MP 67

Di Pulau Langkawi, Malaysia.

AKU tersenyum memerhatikan Rery dan Julian sedang melayani anak-anak bermandi-manda di dalam kolam renang. Melina turut tersenyum memerhati gelagat mereka. Kami berdua hanya duduk di bibir kolam renang sambil menepis-nepis air menggunakan kaki. Kuat betul tawa Ryana dan Ryan memeriahkan suasana kolam renang itu. Suka sangat dapat bermain air.

"Adra... apa yang awak rasa sekarang ini?" soal Melina sambil memeluk bahuku.

"Saya rasa bahagia. Dan saya harap sangat yang tiada lagi konflik akan timbul lagi. Biarlah kebahagiaan ini kekal buat selamanya sehingga kali terakhir saya bernafas. Saya tak nak tengok anak-anak saya terkena tempias lagi. Sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Keadaan Noah tu pun sampai sekarang saya rasa sedih dan terkilan." Bibirku menguntumkan senyuman kecil. Anak mata terpaku pada Noah yang sedang menyelam bersama Eusoff.

"Ya. Saya faham perasaan dan hati awak sebagai seorang ibu. Ibu mana yang sanggup tengok anak dalam keadaan macam tu. Tapi awak sangat bertuah, Adra. Allah kurniakan awak seorang anak yang sudah faham erti untuk melindungi ibunya. Nak jadi hero untuk ibunya. Dan Noah seorang anak yang kental hatinya. Saya sendiri nampak sepanjang dia membesar."

Aku hanya menganggukkan kepala sekali. Kepala dibawa toleh ke arah Melina yang duduk di sebelahku. Pandanganku jatuh ke arah perutnya yang sedikit membonjol itu. Perlahan bibirku tersenyum. Melina disahkan mengandung anak kepada abang aku sendiri. Kandungannya sudah pun mencecah tiga bulan.

"Tak sabar saya nak tengok anak buah saya ni lahir." Tanganku naik mengusap perutnya lembut. Terasa rindu pula nak mengandung. Walaupun terpaksa menanggung kesakitan yang hanya wanita dapat merasainya.

"Awak bila pula nak bagi saya anak buah baru? Ryana dengan Ryan pun dah besar. Tak lama lagi, nak masuk sekolah rendah dah."

Aku hanya tersengih. Kepala diangguk-anggukkan. "Insya-Allah. Ada rezeki nanti. Rery dengan saya pun baru merancang. Awak doakanlah, ya?"

Melina tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. "Mestilah saya doakan untuk sahabat merangkap adik ipar kesayangan saya ni. Tak pernah lupa untuk doakan untuk awak."

"Terima kasih, Mel. Saya sayang awak sangat. Dari mula kita kenal sampai sekarang, awak yang tahu perjalanan hidup saya macam mana."

"Saya pun sayang awak sangat. Kita akan sentiasa bersama-sama. Tak kira apa yang berlaku. Kan kita dah janji?"

Aku angguk. Bibir tidak lekang dari tersenyum. Bersyukur sangat Allah kurniakan aku seorang sahabat merangkap kakak ipar yang sangat memahami aku. Yang sentiasa membantu aku waktu aku dalam kesusahan. Kiranya senang dah susah kami sentiasa bersama.

"Mama... chak!" Noah yang berada di dalam kolam renang mendekati aku. Tangannya memegang kedua-dua belah pahaku sambil tersenyum lebar.

"Hai, sayang mama. Seronok main, hmm?" Aku mengusap rambutnya yang basah itu sambil membalas senyumannya.

"Seronok! Papa dengan dady ajar Noah berenang dengan abang."

Aku menganggukkan kepala. "Nanti nak makan apa? Beritahu papa. Papa tanya mama tadi."

"Dady kata dia nak ajak kita makan ikan bakar dekat satu tempat tu. Dady kata dekat kawasan Pekan Kuah. Noah pun tak tahu dekat mana..." Noah menggaru pipinya itu. Telatahnya membuatkan aku melepaskan tawa kecil. Comel sungguh!

