MP 7

"KAU basuh baju apa, kalau ada kotor macam ni? Kau ikhlas ke tak nak bekerja ni, hah?"

Pagi-pagi lagi aku dah kena hadap makian Jessica. Disebabkan ada secalit kesan sabun pada blausnya. Aku betul-betul tak sengaja. Biasanya kalau aku basuh semua baju dalam rumah ni, bersih aje. Tak tahu kenapa hari ini aku boleh terlepas pandang.

"Ahh! Sakit..." Aku meringis kesakitan saat Jessica merentap rambutku sehingga kepalaku terdongak.

"Kau ingat aku tak tahu ke, apa kau buat bila aku kat atas. Suami aku jumpa kau, kan?" 

Aku tak tahu sama ada nak geleng atau angguk. Memang setiap hari boleh dikatakan, Ivander mesti mencuri-curi masa untuk berjumpa dengan aku. Port yang selalu tempat kami berjumpa adalah di belakang rumah. Aku sentiasa berdoa supaya ada sesiapa yang nampak aku dan Ivander. Terutamanya Rae. Tapi, sampai sekarang tiada siapa yang nampak. Macam mana aku nak larikan diri daripada mereka? Mak? Mak langsung tak percayakan aku. Dan, aku rasa menyesal bila cerita dekat dia. 

"Tak, puan. Saya tak buat semua tu. Suami puan yang..." 

"Sayang, kenapa ni?" Ivander segera mendekati isterinya. Tangan Jessica yang masih lagi mencengkam rambutku ditarik perlahan supaya si isterinya lepaskan.

"Biy! Apa biy buat dengan perempuan ni? Biy curang dengan sayang ke?" 

Ivander menepuk dahinya sebelum menggelengkan kepala berkali-kali. Aku mengusap-usap kepalaku yang masih lagi terasa perit. Kalau boleh, nak aje aku menangis depan dia orang ni. Tapi, selagi aku boleh tahan. Aku tahan.

"Apa sayang merepek ni? Biy tak ada pun nak curang dengan sayanglah. Biy kalau jumpa Aara pun tanya pasal kerja dia aje. Keselesaan dia kat rumah ni. Kan sayang sendiri cakap, kita kena jaga kebajikan pekerja kita supaya dia orang bekerja dengan tempoh masa yang lama."

Aku lihat Jessica mencebik. Lengan Ivander dipeluk kemas. Sikit pun aku tak hirau. Yang aku tak puas hati sekarang ni. Kenapa aku asyik kena maki dengan dia? Aku tak ada tempat nak mengadu kecuali Allah. Setiap kali aku solat, mesti aku berdoa yang aku boleh pergi jauh dari sini. Cumanya sekarang, aku kena kumpul duit. Tapi, boleh ke aku tinggalkan mak? Aku dah berjanji dengan arwah ayah yang aku akan jaga mak. Betul-betul aku dalam dilema sekarang ni.

"Hoi! Kau tercegat apa lagi dekat situ? Bersihkan baju aku tu sampai hilang segala kesan yang ada dekat baju tu! Lagi sekali kau buat salah benda remeh-temeh macam ni. Siaplah kau!" ugut Jessica sebelum dia mendaki tangga bersama Ivander. 

Aku menghelakan nafas panjang. Kenapalah aku kena dapat majikan macam ni? Besar sangat ke salah aku sampai kena macam ni sekali? Setiap kali dia marah aku, mesti rambut aku menjadi sasaran dia. Kalau ikutkan, sekali dia rentap boleh tercabut rambut aku dari tempurung kepala aku ni. Ya Allah, sakit kepala aku dibuatnya.

"Apa yang bising-bising tadi tu?" soal mak yang baru saja melangkah ke dapur melalui pintu belakang. Mungkin baru lepas menyiram pokok bunga dekat taman belakang. Rumah ni kan besar. Ibarat istana. 

"Tak adalah, mak. Aara tak sengaja. Blaus Puan Jessica ada kesan sabun tadi. Selama ni Aara basuh tak ada pun. Hari ini terlepas pandang. Tu dia marah."

Mak menggelengkan kepala. Lengan aku dicubitnya beberapa kali. Tadi kepala dengan rambut aku jadi mangsa. Sekarang ni, lengan pula. Cubitan mak boleh tahan bisanya. Kadang-kadang sampai lebam.

