MP 53

BINGKAI gambar yang berada di atas meja lampu aku capai dengan hati yang sayu. Ketika itu, kami sedang bercuti bersama-sama dengan anak-anak. Air muka Rery sewaktu itu tampak begitu gembira sambil mendukung tubuh Ryana dan Ryan. Eusoff dan Noah berada di pimpinan tanganku.

Biy, kenapa biy menghilangkan diri macam tu aje? Biy tak rindukan honey ke? Nak dekat tiga bulan biy tak tanya khabar kita orang. Sibuk sangat ke, biy dekat sana? Sumpah, aku dah tak boleh nak menahan lagi air mataku dari berguguran. Aku takut sangat. Takut mimpi aku selama ini menjadi realiti. Persediaan apa yang harus aku buat?

"Mama..."

Aku toleh ke sisi. Kelihatan satu susuk tubuh kecil sedang berdiri di muka pintu bilikku dengan wajah sedih. Mataku sempat mengerling ke arah Ryana dan Ryan yang sudah sejam lalu dibuai mimpi.

"Noah, kenapa tak tidur lagi sayang?"

"Noah tak boleh tidur, mama. Noah miss papa so much." Noah berlari anak memeluk tubuhku dengan erat. Ya Tuhan... kuatkanlah hatiku ini.

"Sayang, jangan macam ni. Kalau Noah sedih, mama dua kali ganda lagi sedih. Mama pun rindu sangat dekat papa."

"Bila papa nak balik? Mama kata hari tu, he will come back as soon as possible. Tapi, setiap hari Noah tunggu papa depan pintu. Dia tak balik-balik pun, mama."

Lidahku terkelu. Jawapan apa yang harus aku berikan kepada anakku ini, Ya Allah. Tak akan aku nak berbohong? Rery sama sekali melarang aku berbohong kepada anak-anak.

"Sayang, mama pun tak tahu apa papa buat sekarang ni. Noah tahukan, papa dah lama tak call kita. Mungkin dia terlalu sibuk uruskan syarikat dekat sana. Kita kena faham situasi dia, sayang. Dia buat semua ini untuk kita." Dengan berhati-hati, aku mereka ayat yang mampu menenangkan hati kami yang bergelora.

"Noah wants to hug and kiss papa." Noah menangis. Terenjut-enjut bahunya melepaskan tangisan. Kasihan anak aku seorang ini. Terlalu merindui Rery. Walhal, Rery itu bukanlah ayah kandungnya. Rery merupakan bapa saudaranya memandangkan arwah Ivander sepupu kepada Rery.

"Jangan menangis, Noah. Mama tak boleh tengok Noah menangis macam ni. Pleasebe strong for me? Kita banyakkan doa untuk papa, ya?"

Noah sekadar menganggukkan kepalanya sebelum kepalanya berlabuh di atas bahuku. Tubuh genitnya aku dakap dengan penuh erat. Aku tak sanggup melihat anak aku bersedih seperti ini. Apa yang harus aku buat sekarang ini? Patutkah aku ke Itali dan mencari Rery di sana?

Tapi.... Kalau aku keutarakan cadangan aku ini, Julian seratus peratus akan membantah. Aku musykil. Kenapa Julian melarang sangat aku pergi ke Itali, kecuali dengan mereka. Tak boleh ke, aku pergi ke Itali seorang diri?

Tak akan disebabkan keturunan aku ini terlalu ramai musuh, sampaikan Julian takut nak lepaskan aku dekat Itali. Aku ingat lagi pesanan Julian lima tahun yang lepas. Musuh-musuh keturunan aku dekat sana bukan sembarangan musuh. Sekali dia orang dah bertemu mata dengan keturunan Princeslon atau Handerville. Pasti mereka akan buru secara habis-habisan. Mudah kata, sampai mati.

Noah yang sudah tertidur di atas bahuku, perlahan aku baringkan bersebelahan dengan Ryan. Aku tak dapat nak lelapkan mata. Aku kena berbincang dengan Julian. Nak tak nak, aku kena juga pergi Itali cari Rery untuk sekali lagi.

JULIAN menggelengkan kepalanya. Aku dah dapat agak dah reaksi dia. Pasti dia akan bebel aku punya. Memandangkan aku tak boleh nak tidur, aku turun ke bawah untuk basahkan tekak dengan segelas air sejuk. Tak sangka pula, Julian belum tidur. Sekali-sekala mereka akan tidur di rumah aku memandangkan Rery tiada di rumah.

