MP 23

LAMA aku merenung ke arah wajah Julian. Sudah tiga kali dia menyeru sebaris nama itu. Aku tak tahu reaksi apa yang harus aku tunjukkan sekarang ni. Jantung aku tak usah diterangkan, berdetak laju, dah macam nak terkeluar dari tubuh badan sendiri.

"Adra, abang ni, sayang. Abang yang selama ni cari Adra. Abang tahu Adra tak ingat kat abang sebab masa tu Adra baru saja tiga tahun. Tapi, abang nak Adra tahu. Kita dulu bagaikan adik-beradik kandung. Rapat sangat. Abang sayangkan Adra macam adik abang sendiri. Lebih dari Jess." 

Aku terkesima. Lutut aku kendur secara tiba-tiba. Kenapa baru sekarang? Kenapa tak dulu lagi aku jumpa Julian? Patutlah selama ni aku rasakan Julian seperti sangat dekat dengan aku. Rupanya firasat aku benar belaka. Aku ada kaitan dengan Julian walaupun kami tak sedarah.

"Ab... abang..." Sungguh janggal aku mahu memanggil dia abang. Julian menganggukkan kepalanya sambil melangkah mendekati aku. Tubuh aku ditarik ke dalam pelukannya. Dan saat itu juga, aku terdengar dia melepaskan tangisannya teresak-esak.

"I miss you, Adra. I miss you a lot. Berpuluh tahun abang cari Adra. Rupanya Adra selama ni berada di Malaysia tanpa abang sedar. Entah macam mana Adra ada dekat Malaysia pun abang tak tahu. Sedangkan kemalangan 20 tahun lepas tu berlaku di Itali." 

Aku terdiam sejuta bahasa.

"Juliana Adra Handerville. Anak kepada Jonathan Handerville. Adra anak jati kelahiran Itali. Anak mata Adra mewarisi anak mata papa Adra sendiri." 

"Abang, betul ke semua ni? Bukan prank, kan? Kenapa hati Aara sakit bila dapat tahu semua ni? Kenapa nama Aara ditukar? Kenapa Aara boleh ada dekat sini?" 

Julian mengusap belakang aku lembut sebelum dia menarik aku menghampiri Melina yang masih lagi duduk di atas sofa bersama Eusoff. 

"Ada sebab kenapa abang pergi ke Itali. Sebenarnya, abang uruskan semuanya pasal Adra. Bila abang dapat tahu Aara adalah Juliana Adra. Abang tak tahu macam mana abang nak ungkapkan kegembiraan abang. Hanya Melina saja tempat abang meluah masa tu. Abang tak nak tergopoh-gapah bila dapat tahu perkara sebenar. Biar abang selesaikan satu per satu sebab abang sedar. Dalam keluarga kita, ada yang busuk hatinya."

"Sebab harta?" 

Lambat-lambat Julian menganggukkan kepala. Begitu complicated sekali jalan cerita hidup aku rupanya. Aku ingatkan bila aku ni dapat tahu yang aku anak kepada Jonathan Handerville, aku akan jadi senang. Rupanya tidak. Dalam keluarga sendiri ada yang busuk hati. Adakah Jessica dan Ivander?

"Semua yang menjadi tanda soal dalam fikiran ada dalam fail yang abang dah sediakan ni. Abang tak Adra sakit kepala fikirkan semua ni. Nak terima semua ni. Abang bagi Adra masa. Pasal Noah, abang akan upah orang untuk cari. Adra jangan sedih, ya? Abang tak nak tengok Aara sedih. Sebab apa? Musuh kita suka tengok mangsanya bersedih dan kecewa. Terutamanya bila Adra cepat putus asa." 

Aku menganggukkan kepala. Faham akan maksud Julian. Aku menghelakan nafas panjang sambil memejamkan mata buat seketika. Niat aku untuk melarikan diri terbatal dek kebenaran yang telah terungkai. Maknanya aku bukan berasal dari sini. Aku lahir di Itali. Dan sewaktu aku berusia tiga tahun, aku mengalami kemalangan bersama keluarga aku. Tapi macam mana, aku boleh tercampak sampai ke Malaysia? Soalan demi soalan bermain dalam minda aku. Aku harap sangat ada beberapa jawapan yang dapat memuaskan hati aku.

AKU melabuhkan duduk di atas tilam. Kaki aku bawa bersila. Fail lutsinar tadi aku letak betul-betul di hadapan aku. Okey, sekarang ni aku kena kumpul kekuatan untuk aku terima jawapan demi jawapan untuk soalan-soalan aku. Aku bukan lagi Aara Malika. Tapi, nama tu mak cakap arwah ayah yang bagi. Jadi, aku rasa sayang nak ubah. Tak apa. Untuk aku akan fikirkan kemudian.

Fail tadi aku selak pada halaman pertama. Boleh tahan panjang isi kandungan dia. Fuh... aku kena fahamkan satu per satu supaya aku tak tersalah sangka atau tersilap faham. Benda ni sangat berat bagi aku setelah 20 tahun aku terpisah dengan keluarga kandung aku sendiri. Bayangkan 20 tahun lamanya, aku tak tahu apa-apa. Sedangkan ramai dah menegur aku sekiranya aku ni ada kacukan ataupun aku ni anak angkat mak dan arwah ayah. Tapi, mak dengan arwah ayah cakap yang aku ni anak dia orang. Jadi, sampai sekarang percayalah.