"Sakit, mak..." Berkerut dahi aku menahan sakit. Lengan aku usap perlahan. 

"Padan muka kamu. Siapa suruh buat Puan Jess tu marah? Buat kerja tu kena ikhlas. Bukan main buat aje, janji dapat gaji. Mak tahu kamu tu kerja dekat sini nak duit saja, kan? Dah set dalam minda kamu tu. Tahu nak duit aje. Tak sedar diri, sekolah tak habis. Tahu nak gaji besar aje."

Bibir aku gigit perlahan. Menahan empangan air mata yang bakal pecah tak lama lagi. Sungguh aku tersentap dengan setiap ungkapan ayat mak. Macam tu sekali mak tuduh aku? Apa teruk sangat ke aku ni?

"Hari ni mak nak kamu pergi beli barang dapur. Banyak dah habis tu. Abang Hanz tu cuti hari ni. Ada hal kecemasan. Mak pula malas rasanya nak keluar hari ni. Lagipun, petang nanti ada tetamu datang. Mak nak kena layan atas suruhan Puan Jess. Senarai barang dapur tu mak dah tampal kat papan notis belakang dinding dapur tu. Kamu pergilah beli..."

Aku terkebil-kebil. Tak pernah-pernah lagi aku pergi ke bandar seorang diri dengan tujuan untuk membeli barang dapur. Biasanya mak pergi beli dengan Abang Hanz. Aku pergi seorang? Naik apa?

"Naik apa, mak? Aara seorang je ke?" soal aku dengan wajah polos.

Dengan selambanya, mak tunjal dahi aku membuatkan kepala aku tertolak ke belakang. Sungguh, aku tak sangka sikap mak berubah sedrastik ini. Mak tak pernah mengasari aku. Setakat cubit tu dah biasa. Tapi, ni tunjal dahi aku?

"Otak tu cuba jangan lembap sangat. Simpan bodoh tu sikit. Jangan nak keluarkan. Pergilah naik Grab. Duit tu ada dalam sampul. Tak pun guna duit kamu. Jangan kedekut sangat. Dah tiga bulan gaji, kan?" 

Air mata yang baru saja hendak menitis, laju saja aku seka. Aku tak nak mak nampak yang aku menangis. Mesti dia labelkan aku ni seorang yang cengeng. Lembik. Lemah. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut mak memang membuatkan hati aku tersentap.

"Ni mak nak pesan. Kamu pergi tu baliklah lambat sikit. Kawan-kawan Puan Jess tu ramai datang. Mak dengar ramai kawan lelaki dia. Mak tak nak kamu ada dekat rumah ni. Nanti semua lelaki kamu nak kebas. Mak tak nak tanggung malu."

Dan, sekali lagi aku tersentap. Sampai macam tu sekali mak fikir negatif pasal aku? Ya Allah, buruknya aku pada pandangan mata mak. Kenapa mak berubah macam ni sekali? Sebab dia dapat kerja dekat rumah orang kaya. Gaji lumayan. Perangainya berubah sebegini sekali ke?

"Baiklah, mak. Aara pergi dulu." Tanpa menunggu sebarang balasan daripada mak. Aku terus masuk ke dalam bilik dan bersiap-siap. Air mata aku terus terjun dari tubir mata tanpa sempat aku tahan. Hati aku sakit. Sakit kena tuduh sampai tahap macam tu sekali. 

Aku nak naik Grab? Telefon bimbit aku bukan jenis AndroidIOS? Jauhlah sekali. Aku pakai ni pun telefon bimbit mak. Jenama Nokia. Bukan smartphone. Macam mana aku nak tempah Grab? Tak akan aku nak susahkan sesiapa? Rae? Agak-agak Rae kerja tak hari ni? Kalau aku minta tolong dia, boleh ke?

Tak apalah. Aku berdikari sendiri aje. Tak jauh dari rumah ni ada terminal bas. Mesti ada teksi dekat kawasan situ. Cuma nak kena menapak jauh sikit ajelah. Mungkin dalam 15 minit baru sampai. Mak pun tak kasi balik awal. Jadi, inilah peluang aku nak jalan-jalan setelah tiga bulan terperap dalam rumah bak istana ni.

