Terminal
Penerbangan Tambang Murah, Kuala Lumpur (LCCT)
Jam
2030
Zed berjalan
agak laju menuju ke arah kereta yang diparkirnya di kawasan parkir di Zon A
semalam. Dia memandang jam. Dia baru tiba dari Kota Kinabalu sekejap tadi
menaiki pesawat Air Asia. Dia terpaksa pulang segera kerana mendapat panggilan
daripada seseorang. |
Hal
keluarga terpaksa dia tangguhkan dulu. Apabila hal kerja sudah masuk ke dalam
hidupnya, hal kenduri-kendara pun dia letak ke belakang. Tambah pula ini
kenduri adik tirinya. Dia akan balik semula ke KK dengan penerbangan malam ini
juga. Sekadar menghormati kenduri yang diatur keluarga.
Dia masuk
ke dalam kereta dan bersedia untuk memecut ke KLIA. Dia tidak pasti hal apa
yang mahu dibincangkan. Tentulah ini berkenaan janjinya tempoh hari. Dia masih
ada 30 minit untuk mencari dan mengucapkan selamat jalan. Mujurlah LCCT dengan
KLIA tidak sejauh mana.
Lapangan
Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA)
Jam
2030
Zed meliarkan matanya memandang orang
yang lalu-lalang di KLIA. Cuti sekolah begini, ramai juga pada waktu malam.
Tentulah masing-masing mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga. Hmm...
bagi yang ada keluarga tapi seperti tidak ada seperti dirinya, cuti sekolah
atau tidak sama saja.
Kepulangannya
ke Kota Kinabalu pagi tadi kerana adik tirinya akan melangsungkan perkahwinan
esok hari. Kalau tidak, jangan harap dia akan balik.
Tidak
lama dia duduk di Restoran Secret Recipe, seseorang tiba-tiba duduk di sisinya.
“Apa
khabar, Zed?” Lelaki itu menghulurkan tangan. Mesra.
“Baik.
Aku sihat-sihat aje. Kau?” Zed membalas dengan senyuman yang tidak lekang di
bibir. Dapat juga dia berjumpa dengan Jade, sahabatnya itu walaupun masa suntuk
dan dia ada urusan di luar Kuala Lumpur. Itulah namanya takdir ALLAH. Masih
sempat dia mengejar kapal terbang terakhir dari KK walaupun hanya diberi notis
tidak sampai tiga jam.
“Maaflah
tergesa-gesa. Kau tahulah kerja kita. Minit akhir barulah aku tahu destinasi
seterusnya. Terima kasih kerana datang juga berjumpa aku,” ujar Jade.
Dia
sendiri tidak menyangka, penerbangannya ke London diawalkan tiga hari. Petang
tadi sebaik diberitahu akan berlepas malam ini, dia terus menghubungi Zed. Dia
mahu bertemu lelaki itu untuk mengucapkan selamat jalan. Memang mereka telah
berjanji untuk berjumpa lagi tetapi disebabkan Zed ada tugasan, dia mengambil
keputusan untuk pulang terus ke kampung dan berjumpa kembali sebaik tiba di KL.
Mujurlah dia sempat berjumpa kerana ada perkara yang ingin dia sampaikan kepada
Zed.
“Tak apa.
Aku memang nak jumpa kau. Aku patut jumpa kau.” Zed berkata. Dia memandang
lelaki yang sudah begitu akrab dengannya. Lelaki yang banyak memberinya
pengalaman dalam dunia penyiasatan.
“Aku tak
tahu bila aku akan balik. Nampaknya Mr. X sukar untuk dijejaki. Aku akan mula
di London dengan rakan baru. Mat salih. Tak tahulah dia boleh kerja dengan aku
ke tak? Kalau tak boleh nanti, aku balik cari kau,” tutur Jade.
“Insya-ALLAH
boleh. Dulu mula-mula dengan aku pun aku rasa kau waswas juga, Jade,” ujar Zed
.
Jade
tergelak. “Kau memang selalu boleh baca fikiran aku. Aku harap rakan baru tu
pun hebat macam kau. Eh, aku belum belanja kau makan sempena meraikan kau naik
pangkat.”
“Ini...
okeylah ni...”
“No... You
deserved more than this partner.” Jade menggelengkan kepala. Bagaimana
seorang rakan setugas yang begitu dedikasi menemaninya hanya dibelanja makan
sepotong kek? Sungguh memalukan dirinya.
“Jemput
aku makan nasi minyak kenduri kahwin kau. Aku rasa itu belanja yang paling bermakna
bagi aku!” Zed mengusik membuatkan wajah Jade merah tiba-tiba. Macam tahu-tahu
saja, nasi minyak sedang on the way, dalam rencana emaknya.
“Eh!
Macam mana dengan penyiasatan kau? Ada tanda-tanda Mr. X hubungi anaknya?” Jade
mengubah topik perbualan. Dia diam apabila nampak pelayan datang menghampiri
meja mereka sambil membawa secawan kopi latte. Dia telah memesan lebih
awal di kaunter sebelum menegur Zed tadi.
“Setakat
ni tak ada tanda-tanda dia ada menghubungi anaknya. Aku rasa anaknyapun tak
tahu apa-apa. Cuma semalam... ada orang guna nombor peribadi telefon banyak
kali tapi dia tak jawab. Kami tengah siasat. Bosan jugalah tunggu buah yang tak
gugur.” Zed memberitahu perkembangan kes yang sedang disiasatnya. Di akhir
ayat, dia mengeluh. “Harapnya tak lamalah aku jadi jaga dia. Bosan gila! Dahlah
rakan setugas aku yang baru tu perempuan. Aku lemas!” Dia meluahkan rasa
hatinya kepada tugasan barunya yang nampak seperti statik dan tidak mencabar.