"Tulah mama. Eusoff pun tak tahu. Pekan Kuah. Nama dia macam kuah makanan tu kan, mumy?" ujar Eusoff yang berada di dalam dakapan Melina. Sememangnya dia seorang yang manja dengan ibunya itu.

Serentak aku dan Melina melepaskan tawa. Kepala digeleng sekali. "Pekan Kuah tu nama tempat, sayang. Memang dah dinamakan begitu."

Terangguk-angguk kepala Eusoff dan Noah apabila mendengar penerangan dari aku.

"Nak sambung mandi ke?"

"Nak!" sahut Eusoff dan Noah sekali gus. Memang tak nak keluar langsung dari kolam renang tu.

"Okey. Satu jam saja lagi, ya. Pastu kita naik atas siap-siap. Banyak tempat lain kita nak pergi nanti."

"Baik mama!" balas Noah sebelum berenang kembali ke arah Rery yang duduk di hujung kolam bersama Julian. Entah apa yang mereka borakkan sesama sendiri pun tidak tahulah. Sesekali ternampak mereka gelak-tawa. Bukan main seronok perbualan mereka itu.

RERY mengenggam tanganku sambil tangan sebelahnya mendukung Ryana yang sedang terlentuk di atas bahunya. Manakala Eusoff berjalan beriringan bersama Noah dan Ryan sambil berpegangan tangan dengan Julian dan Melina. Sekarang ini, kami berada di atas jambatan melengkung pejalan kaki yang terpanjang di dunia. Sky Bridge yang sepanjang 125 meter ini boleh dilalui secara berjalan kaki untuk melihat keindahan Pulau Langkawi dari sudut yang paling menarik.

"Wah... mama cantiknya!" ujar Noah sambil mendepakan kedua-dua belah tangannya ke udara. Diikuti dengan Eusoff yang berada di sebelahnya.

"Cantik, cantik!" ujar Ryana yang berada di dukungan Rery.

Ryan di sebelah hanya tekun memerhatikan keadaan sekeliling sambil memeluk kakiku. Terpukau dengan keindahan Pulau Langkawi yang boleh nampak secara keseluruhan. Laut yang sedang membiru cantik serta berkilauan apabila terkena pancaran matahari.

Julian meminta bantuan para pekerja yang bertugas di situ untuk mengambil gambar kami sekeluarga. Mulalah sesi mengambil gambar. Ada yang menggunakan kamera dan ada juga yang selfie menggunakan telefon pintar secara bergilir-gilir. Paling aku suka, beberapa keping gambar anak-anak aku yang sudah siap dicuci. Macam-macam gaya yang mereka buat. Tersenyum aku melihat Noah mendukung Ryana manakala Eusoff mendukung Ryan. Comel sangat.

"Mama, mama nak tengok!" jerit Noah dengan penuh keterujaan. Eusoff, Ryana dan Ryan juga terkedek-kedek berlari ke arah aku yang sedang leka membelek beberapa keping gambar yang sudah siap dicuci sebentar tadi.

"Ni, sayang. Comel-comel anak mama ni..." Aku mengusap kepala mereka secara bergilir-gilir. Sekejap saja mereka berempat ini membesar. Begitu pantas masa berlalu. Sepertinya baru semalam saja aku melahirkan Noah. Tapi sekarang dia dah besar. Tak lama lagi dah nak masuk darjah dua manakala Eusoff akan masuk darjah empat.

"Mama... nak aiskrim dekat sana tu boleh tak?" soal Ryana sambil menarik-narik hujung bajuku dengan menayangkan wajah comelnya. Wajah hendak memujuk aku untuk membelinya aiskrim.

"Boleh, sayang. Papa dengan dady mana?" Mataku meliar cuba mencari dua susuk tubuh yang tiba-tiba saja menghilang dari pandangan aku dan Melina. Melina di sebelah turut mencari keberadaan suaminya dan juga Rery.

"Papa dengan dady dekat sana tu. Ada orang call," jawab Eusoff sambil jari naik menuding ke arah Rery dan Julian yang berada di jambatan itu tadi.

"Oh, tak apalah. Jom kita pergi beli aiskrim. Jangan jauh daripada mama dan mumy, okey?" Aku memimpin tangan Ryan dan Ryana. Manakala, Eusoff berpegangan tangan bersama dengan adik kesayangannya itu.

