Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,449
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3 : ANTARA OLGA DAN SINGAPURA

003

HQ APG, Putrajaya

Jam 1545

Jade sudah mengambil beberapa dokumen yang diperlukannya untuk ke negara China. Segala-gala telah tersedia; matawang, pasport dan visa malah maklumat yang diperlukannya juga telah disimpannya rapi. Selebihnya keperluan lain jika dia memerlukannya, akan didapatkan semasa di Beijing saja nanti.

Jade masuk ke dalam kereta bersama-sama keperluannya tadi tetapi kepalanya berserabut. Kepalanya ligat memproses maklumat-maklumat yang baru dia dapat. Pertama kali ini dia dalam dua misi sekaligus. Dia bukannya Superman yang boleh berada di beberapa lokasi untuk menyelamatkan dunia. Dia hanyalah seorang ejen yang kini terbahagi fokusnya.

"Bagus sangat!" Jade marah sendiri sebaik membaca kiriman emel daripada informer yang mahu berjumpa dengannya lagi tiga hari itu. Dia baru bercadang menunda pertemuan tetapi informer itu mahu berjumpanya esok pula.

Tadi dia sudah diberi misi untuk ke Beijing. Seingatnya dia boleh menunda seketika pertemuannya dengan informer yang baru 'berjinak-jinak' dengannya itu sehingga dia pulang dari Beijing. Dia sesekali tidak akan melepaskan seorang informer yang menawarkan maklumat berharga kepada seorang ejen lain, hatta ejen itu adalah rakan setugasnya Zed. No way!

"Tangguhkan dulu pemergian tu. Kalau penting, minta Zed yang mengambil alih tugasan tu. " Arahan KP tadi terngiang-ngiang di telinganya mengganggu 'keputusan' yang awalnya sudah bulat. Mana-mana ejen sudah pasti tidak akan mendedahkan identiti informer mereka kepada pesaingnya.

Zed pesaingnya? Bukankah Zed rakan setugas yang banyak membantunya semasa di lapangan? Jade patut memberikan kepercayaan melebihi 100% kepada seorang rakan yang selalu menjadi penyelamat nyawanya, bisik hatinya. Alah... Diapun banyak juga menyelamatkan Zed, apa nak berkira sangat? Rasanya dia lebih hebat daripada Zed kalau melihatkan sejarah perkhidmatannya yang cemerlang. Dia lebih senior dan Zed itu adalah ejen yang dibimbingnya, perantisnya. Namun dia tahu, hanya ego yang telah membataskan dia untuk meletakkan kepercayaan 100% itu kepada seorang Zed.

SMS yang baru dia terima daripada informer itu dibaca lagi sekali. Dia jelas dan faham kehendak orang itu. Sekalipun belum pernah berjumpa, Jade sedia maklum yang informeritu liat untuk dibawa berunding. Ini kali yang ketiga mereka membuat temujanji tetapi asyik tidak menjadi. Mungkin informeritu mahu menguji setakat mana kesabaran dan kemahuannya terhadap maklumat yang ditawarkan.

ESOK. MERLION. ONE.

Jade membelek tiket kapal terbang ke Beijing yang ada di tangannya. Kalau mengikut tiket penerbangan MAS yang dipegangnya, dia akan berlepas ke Beijing jam 6.25 petang nanti. Kalau dia menaiki pesawat itu bermakna dia akan terlepas pertemuan dengan informer esok. Sekarang pun dia hanya ada kira-kira tak sampai 30 minit untuk tiba di KLIA untuk mengejar kapal terbang ke Beijing. Dia harus pantas membuat keputusan.

Jade jadi serba salah. Wajah Olga bergentayangan di mata. Dia membayangkan gadis itu dalam keadaan yang sangat mengerikan jika masih dapat bertahan sebegitu lama. Dia kesal kerana baru hari ini dia diberitahu tentang Olga. Sesi soal siasat oleh komunis pastinya sangat menyiksakan. Dia sudahpun membayangkan betapa tubuh yang tinggi lampai itu sedang tersepuk di lantai. Dia harus menyediakan diri untuk menyelinap masuk ke dalam penjara Qincheng; penjara yang dilabel sebagai maximum-security di China.

Di antara nyawa Olga dan tawaran maklumat yang berharga, Jade harus bijak memiih di antara keduanya dalam masa singkat yang dia ada. Dia menekan pedal minyak. Sebagaimana lajunya kereta itu bergerak, fikirannya juga turut sama bergerak. Dia harus buat keputusan yang tepat. Olga atau informer di Singapura!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.