Jade
sudah tergelak.
“Aku akan
rindu aksi-aksi kita dulu, bro!” Zed menggelengkan kepala. Sangkanya tugasan
pertama selepas menjadi ejen penuh akan membuatkan dia teruja. Tapi tugasan
mengintip orang macam ni, bagi ejen yang pertama kali masuk lapangan macam Jem
memang sesuailah sangat. Dia mengharapkan tugasan yang lebih mencabar!
Jade tergelak lagi. Dia dapat membayangkan kerja Zed
sekarang jika dibandingkan ketika mereka bertugas bersama. Setiap hari adalah
hari yang penuh misi mencabar. Mengembara dari satu negara ke negara lain,
menjejak penjenayah adalah tugas yang penuh bahaya tetapi begitu mengujakan.
“Kau
boleh letak senjata kau dalam kotak dan simpan dalam peti besi kat APG,”
usulnya kemudian. “Layankan ajelah. Dah nasib badan dapat partnerperempuan.
Bergetah ke?” Jade menyoal dengan gelak yang masih belum habis bersisa.
Seronok
betul dia mendapat khabar Zed sedang dalam tension setelah dipisahkan
daripadanya. Dulu Zed yang beria-ia sangat hendak mengetuai misi. Sekarang bila
sudah dapat, masih tidak puas hati.
“Bergetah
sangat! Sampai melekat-lekat!” Zed turut ketawa. Di hadapannya bergentayangan
wajah rakan setugasnya bernama Jamailia yang sangat ‘menghiburkan’ itu. Dia
dapat merasakan dia akan ‘ngam’ dengan gadis yang dipanggil Jem itu nanti. Cuma
dia masih perlukan masa untuk mendapatkan chemistry.
“Terima
kasih, bro untuk HIBISCUS! Kalau kau tak ada pada masa yang tepat, aku mungkin
tak ada peluang gelak-gelak macam ni.” Tawa Jade mati, suaranya bertukar serius
ketika berkata. Dia terkenangkan peristiwa yang membuatkannya betul-betul
terhutang nyawa dengan Zed. Peristiwa yang memberinya kesedaran bahawa dia
bukanlah ejen yang hebat tanpa sokongan rakan sekerja yang hebat seperti Zed.
“Aku juga
banyak terhutang pengalaman berharga. Berbanding pengalaman yang telah kau bagi
melatih aku untuk menjadi seorang ejen seperti hari ini, HIBISCUS itu tak ada
apa-apa. Aku terhutang seluruh nyawa dan karier aku pada kau. Terima kasih
banyak.” Kali ini Zed bersuara meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.
Pengumuman
pendaftaran masuk pesawat yang akan membawa Jade ke kota London kedengaran
mengganggu kedua sahabat itu untuk berbual lebih lama.
“Okey, aku patut pergi dulu.” Misi Jade untuk
menjejaki Mr. X akan bermula.
Khabarnya
lelaki yang mempunyai sebuah mikrofilem mengandungi dokumen bertaraf TOP SECRET
sedang dalam proses menjualnya kerana tidak mahu hidup menjadi pelarian lagi.
Jadi sekarang ini menjadi tugasnya mencari mikrofilem itu sebelum sempat dijual
kepada mana-mana agensi mahupun penjenayah.
Semasa di
London, dia hampir-hampir berjaya menemui Mr. X dan mendapatkan mikrofilem itu
tetapi pada saat akhir Mr. X mengubah fikiran. Ketika dia sedang menanti Mr. X
di Tourism Malaysia, Zed berjaya menjejaki Mr. X yang menyamar. Mr. X memang
sangat licik.
Kerana
peristiwa itulah, gandingan Jade dan Zed dibubarkan. Zed di Malaysia dan dia ke
London. Dia ditugaskan menjejak Mr. X dan menyelamatkan mikrofilem sedang Zed
melindungi anak gadis Mr. X di sini.
Tugasnya
memang mencabar. Nyawanya pun boleh melayang bila-bila. Hasil daripada fail
intipan, mikrofilem itu memang menjadi idaman ramai penjenayah antarabangsa.
Mungkin kerana begitu mencabarnya tugas itu, dia digandingkan dengan pasangan
baru yang mempunyai rekod kerja yang hebat juga.
Tetapi
Jade tidak menyampaikan hal itu kepada Zed. Dia tidak mahu Zed berputus asa dan
semangat. Zed baru sahaja bersemangat kerana telah diamanahkan mengetuai satu
misi. Jade rasakan inilah masanya Zed perlu menunjukkan bakat dan kebolehannya
yang sebenar.
“Sampai
jumpa lagi, bro. Aku tak tahu sama ada aku akan kembali atau tidak. Kalau aku
tak kembali, aku mohon kau jengukkan mak aku di kampung dan uruskan semua
simpanan aku. Aku amanahkan kau untuk jaga mak aku.” Jade memeluk Zed lalu
menitipkan sesuatu di dalam genggaman Zed.
“Kau akan
selamat. Kau akan datang menuntut hak kau. Aku akan jaga semuanya sampai kau
kembali.” Zed memberitahu dengan rasa yang sebak tetapi dia cuba menahan
emosinya.
“Kita
akan selalu berhubung! Kau tahu mana nak cari aku!” Jade mengangkat tangan lalu
melambai.