Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,447
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1 : WELCOME HOME AGENT JADE!

001

Sehari sebelumnya

Pengkalan Utama (HQ), Agensi Perisikan Global (APG), Putrajaya

Jam 1500

"Selamat datang ke HQ, Mr. Jade! Sila aktifkan imbasan retina." Suara perempuan berkomputer kedengaran jelas di pendengaran. Dia mendekatkan matanya ke mesin pengimbas retina di butang kekunci lif.

"Pengesahan retina 100%. Sila tekan butang untuk ke pintu masuk." Sebaik arahan tamat, butang kekunci di lif tiba-tiba bergerak. Panel lif yang tadinya hanya memaparkan butang dari aras lantai, G hingga ke tingkat 3, tiba-tiba menggelongsor turun. Aras-aras baru tertera di panel lif, memaparkan butang dari aras -1 hinggalah ke -3. Jade menekan butang -3, membawanya ke satu tempat yang dia telah biasa berada setiap kali melapor diri.

Sebaik keluar dari lif yang pertama, Jade bergerak menuju ke arah kanan, masuk ke dalam sebuah lagi lif. Apabila pintu lif tertutup, dia mendepakan tangan bersedia untuk diperiksa.

"Imbasan senjata negatif." Kedengaran suara daripada mesin pengimbas senjata membuat laporan selepas mengimbas tubuhnya. Kali ini Jade menekan butang pertama bertanda L. Lif akan membawanya ke satu bilik rahsia bertemu dengan KP, ketua APG.

Dia membetulkan butang blazernya. Di kepalanya ada macam-macam yang difikirkan. Dia sebenarnya sedang dalam misi pengeboman Sidney Habour di Australia apabila tiba-tiba dipanggil mengadap KP. Tidak banyak yang dia boleh laporkan kepada KP kerana dia sedang dalam usaha pengumpulan maklumat. Dia paling benci situasi seperti ini. Situasi di mana seolah-olah dia terpaksa mendedahkan kelemahan dirinya kerana dipanggil dalam keadaan tidak bersedia melaporkan kejayaan.

Dia menarik nafas menenangkan dirinya. Kerajaan Australia baru saja mengumumkan kepada media mengaitkan Malaysia dalam perancangan letupan tersebut. Kes tersebut telah mengeruhkan hubungan dua hala di antara Malaysia-Australia. Adakah kerana itu dia dipanggil? KP telah membuatkan tumpuannya kepada kes itu sedikit terganggu.

"KP dah sedia menunggu." Moon, setiausaha KP memberitahu sambil menitipkan senyuman semanis gula seperti selalu. Jade menanggalkan cermin mata hitamnya lalu membalas dengan senyuman yang lebih manis membuatkan hati si gadis berdetak lebih laju. Ejen yang seorang ini memang boleh menghantarnya ke IJN pada bila-bila masa.

"Monsun barat ke timur?" Jade bertanya sambil gelak-gelak. Dia merujuk kepada 'angin' yang sedang bertiup di dalam bilik KP. Kalau monsun Barat, dia nak bawa 'payung', kalau monsun timur lebih sesuai dibawa 'aircond'. Elok juga dia bersedia dengan perisai yang sesuai. KP tu kalau anginnya mengganas, boleh tercampak keluar pintu.

"Macam monsun barat aje. Dah beberapa hari wajahnya keruh." Moon menjawab kemudiannya sambil tangannya memegang kotak berbalut cantik yang dihulurkan Jade sebelumnya. Hatinya berlagu ria kerana Jade menghadiahkannya sesuatu. Dia jadi tidak sabar mahu membukanya di situ tetapi mengawalnya agar tidak terkesan di mata Jade.

"Terima kasih!" Mata Moon masih lekat pada kotak yang sederhana besar itu. Jade memang pemurah. Sikapnya itu memang sangat disenangi oleh Moon. Tak pernah sekali Jade ke HQ, tanpa membawa ole-ole kenangan.

Jade membalas dengan senyuman dan kerdipan mata yang membuatkan detak jantung Moon semakin laju daripada tadi. Moon tunduk tidak terdaya melawan rasa itu.

"Er... Jade!" Baru saja Moon mengangkat wajahnya apabila berjaya menyembunyikan rasa, dia terpinga-pinga. Kelibat Jade telah hilang di hadapannya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.