MP 9

AKU menilik setiap beg plastik yang berada di dalam butt kereta. Lepas saja puas melepaskan segala luahan yang terpendam di pantai tadi, aku meminta tolong Rery dan Rae membawa aku ke pasar raya untuk membeli barang dapur yang dipesan oleh mak. Anak mataku sempat mengerling ke arah jam tangan yang terlilit di pergelangan tangan. Sudah jam 10 malam dan aku perasan ada banyak kasut di hadapan pintu masuk utama. Dia orang semua tak balik lagi ke? Macam mana aku nak masuk rumah? Nak kena masuk rumah guna pintu belakang ke? Haih...

"Aara, kenapa?" soal Rae sambil menyebakkan rambutnya ke belakang. Beberapa beg plastik yang berada di hadapan aku, diambil.

"Eh, tak apalah. Saya boleh bawa."

Rae menjegilkan anak matanya. Okey, aku mengalah. Pantang betul. Sudah seharian dua beradik ni banyak tolong aku. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa mereka berdua. Kalau dia orang tak ada, aku tak tahulah keadaan aku sekarang ni macam mana. Sesat dekat bandar tu agaknya. Yelah, tak pernah masuk bandar. 

"Hmm... Rae, saya masuk guna pintu belakang ajelah. Tengoklah tu, ada banyak lagi kasut. Dia orang semua tak balik lagilah."

Rae sekadar menggelengkan kepalanya sambil memutarkan bebola matanya. Segera dia melangkah ke pintu belakang rumah. Rery pula duduk bersantai di dalam kereta sambil bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit. Serius saja muka dia. Dingin. 

"Assalamualaikum... Aara dah..." Ayat aku terhenti saat susuk tubuh seseorang sudah terpacak berdiri di hadapan aku sambil bercekak pinggang.

"Aduh!" Aku meringis kesakitan apabila pergelangan tangan aku dicengkam kuat olehnya.

"Cos'hai che non va? (Kau dah kenapa?" soal Rae. Terketap-ketap bibirnya menahan marah. 

"Non devi interferire! (Kau tak perlu masuk campur!)" balas Ivander dengan reaksi wajahnya bengis. Dia mengetap bibirnya kuat. 

"Kau pergi mana?" soal Ivander dengan nada berbisik. Betul-betul dekat cuping telinga aku. Secara automatik aku menjadi gerun melihat dia begini. 

"Sa...saya pergi..."

"Pergi mana?" marah Ivander. 

Berkerut-kerut dahi aku menahan sakit pada pergelangan tangan. Semakin lama semakin kuat dia mencengkam. Lebam rasanya.

"Dayus. Jangan sakiti perempuan." Entah dari mana, tiba-tiba saja dia muncul di belakang Rae. Rery meleraikan cengkaman Ivander pada pergelangan tangan aku.

"Non essere occupato! (Jangan sibuklah!)" Ivander melawan. Tapi, masih lagi pandai mengawal suaranya. Takut-takut kalau Jessica dengarlah tu. 

"Tuan, saya cuma pergi beli barang dapur saja. Janganlah bergaduh. Saya..."

"Kau diam, Aara. Aku dah cakapkan yang aku tak suka kau rapat dengan dia orang semua. Kenapa kau ni keras kepala sangat?" Dahiku ditunjal-tunjal beberapa kali sehingga menyebabkan mataku terpejam sekali gus dahi berkerut menahan sakit. 

"Sei estremo! (Kau melampau!)" marah Rae. Dia mencekak kolar baju Ivander sehingga sepupunya itu tersandar pada dinding dapur. 

Aku segera menarik lengan Rae. Menghalang untuk dia bertindak seterusnya. Aku tak mahu sesiapa dengar pergaduhan ini. Nanti makin parah keadaan aku dekat dalam rumah ni.

"Kau balik." Keras nada suara Ivander menghalau dua orang sepupunya itu keluar dari rumahnya. 

