Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 015 : Ibu Eisya memang pelik

015

Flat Bosnia, Taman Seri Serdang

Jam 2030

Zie mengelap saki-baki nasi goreng yang tersembur di lantai. Selera makannya hilang gara-gara berita terkini yang dia baru dapat. Mengenali Maryam Eisya sejak di UiTM, dia tahu sangat. Kerja-kerja mencari jodoh itu mesti didalangi ibunya.

Pernah juga ibu Eisya yang cantik itu meminta dia tengok-tengokkan rakannya itu kerana kata wanita itu, Eisya macam tidak berminat saja dengan hal-hal perkasihan. Pelik. Kalau emak orang lain, bagi nasihat lain kut? Belajar rajin-rajin, jangan fikir boyfriend.

Tetapi ibu Eisya memang cantik dan pelik. Eisya pernah bercerita yang ibunya memang selalu bagi nasihat sambil-sambil belajar, carilah jodoh yang sesuai. Risau benar si ibu bila anak daranya yang cantik manis itu tidak berjodoh.

“Aku ingat dalam novel dan drama aje ada kahwin paksa. Dalam hidup yang betul pun ada juga, ya?” Zie bertanya. Mugberisi air Milo panas dihulurkan kepada Eisya. Dia bawa juga biskut kering kerana bersalah‘menayakan’ nasi goreng Eisya tadi sampai habis.

“Janganlah ngok ngek. Kalau orang buat novel, buat drama, mestilah ada kejadian tu dalam dunia sebenar. Kau macam tak kenal ibu aku. Kan dari dulu lagi dia risau pasal aku yang tak ada boyfriend ni? Tambah-tambah bila Eifa ada kat rumah cuti-cuti ni. Memang menjadi-jadilah.” Eisya meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Apasal ibu kau beria-ia sangat nak kahwinkan kau? Umur kau baru dua puluh tujuh aje pun...” Zie mengambil peluang untuk melontar soalan. Lama sudah soalan itu berlegar-legar cuma tidak terluah.

“Dua puluh enamlah... bulan dua belas, baru cukup dua puluh tujuh.” Eisya membetulkan.

Hek eleh... samalah tu. Lagi nak berkira. Berapa bulan aje lagi pun...” Zie mencebik.

“Kau tak rasa angka dua puluh tujuh tu macam dah dah lewat kalau baru nak mula belajar mencari partnerdan bercinta?” soal Eisya. Seperti baru tersedar, umurnya sudah mahu bertukar angka depannya beberapa tahun saja. Tentulah ibunya ada sebab untuk rasa susah hati... tak senang duduk diam-diam di kampung sana.

“Aku pun baru gradaje. Samalah dengan kau, tapi mak aku tak risau!” Zie menyatakan lagi sesak di kepalanya sebelum ini.

“Kau dan aku lain. Umur kau baru dua puluh empat. Memang patutlah mak kau tak bising. Lagipun kau dah ada boyfriend.” Eisya memenangkan ibunya di dalam sakit hati dengan aturan yang telah direncana untuknya.

Zie tersengih-sengih. Betul juga kata temannya itu. Dia dan Eisya memang tak sama. Tapi itu kan pilihan Eisya juga? Bukan tidak ada yang berkenan tetapi temannya itu berhati batu. Langsung tidak melayan mana-mana lelaki yang mahu berkenalan dengannya. Sedar-sedar sudah habis graduasi. Seorang jejaka pun tak lekat lagi.

“Lagipun... aku tak percaya lelaki.” Lemah Eisya menuturkan kata-kata itu. Apa yang disimpannya selama ini tiada ramai yang tahu. Dia tidak suka menjaja cerita peribadi. Dia ada alasan sendiri mengapa tidak percaya kepada lelaki.

“Perkara dah lepas, buat apa nak dikenang lagi?” Zie memegang bahu Eisya memberi simpati. Baginya semalam adalah kenangan. Hari ini kenyataan dan esok sebuah harapan. Hidup perlu diteruskan. “Kejap... kejap... Kau baca novel ni...” Dia menarik sebuah novel dari rak novelnya yang bersusun cantik lalu menghulurkannya kepada Eisya.

Eisya teragak-agak menyambut novel itu yang bertajuk Cinta Pandang Ke-2, karya Laila Kamilia.

“Kata penulisnya, Kak Laila Kamilia kat autografnya, forgive and forget and let’s rock the world!” Zie sudah gelak-gelak seorang, mengingatkan aksinya yang menunjukkan isyarat bagai lepas menonton konsert rock.

‘Rock the world?’

“Ya ke dia cakap macam tu?” Eisya macam tidak percaya. Zie kadang-kadang suka buat cerita, tambah-tambah perisa. Tapi dalam teragak-agak, dia ambil juga novel di tangan Zie itu akhirnya.

“Ya... aku kan baru lepas main boling dengan dia? Kami satu pasukan tau! Johan! Kan hari tu aku ada bagitau?” Zie mempertahankan ceritanya.

Eisya menganggukkan kepala. Teringat hal Zie memang baru aje lepas bermain boling Novelist & Novelholic, acara yang mengumpulkan penulis dan pembaca novel itu. Beria-ia Zie mengajak dia, tetapi dia bekerja pada hari itu. Jadi, dia menganggap cerita Zie itu betullah. Malas hendak memanjang cerita sebab ceritanya sendiri lagi berat untuk difikirkan.

