MP 35

"LEPASLAH! Dasar penipu!" jerit aku sekuat hati. Orang tua tak sedar diri tu memang tak guna! Dia cakap nak berbual-bual dengan aku dengan cara baik. Tapi, alih-alih dia orang main kasar!

"Per favore calmati..., (Sila bertenang)" ujar Adamo sambil melabuhkan duduknya di atas sebuah kerusi kayu bertentangan dengan aku. 

Sempat lagi aku mengerling ke arah Rery dan Rae yang berada di sebelah kanan aku. Mereka tersandar pada dinding dengan keadaan separuh sedar. Chen terbaring di atas lantai dalam keadaan lemah. Habis wajahnya membengkak. Julian dan Melina berada di sebelah kiri aku, turut tersandar pada dinding. Aku memeluk erat tubuh Noah dan Eusoff. Kali ini, aku tak boleh bertindak melulu. Kemungkinan besar akan membabitkan nyawa mereka semua termasuk Noah dan Eusoff. Aku kena fikir secara bijak. Aku kena korbankan diri aku.

"Tsk... tsk... memang tak boleh aku nak nafikan yang kau ni cantik, Adra. Sangat cantik. Kalau aku tak bunuh kau pun, jual kau mesti untung besar aku ni. Tak pun, kau kerja dekat kelab malam. Memang kaya-raya aku!" Adamo melepaskan tawanya berdekah-dekah sambil menggelengkan kepala.

Sabar, Adra. Sabar... 

"Kau nak apa sebenarnya? Kau dah main tipu dengan aku. Kau cakap nak ajak aku dengan cara baik. Ni apa?" soal aku dengan nada keras. Adamo ni memang tak boleh layan kepala gila dia ni. Memang dah tak betul!

"Aku tak reti sangatlah nak berbaik dengan orang. Aku suka dengan cara kasar. Sorry la kalau kau rasa aku tipu kau. Jangan marah-marah, nanti cepat tua." Adamo menyindir aku. Kurang asam! 

"Aku malas nak layan kau kalau kau nak bermadah panjang macam ni. Kau dah sentuh ahli keluarga aku. Kau memang main kotor!" jerkah aku sehingga bergema ruangan bilik ini. 

Bang!

"Argh!" Aku memejamkan mata. Noah dan Eusoff menggenggam kain baju aku dengan erat. Aku dapat rasakan yang tubuh mereka menggeletar ketakutan. 

"Kau jangan berani-berani nak tinggikan suara dekat aku!" tempik Adamo sambil menjatuhkan tangannya ke sisi tubuhnya. Dia sengaja menakutkan aku dengan menembak secara bersasar. Memang gila!

Aku hanya mendiamkan diri. Kalau aku buka mulut lagi, sah-sahlah kali ni dia lepaskan tembakan di antara mereka semua. Baik aku diam dan menanti saja apa yang mahu dia bicarakan. Layan sajalah...

"Aku nak kau tukar nama semua harta yang ada kepada nama aku," ujar Adamo sambil menopang dagunya di atas paha menggunakan sebelah tangan.

"Tu je?" soal aku dengan anda bersahaja. Kemaruk sangat nak harta? Ambillah. Aku tak hadap pun semua harta yang ada. Bukannya boleh masuk kubur pun.

"Wah... berlagak kau, ya? Kau tahukan sekarang ni kau pemegang semua harta Handerville dan separuh harta Princeslon. Aku nak kau serahkan semuanya kepada aku. Tak ada yang tercicir satu pun." Adamo tersengih sambil mencalit dagunya sekali.

"Ambillah semua. Aku kasi kau bukan bermaksud aku mengalah atau aku tak sayang harta keturunan aku. Tapi, nyawa ahli keluarga aku lebih penting daripada semua tu. Kalau kau nak sangat harta tu, silakan. Lepas tu, jangan kau sentuh langsung ahli keluarga aku walaupun secuit," balas aku dengan nada bersahaja. Tak ada gunanya kalau melawan pasal harta dengan Adamo ni. Dah sah-sahlah nanti nyawa ahli keluarga aku jadi mangsa. Memang taklah aku pilih harta daripada nyawa mereka.

