006 Hotel New Century Xiaoshan, Beijing, China
Jam 0041
Tak perlu memecah masuk ke Penjara Qincheng! Arahan
terbaru yang diterimanya memerlukan dia mendaftar masuk ke hotel dan tunggu
arahan seterusnya. Penat dia memikirkan cara menyelinap ke sana, alih-alih
dapat arahan supaya dia balik ke hotel. Huh! Memang buang masa dan tenaga je
memikir di sepanjang dalam kapal terbang tadi! Memang sia-sia! Kalau tahu, baik
dia membuta!
Hehe... kalau tahu... Hakikatnya pekerjaannya
memang memerlukan dia untuk selalu dalam keadaan bersedia. Kalaupun dah ada
rancangan A, kalau tak menjadi kena ada rancangan B pula. Otak dan badannya
harus sentiasa bekerja 24/7, dah macam rupa operasi masa kedai 7 Eleven. Mesin
kat kilang pun ada masanya berehat juga.
Jade berbaring di atas katil. Terlentang. Kepenatan
kerana penerbangan selama 5 jam 30 minit dari Kuala Lumpur sebenarnya begitu
terasa hanya kerana dia baru tiba dari Sydney yang memakan masa 8 jam 30 minit
sebelumnya. Dia perlu melelapkan matanya seketika, menggunakan masa yang ada
untuk cuba merehatkan tubuh dan minda. Namun wajah Olga masih tidak dapat
dilenyapkan dari matanya sejak tadi.
Pertemuan di antaranya dengan Olga begitu manis
sekali. Manisnya macam mencicip gula kapas. Sedap tapi jika manis sangat boleh
buat sakit gigi! Ye, begitulah... Kerana terlalu manisnya dia yang terluka
sendiri...
7 tahun sebelumnya....
Hotel
Capriani, Venice, Itali
Jam
2000
Sambutan ulangtahun Persatuan Pemilik Berlian Antik
kali ini sangat meriah dengan acara tari-menari. Semua yang hadir sedang
menikmati suasana mewah yang santai. Hilai tawa diselangi muzik klasik
membingitkan halwa telinga tetapi disenangi para hadirinnya. Ramai juga sedang
asyik menari di ruang tengah menikmati
alunan muzik yang disajikan.
Bagi Jade, parti yang dihadiri oleh ramai hartawan
dunia itu sudah tidak ada tarikannya lagi kepadanya. Pada awal-awal tahun penglibatannya
dalam dunia perisikan ini, dia agak teruja meneroka dunia hiburan seperti itu
namun kerana sudah lali, dia sudah tidak merasakan keseronokan lagi. Baginya
hanya suatu malam biasa yang sangat membosankan.
Namun malam ini dadanya berdebar lebih daripada
biasa. Bagaikan ada sesuatu yang penting yang akan terjadi pada malam ini.
Matanya ralit memerhatikan setiap tetamu yang sedang santai di dewan utama
berwarna keemasan itu. Misinya malam itu membantu seorang ejen di lapangan mencuri
berlian yang dipunyai salah seorang tetamu jemputan.
Tidak lama menanti, satu kelibat menarik perhatiannya. Dia tahu ejen yang
dimaksudkan adalah seorang wanita bernama Olga. Raut wajahnya juga sudah
dihafal namun tanpa dia duga Olga yang di dalam gambar dengan Olga yang ada di
hadapannya sangat jauh berbeza. Yang ada gambar berwajah biasa tetapi yang ada di
hadapannya luar biasa, membuatkannya terpukau. Yang ada di hadapannya ini boleh
membuatkan sesiapapun angau!
Anne Hathaway! Pertama kali memandang wajah Olga
malam itu hanya satu nama tiba-tiba terpacul di bibir Jade. Persis bintang
terkenal Hollywood, Olga memang bijak memanipulasi kecantikannya. Kehadirannya
di dewan itu begitu menawan sehingga ratusan pasang mata tidak jemu memberikan
tumpuan. Pastilah senang saja si gadis mengalih perhatian orang dengan 'tugas
sebenarnya'.
Agh! Mudahnya menjadi ejen perempuan! Jade
mencebir. Tiada sekelumitpun rasa kagum. Mata Jade terus memberikan tumpuan sama
seperti mata ratusan tetamu yang lain tetapi dia tetap berwaspada. Olga sedang
menari bersama seorang lelaki yang
tidaklah sekacak mana pada pandangan mata Jade. Entah dari mana dirembat Olga,
macam main tangkap muat! Jade mengumpat sendiri.
