MP 57

LAMUNANKU hancur berderai tatkala Gavino memberhentikan kereta di dalam garaj sekali gus brek tangan ditarik. Terpinga-pinga aku seketika. Dalam tak sedar, Noah sudah pun lena dibuai mimpi di dalam dakapanku. Kasihan anak aku seorang ini. Sanggup saja ikut aku ke mana saja untuk mencari papanya. Aku harap sangat Rery dalam keadaan baik-baik saja. Dan, aku nak sangat tahu apa dah jadi dengan Princeville dekat sini.

"Ju, kau dah sedia? Dah semat pesanan aku dalam otak kau?" soal Rae sebaik saja aku keluar dari perut kereta sambil mendukung tubuh Noah.

"Dah. Tapi..."

"Not buts." Pantas Rae mencantas percakapan aku. Langsung tak bagi aku peluang nak bertanya. Teruk betul adik ipar aku yang seorang ini. Nak dengar kata dia saja.

"Gav, kau ambil anak saudara aku. Teman dia tidur dalam bilik aku," arah Rae kepada Gavino.

Gavino sekadar menganggukkan kepalanya. Akur dengan arahan yang keluar dari mulut Rae. Segera dia mendekati aku lalu meminta izin untuk membawa Noah ke bilik Rae. Aku hanya ikut saja. Malas nak tanya banyak. Kalau aku tanya, bukannya Rae atau Gavino ni jawab. Menyebalkan hati saja.

"Ikut aku." Rae menggenggam tanganku lalu sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah sebuah itu. Tak tahulah aku ni rumah siapa. Tak pernah aku datang ke sini sebelum ini.

"Kau tunggu..."

Belum sempat Rae menghabiskan omongannya, aku ternampak susuk tubuh seseorang yang baru saja keluar dari bilik dengan wajah dinginnya. Terkaku sejenak tubuhku melihat gerangan yang aku rindui.

"Biy!" Segera aku berlari ke arah Rery yang baru saja hendak menutup pintu biliknya. Terkejut dia mendengar jeritanku yang boleh dikatakan agak kuat juga. Siapa yang tak teruja melihat suami sendiri yang dalam keadaan baik? Cumanya....

"Kenapa muka biy bercalar ni? Ni kenapa berparut?" Perlahan tanganku naik menyentuh wajahnya yang ada beberapa kesan calar dan ada parut panjang pada dahinya.

"Chi sei? (Who are you?)"

Aku terkedu. Tanganku bagaikan terkena renjatan elektrik. Tidak jadi mahu terus mengusap wajahnya. Entah kenapa terasa seluruh tubuhku lemah. Kepala aku geleng beberapa kali. Tak... tak mungkin mimpi aku jadi kenyataan. Tolonglah....

"Perché stai piangendo? (Why are you crying?)" Rery sepertinya cuak melihat air mataku yang sudah lebat mengalir ke pipi.

Aku toleh ke arah Rae. Dia hanya memandang aku dengan wajah kosong. Mungkin inilah yang berkaitan dengan pesanannya tadi. Aku tak sangka, setiap kali aku bermimpi. Kejadian itu betul-betul berlaku dalam dunia realiti. Tapi kenapa? Siapa yang buat Rery sampai dia lupakan aku dan anak-anak? Memang aku tak akan lepas sampai mati sekalipun.

"Siapa buat suami aku macam ni, Rae? Kenapa dia boleh lupakan aku dengan anak-anak?" suara aku sudah naik seoktaf. Tak pernah-pernah aku melepaskan kemarahan aku seperti ini. Biasanya aku akan pendam. Tapi kali ini, aku tak mampu nak pendam lagi. Sakitnya hanya Tuhan saja yang tahu.

"Bawa bertenang dulu, Ju. Aku akan cerita dekat kau. Tapi kalau kau tanya siapa yang buat suami kau ni. Siapa lagi kalau bukan musuh sekeliling keturunan kita. Kau lupa?"

