MP 58

AKU dah agak dah. Perkara seperti ini akan berlaku. Macam manalah aku nak pujuk Noah ni? Ya Allah... besar betul dugaan yang kau turunkan kepada aku. Berikanlah aku kesabaran yang tinggi. Boleh dikatakan sekeliling wajah, aku garu. Buntu.

"Kenapa papa tak ingat Noah? Siapa buat papa?" Noah mengongoi. Sedar saja dari lena, terus dia bertanyakan tentang Rery. Aku pun masa tu dah tak tahu nak bagi jawapan apa. Nak tak nak, aku kenalah berterus-terang dengan dia. Dia bukan lagi kecil yang tak boleh faham.

"Sabar, sayang. Sama-sama kita pulihkan ingatan papa semula, ya. Noah kena tolong mama. Tak mahulah menangis macam ni. Kalau papa nampak pun, mesti dia tak suka. Noah ingatkan pesan papa apa?"

Noah menganggukkan kepalanya. Tersedu-sedan. Pinggangku dirangkulnya erat sambil menyandarkan sisi wajahnya pada perutku. Kasihan anak aku ini. Betul-betul dia rindukan papa kesayangan dia.

"Papa?"

Aku terkebil-kebil. Perlahan kepala dibawa toleh ke belakang. Kelihatan Rery sedang tercegat di muka pintu. Wajahnya dingin seperti biasa. Macam kali pertama aku kenal dia dulu. Aku perasan bibir Noah sudah melengkung senyuman lebar. Lekas-lekas dia meleraikan pelukan daripada tubuhku lalu berlari ke arah Rery.

"Papa, ni Noah. Noah rindu sangat dekat papa." Kaki Rery dipeluknya erat sehingga matanya terpejam. Senyumannya masih tidak lekang dari bibir.

"Noah."

Aku perhati saja Rery sepertinya terkaku. Mungkin tak tahu nak tonjolkan reaksi apa. Dia sendiri pun tak ingat aku apatah lagi Noah. Aku ada dengar suara dia memanggil anaknya itu dengan intonasi yang sangat perlahan tapi cukup jelas di pendengaran aku.

"Papa, nak dukung!" Noah mendepakan kedua-dua belah tangannya luas. Masih lagi tersenyum. Aku sendiri yang tengok pun jadi sebak. Hampir saja air mata aku nak mengalir tapi aku masih boleh tahan lagi.

Rery angguk sekali. Tubuh kecil Noah dibawa ke dukungannya. Laju saja Noah merangkul lehernya sekali gus mengucup kedua-dua belah pipinya beberapa kali. Tersentuh hati aku melihat kasih sayang Noah kepada Rery.

"Papa, papa tak ingat Noah?"

Soalan itu membuatkan air muka Rery sedikit berubah. Anak matanya beralih ke arah aku. Mungkin minta pertolongan aku?

"Ya. Pa... papa tak ingat." Perlahan sangat suara dia menjawab soalan Noah. Takut-takut Noah berkecil hati dengannya.

"Noah nak papa cepat sembuh. Noah rindu papa sangat-sangat. Adik-adik pun rindu papa. Tapi dia orang dekat Malaysia. Mama tak bawa sebab mama kata bahaya. Noah aje yang boleh ikut tapi itu pun sebab Noah behave."

Bijak anak sulung aku ini. Tak sangka dia akan cakap macam tu dekat Rery. Entah apalah perasaan Rery masa tu. Aku nampak dia diam saja. Tak banyak cakap. Yalah, Rae sendiri cakap dia masih lagi terkejut dengan suasana sekeliling dia. Lagi-lagi selepas kemunculan aku.

"Ya. I am sorry."

"You don't need to sorry, papa. It's not your fault. Whatever happens, I always love you." Kepalanya disandarkan pada bahu Rery. Pelukan pada leher papanya itu semakin erat.

Aku hanya mampu tersenyum kecil. Sebak di dada semakin menggunung. Sesak nafas aku dibuatnya.

"Ju, kau masakkan untuk aku. Aku lapar."

"Biy lapar? Boleh je. Biy nak makan apa?"

"Anything. Janji kenyang."

Aku senyum. Kepala dibawa angguk sekali. "Okey, biy layan Noah boleh ya? Honey pergi masak sekejap."

Rery tak angguk. Geleng pun tidak. Tiada sebarang respons. Dia terus saja pergi meninggalkan aku seorang diri dalam bilik ini bersama Noah. Haih... sabar sajalah suami aku ni. Aku baru aje nak bermanja dengan dia. Laju betul dia pergi. Tiba-tiba suruh aku masak, mana Rae pergi? Keluar ke?

MUDAH saja masakan aku pada malam ini. Pasta Bolognese Meatball. Tak sampai 30 minit dah siap. Bahan pun ngam-ngam cukup untuk aku masak menu masakan ini. Dan ini salah satunya makanan kesukaan Rery. Aku harap dia berseleralah makan masakan aku ni. Dah lama tak makan sama-sama dengan dia.