"Bagus. Senang rupanya berurusan dengan kau ni. Aku ingatkan kau ni gilakan harta. Rupanya kau tak macam bapak kau. Mungkin kau ikut perangai mak kau yang selalu merendah diri. Bapak kau dengan aku lebih kurang sama saja, Adra. Gila harta." Sekali lagi Adamo mengilai. Entah apa yang seronok sangat pun aku tak tahu. Mungkin kepala otak dah mental, macam tulah jadinya. 

"Jadi, apa lagi kau nak? Lepaskan kami semua. Dan, pasal harta tu. Semua ada dekat tokpa dengan nekma lagi. Aku tak ambil pun dokumen tu dekat dia orang. Sebab itu semua bukan kepakaran aku. Kita boleh jumpa di mahkamah untuk pertukaran nama tu."

Adamo mengangguk-anggukkan kepalanya. Tak lama itu, pintu bilik ditolak dari luar. Muncul dua susuk tubuh yang sepertinya aku kenal sedang mengheret tiga orang yang sepertinya tidak sedarkan diri masuk ke dalam bilik ini. Jantung aku berdegup kencang.

"Kalau aku cakap yang aku tak sengaja terbunuh nekma dengan tokpa kau, macam mana?" 

Berderau jantung aku dibuatnya. Macam... macam mana dia orang boleh lepasi ke nekma dengan tokpa? Sedangkan nekma dengan tokpa dah upah sekumpulan pengawal yang handal. Ini tak boleh jadi!

"Adamo!" jerit aku sekuat hati. Air mata aku bercucuran jatuh ke pipi. 

"Kenapa kau buat aku macam ni, Adamo? Kenapa? Kau tak patut hidup dekat muka bumi ni!" herdik aku sepuas-puasnya. Aku dah tak boleh nak bersabar.

"Ivan! Jess! Korang memang syaitan!" maki aku sambil mengalihkan pandangan ke arah Ivander dan Jessica yang baru saja menanggalkan topeng mulut mereka.

"Like I said my dear. Kau tak akan bahagia walaupun kau dah terlepas daripada aku," balas Ivander dengan senyuman senget terbit pada bibirnya. Memang dasar jantan tak guna! 

"Kau juga jangan harap yang kau selamanya boleh terlepas, Ivan. Kemungkinan besar Adamo akan heret korang berdua masuk penjara. Baru sama taraf," ejek aku. 

"Huh..." Jessica menyelak rambutnya ke belakang. Gedik sangat!

"Tak payah cakaplah, Aara Malika. Eh, salah nama pula. Juliana Adra. Aara atau Adra? Pada aku sama je. Dua-dua lembik. Lemah! Ahli keluarga sendiri pun tak boleh nak selamatkan. Sadis betul riwayat hidup kau...," sindir Ivan sambil meninggung di hadapan aku. 

"Dua-dua orang ni anak aku, kan? Kalau aku ambil, kau bagi tak? Aku tengok kau serahkan harta dekat uncle aku mudah je." Ivander mengusap pipi Noah dan Eusoff sekali gus. 

"Jangan sentuhlah! Memang taklah aku nak lepaskan anak-anak aku dekat manusia yang bertopeng syaitan macam kau!" tempik aku sambil menepis tangan Ivander kasar. 

Pang! 

Kepala aku terteleng ke kiri sekali gus rambutku terselak ke hadapan menutupi wajahku. Memang tak guna! Berani dia tampar aku. "Kau nak apa?" soal aku dengan nada bergetar. Menahan amarah yang semakin membuak-buak.

"Aku nak rasa badan kau ni lagi. Mana tahu kau boleh lahirkan lagi anak untuk aku? Tak ke gitu, sayang? Kaukan setia dengan aku. Percayakan aku sampai kau boleh lahirkan anak untuk aku. Kau tahu tak masa tu aku terharu sangat. Ada juga perempuan yang nak lahirkan zuriat untuk aku." 

Tuih! Aku meludah tepat ke arah wajah Ivander sehingga terpejam matanya. Rasakan... aku dah mula hilang sabar dengan dia orang bertiga ni. Memang tak boleh bagi muka langsung. 

Pang! Sekali lagi, Ivander menampar aku. Dan aku rasa tamparan ini lebih kuat daripada tadi. Perit pipi aku dibuatnya. Berpinar sedikit kepala aku. 

