MP 31

My world's been hectic, seems electric
But I've been waking up with your voice in my head
And I'm tryna send a message and let you know that
Every single minute I'm without you, I regret it

Every day, every night
I've been thinkin' back on you and I
Every day, every night

TELINGA aku menangkap suara nyanyian mungkin daripada corong-corong pembesar suara sebaik saja aku melangkah keluar dari perut kereta. Rery dan Rae membetulkan jaket panjang mereka sambil mengambil tempat di sebelah kiri dan kanan aku. Mata aku meliar memerhatikan suasana kami berada sekarang. Di sebuah lorong yang agak gelap, hanya diterangi dengan lampu jalan yang malap. Seperti tinggal nyawa-nyawa ikan saja. Kawasan lorong itu sangat kotor dan menyebarkan bau yang kurang menyenangkan. Kalau tarik nafas dalam-dalam, memang boleh terkeluar isi perut.

"Dah bersedia?" soal Rery yang berada di sebelah kiri aku.

"Erm... kena masuk situ ke?" soal aku sambil jari naik menuding ke arah satu kedai yang diberi nama VBar. Dengar nama kedai pun dah tahu, kedai tu semestinya menyediakan air minuman keras. Boleh tahan ramai orang dalam kedai tu.

"Tutup kepala kau dengan hoodie tu," suruh Rery sambil menarik kasar hoodie aku menggunakan sebelah tangannya dari belakang. Terkejut aku dibuatnya.

"Ya, ya. Tahu. Cuba bawa bersabar...," ujar aku sambil memberikan jelingan tajam ke arahnya. Kut ya pun sabarlah dulu. Orang belum bersedia lagi. Haih...

"Ehi, pazzo! Il capo ti ha detto di non vederlo finché non hai i soldi! (Hei, gila! Kan bos aku dah cakap, jangan jumpa dia selagi kau tak ada wang tu!)"

Serentak pandangan kami beralih ke arah seorang lelaki yang sudah jatuh terbaring di atas jalan sambil diherdik oleh sekumpulan... mafia? Mungkin?

"Diri belakang aku. Jangan dekat dengan sesiapa pun. Tempat ni bahaya. Kau silap langkah, nyawa kau habis dekat sini juga," pesan Rery dengan nada berbisik.

Aku menganggukkan kepala perlahan. Rery menggenggam tangan aku lalu menolak aku sedikit ke belakang tubuhnya. Rae sudah mendahului jalan barulah diikuti oleh kami. Boleh tahan seram juga. Aku terus memegang belakang lengan Rery dan mengekori saja langkahnya.

"Ciao," sapa Rae kepada kumpulan tersebut. Aku sekadar memerhati saja, begitu juga dengan Rery. Aku rasa kumpulan ni adalah anak-anak buah Adamo.

"Tu chi sei? (Siapa kau?)" soal lelaki yang mengherdik mangsanya sebentar tadi.

Rae tersenyum senget. Dia mengalihkan pandangannya ke arah mangsa lelaki itu.

"Voglio vedere il tuo capo. (Aku nak berjumpa dengan bos kau.)" balas Rae sambil menyandarkan tubuhnya pada dinding luar kedai itu.

Lelaki itu memerhatikan kami bertiga lama sebelum dia mengangkat jari telunjuknya ke arah kawan-kawannya yang lain. Tak lama itu, salah seorang daripada mereka masuk ke dalam kedai. Mungkin memanggil si ketua yang dimaksudkan oleh Rae.

"Sedia," bisik Rery.

Aku menggenggamkan pegangan tangan kami sambil menganggukkan kepala. Tak sampai beberapa minit, mata aku menangkap dua susuk tubuh orang yang sedang melangkah keluar dari kedai itu. Bibir aku ketap perlahan. Jantung aku berdegup kencang. Aku tak sabar nak melihat wajah pembunuh keluarga aku. Wajah yang telah menghancurkan masa depan aku.

"Adamo." Kedengaran suara Rae menyebut sebaris nama yang cukup aku benci. Terus mata aku beralih ke arah susuk tubuh seorang lelaki yang berusia. Rambutnya sudah beruban sepenuhnya. Pada bibirnya terdapat sebatang rokok yang masih panjang dan berasap.

"Rae. Rery. Seriously?" Adamo ketawa.

Dia boleh ketawa? Jantung aku rasa nak meletup bila tengok pembunuh keluarga aku depan-depan mata. Aku rasa nak keluarkan pistol dan tarik picu. Biar berkecai kepala dia!

"Aku tak ada masa nak ketawalah," Rae bentak.

Adamo menghabiskan sisa tawanya sambil kepala diangguk-anggukkan beberapa kali. Dia berpeluk tubuh sambil menghembuskan asap rokoknya ke udara.

"Nak apa anak-anak aku ni, hmm?" soal Adamo dengan nada menyindir. Bibirnya tersungging sebuah senyuman sinis.

"Nak kau serah diri. Dan, pulangkan ibu aku." Akhirnya Rery bersuara setelah sekian lama dia mendiamkan diri. Aku dapat rasa yang dia sedang memendam perasaannya. Dia menggenggam tangan dengan sedikit kuat.

"Serah diri?" Sekali lagi Adamo melepaskan ketawa. Berdekit-dekit. Aku pula yang rasa panas hati. Eii!