AKU memerhatikan suasana di terminal bas. Riuh-rendah. Memang ramai orang dekat sini waktu petang macam ni. Ke manalah mereka semua ni nak pergi, ya? Ke bandar juga ke? Sekarang ni, aku nak cari teksi yang boleh bawa aku ke bandar. Masalahnya, aku malu nak mulakan komunikasi dengan orang. Aduh, masalah kau ni Aara...

Buk! Hampir saja aku mahu terjatuh tatkala seseorang merempuh bahu aku secara mengejut. Tetapi, tangan kekar lelaki itu memegang pergelangan tangan aku supaya aku tidak jatuh. Laju saja aku menarik semula tanganku sebaik saja menstabilkan diri.

"Maafkan saya...," ucap lelaki itu.

"Tak apa..." Aku terkejut sampaikan aku tak mampu menyambung percakapan aku semula. Kenapa dia boleh ada dekat sini? Bukan dia dekat kampung ke? 

"Aara..." Arif sepertinya terpegun melihat aku. 

"Maaf, saya tak sengaja," ucap aku sebelum berlari anak meninggalkan dia. Tak mahu aku bersemuka dengan dia lagi. Aku tak nak hati aku berdarah semula kerana bertemu dengan dia. Tak nak sama sekali...

"Aara! Tunggu!" 

Kenapa Arif kejar aku? Dia dah gila ke? Bukan ke dia dah kahwin dengan Laila? Apa masalah dia sekarang ni kejar aku depan khalayak ramai macam ni? Cukuplah dia dah malukan aku dulu.

"Aara nanti..." Dia berjaya mengejar aku. Lengan aku ditarik dari belakang.

"Eii! Lepaslah! Apa masalah kau ni, hah?" Tiada lagi panggilan lembut untuk dia lagi. Cukuplah aku dah banyak bagi muka untuk lelaki macam dia ni.

"Saya... saya cari awak, Aara." 

Aku tertawa. Boleh tahan sinis bunyinya. Dia cari aku? Lawak apa yang dia cuba buat sekarang ni?

"Cari aku untuk apa? Untuk malukan aku lagi?" sindir aku.

Dia menggelengkan kepala. Wajahnya berubah sayu. Fikir aku makan ke dengan muka simpati dia tu? No way!

"Tak, Aara. Saya cari awak semula untuk tebus kesalahan saya. Saya silap. Laila tipu saya. Dia sengaja mempermainkan saya, Aara. Dia kahwin dengan saya sebab dia tak suka tengok saya dengan awak. Tolong Aara. Bagi saya peluang. Saya janji yang..."

"Shut up." Keras nada aku bersuara. Kepala aku geleng sekali. Jari telunjuk aku menari-nari di hadapan wajahnya.

"Cukuplah dengan janji manis kau tu. Aku sedar yang aku ni sekolah tak habis. Tapi, kau jangan harap kau boleh senang-senang memperbodohkan kau lagi. Kau pun dah kahwin dengan Laila, kan? Sila jaga isteri kau tu baik-baik." Aku tersenyum senget. Apa dia ingat, aku boleh senang-senang percayakan dia setelah apa yang dia buat dekat aku dulu?

"Aara..."

"Enough. Kau nak blah dengan rela hati atau nak aku jerit baru kau nak blah?" ugut aku.

"Tapi, Aara. Saya mohon. Bagilah saya peluang. Peluang terakhir."

Aku menggelengkan kepala.

"Aku cakap aku tak nak tu. Tak naklah. Janganlah nak paksa. Kau siapa nak paksa-paksa aku, huh?" marah aku. Ya! Aku bengang dengan spesies lelaki yang tak faham bahasa ni.

"Aara..."

"Honey..." 

Tubuhku terkaku seketika tatkala terasa satu tangan kekar memeluk bahuku. Sebelum aku toleh sebelah, baik aku teka sekarang ni. Siapa yang berani peluk bahu aku ni? Rae ke? Nak tak nak, aku kenalah toleh untuk tahu siapakah gerangan yang terlalu berani itu?

"Awak?" Aku kaget.

Dia hanya memandang aku dengan senyuman segaris sebelum pandangannya beralih ke arah Arif yang sepertinya terkejut melihat aku dipeluk oleh seorang lelaki yang berbadan tegap berbanding dia. Arif rasa tercabar ke sekarang ni?


Previous: MP 6
Next: MP 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.