"Kenapa? Abang nak suruh Ju tunggu sampai bila? Rery janji dengan adik hanya setahun dua bulan. Ini dah nak masuk setahun tiga bulan. Dengan tak ada khabar berita daripada dia? Abang ingat senang-senang Ju nak jalankan kehidupan seharian Ju tanpa dia?" Aku bersuara kerana tidak puas hati dengan sikap Julian.

"Kan abang dah cakap. Dekat Itali...."

"Dekat Itali tak selamat. Musuh keturunan Princeslon dan Handerville sentiasa memburu. Ju tahu abang. Tapi, tak akan Ju nak biarkan Rery seorang diri kat sana. Jangan disebabkan dia Rery El-Sharif, dia boleh berdepan dengan semua musuh. Ibarat dia seorang yang kebal. Macam tu?"

"Abang tahu tu, Ju. Tapi bukan setakat abang aje tak kasi Ju pergi sana. Rery pun tak kasi. Dan abang dah janji dengan dia akan jaga Ju bila dia tak ada. Selama mana pun. Atau sampai bila-bila!" ujar Julian dengan nada suaranya sedikit mendatar. Wajahnya mulai tegang.

Berdesing hati dan telinga aku mendengar ayat Julian. Sampai bila-bila? Maksud dia, Rery tak akan balik semula dekat aku sampai bila-bila?

"Ju tak kira abang. Abang laranglah Ju macam mana sekalipun. Ju dah tak sanggup nak pendam perasaan Ju lagi. Perit, bang. Perit sangat-sangat. Bukan setakat Ju saja. Noah hari-hari menangis rindukan Ju sampaikan Ju dah tak tahu nak bagi jawapan apa." Tak betah aku bercakap dengan Julian lagi sebab aku tahu, dia tak akan izinkan aku pergi ke Itali.

"Abang tak akan izinkan Ju pergi Itali. Abang akan suruh anak-anak buah abang dekat sana cari Rery sampai dapat. Puas hati Ju?"

Pandangan mata aku dan Julian bersabung. Aku tidak terus membalas. Cuba mencerna apa yang dikatakan oleh Julian sebentar tadi. Sekali gus merancang perancangan aku sendiri untuk dapat pergi ke Itali tanpa pengetahuan mereka.

"Okey. Puas." Aku menganggukkan kepala sekali sebelum kaki mula mendaki anak tangga pertama.

"Jadi, Ju tak akan pergi ke Itali. Titik. Ju dengar tak?"

"Ya, Ju dengar. Ju tak akan pergi Itali kalau abang dah suruh anak-anak buah abang carikan." Aku sekadar menjawab dengan nada sambalewa. Malas mahu menatap wajah Julian yang masih lagi tegang itu.

Too much protective! Aku dah umur 30 tahun. Bukannya tiga tahun. Dia buat aku macam aku ni lembik sangat. Lemah. Agaknya masih ingat aku ini Aara Malika. Seingat aku, Aara Malika dah lama mati. Dah tak wujud. Aku dah gunakan nama sebenar aku.

Juliana Adra Handerville.

Aku kena fikirkan strategi untuk aku lepas pergi ke Itali. First of all, mestilah aku kena tempah tiket penerbangan dulu, kan? Hari apa yang boleh aku pergi ke sana? Aku tak boleh tampak tergesa-gesa untuk ke sana. Takut-takut terkantoi. Julian tu dahlah banyak mata-mata yang selalu memerhatikan aku.

Itu satu hal. Lagi satu hal sekarang ni, siapa nak jaga anak-anak aku? Tak akan aku nak bawa dia orang sekali. Itu dah memudaratkan keselamatan mereka.

Argh! Fikirlah Juliana. Kenapa otak kau lembap sangat nak berfungsi ni? Aku kena selamatkan suami aku. Mana boleh aku berdiam diri dekat sini, sedangkan dia? Entah apa yang terjadi dekat dia tanpa pengetahuan aku.

Melina. Ya, Melina mesti boleh tolong aku punya. Dia pun seorang isteri. Jadi, dia mesti tahu perasaan bila suami hilang dari radar. Aku kena minta tolong dekat dia untuk jaga anak-anak aku. Dan semestinya aku kena pujuk anak-anak aku dulu sebelum aku menghilangkan diri.

Ya Allah, permudahkan semua urusanku. Tujuanku cuma satu. Mahu menyelamatkan suamiku yang mungkin dalam kesusahan.


Previous: MP 52
Next: MP 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.