Rery menarik bahu Rae sehingga keluar rumah menggunakan pintu belakang tadi. Aku serba-salah. Adakah aku punca mereka bertiga bergaduh? Salahkah aku?

"Aara, kau memang degil!" marah Ivander. Suaranya diperlahankan supaya tiada siapa dengar dan tahu kami berdua berada di dapur.

Pang! Suasana menjadi sunyi saat Ivander berani-beraninya menampar aku. Ini kali pertama aku ditampar. Hari tu, Jessica ditampar oleh Julian. Dan sekarang, aku ditampar oleh Ivander? Sakit dia tak perlu aku terangkan macam mana. Perit. Seperit hati aku kini.

"Tu... tuan..."

"Aku dah cakap, kan? Kalau kita berdua, panggil aku Ivan! Apa yang kau tak faham bahasa?" Ivander mula mengamuk tak tentu pasal. Mujur saja tiada siapa yang masuk ke dapur. 

Air mata aku mengalir laju. Tangan naik memegang pipi yang terasa pijar. Sakitnya...

"Air mata kau tu terlalu murah untuk aku, Aara. Kau tu makan batu ke apa? Sampai langsung tak dengar cakap aku. Aku dah cakapkan, jangan rapat dengan dia orang berdua. Aku tak suka!" Dia memukul kepala dan bahu aku beberapa kali. Makin deras air mata aku mengalir.  Sakit. Sakit sangat.

"Ivan, enough..." 

Ivander tersentak. Laju saja dia menoleh ke belakang. Kelihatan Julian sedang berdiri sambil merenung ke arahnya tajam. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari ke arah Julian seraya menangis teresak-esak. Sakitnya tak terkata. 

"Kau buat apa dengan Aara?" soal Julian. Tangannya menarik bahuku rapat ke dadanya menyebabkan aku tergamam di dalam dakapannya. 

"Kau jangan nak sibuk. Pergi mampus. Kau tak diundang pun dalam rumah ni," balas Ivander selamba. Tangannya disilangkan ke dada. Begitu angkuh sekali wajahnya saat memandang kami berdua. 

"Tolong, sedar diri kau tu. Kita semua ni tak layak duduk rumah ni. Kau ingat tu. Kau tu cuma menumpang saja, Ivan." 

Aku hanya membisu. Tak faham apa yang mereka cuba cakapkan. Kepala aku tiba-tiba saja berdenyut-denyut. Mungkin aku terlalu banyak berfikir. Aku diam saja. Selagi aku boleh tahan, aku akan tahan. Tak mahu menyusahkan sesiapa lagi. Aara Malika, tolong jadi kuat. Kuatkan diri kau.

"Kau, kalau datang sini tak sahkan tak sakitkan hati aku. Langsung tak hormat aku," ujar Ivander.

Julian tersungging sebuah senyuman. Sepertinya mengejek.

"Siapa yang patut hormat siapa? Aku ni abang ipar kau. Patutnya kau yang hormat aku. Ini tidak. Kurang ajar," sindir Julian.

Ivander terus saja meluru ke arah Julian sambil mengacukan penumbuknya. Tetapi, aku sempat menghalang dia dari terus menumbuk Julian. Dadanya aku tolak dengan keberanian yang aku ada. 

"Tuan, tolong. Jangan bergaduh. Saya tahu salah saya. Maafkan saya. Saya janji yang saya tak akan buat lagi. Tolong, saya merayu," mohon aku bersungguh-sungguh. Tak sanggup aku nak tengok pergaduhan ini terus berlaku di hadapan mata. Aku tak mahu ada sesiapa yang cedera disebabkan aku. Aku tak nak...

Ivander melepaskan dengusan kasar sebelum menjatuhkan penumbuknya ke sisi tubuh. Dia merenung Julian sebelum renungannya beralih ke arah aku. Tajam renungannya. Bagaikan ada maksud tersirat. Terus saja dia pergi meninggalkan kami berdua di dapur. 