Bibir aku ketap kuat sehingga merah. Kepalaku dari tadi tergeleng-geleng. Tidak dapat menerima apa yang jadi. Setapak demi setapak aku mengundur sebelum tubuhku jatuh terduduk di atas lantai. Air mata membanjiri wajahku. Wajah aku tekup dengan kedua-dua belah tanganku.

"Che cosa sta accadendo? Chi è lei? (What is going on? Who is she?)"

Aku dapat dengar suara Rery bertanya kepada Rae dalam bahasa ibundanya. Aku faham apa yang Rery katakan. Dia betul-betul tak kenal aku. Apa aku nak buat sekarang ni?

"Come ho detto prima, hai moglie e figli in Malesia. (As I said before, you have a wife and kids in Malaysia.)"

Aku mendongakkan kepalaku perlahan dengan wajahku yang sudah lencun dengan air mata. Dengan kudrat yang masih tersisa, aku bangkit perlahan lalu mendekati Rery kembali. Aku rindukan dia. Sungguh aku rindukan kehangatan dakapannya. Tercemik-cemik wajahku menahan esakan yang bakal terhambur lagi. Aku tak nak menangis. Tolonglah, air mata jangan kau mengalir lagi. Aku kena kuat.

"Mi manchi." Aku teresak perlahan.

"Mi fai paura. (You make me scared.)" Aku tenung lama sepasang anak matanya sebelum tubuh tegapnya aku peluk erat.

Aku dapat merasakan tubuh Rery mengeras. Terkaku. Mungkin masih lagi terkejut dengan situasi sekarang ni. Aku tak boleh nak salahkan dia. Dia hilang ingatan disebabkan musuh-musuh tak guna tu. Memang aku cari sampai lubang cacing sekalipun. Tak sewenang-wenangnya mereka nak terlepas dari tangan aku!

"I am sorry. I can't remember you," ucap Rery dengan nada perlahan sambil meleraikan pelukan aku. Jujur, aku tersentap dengan perbuatannya. Kalau dulu, dialah yang paling suka sangat kalau aku peluk tubuh dia sampai tak nak lepas walau sesaat.

Aku menundukkan wajahku. Tak sanggup nak bertentangan mata dengan Rery. Hati aku bagaikan terbelah dua. Susah aku nak terima yang Rery tak ingat dekat aku. Rery dah lupakan aku. Memori aku dengan dia dah terpadam dalam ingatannya. Macam mana aku nak kembalikan momen-momen kami itu?

"Ju, sabar. Jangan paksa dia. Nanti kepala dia sakit. Doktor tak kasi paksa-paksa. Slowly, okay?" Rae memaut bahuku lalu dibawanya aku ke sofa.

Aku hanya mendiamkan diri. Air mata aku seka perlahan. Cuba menahan esakan supaya tidak lagi terhambur.

"Aduh!" Rae berdecit sakit.

Aku toleh saja tengok dia dah terduduk dekat tepi sofa dengan muka berkerut-kerut menahan sakit. Kemudian, pandanganku beralih ke arah Rery yang sedang melabuhkan punggungnya di sebelah aku. Dah kenapa pula ni?

"Fa male, stupido! (Sakitlah, bodoh!)" marah Rae yang sudah kembali berdiri sambil menggosok-gosok punggungnya.

Rery tidak menjawab sebaliknya hanya memandang dengan pandangan bekunya. Dia duduk di sebelahku tidaklah begitu rapat. Masih ada jurang di antara kami. Yang aku hairan, kenapa Rery tolak Rae dari duduk sebelah aku? Cemburu ke apa, suami aku ni? Dalam keadaan hilang ingatan pun, masih lagi ada perasaan macam tu.

"Kau kata dia ni isteri aku. Jadi jaga batas walaupun aku masih tak dapat ingat apa-apa. Kau jangan sampai aku belasah kau nanti."

