Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,445
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
PROLOG : SERUM 24

"Jangan engkau percaya melihat kegagahan seorang lelaki. Tetapi jika mereka teguh memegang amanah dan menahan tangannya daripada menganiayai sesamanya, itulah lelaki yang sebenarnya." -Khalifah Umar al-Khattab

PROLOG

Lokasi : Tidak dinyatakan

Masa : Tidak dapat ditentukan

Suasana di dalam bilik tahanan itu kelam. Hanya ada cahaya datangnya dari satu lubang yang besarnya hanya cukup-cukup dia berdiri. Dia mengerdipkan matanya apabila terasa cahaya menusuk ke matanya. Hari sudah siang. Dia menanda di dinding kayu di hujung tangannya yang bergari dengan tanda segaris menggunakan hujung gari, bagi memberinya ingat, hari yang baru telahpun bermula.

Dia membuka matanya lebih lebar. Mengira tanda yang digarisnya. Ada sepuluh garis semuanya di situ, menandakan sudah sepuluh hari dia menjadi tawanan. Dia melepas lelah. Tubuhnya sudah semakin menyusut beratnya. Ada rasa pedih di mana-mana di badannya akibat deraan yang bukannya sedikit. Dia tidak pasti sampai bila dia boleh bertahan. Tubuhnya sudah dilatam dengan macam-macam. Hanya kekuatan psikologi yang membuatkannya terus berdiri. Pasti.

Telinganya menangkap bunyi pintu utama dibuka. Dia tersengih lemah. 'Sarapan pagi' telah datang. Sederap demi sederap langkah pengawal menapak tetapi hatinya tidakpun berdebar. Dia sudah bersedia untuk menerima siksaan hari ini. Dia menarik nafas lalu membiarkan tubuhnya yang sudah longlai itu diheret oleh pengawal yang datang dengan rakus.

"Keluarkan serum." Lelaki yang berwajah garang itu memberi arahan kepada pengawal yang seorang lagi dalam bahasa Mandarin membuatkan dia menggagahkan diri mengangkat wajahnya. Dia tahu nyawanya sudah sampai di penghujung.

"Kan aku dah kata, kau boleh bunuh aku saja dari hari pertama?" Dia menggunakan sisa kekuatannya untuk melepaskan diri tetapi gari yang mengikat tangannya benar-benar membataskan dirinya. Kakinya kemudian ditendang menyebabkan dia kembali terduduk ke lantai.

"Kau ingat semudah itu aku nak bagi kau mati?" Lelaki yang sedang memegang serum berwarna hijau terang itu ketawa berdekah-dekah. Hatinya sedikitpun tidak terjentik memberikan simpati. Dia sekadar memberikan jelingan tajam.

Kalaulah orang yang sedang di dalam tawanannya itu memberikan kerjasama di awal-awal, kerjanya memang mudah. Tak perlu dia membazirkan masa dan tenaganya memerah otak menjana idea untuk melakukan penderaan demi penderaan. Bayarannya juga berbaloi dengan usaha. Dia memang sakit hati melihat kedegilan tahanan di depannya ini. Tak padan dengan tuan punya badan!

"Hentikan dan bunuh aku sekarang!" Dia menjerit sambil meronta dilepaskan.

"Kalau bukan kerana bos tahan, dah lama aku 'makan' kau!" Lelaki bengis bertatu naga merah hampir separuh lengannya itu menjegil sambil memandangnya atas bawah.

"Kau nak 'makan' aku? Apa kata kau buka ikatan ini dan kita tengok siapa yang mampus?" Kali ini dia pula menjegilkan matanya melawan.

Pang!

Untuk ke sekalian kalinya tangan kepal singgah ke mukanya. Darah tersembur keluar dari mulutnya mewarnai dinding di hadapannya dengan warna pekat merah. Agh! Bisanya terasa menusuk-nusuk dari rahang ke seluruh sendi wajahnya.

Puih!

Dia meludah dengan sisa darah yang ada di dalam mulutnya. Kali ini sasarannya tepat mengena ke pipi lelaki yang berwajah ganas itu.

Pang!

Kena lagi! Kali ini lebih kuat dari tadi. Kepalanya terlentok lemah. Sakitnya tak perlulah hendak cerita. Dia sendiri macam tidak percaya dia boleh bertahan sampai ke hari ini.

"Dengar sini!"

Dalam keadaannya yang sedang menahan sakit itu rahangnya dicengkam geram. Dia terpaksa mengangkat mukanya menyeringai mempamerkan barisan giginya yang diselaputi darah. Lelaki itu mengesat sisa palitan darah yang diludahnya tadi ke pipinya.

"Untuk kali yang terakhir, kau beritahu aku, mana kau sorokkan berlian tu ha?" Lelaki itu berbisik ke telinganya seolah-olah memberi harapan bahawa jika dia memecahkan rahsia, dia akan dibebaskan. Harapan yang ternyata palsu sama sekali!

"Kau hanya boleh bermimpi. Bunuh aku saja!" Dia menjawab dengan yakin. Dia tahu, dia akan diselamatkan, cuma masa yang akan menentukan bilakah ianya tiba.

"Degil ya! Nah! Rasakan!"

Picagari berisi cecair hijau tadi dicucuk ke paha kanannya dengan kuat!

"Selamat datang ke neraka! Kau hanya ada 24 jam!" Lelaki itu ketawa sekuat hatinya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.