"Okey, mama...," sahut mereka berempat serentak.

Aku dan Melina hanya tersenyum lalu mengorak langkah bersama mendekati penjual aiskrim yang berdiri di hadapan kedai cenderamata. Aku mengeluarkan dompetku dari dalam beg silang. Ryan dan Ryana sudah berlari ke arah Melina yang sudah pun berdiri di sebelah penjual aiskrim itu.

"Makan betul-betul. Jangan comot sangat, ya," pesan Melina kepada mereka sambil memberikan aiskrim.

Mereka laju menganggukkan kepalanya. Masing-masing sudah menjilat aiskrim. Nampak sangat tak sabar. Aku hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum. Sekeping not bernilai RM20 aku berikan kepada penjual aiskrim itu sekali gus mengucapkan terima kasih kepadanya.

"Honey... kita pergi naik kereta kabel. Biy dengan Ian dah beli tiket. Tapi petang sikit. Sekarang ni, kita pergi pekena laksa dekat tepi airport tu."

Aku memandang Rery dengan kening sebelah terjongket. Bukan main besar selera suami aku ni. Masa dia sebut 'pekena' tu nak aje ketawakan. Slang dia lain macam. Haduhai... suami aku ini. Kalau dah memang anak jati Itali, begitulah. Nak ubah secara sepenuhnya pun tak boleh juga. Mesti tersesat slang Itali dia tu.

"Why?" soalnya dengan dahi berkerut halus.

"Tak ada. Cara biy bercakap macam nak try slang utara aje. Biy nak belajar cakap utara ke?" soal aku sambil melepaskan tertawa kecil. Julian dan Melina di sebelah pun turut melepaskan tawa. Mungkin geli hati.

"Oh... pandang biy sebelah mata ke? Nak dengar biy cakap slang utara ke?"

Aku menganggukkan kepala. Rery berdeham sedikit sebelum dia kembali bersuara.

"Aku dah tak sabaq nak pekena laksa dekat tepi airport tu. Awat hang pandang aku lagu tu? Tak caya ka aku boleh cakap utagha?"

"Haha!" Serentak aku, Julian dan Melina melepaskan tawa besar. Julian sampai pegang perut dia. Air mata meleleh dek terlebih ketawa. Termasuklah aku. Sumpah, lawak! Muka suami aku bila dia bercakap slang utara. Dengan reaksi mukanya... memang tak boleh blah!

"Ish... mesti ketawakan. Kelakar sangat ke?" Rery mencebikkan bibirnya.

"Yalah! Kelakarlah biy cakap utara. Comel sangat muka tu!" balas aku. Masih lagi menyambung saki baki ketawa tadi.

"Bolehlah kau jadi anak jati Kedah pulak, Rery," usik Julian. Dia menyambung kembali tawanya. Melina di sebelah hanya ketawa.

"Ada-ada ajelah kau. Nasib Rae tak ada. Kalau tak, itu lagi kerja nak membahan aku aje."

"Itu tak usoh cakap. Sat gi kau berperang mulut dengan dia. Aku tak mau masuk campuq aih. Sampai ke esok tak sudah. Hampa kalau bergaduh, memang tak ingat dunio," ujar Julian.

"Wah, abang pun dah pandai cakap utaralah," usik Melina.

Aku hanya ketawa. Aduh... abang dengan suami aku dah berjangkit. Nak cakap utara. Sabar ajelah...

"Haaa... sudah. Kau pun berjangkit jugak dah. Eh, jomlah gerak. Aku terasa nak makan laksa terkenal tu. Kau ni, karang aku kempunan. Kau bertanggungjawab!" ujar Rery sambil mendukung tubuh Ryan dan Ryana.

"Eleh, adik aku berbadan dua ke apa? Asyik nak mencekik aje kerja kau." Julian menyindir.

"Eh, eh Adra pulak kena..." Aku memuncungkan bibir.

"Yalah. Dia kalau cakap bab makan, bukan main teruja. Terasa itulah inilah. Dulu pregnantkan si kembar tu rasanya tak macam tu, kan?"

