Home Novel Thriller/Aksi PENYELAMAT UMMAH
BAB 30: KAMBING HITAM
"Ustaz Hasan al-Bana dari Mesir dan Al-Maududi dan Khomeinie antara yang hadir dalam muktamar itu."
"Kesepakatan diperolehi untuk melaksanakan usaha menegakkan sistem Khalifah di negara Islam. Sunni kembali meneruskan Sunni, manakala Syiah meneruskan amalan Syiah," ujar Prof Abdul Aziz Hanafi. Aku mendengar dengan teliti.
"Yang penting adalah menumbangkan kerajaan Imperialist, biar Sunni mengamalkan Sunni dan Syiah meneruskan amalan Syiah."
Hujan turun renyai-renyai. Suasana agak dingin dengan angin bertiup lembut. Orang ramai memenuhi dataran, mendengar dengan teliti forum yang diadakan.
"Ustaz Hassan al-Bana kembali ke Mesir dan meneruskan usaha melalui Ikhwanul Muslimin," ujar Prof lagi.
"Akhirnya, Hasan al-Bana ditembak mati berdekatan pejabat Ikhwanul Muslimin. Khomenei di Iran pula memimpin gerakan bawah tanah untuk menggulingkan kerajaan Imperialist, di bawah pimpinan Shah Reza Pahlavi."

Forum mengenai ancaman Syiah diteruskan dengan perbincangan mencakupi berbagai-bagai persoalan. Akhirnya forum yang hebat itu tamat.
***
KICAUAN Murai mengejutkan tidurku. AKU tertidur usai Subuh. Ketika itu hampir jam 7 pagi. Kekihatan Tok Anjang berada di dalam biliknya, di atas tikar sejadah. Naskah al-Quran berada di hadapannya. Kedengaran bacaan ayat-ayat suci dari Surah al-Kahfi pada awal pagi.Itulah amalan harian Tok Anjang.

"Surah al-Kahfi, terutamanya sepuluh ayat pertama jika dihafal dengan baik dan jadikan amalan, akan dapat menghindarkan diri daripada fitnah Dajjal," aku masih ingat pesan Tok Anjang.

Aku bergerak ke ruang tamu. Entah mengapa rasa amat bersemangat pagi itu. Ingin mendapatkan untaian kisah dari Tok Anjang sendiri tentang apa yang diperkatakan melalui forum malam tadi.
Jendela aku buka dengan seluas-luasnya. Matahari semakin meninggi. Rumput-rumput di halaman masih basah kerana disirami hujan malam tadi. Mungkin juga hujan yang agak lebat pada awal pagi. Cuti semesterku masih panjang. Aku lebih suka menghabiskan masa bercuti untuk diam di rumah Tok Anjang.

"Ramai yang hadir malam tadi?" ujar Tok Anjang. Entah bila dia sampai di ruang tamu aku tidak sedar. Aku sedikit mengelamun dengan perkara yang dibincangkan melalui forum malam tadi.

"Oh! Tok, agak ramai juga," tuturku. Tok Anjang melemparkan senyuman kemudian duduk di atas sofa. Dia mengeliat, mungkin membetulkan urat-uratnya.

"Lepas sarapan, jom kita ke dusun," tutur Tok Anjang.
***Kami tiba di dusun. Nampak gayanya beberapa minggu lagi, durian akan gugur, menjadi rezeki kepada kami dan penduduk kampung.
"Kena menebas nampaknya. Nak buang anak-anak pokok. Supaya mudah memungut durian yang gugur," cadangku kepada Tok Anjang.
"Sudah tentu," balas Tok Anjang sambil mengeluarkan Golok Perak yang berada pada pinggangnya. Kami kemudian mengambil peralatan dan mula menghayun penebas di bawah sepohon Durian yang dikenali Jawi Pekan.
"Orang Cina suka buah Jawi Pekan ni," tutur Tok Anjang.
"Baunya agak kuat, tengik. Tapi memang best. Durinya pun cantik," balasku.