"Aara, Aara okey tak? Sakit?" Julian mengusap pipiku lembut. Pipi yang terkena tamparan Ivander sebentar tadi. 

"A... Aara okey. Terima kasih, Julian," ucapku sambil menolak lembut tangannya. Terasa janggal pula dia berbuat seperti itu. Lagi-lagi pula dia lelaki. 

"Maafkan, Julian. Julian terlepas. Julian tak sengaja."

Aku tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala. 

"Tak apa. Aara faham. Sejak bila Julian ada kat sini? Dah lama ke?" 

Dia menganggukkan kepala.

"Sejak pagi tadi. Julian cara Aara. Ada juga Julian tanya dekat mak Aara. Tapi, mak Aara cakap Aara keluar beli barang. Lama Julian tunggu Aara," jawabnya dengan nada suara sedih. Dia kecewa ke? Kesiannya dia dah lama sangat tunggu aku dari pada tadi. 

"Maafkan Aara. Aara tak tahu pula yang Julian ada juga. Ingatkan kawan-kawan Puan Jess saja." 

Julian tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

"Kawan dia, kawan Julian juga sebenarnya. Kawan satu sekolah dulu. Tak apa, Julian faham. Janji Aara dalam keadaan selamat. Tak adalah Julian risau sangat. Keluar dengan Rae dan Rery, kan?" 

Aku tersenyum. Baiknya Julian ni. Prihatin sangat pasal aku. Sama macam Rae dengan Rery. Terima kasih, Ya Allah. Masih ada yang sudi prihatin dengan aku. Saat aku rasa keseorangan, Kau hantarkan tiga orang lelaki yang memahami aku. 

"Julian, Aara masuk bilik dulu, ya. Badan Aara letih. Esok Aara kena bangun awal lagi."

Julian senyum. Dia menganggukkan kepala. Tangan naik melambai ke arah aku. 

"Assalamualaikum," ucap Julian.

"Waalaikumussalam...," balas aku sambil melangkah masuk ke dalam bilik. 

"Ah... ermphh!" Jeritan aku terbantut saat mulutku ditekup ketat olehnya. Aku terkejut. Macam mana Ivander boleh masuk dalam bilik aku. Sejak bila dia masuk? 

"Kau jangan ingat, aku lepaskan kau macam tu aje. Rery dengan Rae kau nak layan. Julian pun sama? Perempuan murahan ke kau ni, hah?" 

Tersentap aku dengan kata-katanya. Teruk sangat ke aku ni sehinggakan dia menggelar aku perempuan murahan? Aku cuma berkawan. Salah ke?

"Last warning untuk kau. Lagi sekali aku nampak kau bermesra dengan dia orang semua. Memang hidup kau tak tenang, Aara. Kau beritahu sesiapa pasal hal ni. Jangan harap kau boleh hidup bebas. Kau ingat kata-kata aku ni!" 

Dia menolak tubuh aku sehingga terhentak ke dinding sebelum melangkah keluar dari bilikku dengan dengusan kasar. Aku melorot jatuh pada dinding bilik sambil menangis tanpa mengeluarkan bunyi. Terhinjut-hinjut bahu aku melepaskan tangisan. Apa salah aku? Kenapa aku kena hadap manusia macam ni? 

Perlahan aku menarik kedua-dua belah lutut rapat ke dadaku. Muka aku sembamkan pada lutut. Sepuas-puasnya aku melepaskan tangisanku. Mak, tolong Aara. Aara takut, mak. Mana mak Aara yang sayangkan Aara? 

Aara rindukan mak yang lama. Aara takut mak. Dia selalu ugut dan kacau Aara. Semua orang tuduh Aara yang bukan-bukan. Macam mana Aara nak kuat? 

"Aara..." 

Aku mendongakkan kepala. Baru aku perasan yang pintu bilik aku tidak tutup. Habislah... kalau dia tahu macam mana? Mesti Ivander marahkan aku... 


Previous: MP 8
Next: MP 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.