Aku hanya ketawa sambil menggelengkan kepala.

"Aku tolong makan untuk kau. Mel kan tengah pregnant. Mana tahu kau pun mengidam tapi tak nak mengaku. Jadi, aku tolonglah tunaikan." Rery menjelirkan lidahnya ke arah Julian lalu melangkah pergi bersama si kembar. Aku hanya mengekori dari belakang sambil memimpin tangan Noah dan Eusoff.

"Eh, eh kau. Ke situ pulak, ya. Aku lesing karang. Terpelanting kau balik Itali semula."

Rery ketawa besar. Aku dan Melina saling membalas pandangan sambil menggeleng kepala. Ada-ada saja suami kami berdua tu.

SAMPAI saja di sebuah warung yang menjual laksa betul-betul di sebelah lapangan terbang, Rery terus memesan laksa dan beberapa lagi makanan yang lain serta minuman. Selain warung laksa, ada juga warung yang menjual makanan lain. Noah beritahu aku yang dia terasa mahu makan kebab daging. Jadinya, aku membawanya ke warung kebab tidak jauh dari warung laksa itu.

"Sayang nak berapa kebab?" soal aku sambil menyebakkan rambutnya ke belakang.

"Nak dua. Abang pun nak kebab daging. Ana dengan Yan nak kebab ayam!" beritahu Noah dengan bersungguh-sungguh. Tak sabarlah tu nak merasa kebab daging.

"Okey, sayang. Mama oder sekejap. Jangan jauh dari mama, okey?"

Noah sekadar menganggukkan kepalanya sambil berdiri di sebelah tiang khemah warung itu. Manakala aku mula membuat pesanan kepada pekerja warung di situ. Boleh tahan ramai juga orang dekat sini. Seronok makan dekat tepi lapangan terbang ini. Angin pun boleh dikatakan kencang juga walaupun matahari menghasilkan cahaya yang agak terik.

"No..." Panggilan aku terhenti tatkala kelibat Noah tiada lagi di situ. Aku mula cuak. Berpusing-pusing tubuh aku mencari Noah. Ya Allah... mana pulak dia ni pergi. Aku dah pesan jangan jauh dari aku.

"Noah!" jerit aku. Tidak hirau dengan pandangan mata orang ramai yang pelik dengan aku tiba-tiba saja menjerit bagaikan orang gila. Jantung aku sudah berdetak laju. Mana anak aku?

"Kau siapa, hah? Kau budak kenapa nak masuk campur?"

Tengkingan sesorang itu membuatkan aku memalingkan tubuh ke belakang. Kelihatan Noah sedang meninggung di sebelah tubuh seorang lelaki yang terbaring dalam keadaan berlumurah darah. Segera aku berlari ke arah mereka.

"Noah!"

Noah memalingkan wajahnya ke arah aku diikuti dengan sekumpulan seperti gengster jalanan. Nak takut? Peduli apa aku? Sekarang ni, keselamatan anak aku yang utama. Yang Noah ni pun pandai betul nak selamatkan orang tu. Aduhai...

"Mama, orang jahat ni belasah uncle ni sampai lemah. Dia orang jahat!" marah Noah sambil jarinya naik menuding jari ke arah kumpulan gengster itu.

"Eh, budak ni. Aku tangan karang. Kau jangan nak masuk campurlah. Hoi, tak reti jaga anak ke? Nak masuk campur hal aku!" marah salah seorang dari mereka. Dan aku rasa tu mesti ketua mereka. Lihat dari gaya dah tahu dah.

"Apa hal pulak nak salahkan aku dengan anak aku? Korang yang buat freeshow dekat tepi jalan ni dah kenapa? Dah lama sangat hidup dekat luar ke?" soal aku. Wajahku sudah berubah bengis. Sakit hati pulak hati aku.

"Berani betul dia orang ni nak cari pasal dengan kita."

Aku menarik Noah ke dalam dakapanku. "Berani nak dekat dengan kita orang? Aku jerit nanti, sia-sia hidup korang."

"Jeritlah. Jerit, jerit!"

"Papa! Daddy!" jerit Noah sekuat hatinya sehingga menarik perhatian orang ramai. Tak lama itu, kelihatan Rery dan Julian dengan muka cemas berlari laju ke arah kami.