"Ivander!" Dengan tiba-tiba, Rery menerkam Ivander tanpa sempat Ivander mengelak. Mereka berdua bergelut sesama sendiri di atas lantai. 

Dengan ketangkasan yang selama ini Chen ajar, aku merentap pistol yang berada di belakang poket seluar Ivander kemudian diacukan ke arah Adamo dan Jessica bersilih ganti. "Korang berdua bergerak, aku tak teragak-agak nak lepaskan peluru betul-betul dekat dahi korang!" ugut aku.

"Berani ke? Berani kau nak lepaskan peluru tu? Kau tu pengecut, Aara," sindir Jessica sambil tersenyum senget.

"Oh, ye ke? Aku pengecut. Mari kita lihat." Aku membalas senyumannya itu. Lebih sinis.

Jessica menggelengkan kepala sambil melepaskan tawa gediknya itu. Bernanah telinga aku mendengar tawa dia. Macam kelakar sangat.

Bang!

"Argh!" Jessica jatuh terduduk saat peluru aku tepat menembusi pahanya yang terdedah itu. Bingo!

"Alamak! Sorry! Tak sengaja. Aku ingatkan peluru ni tersasar. Tak sangka pula tepat!" Aku pura-pura membuat reaksi cemas saat melihat darah mengalir deras daripada paha Jessica. 

Adamo memandang ke arah aku dan Jessica bersilih ganti. Dia tak pegang senjata ke? Kenapa dia tak keluarkan dan tembak aku ke apa? Macam ni gaya nak jadi mafia? Macam tak padan aje. Nak aje aku gelakkan. Tapi, takut terhilang fokus pulak. Aku yang kena balik.

Bang! Aku dengan secara tiba-tiba melepaskan tembakan pada dada Adamo. Dan, sekali lagi. Tepat! Betul-betul kena dekat dada Adamo. Aku rasa nak lompat saja sekarang ni! 

"Uncle!" teriak Jessica. Dia cuba mengesot ke arah Adamo yang sudah terbaring lemah di atas lantai. Baru shot sikit dah lemah ke? Siapa yang lembik sekarang ni? Aku ke dia?

Bang! Seronok pula main tembak-tembak ni. Semuanya tepat tembakan aku pada bahagian-bahagian aku yang sasarkan. Memang tak sia-sia aku belajar semua ni daripada Chen.

"Kau... memang tak guna..." Tersekat-sekat Jessica mahu mengeluarkan suaranya. Aku dah tembak dekat bahagian dada pun masih sempat lagi nak bercakap.

"Jess!" jerit Ivander saat melihat si isteri yang sudah tinggal nyawa-nyawa ikan.

"Kau..." Ivander mendekati aku dengan wajah bengisnya. 

Aku hanya berlagak seperti biasa. Langsung tak gentar. "Kau apa? Apa kau nak cakap? Tahniah? Sebab tembakan aku semuanya tepat-tepat belaka?" Sinis aku mengusiknya.

"Arghhh!" Ivander menerkam aku sehingga terhentak tubuh aku pada dinding. 

Sempat lagi aku mengerling ke arah Chen yang sedang memeluk Noah dan Eusoff lalu membantu Julian dan Melina membuka ikatan pada tangan dan kaki mereka. Rae pula aku tak dapat pastikan sama ada dia masih sedar lagi atau tidak. Tapi, aku nampak sepertinya dia sedang memandang ke arah aku dan Ivander.

"Ti voglio mort! (Aku nak kau mati!)" Ivander mencekak leher aku dengan kuat. Tercekik batang leher aku dibuatnya. Memang tekad betul dia nak bunuh aku. 

"Ahhh!" Aku menendang perut Ivander menggunakan kekuatan kaki sebelah kiri aku. Ivander tak dapat nak imbangkan tubuh sendiri lalu jatuh ke atas lantai. Sekali lagi, Rery menghempap tubuhnya dan menumbuk Ivander tanpa henti.

Tak lama itu, telinga aku menangkap bunyi tembakan secara besar-besaran di luar bilik. Aku memandang ke arah Chen yang ketika itu, dia turut memandang aku bersama senyuman kecil terbit pada bibirnya. Mungkin anak-anak buah Chen yang lain sudah dapat mengesan lokasi ketuanya. 

