Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 016 : Siapakah yang bersandar di Lamborghini merah?

Flat Bosnia, Taman Seri Serdang

Jam 1823

Pagi tadi selepas habis urusan di pejabat pos, Eisya terus balik ke rumah. Dari pagi sampai ke petang, seharian dia duduk di rumah. Dia melihat jam di dinding. Kalau ikut kebiasaan, setengah jam saja lagi Zie akan balik ke rumah.

Hari ini lepas habis satu DVD, dia menonton DVD lain. Dia membelek pula novel yang diberi Zie malam tadi. Sudah pun dibaca sampai separuh novel itu. Tapi fikirannya tidak dapat memberikan tumpuan seratus peratus. Kerjanya menghadap telefon bimbit. Sama ada mendail atau menjenguk kalau-kalau ada panggilan atau SMS masuk. Serius! Dia tidak pernah berasa stres seperti ini.

“Kenapa dia tak telefon? Semalam beria-ia sampai sembilan kali telefon. Hari ni boleh pulak buat dek aje. Aku pula yang tak boleh duduk senang.” Eisya membebel sendiri mengenangkan mengapa Jefry tidak menelefonnya hari ini.

“Entah-entah Eifa saja buat lawak. Dia memang suka nak mengenakan aku.” Eisya membuat teori sambil mengetuk kepalanya dengan novel di tangannya. Kalaulah betul Eifa main-main dan Jefry tahu, alamak malunya!

Tiba-tiba dia terdengar pintu rumahnya diketuk orang. Eisya memandang ke pintu. Dia hendak bangun tetapi malas.

“Siapa?” Dia bertanya daripada pembaringannya di atas tilam toto di depan TV.

“Adik blok sebelah.” Jawapan daripada suara budak kecil di luar rumah membuatkan Eisya berasa hairan.

“Adik blok sebelah?” Eisya menggaru-garu kepalanya. Dia bangun untuk membuka pintu. “Kejap ek! Akak nak pakai tudung.” Baru teringat mukanya tentu serabut kerana asyik terperap di atas tilam itu sejak asar lagi.

Dia ke singki lalu membasuh muka, kemudian mengambil tudung di dalam bilik. ‘Petang-petang begini apalah yang adik blok sebelah ni nak?’ omelnya di dalam hati. Otaknya ligat saja berfikir.

Sebaik sampai di depan pintu, Eisya mengintai dari celah tingkap untuk mengesahkan kalau benar itu suara budak. Tinggal bersendirian, dia harus berhati-hati. Tambah-tambah pula dia perempuan. Walaupun dia ada ilmu menepis yang dia belajar dulu, bimbang tetap ada. Kudrat orang lelaki kalau berempat berlima, manakan termakan dengan sedikit ilmu taekwandonya.

“Kenapa, dik?” Belum pun Eisya sempat bertanya lebih lanjut, seorang kanak-kanak sekitar sepuluh tahun telah pun menghulurkan sejambak bunga lili dan satu bungkusan sebaik dia membuka pintu. Terkejut dia. Petang-petang dapat bunga? Daripada siapa?

“Siapa yang bagi?” Terus dia bertanya tanpa berlengah-lengah lagi.

“Tu! Abang kat depan kereta tu. Dia kirim salam.” Kanak-kanak perempuan yang comel bertudung ungu petang itu menunjuk ke arah kelibat seorang lelaki bercermin mata gelap yang sedang bersandar pada kereta sportberwarna merah menyala.

Kereta Jefry diberhentikan betul-betul di tepi jalan raya menghadap pintu rumahnya. Kedudukan flat yang bloknya tidak bersambung dengan blok lain membolehkan kereta diparkir betul-betul di depan blok. Disebabkan itu, Eisya dan Jefry memang nampak jelas wajah masing-masing.

Sebaik Eisya berdiri di koridor untuk melihat Jefry dengan lebih jelas, lelaki itu melambai ke arahnya lalu tersenyum. Lelaki itu dilihatnya masuk ke dalam kereta dan berlalu.

Segala-galanya berlaku dengan pantas. Eisya benar-benar kaget. Tidak lama kemudian, dia nampak asap yang keluar dari ekzos kereta lelaki itu. Semakin lama, kelibat kereta itu semakin sayup meninggalkannya.

Eisya masih belum dapat mempercayai apa yang sedang berlaku. Dia membelek lima kuntum bunga lili berwarna peach itu. Sekeping kad di tangannya dibaca lagi untuk kali yang ketiga. Ketigakah? Argh! Dia sendiri sudah tak ingat kali ke berapa dia mengulang baca. Sudah baca banyak kali, dia masih blur.

“Kau tengok tak tadi?” Tiba-tiba Eisya tersentak, Zie teman serumahnya sudah muncul di muka pintu. Salam yang selalunya diberi pun dia tidak dengar tadi. Memang jauh betul dia mengelamun.

“Tengok apa?” Eisya cepat-cepat menyorok bunga yang dipegangnya ke belakang supaya Zie tidak perasan.

“Ada mamat handsome naik Lamborghini merah lalu kat kawasan rumah kita tadi. Fuiyo! Machogila! Bertembung dengan aku tadi. Siapalah yang dia jumpa ya? Tak pernah nampak pun sebelum ni. Rugi kau tak tengok tadi.” Teruja Zie bercerita.

Mulut Eisya terlopong. “Oh, ya ke?” Dia sekadar menyengih. Mukanya sedikit keliru. Adakah Zie memaksudkan orang yang sama yang ada di kepalanya?

“Eh! Apa yang kau sorokkan tu? Bunga?” Zie terus menegur sebaik ternampak jambangan bunga yang dipegang Eisya. “Siapa bagi?” Tanpa menunggu jawapan Eisya, dia terus mengambil kad yang terselit di dalam jambangan bunga itu.

“Antara persahabatan dan kesetiaan. Di manakah kita berdiri? Sampai jumpa lagi. JADE.” Zie membaca ayat-ayat di dalam kad itu. Dia memandang Eisya dengan wajah yang penuh tanda tanya. “Jade? Siapa Jade?”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.