“Cubalah baca. Novel ni memang pasal kehidupan silam. Zairul dan Ainnur masing-masing ada kehidupan silam yang mereka tak dapat nak lupakan. Tapi, akhirnya apabila mereka belajar memaafkan diri, forgive and forget, mereka berjaya keluar daripada kenangan dan hidup bahagia. Kau berhak hidup bahagia, macam mereka.” Beria-ia Zie memberi motivasi.

“Kau ni sah-sah dah overdose baca novel!” Eisya tergelak.

“Eh! Kau ingat aku main-main ke? Kalau nak lebih umph, kau kena tonton dramanya juga. Dazrin dengan Izara yang berlakon tau?” Zie tak ambil kisah dengan gurauan Eisya. Dia sudah lali. Dia memang hantu novel pun!

“Jadi, apa yang kau hairan kalau ibu aku nak aturkan jodoh aku? Cakap aje berdegar-degar.” Eisya memulang paku buah keras sambil menggelengkan kepala. Kalau setakat bercakap, semua orang boleh. Cuba buat!

“Yalah... yalah...” Zie mengalah.

“Eh! Balik pada kes tunang kau ni. Kau bertunang pagi tadi? Cuba kau cerita dari A sampai Z. Peninglah!” Zie malas hendak bertekak. Dia mahu tahu cerita tunang daripada mulut Eisya.

“Entah. Eifa yang telefon bagitahu. Dia kata ni hal aturan orang-orang tua kat kedai kopi.” Eifa memberitahu sambil mula mencecah biskut kering ke dalam air Milonya.

“Kedai kopi? Selalunya kedai kopi kan hal orang lelaki? Ayah kau bukan ke dah lama tak ada?” Zie bertanya menunjukkan minat.

“Hari tu, aku ada temankan mak aku pergi ziarah kawan dia yang ada kedai kopikat kampung sebelah. Kebetulan, mak tunang aku tu kerja kat situ juga, jadi tukang masak. Biasalah kalau dah orang-orang tua bersembang... terkeluarlah cerita arwah bapa tunang aku tu dulu sekampung dengan mak aku... siap jiran lagi rupanya. Siap aku dan tunang aku tu dulu pernah main sama-sama masa kecil.” Eisya menceritakan kembali apa yang diceritakan oleh Eifa pagi tadi kepadanya. “Aku ingat, kunjungan tu sampai setakat di situ, rupanya... makin menjadi-jadi dan melarat-laratlah sampai mak aku ziarah mak dia kat rumah. Masa tulah idea nak menjodohkan anak-anak ni tercetus. Kononnya mak dia tu dah berkenan sangat dengan aku...” sambungnya. Panjang ceritanya, sama panjang dengan bil yang dia akan dapat bulan ini.

“Mak kau kan dah tahu kau tak berkenan dengan mana-mana jantan? Benci sangat kononnya! Habis, takkanlah dia tak terfikir nak bincang dulu dengan kau. Kalau kau reject, kan ke malu sebab dah bertunang ni dah libatkan keluarga?” Zie menyatakan pendapatnya. Hal-hal kahwin orang mana boleh dipaksa-paksa. Kalau lembu lainlah ceritanya.

“Tahu... adik aku kata, alasan mak sebab dia dah bagi masa lama sangat dengan aku tapi aku tak ada tunjuk minat nak kahwin pun. Jadi dia bertindak dengan pantas bila ada tawaran daripada mak lelaki itu.” Eisya mengulangi lagi fakta daripada mulut Eifa.

“Mak kau ni berani betulah, macam dah terdesak sangat nak bermenantu! Kau baru aje grad!” Zie membuat kesimpulan.

“Itulah... susah hati aku.”

“Berapa umur tunang kau tu?” Masih dalam moodmengorek lebih banyak cerita, Zie bertanya.

“Tiga puluh lima.”

“Tiga puluh lima tak kahwin lagi?”

“Tulah... macam tak percaya aje, kan?”

“Jangan laki orang sudah. Sekarang ni, orang suka menipu. Ramai aje yang mengatur anak mereka kahwin lagi satu sebab tak suka dengan menantu. Baik kau hati-hati.” Zie cuba menjadi batu api. “Lagi satu... macam mana tunang kau tu tak jumpa kau, terus berkenan, hantar rombongan meminang? Kau tak rasa macam ada unsur-unsur ‘misteri’ ke kat situ? Hisy, aku dah mula risau ni!” tambahnya lagi.

Hati Eisya semakin gusar. Dia termenung, memikirkan baik buruk kata-kata Zie. Ibunya tidak fikirkah semua yang Zie lontarkan tadi? Betulkah ibu sayangkannya? Begitukah bukti ibu sayangkan dia? Kepala Eisya sudah fikir macam-macam. Kasih sayang ibu kepadanya pula kini dipersoalkan.

Ini bukannya cara terbaik ibu membantu dia membetulkan persepsinya tentang lelaki. Ini bukannya cara betul untuk memadam rasa fobia yang bersarang di kepalanya. Ibu tidak adil! Ibu sayangkan Eifa lebih daripadanya. Kalau benar ibu sayang dia, tentu ibu tidak akan menjodohkannya dengan lelaki yang entah siapa-siapa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.