"Ju, aku nak kau keluar dari sini. Cepat! Bawa Noah dengan Eusoff. Ada perkara yang aku nak selesaikan." Rery perlahan bangun mendekati aku selepas memastikan Ivander sudah tidak sedarkan diri.

Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Memang taklah aku nak tinggalkan dia. "Tak nak. Kita semua keluar sama-sama. Jom..." Aku menarik tangannya. Tapi, dia merentap kembali tangannya lalu menggelengkan kepala.

"Rae, kuatkan diri kau Rae. Bangun. Kau bukan budak lagi. Kau bukan lembik macam dulu!" sergah Rery kepada Rae sambil menolak-nolak kaki Rae menggunakan kakinya.

"Aku nak kau keluar dengan Rae. Ian dengan Mel dah keluar dengan Chen. Eusoff dengan Noah ada dengan dia orang. Keluar cepat..." 

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Air mata aku kembali mengalir dengan deras. Tak, aku tak boleh tinggalkan Rery seorang diri dalam ni. Dia nak buat apa? Tak akan nak berpisah lagi. 20 tahun dia tunggu aku. 

"Abang nak buat apa? Abang cakap abang dah 20 tahun tunggu, Ju.  Apa ni?" Bergetar nada suara aku. Nak marah tapi tak boleh. Perasaan sebak lebih menguasai.

"Jangan menangis, sayang. Aku janji aku akan balik. Kau tunggu aku. Tak lama pun. Aku janji. Yang aku tahu, kau balik Malaysia. Ikut Ian dengan Mel. Sini tak selamat untuk kau. Tak ada apa dah dekat sini. Plan kita selama ni terpaksa dibatalkan dan gunakan plan mengejut aku. Kau sayang aku, kan? Kalau kau sayang aku, dengar apa yang Ian cakap. Faham?" 

Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil mengemam bibirku. Rae sudah pun berdiri menggunakan kudratnya yang masih tersisa. Tangannya memaut bahuku.

"Tak. Tak nak!" Aku memeluk tubuh Rery erat sambil melepaskan tangisan teresak-esak. 

"Aku sayang kau, Ju. Cinta aku tak pernah mati untuk kau. Aku nak kau selamat. Aku dah tak nak kau tersakiti lagi. Cukuplah dulu kau dah banyak tersakiti semasa ketiadaan aku. Sudahlah, Ju. Percayalah cakap aku. Aku akan kembali dekat kau. Kau tunggu aku..." Rery meleraikan pelukan kami. Terasa berat aku mahu melepaskannya.

"Rae, jaga dia untuk aku," pesan Rery kepada Rae.

"Kau nak buat apa? Kau jangan buat kerja gila, bang..." Rae sama seperti aku. Berat hati mahu melepaskan Rery.

"Aku uruskan apa yang belum diurus. Aku akan kembali. Lambat atau cepat. Aku akan balik. Itu janji aku." Rery menolak-nolak tubuh aku dan Rae sehingga keluar dari bilik lalu pintu itu ditutup dengan kasar.

Bam

"Abang!" Aku menjerit sambil meronta-ronta. Namun, Rae lebih kuat memeluk tubuh aku daripada mendekati pintu itu.

Bang! Bang!

Bunyi tembakan dari dalam bilik itu membuatkan rontaan aku terhenti. Apa yang Rery buat? Kenapa ada bunyi tembakan? Bukan semuanya dah pengsan ke? Ataupun dah mati?

"Rae, awak tengoklah Rery buat apa! Bukaklah pintu tu!"

"Adra! Dia dah kunci. Dia suruh kita pergi. Kau pekak ke? Kau tak dengar apa yang dia cakap tadi?" Berkerut-kerut dahi Rae menahan sakit pada bahagian perutnya sambil memarahi aku.

Aku terdiam seribu bahasa. Langkah aku menjadi lemah secara tiba-tiba dan...

"Adra! Hey, Adra!" 

Pandangan aku berbalam-balam dan lama-kelamaan menjadi gelap-gelita.


Previous: MP 34
Next: MP 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.