Aku terkebil-kebil. Masih ingat lagi bertutur dalam Bahasa Melayu rupanya. Aku ingatkan semua dah lesap dari ingatannya. Dari tadi cakap Itali saja. Haih... sabar sajalah dengan ragam Rery ini.

"Aku ingat kau tak kisah. Aku dengan dia ipar. Bukan aku nak ngorat dia pun. Kalau takut kena rembat, cepat-cepatlah ingat semula memori kau tu. Doktor cakap kau amnesia sementara saja. Jadi, berusahalah dengan lebih banyak," perli Rae sambil melabuhkan punggungnya bertentangan dengan kami.

"Aku tak percaya yang kau ni adik aku. Aku harap yang kau ni tipu je. Aku tak ada adik macam kau," balas Rery.

"Sudahlah. Jangan bergaduh. Hilang tak hilang ingatan sama saja perangai biy nilah. Suka sangat bergaduh dengan Rae," tegurku sambil menggelengkan kepala.

"Kau diam. Jangan masuk urusan aku dengan lelaki tak guna ni."

Aku terdiam. Rery marahkan aku? Sampai hati dia. Kasar pulak tu. Tak pernah-pernah dia marahkan aku dengan bahasa sekasar itu. Sudahnya aku berdiam diri saja. Malas nak menyampuk. Merajuk!

"So, Ju. Kau nak tahukan kenapa semua ni boleh terjadi?"

Kepala aku angguk sekali. Suara aku simpan dalam peti. Tak nak bersuara walau sepatah huruf pun. Nanti kena marah lagi.

"Kau tahukan kita ni ada ramai musuh. Ada salah satu kumpulan musuh kita yang dia orang dah mulakan strategi dia orang untuk rampas harta keturunan kita. Yalah, Princeslon dan Handerville kalau bergabung memang meletup. Harta tujuh keturunan pun belum tentu habis. Sebab itulah dia orang nak berebut. Dan kita sebagai keturunan yang seterusnya, mestilah nak lindungi harta keturunan kita."

Ayat Rae buat aku sedikit tidak puas hati. Terpaksalah aku mengeluarkan semula suaraku dari peti. "Bagi jelah dia orang harta tu. Tak akan sampai nak berkorban nyawa baru nak bagi. Harta boleh dicari. Nyawa tak boleh cari."

"Rery, kau tengok isteri kau ni. Aku belum habis cakap lagi dia dah menyampuk." Wajah Rae kelihatan bengang.

Aku mencebik. Aku cakap semuanya tak kena. Menyesal rasanya bila bersuara tadi. Rery hanya membisu saja. Langsung tak beri apa-apa respons.

"Memanglah boleh je bagi harta tu. Tapi cuba kau fikir luas-luas, Ju. Dia orang musuh. Orang jahat. Kau rasa dia orang nak ke, biarkan kita semua ni hidup? Mesti dia orang nak kita mati supaya dapat bolot semua. Tak ada yang akan tuntut dah lepas tu nanti. Kau boleh faham tak, apa yang aku sampaikan ni?"

"Ya, aku faham. Dia orang nak kita mati. Nak bolot semua harta tu."

"Yes. Pandai. Aku memang tak kisah dengan harta tu tapi disebabkan nyawa Rery hampir melayang, tu yang aku kisah. Apa yang aku tahu, Rery ada call aku malam tu nak beritahu suruh aku tolong dia tengokkan syarikat sementara dia nak balik Malaysia semula. Ambil kau dan anak-anak duduk dekat dalam rumah ni. Ni rumah Rery belikan untuk kau. Atas nama kau sendiri."

Aku terdiam. Sedikit pun tidak bersuara. Tak nak nanti kena marah disebabkan menyampuk lagi.

