Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,450
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 4 : PENJARA QINCHENG

004

MAS Golden Launch,Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

Jam 1659

Sambil menghirup kopi, dia membelek lagi ipad di tangan kiri. Beberapa tetingkap di skrin komputer diklik bersilih ganti. Banyak sangat info di internet yang sedang dicarinya. Ada beberapa maklumat yang diberikan APG yang masih memerlukan dia membuat penyelidikan lanjut. Dia kepalanya memang ada beberapa perkara yang difikirkan bagaikan gambaran di tetingkap layar ipadnya. Beijing, Sidney, Hong Kong dan Singapura! Semuanya saling berlumba, bersilih ganti mahu mencuri perhatiannya.

Dia meneguk lagi kopi sambil menyandarkan badan ke bangku. Matanya tidak lepas-lepas menatap skrin ipad. Wajahnya memang kelihatan sangat serius dan fokus pada kerjanya. Ralit dia membaca info dan membelek gambar Penjara Qincheng. Dia sedang menjana idea, mencari cara terbaik untuk memecah masuk tanpa disedari pihak berkuasa. Jika tersalah langkah, bukan hanya nyawanya yang bakal melayang, nasib Olga yang seperti di hujung tanduk dah tentu tak dapat dibayang.

Lantas dia harus berhati-hati sementelah kali ini ia bukan sekadar misi menyelamatkan seorang rakan seperjuangan. Ini misi untuk menyelamatkan bukan sembarangan rakan. Olga Rozalea Nicholei. Menyebutkannya juga mahu terbelit lidah apatah jika hendak menyimpulkan perhubungan kompleks di antara Jade dengan si gadis Soviet itu.

Sejarah perhubungan Jade dengan Olga sangat panjang dan istimewa. Mereka sering digandingkan dalam misi dan sering memainkan watak sebagai pasangan kekasih. Keintiman mereka bukan sekadar dalam misi rahsia tetapi digembar-gemburkan mempunyai hubungan istimewa di luar lapangan. Benarkah? Jade sendiri tidak berani untuk merungkai perasaan istimewa di antara mereka. Sebetulnya dia dan Olga tidak pernah punya apa-apa rahsia untuk diselindungi. Mereka telus dan saling mempercayai.

Jade mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menjawab panggilan masuk yang mengganggu tumpuannya tiba-tiba. Hehe... tumpuannya kepada kenangan indah bersama ejen cantik bernama Olga itulah...

Setelah beberapa ketika berbincang, dia menganggukkan kepala lalu tersenyum tanda puas hati. Mereka telah mencapai kata sepakat mengikut apa yang direncana. Dia yakin sangat dengan keputusan yang dibuatnya.

"Serahkan wang itu bila aku dah sahkan maklumat yang dia bagi adalah maklumat yang aku inginkan." Jade memberi arahan kepada seseorang di talian. Dia bersandar membetulkan duduknya. Mujur tempat duduknya memang sedikit tersorok. Tidak ramai yang ada di kafe eksklusif Syarikat Penerbangan Malaysia pada ketika itu.

"Ya, aku tahu. Jangan bimbang, kau buat macam biasa. Ini bukan pertama kali kau buat kerja ni bagi pihak aku. Semua peralatan aku dah letakkan bersama kod transaksi wang seratus ribu tu. Jangan lupa baca manualnya. Berlagak macam biasa. Dia tak pernah jumpa aku. Ingat, jam 1 di Merlion. Cari papan tanda ONE FULLERTON dekat Merlion tu. " Jade memberitahu lagi. Nada suaranya yakin sangat dengan 'permainan' yang dia ciptakan.

Sebaik mematikan talian, Jade termenung seketika. Ada seperkara lagi yang mengganggu fikirannya tiba-tiba. Dia tidak pasti berapa lama dia akan berada di Beijing. Misinya bukan mudah. Tidak mungkin dia dapat menyelesaikan misinya dalam masa sehari dua ini. Dia sedang berperang dengan masa.

Dia berteleku di meja. Otaknya harus bekerja dua kali ganda kerana dia sedang menghadapi dua misi yang sama pentingnya; melibatkan nyawa. Dia memejamkan mata. Terlayar penjara Qincheng yang dia masih belum ada rencana bagaimana dia harus memecah masuk awal pagi ini. Terbayang wajah Olga yang sedang berlumuran darah dan tidak bermaya atau mungkinkah dia hanya akan menemui mayatnya? Jelas, tekanan benar-benar sedang mengujinya.

Berjayakah agendanya dinihari nanti? Untuk menyelinap masuk ke penjara Qincheng, dia perlukan rancangan yang sangat rapi. Tersilap langkah hanya akan mejerat diri.

Bagaimana pula rencananya esok tengahari? Jika 'Jade' gagal memainkan peranan, dia mungkin kehilangan maklumat berharga yang sangat-sangat diperlukan. Mungkin juga dia hanya akan beputih mata melihat wang pelaburannya hangus begitu saja. Dia memang benar-benar memperjudikan nasibnya.

Dan... tiba-tiba Hong Kong pula yang sedang terngiang-ngiang di kepala. Agh! Dia garu kepala sendiri. Telefon diraih lagi. Beberapa ketika menanti, dia jadi tak sabar panggilannya disambut oleh orang di hujung talian sana. Jejarinya bermain-main di hujung meja bagi meredakan perasaanya.

"Aku nak minta kau ke Hong Kong." Sebaik talian bersambung, dia terus memberikan arahan tanpa menunggu lebih lama lagi. Tak sempat pun hendak berbasa-basi bertanyakan keadaan diri orang yang sedang dihubunginya.

"Hong Kong?"

"Ya, Hong Kong! Esok!"

"Tapi Jade, aku kat US ni. Aku tengah BASE training kot. Agak-agaklah..."

"Aku tak kira, kau kat mana Zed! Atau kau buat apa sekarang ni! Yang aku tahu, kau mesti ada di Hong Kong. Aku akan hantar maklumat selanjutnya nanti."

Talian dimatikan. Jade menarik nafas. Dia berdoa agar keputusan yang dibuatnya tepat pada masanya. Dan semoga ALLAH sempat menemukan dia dengan Olga kesayangannya!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.