Tertera tajuk besar pada halaman pertama di sebelah kiri. Handerville dan Princeslon. Belum apa-apa lagi, kening aku dah hampir bercantum. Setahu aku, Princeslon nama keluarga Rery, Rae dan Ivander. Dan, Handerville nama keluarga aku? Juliana Adra Handerville. Tenang, Aara... baca dulu isi kandungannya.

Keturunan Handerville dan Princeslon merupakan jutawan yang paling terkenal di Venice, Italy. Princeslon dan Handerville sudah bergabung menjadi seperti sebuah keluarga yang besar sejak keturunan terdahulu. Mereka tak pernah berputus saudara. Syarikat yang terkenal, dikenali sebagai Princeville Holdings sudah dibangunkan sejak keturunan nenek moyang mereka. Datuk dan nenek moyang keturunan Handerville dan Princeslon merupakan sahabat baik.

Aku menghentikan bacaanku. Boleh tahan latar belakang keluarga aku ni. Aku langsung tak terfikir dan tak jangka yang aku ni anak kepada jutawan terkenal di Venice. Weh... Venice! Tempat tu cantik sangat. Pernah aku jadikan Venice sebagai tempat melancong idaman aku. Agak-agak aku dapat pergi tak?

Tak nak membuang masa lama-lama, aku meneruskan pembacaan aku pada tajuk kedua iaitu latar belakang keturunan Handerville dan Princeslon. Kalau aku baca ni, sampai esok rasanya tak habis. Tak sabar rasanya nak tahu. Dah macam baca karangan sekolah. Haish...

Satu per satu gambar yang berada di dalam carta pokok keluarga itu aku tenung. Betul-betul mereka senaraikan semua keturunan Handerville dan Princeslon. Jenuh aku nak membacanya satu per satu. Aku hanya membaca sekali imbas sampai mata aku terhenti pada nama Jonathan Handerville. Nama papa, kan? 

Jonathan Handerville merupakan anak tunggal Benjamin dan Sarah dalam keturunan Handerville. Jonathan seorang graduan di universiti terkenal di ibu kota Venice. Jonathan rapat dengan Adamo Princeslon sejak kecil lagi memandangkan keluarga mereka memang sudah rapat sejak datuk moyang mereka lagi. Mereka dilahirkan sebagai orang Islam tetapi cara hidup mereka lebih kepada kebaratan. Jonathan seorang yang terkenal dengan senyumannya. Dia memang seorang yang peramah dan pemurah senyuman. Tidak seperti sahabatnya, Adamo Princeslon.

Siapa Adamo dalam keluarga Rery, Rae dan Ivander? Yelah, nama keluarga dia orang sama. Mesti ada kaitan. Papa seorang yang terkenal dengan senyumannya. Mesti papa kacakkan orangnya? Agak-agak papa dengan mama sekarang dekat Itali ke? Tunggu Aara datang sana, ya. Tak pasal-pasal aku tersenyum. Tak sabar pula nak jumpa dia orang.

Pada tahun 1990, Jonathan berkahwin dengan seorang gadis bernama Humairah Sofia yang merupakan anak jati Malaysia. Humairah menyambung pengajiannya di universiti yang sama dengan Jonathan. Keluarga Handerville menerima Humairah masuk ke dalam keturunan keluarga mereka. Namun lama-kelamaan mengundang perasaan benci dalam hati Benjamin, iaitu bapa Jonathan kerana Humairah gagal melahirkan zuriat untuk Jonathan setelah tujuh tahun mereka berkahwin. 

Bacaan aku terhenti. Dia orang bencikan mama? Sebab mama tak dapat nak bagi dia orang cucu? Macam tu pun boleh ke? Memang penting sangat zuriat tu daripada hati mama. Ya Allah... mesti peritkan mama lalui perjalanan hidup mama. Hari-hari kena hadap datuk aku tu. Sama aje macam Ivander. Gila nakkan anak. 

Pada bulan Februari 1997, Jonathan berkahwin dengan seorang janda beranak dua bernama Melinda atas permintaan Humairah sendiri. 

Mama... baiknya mama. Kenapa mama boleh izinkan papa kahwin lain semata-mata nakkan zuriat? Lepas tu, papa kahwin dengan janda anak dua. Bermakna, papa berkahwin dengan mak Julian dan Jessica? Sebab tu Julian cakap yang kami ni bukan sedarah. Lain mak dan lain bapa.

Tak sampai setahun, Jonathan dan Melinda berkahwin. Humairah disahkan hamil sebulan. Benjamin dan Sarah begitu gembira sekali sehingga mengadakan pesta besar-besaran di Kota Venice. 

Haih... bila mama tak mengandung kena pinggirkan. Bila mama dah mengandungkan aku, barulah nak disanjung. Aduh... macam ni punya manusia pun boleh, ya? 