"Tapi dalam perjalanan Rery ke lapangan terbang. Ada orang ikut dia. Macam mana aku boleh tahu? Sebab masa tu Rery tengah buat panggilan video dengan aku. Dan waktu tu, aku dekat Princeville dengan Fazio. Fazio tu wakil yang boleh dipercayai merangkap PA baru Rery dekat sini. Masa tu dah malam tapi aku masih dekat ofis lagi sebab nak pantau Si Fazio tu."

Rae menghelakan nafas panjang. Aku nampak wajahnya seperti menahan marah.

"Tak lama tu, Rery beritahu aku yang dia tak sedap hati. Macam ada yang ekori dia dari tadi. Rupanya sangkaan dia betul. Dan dia kemalangan teruk. Kereta seratus peratus remuk. Hampir je nak jatuh dalam gaung. Tapi nyawa Rery masih panjang. Aku rasa dia sempat keluar dari kereta tu dan ada orang tolong. Tak sampai beberapa jam, aku dapat panggilan daripada hospital."

Air mata aku menitis kembali. Kenapa dia orang ni kejam sangat? Disebabkan harta sanggup nak bunuh suami aku. Tak habis-habis dengan harta. Sumpah, aku rimas dengan semua ni. Tak boleh ke, bagi aku bahagia dengan keluarga aku?

"Doktor bagi tahu aku yang Rery amnesia. Ada sebahagian memori dia hilang. Bila dia sedar, dia masih boleh ingat aku lagi sebagai adik dia. Dan aku pun mengaku jujurlah yang aku adik dia. Cuma dia ingat kisah lama. Pasal ayah kita orang. Pasal arwah Ivander dengan Jessica. Aku tunggu juga dia sebut nama kau dengan anak-anak. Tapi malangnya tak ada. Dia langsung tak ingat."

Aku mengemam bibirku. Sedaya-upaya cuba menahan rasa sebak di dada. Aku tak tahu nak beri respons apa. Aku masih lagi kaget dalam situasi ini. Ini belum Noah bangun dari tidurnya. Entah apa reaksi Rery bila nampak Noah nanti. Mesti dia tak ingat.

"Ju, kau okey?" soal Rae. Nada suaranya sudah mula kendur sedikit.

"Okey. Cuma terfikir bila Noah bangun nanti. Takut dia tak boleh terima yang papa kesayangan dia tak ingat dekat dia. Dari Malaysia, dia tak sabar nak jumpa papa dia. Rindu sangat katanya." Bergetar nada suara aku ketika mengungkapkan ayat itu.

"Noah?" Rery menyoal dengan nada kosong. Nampak sangat dia tak ingat anak kesayangan dia tu.

"Ya, Noah Al-Qadr. Anak kesayangan biy. Dia rindu sangat dekat biy. Hari-hari dia tunggu biy balik Malaysia semula."

Rery terdiam. Mungkin cuba menghadam jawapan aku itu. Aku tak boleh paksa dia. Aku kena pujuk Noah supaya dia boleh terima keadaan Rery.

"Mana dia?"

"Dia tidur dalam bilik Rae. Gavino teman."

Rery kembali mendiamkan diri. Suasana sepi. Tiada siapa pun yang bersuara sekarang ini. Perlahan aku menoleh ke sisi. Waktu itu, Rery juga sedang memandang ke arahku. Kosong saja pandangannya. Senyuman pun tak ada. Aku mengalihkan pandanganku dari terus merenung wajahnya.

Kecewa di dalam hati tiada siapa tahu. Sekarang ni, aku tak tahu apa yang aku kena buat. Balik ke Malaysia dalam keadaan Rery macam ni? Lagi banyak soalan yang aku kena jawab yang keluar dari mulut Ryana dan Ryan. Dia orang pun boleh tahan rapat dengan Rery.

Ya Allah, buntunya kepala otak aku ni. Kalau aku dapat kepala musuh aku ni, memang aku tendang-tendang macam main bola sepak. Sungguh mencabar kesabaran aku saat ini!


Previous: MP 56
Next: MP 58

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.