Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 007 : Belum bersedia

007

The Body Secret, The Mines Shopping Mall

Jam 1015

Lily Tan berjalan ke belakang pusat rawatan kecantikan. Agak luas ruang di situ. Ada lima bilik rawatan, satu bilik persalinan, tandas, pantri dan bilik rehat untuk staf. Matanya melilau mencari kelibat seseorang.

“Laa... you kat sini? Kenapa ni? Ada masalah ke?” Lily Tan menghampiri seorang gadis yang sedang termenung di tepi tingkap. Dia memegang bahu gadis yang nampak resah apabila berpaling. “Tak siap lagi?” Dia bertanya apabila gadis itu masih tidak menjawab soalannya. Dia merenung jam di tangan. Memang ada banyak lagi masa.

Maryam Eisya sudah pun memakai pakaian uniform kerja, cuma dia masih belum membuka tudungnya. Nampak macam kelakar bila gadis itu yang memakai skirt bawah lutut tapi memakai tudung.

“Sekejap lagi I siaplah. Ramai ke pelanggan hari ni?” Eisya bertanya lemah. Dia memandang Lily Tan yang merupakan seorang rakan sekerja yang baik. Di antara ramai-ramai pekerja pusat kecantikan dan pelangsingan itu, dia mudah berinteraksi dengan gadis Cina itu. Bukan hanya kerana dia di bawah bimbingan Lily Tan, tetapi kerana di antara ramai rakan sekerja berbangsa Cina, dia merasakan Lily Tan paling memahami dirinya.

“Tak ramai sangat, tapi ada seorang kakak tu minta you buat treatmentdia. Nanti pukul sebelas dia datang balik.” Lily Tan menjelaskan.

“Pertama kali rawatan ke?” Eisya bertanya lalu membuka almari yang menempatkan pakaian dan barang peribadinya.

Sudah seminggu dia bekerja di situ. Minatnya dalam bidang kecantikan memang tidak pernah surut. Selepas tamat STPM, dia menyambung pengajian diploma di Kolej Geomatika dalam bidang kecantikan dan kesihatan. Namun selepas bekerja di sebuah spa beberapa bulan, ibunya bising-bising minta dia menyambung ijazah pula. Kata ibunya, bidang kecantikan tidak boleh di bawa ke mana. Ibunya mahu dia bekerja gomen, makan gaji.

Sebagai anak yang taat, dia turutkan juga. Tambah-tambah kalau ibunya dapat batu api macam Eifa. Huh! Memang berasap telinga hari-hari dapat motivasi percuma. Jalan keluar hanyalah memohon ijazah dan berada jauh dari rumah selama tiga tahun. Tamat belajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran UiTM, dia ‘tanam anggur’.

Jadi bila pekerjaan yang dipohon bersesuaian dengan ijazah tidak dapat, ibunya mengizinkannya bekerja sementara dalam bidang kecantikan yang diminati itu. Angan-angan mahu mempunyai salun sendiri memang tidak akan pernah padam. Suatu hari nanti dia akan buktikan kepada ibu dan Eifa yang bidang kecantikan boleh menghasilkan banyak duit. Boleh jadi kaya-raya!

“Eisya? Sya? Eh! Berangan pulak. You ni ada masalah besar ke? Nak kongsi?”

Suara Lily Tan yang begitu prihatin mengembalikan Maryam Eisya ke alam nyata. Jauh betul mengelamun.

“You cakap apa, ek?” Tersengih-sengih Eisya bertanya.

“I cakap, first treatment. Ingat tau prosedur. Kena timbang berat dulu, ambil semua ukur lilit badan, lepas tu pakai mesin kat bilik dua. Jangan lupa tawarkan minyak sapuan tu pada dia. Lepas tu baru timbang balik. Sebelum balik, jangan lupa bagi teh dan atur temu janji kedua.” Lily Tan mengulang kembali pesanannya yang diberitahu sebelum ini.

“Oh, okey! Itu semua I ingat. Jangan risau. Beres!” Eisya menghadiahkan Lily Tan dengan senyuman. “Cantik tak, Kak Ton?” Dia menyakat, kemudian tergelak sendiri. Dia sudah siap menyanggul rambutnya tinggi sama seperti pekerja-pekerja lain.

“You memang cantik, Sya... tapi kalau senyumlah. Kalau tak senyum, Kak Ton menangis tengok.” Lily Tan melayan kerenah Eisya. “You kena senyum selalu tau depan pelanggan! Senyuman you memang menawan. Sebab tu I terima you masa interview walaupun you banyak songeh, bagi syarat merapu.” Dia terkenangkan hari pertama dia menemu duga Maryam Eisya.

“Mana pulak merapu? I cuma minta I tak perlu jaga kaunter sebab I pakai tudung. Takkanlah I nak keluar dengan skirt dan tak pakai tudung? Kalau kat dalam bilik rawatan tak apalah, sebab semuanya perempuan. Kat kaunter tu ada boyfrienddatang temanlah... suami tunggulah... You tak menyesal terima I, kan?” Eisya menerangkan lalu mengangkat kening, nakal.

“Ya. I tak menyesal. I tahu you memang pekerja yang bagus. Yang paling penting, I nampak kecintaan you pada bidang ni. Tentulah yang paling penting mesti bergetah dulu kalau nak kerja kat pusat kecantikan. Baru pelanggan yakin. Betul tak?” Lily Tan menepuk bahu Eisya.

“Okey, demi you... I akan selalu kelihatan cantik, Lily! Jangan risau. You have my words.” Eisya berjanji. Alah.. bukan susah pun nak cantik-cantik. Dah memang orangnya cantik.

“Yalah... tapi jangan berhenti cepat sangat. I tahulah you cakap, bila dah ada kerja tetap nak blah. Nanti kalau I dah sayang, susah nak lepas, you juga yang susah. You kena bagi I notis sekurang-kurangnya tiga bulan tau. Kalau tidak... hah you tau sendiri...” Dalam senyum-senyum, sempat lagi Lily Tan mengingatkan Eisya.

“Oh, ya! Tu I ingat. Jangan risau...” Tiba-tiba muka Eisya yang sudah ceria kembali bertukar duka. Dia kena bayar tiga bulan gaji sebagai ganti bayaran notisnya. Terkebil-kebil dia macam cicak tertelan kapur. Berhenti kerja? Hmm... panggilan dari kampung tadi betul-betul membuatkan moodnya ‘hangit’ hari ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.