"Biy, Noah! Jom makan. Dah siap," panggil aku dengan senyuman mekar pada bibir. Kelihatan Rery sedang melayan Noah di ruang tamu. Kadangkala aku terdengar Noah ketawa terkekeh-kekeh. Entah apalah yang Rery buat dekat dia. Seronok sangat.

"Ya, mama! Papa jom makan!" Noah turun dari riba Rery lalu tangan papanya itu ditarik sehingga ke ruangan meja makan.

"Sedapnya bau!" puji Noah sambil memanjat naik kerusi meja makan dengan bantuan Rery.

"Hurm... kita saja ke, dekat dalam rumah ni?" soal aku. Nak tanya tadi, terlupa. Aku perasan macam kita orang bertiga saja yang ada dalam rumah sekarang ni. Mana yang lain?

"Dia orang keluar."

Aku angguk sekali. Garang betul suara suami aku ni. Tak adalah nak berlembut sikit. Aku nak tanya pun jadi takut dah dengan dia. Bilalah suami aku nak ingat ni? Terseksa perasaan aku macam ni hari-hari.

"Lepas makan ni, aku nak keluar."

"Saya nak ikut."

"No need."

"Please..." Aku menayangkan wajah comel. Biasanya Rery akan cair dengan kecomelan aku ni.

Aku terdengar Rery mendengus. Wajahnya didongakkan ke arah aku. "Nak ikut untuk apa?"

"Biy tak sihat lagi. Seharusnya isteri kena jaga suami yang belum sihat. Mana boleh keluar sembarangan macam tu. Kalau pisang berbuah dua kali macam mana? Entah-entah biy terus tak ingat dekat kita orang." Alamak... janganlah masin mulut aku ni nanti. Ya Allah... jauhkanlah.

"Fine."

Yes! Rery mengalah. Aku fikirkan dia tak nak mengalah tadi. Rupanya dia bagi juga lampu hijau. Senangnya hati macam ni. Tak adalah aku macam cacing kepanasan dalam rumah ni nanti.

"Kita nak pergi mana, papa?" soal Noah sebelum menyuap masuk pasta ke dalam mulutnya.

"Noah nak pergi mana? Papa bawa."

Ceh! Dengan Noah bukan main lembut suara. Memang patut pun dari tadi aku dengar Noah ketawa saja. Bergembira. Rupanya papa dia layan dia begitu baik sekali. Cemburu mamanya di sini.

"Noah tak kisah. Janji papa ada sentiasa dengan Noah. Noah dah tak nak pisah dengan papa lagi. Nanti Noah rindu." Jawapan tak sah kalau tak menusuk hati aku. Sejak dapat berjumpa kembali dengan papa dia, ayat-ayat dia boleh buat hati aku tersentuh.

"Okey, sayang. Papa sentiasa ada dengan Noah." Rery senyum.

"Rindu nak tengok senyuman biy." Automatik sebaris ayat itu keluar dari mulut aku sehingga membuatkan Rery dan Noah tertoleh ke arah aku.

"Sorry. Makanlah." Aku menundukkan wajahku. Entah kenapa masa-masa macam ni aku nak menangis. Aduh, kentallah wahai hati.

Rery dan Noah hanya diam. Masing-masing menikmati pasta yang dimasak oleh aku itu. Sesekali aku mengerling ke arah Rery yang sedang tekun makan makanan kesukaannya itu. Aku tak tahulah dia ingat ke tidak, makanan kesukaannya itu.

"KAU ada nak beli apa-apa ke?" soal Rery sebaik saja menolak tubuhnya keluar dari dalam perut kereta sekali gus memimpin tangan Noah.

Aku sekadar menggelengkan kepala. Hati aku tiba-tiba saja rasa tak sedap. Sepertinya ada sesuatu yang akan berlaku. Atau ini semua perasaan aku saja. Aku masih dalam keadaan trauma. Trauma dengan macam-macam kejadian.

"Kau ikut aku ni sebab kau takut aku hilang ke?"

Wah! Soalan dia tu, kenapa aku rasa macam KBAT sangat? Perlu ke nak tanya soalan macam tu?

"Biy sendiri dah tahu jawapannya. Tak payah nak bertanya bagai." Giliran aku pulak nak dingin dengan dia. Asyik dia aje. Dengan Noah bukan main bergurau-senda walaupun tak ingat. Aku ni? Keras saja muka tu sepanjang masa. Siapa aje tak sakit hati?

"Betul ke, kau isteri aku? Kenapa aku tak ingat sedikit pun memori kita?"

Aku menoleh pandanganku ke arahnya. Sumpah, aku tersentap dengan soalan kedua dia ni.

"Terpulang pada awak nak percaya ke tidak. Saya tak paksa." Aku dah tak menggelarkan diri aku sebagai 'honey' dia. Dan aku tak panggil dia dengan panggilan 'biy' lagi. Dia pun macam was-was aje dengan aku. Buat apa aku beria-ria sangat?

"Kalau aku cakap, aku tak percaya. Apa jawapan kau?"

