MP 56

NOAH begitu asyik menikmati santapan yang baru saja tiba. Masih lagi berasap makanannya. Kasihanlah anak aku seorang ini. Lapar sungguh. Mujur ada Gavino yang sudi menemani aku untuk membawa aku dan Noah menjamu selera. Tapi terdetik juga hatiku. Gavino begitu mudah rapat dengan orang yang baru dikenalinya. Aku tak nak berburuk sangka. Aku berharap sangat yang Gavino seorang yang baik dan bukan musuh kepada keturunan keluarga aku.

"Gavino, tak apa ke kalau awak balik lambat ke rumah semata-mata teman saya dan Noah ni?"

Gavino mendongakkan kepalanya sebelum tersenyum kecil. Kepala digeleng sekali. "Tidak mengapa. Lagipun saya duduk seorang saja. Tiada siapa yang kisah tentang saya."

Dia duduk seorang diri aje? Sebatang kara ke dia ni? Tak akan tak ada keluarga atau saudara-mara terdekat?

"Lepas ni, Adra dan Noah nak ke mana?"

"Ke Princeville Holdings," jawab aku dengan pantas. Mesti Gavino tahu tentang bangunan itu memandangkan syarikat itu sekarang sedang dalam carta Top 5.

"Prince... Princeville?" Sepertinya Gavino terkejut dengan jawapanku. Apa jadi dengan Princeville Holdings sehinggakan dia terlalu terkejut?

"Ya, kenapa?"

"Tak. Cumanya untuk apa Adra nak ke sana? Bangunan itu pun sekarang dah ditutup buat sementara disebabkan tiada siapa yang menguruskan syarikat itu. Itu yang saya dengarlah."

Zup! Jantung aku bagaikan direntap keluar daripada tubuh. Princeville Holdings ditutup buat sementara? Tak ada siapa yang urus? Mana Rery pergi? Apa yang telah terjadi sebenarnya ini? Berderau darah aku dibuatnya macam ni.

"Kenapa boleh tutup? Sebab apa?"

Gavino menggelengkan kepalanya. "Saya tak tahu info secara terperinci. Itu pun dengar dari mulut-mulut orang ramai. Tiba-tiba syarikat itu tidak lagi menyerlah dan sepertinya sudah tutup. Tiada siapa yang ada dekat bangunan itu. Terbiar begitu saja."

Jantung aku berdetak semakin laju. Tidak keruan aku dibuatnya. Aku tidak dapat menghabiskan makananku. Lesap selera makan aku.

"Saya kena pergi sana. Ada hal penting saya kena buat."

"Situ ada pengawal keselamatan yang menjaga dan juga beberapa orang polis. Mungkin nak buat siasatan. Bahaya untuk awak pergi ke sana, Adra."

Kepala aku geleng laju. Mataku sudah berkaca-kaca. Aku dah tak boleh nak duduk diam lagi. Aku kena pergi sana dan tengok dengan mata kepala aku sendiri. "Saya minta maaf, Gavino. Saya kena pergi juga. Terima kasih sebab sudi teman saya dan Noah makan. Saya pergi sana naik teksi saja."

Tanpa membuang masa lagi, aku terus mendukung tubuh Noah. Mujur saja anak aku ini sudah habis makan. Cepat-cepat aku membayar di kaunter pembayaran sebelum mencari teksi yang boleh membawa aku ke Princeville Holdings.

"Mama, kenapa mama rushing? Ada apa? Mama dah jumpa papa ke?" soal Noah yang berada di atas pangkuanku. Tubuhnya aku peluk erat sambil kepala menggeleng perlahan.

"Tak, sayang. Ada benda yang mama kena tengok dengan mata mama sendiri. Noah behave okey, sayang?"

Noah sekadar menganggukkan kepalanya dan pada masa yang sama, wajahnya sedikit berkemut. Mungkin pelik melihat aku yang tergesa-gesa secara tiba-tiba. Aku tinggal saja Gavino di sana. Berkali-kali dia panggil aku tapi aku dah tak boleh tunggu lagi. Aku takut dia larang aku nak ke sana. Sebab tu aku kena cepat.

SEBAIK saja membayar tambang teksi, aku terus mendukung tubuh Noah sekali gus meloloskan diri keluar dari dalam perut teksi tersebut. Bangunan yang tersergam indah menyapa penuh kornea mataku. Memang betul cakap Gavino, bangunan ini kelihatan seperti sudah terbiar. Kosong dan gelap. Mana Rery? Mana suami aku pergi? Kenapa boleh jadi macam ni?

"Noah, mama nak masuk dalam bangunan ni. Noah please, jangan buat bising."

Noah peluk leherku erat sambil kepalanya diangguk sekali. Kepalaku tertoleh ke kanan kemudian ke kiri. Sudah serupa perompak mahu memecah masuk ke dalam bangunan ini. Sedangkan ini bangunan syarikat keturunan keluarga aku sendiri. Memandangkan ini kali pertama aku menjejakkan kaki di Princeville Holdings, Venice pasti mereka tidak mengenaliku. Melainkan nama aku sentiasa menjadi sebutan Rery di sini.

Perlahan-lahan aku masuk ke dalam bangunan itu. Kosong. Sunyi. Aku menapak selangkah demi selangkah pun masih boleh dengar detapan kasutku. Noah hanya membisu seperti yang disuruh olehku. Meliar mataku melihat suasana sekeliling. Perabot semua masih kelihatan baru. Tak ada pula nampak yang mencurigakan. Nak cakap bersepah, tidak pula. Kemas dan bersih.

