Flat
Bosnia, Taman Seri Serdang
Jam
1823
Pagi tadi
selepas habis urusan di pejabat pos, Eisya terus balik ke rumah. Dari pagi
sampai ke petang, seharian dia duduk di rumah. Dia melihat jam di dinding.
Kalau ikut kebiasaan, setengah jam saja lagi Zie akan balik ke rumah. |
Hari ini
lepas habis satu DVD, dia menonton DVD lain. Dia membelek pula novel yang
diberi Zie malam tadi. Sudah pun dibaca sampai separuh novel itu. Tapi
fikirannya tidak dapat memberikan tumpuan seratus peratus. Kerjanya menghadap
telefon bimbit. Sama ada mendail atau menjenguk kalau-kalau ada panggilan atau
SMS masuk. Serius! Dia tidak pernah berasa stres seperti ini.
“Kenapa
dia tak telefon? Semalam beria-ia sampai sembilan kali telefon. Hari ni boleh
pulak buat dek aje. Aku pula yang tak boleh duduk senang.” Eisya membebel
sendiri mengenangkan mengapa Jefry tidak menelefonnya hari ini.
“Entah-entah
Eifa saja buat lawak. Dia memang suka nak mengenakan aku.” Eisya membuat teori
sambil mengetuk kepalanya dengan novel di tangannya. Kalaulah betul Eifa
main-main dan Jefry tahu, alamak malunya!
Tiba-tiba
dia terdengar pintu rumahnya diketuk orang. Eisya memandang ke pintu. Dia
hendak bangun tetapi malas.
“Siapa?”
Dia bertanya daripada pembaringannya di atas tilam toto di depan TV.
“Adik
blok sebelah.” Jawapan daripada suara budak kecil di luar rumah membuatkan
Eisya berasa hairan.
“Adik
blok sebelah?” Eisya menggaru-garu kepalanya. Dia bangun untuk membuka pintu.
“Kejap ek! Akak nak pakai tudung.” Baru teringat mukanya tentu serabut kerana
asyik terperap di atas tilam itu sejak asar lagi.
Dia ke
singki lalu membasuh muka, kemudian mengambil tudung di dalam bilik.
‘Petang-petang begini apalah yang adik blok sebelah ni nak?’ omelnya di dalam
hati. Otaknya ligat saja berfikir.
Sebaik
sampai di depan pintu, Eisya mengintai dari celah tingkap untuk mengesahkan
kalau benar itu suara budak. Tinggal bersendirian, dia harus berhati-hati.
Tambah-tambah pula dia perempuan. Walaupun dia ada ilmu menepis yang dia
belajar dulu, bimbang tetap ada. Kudrat orang lelaki kalau berempat berlima,
manakan termakan dengan sedikit ilmu taekwandonya.
“Kenapa,
dik?” Belum pun Eisya sempat bertanya lebih lanjut, seorang kanak-kanak sekitar
sepuluh tahun telah pun menghulurkan sejambak bunga lili dan satu bungkusan
sebaik dia membuka pintu. Terkejut dia. Petang-petang dapat bunga? Daripada
siapa?
“Siapa
yang bagi?” Terus dia bertanya tanpa berlengah-lengah lagi.
“Tu!
Abang kat depan kereta tu. Dia kirim salam.” Kanak-kanak perempuan yang comel
bertudung ungu petang itu menunjuk ke arah kelibat seorang lelaki bercermin
mata gelap yang sedang bersandar pada kereta sportberwarna merah
menyala.
Kereta
Jefry diberhentikan betul-betul di tepi jalan raya menghadap pintu rumahnya.
Kedudukan flat yang bloknya tidak bersambung dengan blok lain membolehkan
kereta diparkir betul-betul di depan blok. Disebabkan itu, Eisya dan Jefry
memang nampak jelas wajah masing-masing.
Sebaik
Eisya berdiri di koridor untuk melihat Jefry dengan lebih jelas, lelaki itu
melambai ke arahnya lalu tersenyum. Lelaki itu dilihatnya masuk ke dalam kereta
dan berlalu.
Segala-galanya
berlaku dengan pantas. Eisya benar-benar kaget. Tidak lama kemudian, dia nampak
asap yang keluar dari ekzos kereta lelaki itu. Semakin lama, kelibat kereta itu
semakin sayup meninggalkannya.
Eisya masih belum dapat mempercayai apa
yang sedang berlaku. Dia membelek lima kuntum bunga lili berwarna peach
itu. Sekeping kad di tangannya dibaca lagi untuk kali yang ketiga. Ketigakah?
Argh! Dia sendiri sudah tak ingat kali ke berapa dia mengulang baca. Sudah baca
banyak kali, dia masih blur.
“Kau
tengok tak tadi?” Tiba-tiba Eisya tersentak, Zie teman serumahnya sudah muncul
di muka pintu. Salam yang selalunya diberi pun dia tidak dengar tadi. Memang
jauh betul dia mengelamun.
“Tengok
apa?” Eisya cepat-cepat menyorok bunga yang dipegangnya ke belakang supaya Zie
tidak perasan.
“Ada
mamat handsome naik Lamborghini merah lalu kat kawasan rumah kita tadi.
Fuiyo! Machogila! Bertembung dengan aku tadi. Siapalah yang dia jumpa
ya? Tak pernah nampak pun sebelum ni. Rugi kau tak tengok tadi.” Teruja Zie
bercerita.
Mulut
Eisya terlopong. “Oh, ya ke?” Dia sekadar menyengih. Mukanya sedikit keliru.
Adakah Zie memaksudkan orang yang sama yang ada di kepalanya?
“Eh! Apa
yang kau sorokkan tu? Bunga?” Zie terus menegur sebaik ternampak jambangan
bunga yang dipegang Eisya. “Siapa bagi?” Tanpa menunggu jawapan Eisya, dia
terus mengambil kad yang terselit di dalam jambangan bunga itu.
“Antara
persahabatan dan kesetiaan. Di manakah kita berdiri? Sampai jumpa lagi. JADE.”
Zie membaca ayat-ayat di dalam kad itu. Dia memandang Eisya dengan wajah yang
penuh tanda tanya. “Jade? Siapa Jade?”