Aku mengetap bibirku perlahan. Menahan empangan air mata yang bakal pecah tak lama lagi. Kenapa dia ni? Suka tanya-tanya soalan yang menyakitkan hati aku.

"Betul awak tak nak percaya? Awak fikir, saya ni orang gila? Hei, saya ni sanggup tau datang jauh-jauh semata-mata nak cari suami saya yang tiba-tiba saja hilang dari radar. Dah setahun lebih saya tak jumpa dia sebab dia uruskan syarikat yang baru bukak dekat sini. Saya kena hadap anak-anak yang setiap hari rindukan dia." Suara aku sedikit mendatar. Terasa tercabar dengan soalan dia. Dia ingat aku apa?

"Kalau aku masih tak percaya juga?"

Rery memang betul-betul menguji kesabaran aku. Dia ingat hati aku ni apa. Sudahlah bermacam-macam kejadian aku kena hadap. Semua sebab dia!

"Tak apalah." Aku menggelengkan kepala perlahan dengan linangan air mata yang sudah pecah. Kaki aku mengorak langkah jauh meninggalkan Rery dan Noah yang masih lagi berdiri di tepi kereta.

"Juliana!" jerit Rery.

Namun, aku buat tuli saja. Hati aku sakit. Sakit dengan permainan soalan dia.

"Juliana Adra!"

"Mama!"

Kali ni, Noah pun turut menyeru aku. Tapi sedikit pun aku tak menoleh.

"Juliana! Kau nak pergi mana?" Rery merentap pergelangan tangan aku dari belakang. Masa tu, air mata aku dah mengalir lebat.

"Saya penatlah, Rery. Saya penat. Saya risaukan awak. Saya tak senang nak teruskan kehidupan seharian saya disebabkan awak. Awak seksa saya. Awak tinggalkan saya dengan anak-anak setahun. Setahun, Rery. Bukan sehari. Awak bayangkanlah macam mana saya menjalani kehidupan saya tanpa awak!"

"Don't shout at me, Juliana." Keras nada suaranya. Aku dapat kesan dari air mukanya yang dia sedang marah ketika itu.

"Setahun tiga bulan. Awak tinggalkan saya. Awak janji nak balik. Tapi awak tipu. Penipu!" Aku bertentangan mata dengan Rery. Noah di sisi Rery hanya mendiamkan diri. Memerhatikan saja kami bergaduh.

"I said don't shout at me, Juliana!"

Aku terdiam. Rery tengking aku? Macam tak percaya saja, dia tinggikan suara dia dekat aku. Sepanjang aku berkahwin dengan dia, sedikit pun dia tidak pernah meninggikan suara dia dekat aku. Betul ke, dia ni suami aku? Ataupun aku dah tersilap orang?

"Kau faham tak situasi sekarang ni? Aku tak ingat kau. Noah pun aku tak ingat. Anak-anak aku pun, aku tak ingat. Aku cuma ingat segelintir saja. Kau tak boleh paksa aku. Pecah kepala otak aku!"

Aku mengemamkan bibir. Sebak di dada tak boleh nak diungkapkan lagi. Sakit sangat. Aku tak faham atau dia yang tak faham? Aku cuba untuk faham dia. Tapi perlu ke nak soal aku dengan soalan-soalan yang menguji hati aku?

"Saya cuba nak faham awak. Saya cuba nak terima yang awak tak ingat saya. Tapi, soalan-soalan awak tadi tu. Perlu ke awak nak soal saya macam tu?"

Kali ini, Rery pula terdiam. Baru sedar yang dia juga bersalah. Bukan aku saja.

"Tak apalah. Saya tak akan cakap apa-apa dah lepas ni. Pandai-pandailah awak ingat sendiri. Kalau awak dah tak nak saya muncul depan mata awak, tak apa. Saya terima. Saya dengan Noah akan balik Malaysia semula esok."

Rery sepertinya tidak dapat menerima omongan aku. Berkerut-kerut dahinya memandang aku.

"Kenapa pandang saya macam tu? Salah lagi?"

Rery menggelengkan kepalanya. Tubuh Noah dibawa ke dukungannya. "Kau... nak pergi mana? Aku bawakan..."

"Tak payah. Awak layanlah Noah. Bawa dia mana yang dia nak pergi. Saya nak masa saya sendiri. Nanti jumpa balik dekat kereta."

"Ju, bahaya. Kau lupa ada musuh...."

"Saya ingat. Dan saya sentiasa ingat yang hidup saya ini dikelilingi dengan musuh-musuh yang benci tengok kebahagiaan saya. Saya pandai jaga diri saya sendiri. Selama setahun lebih awak tinggalkan saya, saya dah jaga diri saya sendiri. Tak perlulah awak risau. Luangkan masa dengan Noah. He miss you so much."

Aku mengelus pipi Noah sebelum melangkah pergi meninggalkan mereka. Dekat mana aku nak cari ketenangan? Harap-harap ada taman terdekat yang boleh aku lepaskan segala yang terpendam dalam hati.


Previous: MP 57
Next: MP 59

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.