"Apa hal?" soal Rery dengan nada suaranya sudah berubah tegas. Tiada lagi ceria seperti tadi. Jangan main-main kalau sisi singa Rery dah hidup.

Kumpulan gengster tadi terpinga-pinga memandang ke arah Rery dan Julian yang berdiri di hadapan mereka.

"Dia orang yang dah ganggu urusan kita orang!"

"Peduli pulak aku?" Julian mencelah. Dia sudah menyinsing kedua-dua belah lengan bajunya sehingga ke lengan. Fuh... abang aku nak bukak langkah dekat sini jugak ke?

"Nak cari gaduh ke, hah?"

Rery tersenyum senget. Kepala diangguk sekali. "Dah alang-alang kau buat freeshow dekat tepi jalan ni. Orang ramai pun dah pandang. Kita teruskan ajelah. Aku pantang orang usik anak dengan bini aku."

Mereka saling membalas pandangan. Cuak ke tu? Takut polis lalulah tu. Balai polis dekat saja tu.

"Haih... asal senyap. Tadi bukan main gempak sergah aku. Takut polis nampak ke? Baru sedar?" perli aku selamba.

Mereka terus melarikan diri. Pengecut sungguh. Memalukan!

"Eh, lari pulak. Ingatkan nak ajak buat show tadi. Penakutnya!" ejek Julian sambil menurunkan semula kedua-dua lengan bajunya.

"Honey, Noah okey? Ada cedera?"

Serentak aku dan Noah menggelengkan kepala.

"Arif?" tegur Julian sambil membantu lelaki bernama Arif itu bangun. Habis wajahnya penuh dengan lebam dan berdarah.

Aku hanya mendiamkan diri. Tak sangka pulak boleh berjumpa dengan Arif tu lagi. Memang dah nampak lain sangat dia. Muka dia nampak sedikit tua dan berjambang halus.

"Maafkan aku sebab menyusahkan korang," ujarnya dengan nada perlahan. Wajahnya berkerut-kerut seperti menahan sakit.

"Tak apalah. Tak ada susah pun. Kau kenapa? Asal kena belasah?" soal Rery.

"Hutang lama aku tak bayar," jawab Arif. Wajahnya ditundukkan. Dia langsung tak pandang aku yang berdiri di sebelah mereka ini.

"Eh, jomlah ikut kita orang. Makan sekali. Tu muka kau tu kena rawat. Nanti jangkit kuman. Ada kotak first aid dalam kereta aku. Jom, jom...," ajak Julian sambil memapah Arif ke kereta sewa kami.

Rery mendukung Noah lalu menemani aku ke warung kebab semula untuk mengambil dan membayar pesanan aku tadi.

"Honey, okey? Biy nampak muka honey berubah nampak Arif. Tak selesa?"

"Tak adalah. Cuma terkejut saja. Tak sangka pulak berjumpa dengan dia dekat sini. Jauhnya dia sampai boleh ada dekat sini. Buat apa dia dekat sini?"

"Biy pun tak pasti. Nantilah kita tanya dia. Dah jom..."

Aku menjinjit plastik bungkusan kebab. Kepala diangguk. Pinggang Rery aku rangkul dari sisi kemudian berjalan bersama-sama ke warung laksa itu semula. Kelihatan Julian sedang merawat Arif dari dalam kereta.

Arif dan aku saling bertembung mata secara tidak sengaja. Aku hanya mengukirkan senyuman nipis. Manakala dia sepertinya teragak-agak mahu membalas senyumanku. Tak sampai beberapa saat, dia menundukkan semula pandangannya.

Aku dah lama maafkan dia. Dah lupakan semua yang pernah terjadi. Aku pun dah ada life aku sendiri. Ada keluarga sendiri. Dia pun kena teruskan life dia walaupun aku tahu dia dibuang oleh isteri dan keluarga sendiri. Semua orang pernah buat salah. Aku pun pernah buat salah. Jadi, aku tak ada hak nak hukum dia. Itu semua kerja Allah.


Previous: MP 66
Next: MP 68

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.