Sasarannya bukan lelaki yang sedang menari dengan
Olga tetapi lelaki yang sedang menari di sebelah Olga itu. Lelaki Inggeris yang
memakai sut hitam yang tentunya dari pereka jenama mahal itu sekalipun menari
dengan pasangannya yang tidak kurang menawan, tetapi tetap menjeling Olga.
Dasar mata keranjang! Macam Jade tak boleh baca fikirannya! Jade membuat
analisa sendiri.
Jade turun ke ruang tari yang semakin meriah dan
riuh rendah. Dia menjemput seorang gadis yang sedang berdiri memerhati sejak
tadi untuk sama menari dengannya. Pelawaannya disambut lalu dia turut sama
berdansa di lantai dewan itu dengan wajah gembira.
Muzik bertukar rentak lalu mereka bertukar pasangan
juga. Kini Olga sedang berada di dakapan lelaki Inggeris tadi. Olga sedang
memainkan peranannya dan sebentar nanti Jade yakin lelaki itu akan dapat
'ditaklukinya'. Pekerjaan yang sangat mudah bukan? Jade rasa hendak hantuk
kepalanya ke dinding saja mengenangkan kelemahan lelaki pastilah kepada
kejelitaan wanita. Tak perlu ribut-ribut mahu memikir strategi itu ini atau
membahayakan nyawa dengan peluru di sini sana. Agh! Jade meroyan yang
bukan-bukan!
Lagu bertukar rentak lalu sekali lagi mereka bertukar
pasangan. Kali ini giliran Jade di sisi Olga. Mata bertentangan lalu senyuman
bertukar dalam bahasanya sendiri. Tanpa pengenalan diri, Olga mudah
mengenalinya.
"Gembira bertemu kamu, Jade." Olga
membisikkan di telinga.
"Kamu menawan sekali Olga!" Bisik Jade
kembali. Dan senyuman sekali lagi memberikan maknanya sendiri...
Hotel New Century Xiaoshan, Beijing, China
Jam 0059
Baru
mata Jade hendak terlena mimpikan kenangannya dengan Olga, telefon bimbitnya
bergegar. Hanya dengan sekali capai, telefon bimbit yang ada di atas katil
terus dibawa ke hadapan mata. Matanya terbeliak seketika. Dia mengenyeh matanya
dengan hujung jari. Biar betik!
SORRY. AKU TAK SEMPAT SAMPAI ESOK PAGI. AKU
DAH BACA FAIL YANG KAU BAGI. ADA SIDANG KEDUA KONFEREN MARITIM DI TEMPAT SAMA 3
HARI LAGI. JIKA ADA YANG AKAN MATI KALAU AKU TAK PERGI ESOK, BAGITAHU SEGERA. AKU
AKAN FIKIRKAN SESUATU!
Amboi!
Lain macam saja bunyi SMS daripada Zed kali ni! Jade memegang dagu sedang
mengira bilakah ayat-ayat Zed sudah ada bau-bau ingkar. Hmm... rasanya belum
pernah. Agh! Tidak! Dia harus membanterasnya awal-awal lagi sekalipun dia
sedar, misi Zed ke Hong Kong tidaklah melibatkan nyawa orang. Memang tak berapa
nak mustahak! Tapi sebagai seorang yang selalu dominan, dia tidak akan senang-senang
berkompromi dengan Zed. Tak boleh dibiarkan 'pengkhianatan'. Ewah! Teruk betul
Jade melabel keingkaran Zed kepada pematuhan arahan.
Tiba-tiba
Jade teringat pula tentang kedudukan Zed yang berada di US. Dia harus rasional.
Sekalipun Zed harus akur permintaannya, dia perlu mempertimbangkan faktor
kekangan lokasi terkini pasangan perisiknya itu. Sementelah, dia yang
memberikan pelepasan kepada Zed untuk bercuti selama sebulan. Jade cuba memberi
rasional kepada ego yang mencabar.
Baru
dia mahu membalas SMS Zed, satu panggilan masuk. Dia segera menjawab. Dahinya
berkerut sebaik menerima berita yang baru disampaikan. Semerta badannya tegak! Olga memang selalu
buat dia sesak!