Dap. Dap.

Tubuhku kaku tatkala telingaku dapat menangkap bunyi detapan kasut orang lain. Ini bermakna, ada orang lain selain aku. Apa aku nak buat sekarang ni? Sudahlah ada Noah. Memang mengundang nahas betul aku ni. Ya Allah....

"Mama, hide behind the walls," bisik Noah. Cerdik sungguh anak aku ini memberikan idea sewaktu aku sedang panik memikirkan cara untuk aku mengelak daripada bertembung dengan mana-mana orang di sini.

"Shhh...." Aku menekup mulut Noah agar dia tidak berbuat bising. Sekarang ini, aku sedang menyorok di sebalik dinding yang agak tersembunyi sedikit. Aku berharap sangat tiada siapa yang berjaya menemui aku di sini.

"Conosco qualcuno lì. (I know someone there.)"

Aku mengetap bibirku sehingga merah. Aku faham apa yang dimaksudkan oleh suara garau lelaki itu tadi. Dia dapat kesan yang ada orang sekeliling sini. Patut ke, aku tonjolkan diri? Atau kekal berdiri di sebalik dinding ni?

"Urmphhh!" Aku meronta-ronta minta dilepaskan apabila ada satu tangan kekar menekup mulutku dari belakang kemudian diheretnya tubuhku keluar dari sebalik dinding itu.

"Ikut aku, kalau kau nak selamat," ujar lelaki itu dengan nada berbisik. Dari jauh masih kedengaran suara lelaki yang sepertinya dapat mengesan aku tadi. Yang tengah tarik aku ni, siapa pula? Tapi suara dia, macam aku kenal. Familiar.

"Aduh!" Aku mengusap bahuku yang terasa sengal dek terlanggar badan kereta lelaki yang mengheret aku ini. Punyalah kasar. Nasib baik Noah tak ada apa-apa.

"Ju, kau memang dah gila. Kenapa kau boleh ada dekat sini?"

"Uncle Rae!" sorak Noah penuh keterujaan sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya.

Rae menghelakan nafas panjang sebaik saja menanggalkan topeng muka kain berwarna hitam itu tadi. Rae rupanya, macam mana dia boleh tahu aku ada dekat sini?

"Adra, awak okey ke?"

Aku memalingkan tubuhku ke belakang. Noah sudah aku turunkan ke bawah kerana dia mahu didukung oleh Rae. Ini lagi satu kejutan. Dan macam mana Gavino boleh ada dengan Rae? Apa hubungan dia orang berdua ni?

"Gavino... macam mana?"

"Dia kawan saya. Maaf sebab saya tak jujur dengan awak. Saya tinggal bersama dengan Rae." Gavino mengusap belakang tengkuknya. Mungkin rasa bersalah kerana tidak jujur dengan aku. Lagipun dia sendiri tak tahu yang aku dengan Rae merupakan ipar.

"Rae, mana kau menghilang selama ni? Kau cakap kau nak pergi Venice sekejap aje. Ini menyepi. Tak ada khabar."

"Aku cari kehidupan aku sendirilah. Kau tak payah risau dekat aku. Kau patut risau dekat Rery."

Aku mencebik. Tangan naik bersilang ke dada. "Itulah tujuan aku datang ke sini. Mana Rery? Apa jadi dengan Princeville?"

"Panjang ceritanya. Ada baik kau masuk dalam kereta sekarang sebelum musuh-musuh nampak kita. Kau jangan cari nahas, Ju. Mati aku dikerjakan oleh Rery tak pun Julian."

Mendengarkan nama Julian membuatkan aku rasa kesat hendak menelan air liur. Rae tak tahu lagi yang aku datang ke sini tanpa pengetahuan Julian.

"Kau tak payah nak tayang muka takut tu sangat. Sendiri cari pasal, kan? Ian dah tahu kau datang sini tanpa pengetahuan dia. Sebab tu, dia call aku. Gavino ni anak buah dia."

Aku terdiam seribu bahasa. Julian dah tahu? Tak sampai beberapa hari aku dekat sini, dia dah boleh kesan aku dekat mana? Sungguh bijak abang aku seorang ini. Langsung dia tak nak bagi aku lepas. Gavino ni anak buah baru dia ke? Kenapa sebelum ni aku tak pernah nampak? Aku kenal Chen saja.

"Nanti-nantilah kau nak fikir semua tu. Ada baiknya kau masuk kereta sekarang. Kita balik rumah. Kau nak sangat jumpa Rery, kan? Tapi aku minta jasa baik kau. Kentalkan hati kau tu. Rery tak macam yang kau sangka sekarang ni. Aku harap kau faham."

Aku segera meloloskan diri masuk ke dalam perut kereta bersama Noah. Tubuh Noah aku peluk erat ke dada. Jantung tak usah diterangkan. Macam dah nak melantun keluar. Kenapa dengan Rery? Dia sakit ke? Kenapa Rae bagi pesanan yang langsung tak menyedapkan hati aku? Janganlah mimpi aku selama ini menjadi kenyataan.

Okey, sekarang ni. Dia orang nak bawa aku dan Noah balik ke rumah siapa? Aduh... serabut fikiran aku macam ni. Boleh jadi depression aku macam ni lama-lama. Kenapa semua orang nak berahsia dengan aku? Entah-entah Julian dah tahu mengenai Rery tapi dia tak nak beritahu aku. Macamlah aku tak tahu perangai Julian tu macam mana!


Previous: MP 55
Next: MP 57

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.