"Nampaknya tahun ni 'Nasi Kunyit' pun banyak," kata Tok Anjang sambil menuding ke arah beberapa pohon durian yang mempunyai isi kuning keemasan seperti pulut kunyit. Dulu durian jenis ini amat jarang ada di dusun-dusun. tapi sekarang dengan kemunculan beberapa klon baka durian, isi berwarna kuning pada durian bukanlah sesuatu yang agak pelik. Klon-klon baru D29 dan D15 mampu menghasilkan durian sebegini.

"Chenei Emas dari Siam pun dah macam Nasi Kunyit, Tok," aku merujuk kepada sejenis klon durian yang dihasilkan dari Thailand. Harga Chenei Emas boleh mencapai dua belas ringgit sekilo, di bawa masuk melalui Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam.

"Yang kecil-kecil, Telur Buaya pun apa kurangnya," tambah Tok Anjang. Dia merujuk kepada sejenis durian yang kecil dan bulat. Kadang-kadang hanya terdapat seulas isi durian dalam sesuatu belahan.

"Tapi Tok, mahal lagi mempelam Harum Manis. Di Kuala Lumpur dijual sehingga empat puluh lima ringgit sekilogram, macam ketul emas."

"Bukan sahaja buahnya dicuri oleh pencuri yang berkeliaran, bahkan anak-anak pokok yang ditanam pun turut dicabut dan dibawa lari," ujarku. Tok Anjang kelihatan sedikit tersenyum.

"Tok, lama tak mengembara," ujarku setelah kami membersihkan kawasan dusun.

"Ya lah tu. Lepas Zohor nanti bolehlah," balas Tok Anjang
***

Ketika itu keadaan di Mesir agak kucar kacir. Perdana Menteri Mesir, Muhammad Fahmi Naqrasyi telah terbunuh. Raja Farouk ketika itu telah mengarahkan Ikhwanul Muslimin disiasat dan harta gerakan itu disita. Sudah lama pihak Imperialist dengan kerjasama Raja Farouk merancang untuk mengharamkan gerakan ini, sejak pertemuan para Imperialist di Kem Faid, namun tidak berjaya. Apabila Naqrasyi terbunuh, gerakan Ikhwanul Muslimin telah diharamkan dan kemuncaknya As-Syahid Syeikh Hassan al-Bana ditembak mati berdekatan pejabat Syubban Muslimin.
Kami tiba pada waktu malam. Sebatang jalan di Bandar Himmiyah kelihatan seperti medan perang. Askar berkawal di sana sini. Sebuah kereta Polis kelihatan tiba. Pasukan tentera mengepung jalan-jalan utama. Keheningan malam sedikit tergugat. Penduduk kelihatan diam di dalam rumah, jika keluar mungkin akan menjadi mangsa peluru sesat dari pihak tentera atau Polis Mesir.

Sebuah kenderaan berhenti berdekatan sebuah rumah yang menjadi tumpuan pada malam itu. Kiri kanan jalan ke arah rumah itu kelihatan askar lengkap bersenjata. Kemudian, sesuatu dikeluarkan dari kenderaan dan dibawa ke hadapan pintu rumah. Askar masih dalam keadaan bersedia.

Pintu rumah diketuk berkali-kali. Penghuni dalam rumah itu berkumpul sejak sekian lama. berkumpul kerana dikepung. Aku dan Tok Anjang bergerak menuju ke arah rumah tersebut. Kelihatan amat jelas, askar mengusung jenazah seorang lelaki.
Tidak berapa lama, seorang lelaki yang berumur kira-kira 90 tahun membuka pintu. Mula-mula sedikit, akhirnya daun pintu diluaskan. Beliau adalah Sheikh Ahmad Abdur Rahman, bapa kepada lelaki di atas usungan.

"Jangan bersuara. Tiada sesiapa yang boleh ziarah. Hanya engkau yang boleh menguruskan jenazah ini," ujar Ketua Tentera yang berada paling hadapan kepada Syeikh Ahmad Abdul Rahman.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.