"Aku tak main-mainlah!" tengking Rery. Kolar baju Adamo ditarik kasar. Terkejut aku dibuatnya saat dia melepaskan genggaman tangan kami secara mengejut.

"Argh! Jangan sentuh akulah!" tempik Rery apabila beberapa orang anak buah Adamo menolak tubuhnya kasar sehingga dia berundur beberapa tapak.

"Kau memang tak serik. Aku ingat kau dah mati. Rupanya liat juga kau ni nak mati. Patutnya dari kau kecil lagi aku dah bunuh. Menyusahkan aku." Sinis Adamo bercakap kepada Rery. Dia merenung anak sulungnya itu dengan renungan tajam.

Aku menggenggam kedua-dua belah tanganku. Menahan rasa marah yang semakin membuak-buak di dalam hati. Beberapa kali aku menarik dan menghembus nafas, masih lagi nafas aku tidak teratur. Mata aku tak lepas daripada memandangnya.

"Sedarlah diri tu. Sampai bila kau tak dapat harta tu. Percayalah cakap aku," ujar Rae dengan nada bersahaja sambil membelek-belek telapak tangannya sebelum kepala dibawa dongak ke arah Adamo.

"Kau tak payah nak sibuk hal aku. Kau apa tahu? Korang berdua ni tahu menyusahkan aku saja. Kalau nak hidup aman tu, janganlah nak semak dalam hidup aku. Bawalah haluan masing-masing. Ini masih nak kacau aku kenapa? Sampai bila pun, jangan haraplah aku nak serahkan diri. Korang pergi balik Malaysia sana. Sana tu lebih sesuai untuk korang!" suara Adamo mula bertukar dingin. Keras.

"Aku ada kaki. Ada badan sendiri. Bukannya aku pakai badan kau pun nak ke mana sekalipun. Ikutkan hati, aku tak naklah jumpa kau. Tapi, disebabkan kau sembunyikan mak aku. Kau ingat mudah aku nak lepaskan kau?" Rae membalas semula percakapan ayahnya. Tiada lagi perasaan hormat pada ayah kandungnya itu.

"Mak kau? Mak kau dah mati. Mak kau tu pun sama aje. Menyusahkan aku. Senang aku bu..."

Buk! Buk! Buk! Rery melepaskan tiga tumbukan padu tanpa henti sehingga Adamo jatuh terbaring. Mereka berdua bergelut sesama sendiri. Semua anak buah Adamo mula mengambil tindakan drastik. Masing-masing sudah mengeluarkan senjata dan mengacukan senjata mereka ke arah Rery. Aku dan Rae saling membalas pandangan. Segera aku mengeluarkan Glock Meyer 22 dari belakang poket seluar aku.

Bang! Aku terkejut lalu menoleh ke arah Rae yang sudah berjaya melepaskan satu das tembakan tepat mengenai salah seorang anak buah Adamo.

"Kau tengok apa, Ju? Selamatkan Rery!" jerit Rae.

Segera aku mendapatkan Rery dan melepaskan tembakan demi tembakan ke arah anak-anak buah Adamo yang mahu menyerang aku. Tak lama itu, seramai 10 orang anak buah Chen datang membantu kami.

Bang!

Argh! Aku menjerit kesakitan apabila seseorang berjaya melepaskan tembakan tepat mengenai bahu aku. Pantas aku menekup bahu aku dengan sebelah tangan. Sebelah lagi tangan, aku acukan senjata aku ke arah gerangan yang berani menembak aku.

"Kau..." Aku mengetap bibir apabila Adamo tersenyum sinis ke arah aku. Rery yang terbaring di atas jalan, perlahan bangkit dan berdiri di sebelah aku.

"Ju..."

"Kau memang tak gunalah!" Rery merampas senjata aku lalu melepaskan tembakan ke arah kaki Adamo.

"Jangan nak lari!" jerit aku apabila melihat Adamo cuba hendak melarikan dirinya.

Bang!

"Argh!" Adamo jatuh berguling kala peluru yang dilepaskan oleh Rery tepat mengenai kakinya.

Bang! Bang! Bang!

Baru saja Rery hendak mendapatkan Adamo, beberapa orang anak buah Adamo keluar dari perut kereta lalu melepaskan tembakan bertubi-tubi. Segera Rery menarik aku, melindungi diri di sebalik dinding. Rae pula tidak kelihatan. Kali terakhir aku nampak dia sedang bergelut dengan anak-anak buah Adamo yang lain.

"Kau okey, Ju?" Jaket aku diselak perlahan oleh Rery.

"Sakit. Tapi... Ju boleh tahan lagi," jawab aku dengan nada perlahan. Menahan sakit.

"Kita kalah hari ini. Aku tak sangka dia pergi bar dengan bawa ramai anak buah macam ni. Kita salah langkah. Kita kena balik dan aturkan strategi semula. Kau tak boleh sembunyikan semua ni daripada Julian lagi. Dia berhak tahu."

Aku terdiam. Maklumkan pada Julian pasal semua ni? Mahu tak mengamuk abang aku seorang tu. Lagi-lagi aku kena tembak. Matilah, nak!


Previous: MP 30
Next: MP 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.