Wazir itu bernama Umaiyuddin Muhammad al-Rukaimi, dikatakan beliau bermazhab Syiah dan berasal dari Parsi,” tambah Tok Anjang. Aku mendengarnya dengan teliti.

“Setelah Baghdad hancur, raja di negeri-negeri yang hampir dengan Baghdad mengambil jalan mudah untuk tunduk kepada Mongol di bawah pimpinan Hulagu. Umat Islam ketika itu dalam keadaan yang lemah. Ada yang sanggup menggadaikan agama kerana bimbang nyawa melayang di tangan Mongol.”

Ya, Tok. Mungkin masing-masing mementingkan diri atau terlalu takut dengan Mongol,” aku menambah.

“Raja Mosul, yang bernama Badruddin Lu’lu’ menghulurkan tangan persahabatan dengan Hulagu. Begitu juga Kaikawis II dan Qalaj Arsalan iaitu raja-raja bagi , Raja Anadol. Raja Halab. Al-Nasir Yusuf, Raja Damsyik juga mengambil langkah sama.

“Tindakan mereka menyebabkan bahagian Iraq Utara , Syam dan Turki terbuka kepada penguasaan Mongol.

Tok Anjang kemudian menambah, “kepedihan umat semakin parah apabila sebahagian daripada ulama’ pada masa itu mengeluarkan fatwa mengharuskan perjanjian damai dengan Mongol melalui hujah-hujah yang keliru dan mementingkan diri.”

“Dalam banyak-banyak raja itu hanya seorang yang berani menentang Mongol.”

Siapakah raja itu?”

“Raja al-Kamil Muhammad al-Ayubi, Raja Miyafarqin,” jawab Tok Anjang, ringkas.

“Miyafarqin itu, sebuah kota yang terletak di timur Turki menuju ke sebelah barat Turki. Tentara Raja Al-Kamil Muhammad al-Ayubi menguasai timur Turki, barat laut Iraq dan timur laut Syria.”

“Kerakusan Mongol mengatasi segala-galanya. Kota Miyafarqin dikepung dan akhirnya jatuh. Dengan kejatuhan kota ini medan luas terbentang untuk Hulagu menguasai bumi Palestin.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.