Pada bulan Mac 1998, Humairah selamat melahirkan seorang puteri yang diberi nama Juliana Adra Handerville. Sekali lagi Benjamin dan Sarah mengadakan majlis sambutan secara besar-besaran dan mengundang ramai orang ke majlis itu selama tiga hari tiga malam.

Perlahan aku menggelengkan kepala. Seram pula aku baca. Masa aku lahir tu bukan main dia orang bermajlis bagai. Sungguh aku tak sangka, aku lahir dalam latar belakang keluarga yang macam ni.

Tragedi berlaku pada tahun 2001 di mana Jonathan, Humairah dan Juliana mengalami kemalangan yang sangat tragis sehingga melibatkan nyawa Jonathan dan Humairah. Kanak-kanak bernama Juliana itu tidak dapat diketemui di tempat kejadian. Ada yang mengatakan kanak-kanak itu sudah jatuh ke dalam gaung yang sangat dalam. Tapi, berita itu masih belum dapat kesahihannya lagi. Sehingga kini, keluarga Handerville dan Princeslon masih lagi mencari kanak-kanak bernama Juliana Adra Handerville.

Perlahan fail itu melorot jatuh dari genggaman aku. Papa... mama... dah tak ada? Dia orang dah meninggal dunia waktu kemalangan tu berlaku. Dan aku? Dia orang langsung tak dapat jumpa aku? Ma... macam mana? Kenapa? Mustahil dia orang tak dapat ketemui aku. Tanpa sedar, air mata aku mengalir lebat. Baru saja sebentar tadi, aku teruja nak jumpa papa dengan mama. Tapi, dia orang dah tak ada sejak 20 tahun yang lepas. Ya Allah... peritnya nak terima kenyataan ini.

"Adra..." 

Aku mengangkat wajahku yang sudah basah dengan air mata. Mungkin kedua-dua belah mata aku pun sudah merah.

"Abang... mama... papa..." 

Julian tersenyum tipis. Dia melabuhkan punggungnya di sisiku. Bahuku dipeluk rapat ke dadanya.

"Ya, Adra. Papa dengan mama dah tak ada sejak 20 tahun yang lepas. Maafkan abang..."

Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Bibir aku ketap kuat. Tangan naik mencengkam baju di bahagian dadaku sendiri. Sakit...

"Abang..." Aku tak tahu nak cakap apa. Serius, aku speechless. Tak terungkap kata-kata waktu sekarang ni. Aku hanya mampu menangis saja. 

"Tak apa. Menangislah sepuas hati, Adra. Abang janji abang sentiasa ada dengan Adra sampai hujung nyawa abang. Kali ni abang tak akan sia-siakan Adra. Abang tak akan biarkan Adra seorang diri. Itu janji abang masa Adra umur tiga tahun lagi." Julian tersenyum sambil membelai rambut panjangku.

"Te... terima kasih, abang...," ucapku tersedu-sedan.

Julian menganggukkan kepalanya.

"Tapi... macam mana Aara boleh ada dekat Malaysia? Siapa yang bawa Aara ke sini?" soal aku ingin tahu. Dalam fail tak ada cakap apa-apa untuk soalan aku yang ni.

Julian menggelengkan kepala. "Soalan Adra tu abang masih tak dapat nak kasi jawapan lagi. Tapi jangan risau, lambat atau cepat jawapan tu tetap ada. Adra sabar, ya. Bagi abang selesaikan satu per satu. Maafkan abang sebab mengambil masa yang agak lama." 

Aku hanya menggelengkan kepala. Tak lama itu, kedengaran bunyi getaran dari telefon bimbitnya. Saat itu juga, air mukanya berubah. Aku merenung sisi wajahnya.

"Kenapa abang?" 

Julian meletakkan telefon bimbitnya di atas riba. Aku nampak dia mengetap bibir kuat dan juga mengepal kedua-dua penumbuknya sehingga urat menimbul. Apa yang dia marah sangat ni?

"Noah." 

"Noah? Kenapa dengan Noah? Abang jangan buat Aara takut!" Tanpa sengaja, aku meninggikan suara. Kenapa hari ini, satu per satu ujian aku kena hadap?

"Noah tak ada kat Malaysia." 

Dum! Jantung aku seakan-akan berhenti. Secara tiba-tiba aku tak tahu macam mana nak bernafas dengan sempurna. Aku mencengkam lengan Julian kuat tanpa aku hiraukan sakitnya.

"Apa maksud abang?" jerit aku.

"Adra, calm down. Jangan macam ni. Kalau Adra macam ni, tak selesaikan masalah. Kita kena tenang. Abang jamin Noah selamat. Cuma sekarang ni, dia tak ada dekat Malaysia. Ivander dan Jessica pun tak ada dekat Malaysia. Memang sah dia orang yang bawa lari Noah." 

Aku menggeleng-gelengkan kepala.

"Abang! Anak Aara tu, bang! Mana boleh... tak boleh..." Pandangan aku secara tiba-tiba berbalam-balam.

"Adra! Adra!" 


Previous: MP 22
Next: MP 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.