Home Novelet Thriller/Aksi CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
CINTA TOP SECRET VERSI 1.0
Laila Kamilia
9/2/2015 22:11:49
13,451
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2 : OLGA

002

HQ APG, Putrajaya

Jam 1515

Setelah bertanya khabar, KP terus bertanyakan perkembangan terbaru kes yang sedang disiasatnya. Jade menarik nafas. Rongga udara di dadanya rasa sesak dengan soalan cepumas. Seperti diduga, KP pasti memanggilnya kerana kenyataan media yang dibuat Perdana Menteri Australia tiga hari lepas.

"Saya yakin, letupan yang berlaku di belakang Opera House Sydney hanyalah bertujuan untuk mencemar nama Malaysia dengan melagakannya dengan Australia. Suspek, Eagle Eye dikatakan sedang berada di Hong Kong." Jade menyampaikan maklumat siasatan tentang misinya kepada KP dengan lancar. Dia sudah menyediakan skrip jawapan awal-awal lagi sebaik KP bertanyakan perkembangan kesnya. Dia menelan liur. Maklumat yang baru disampaikan itu bukanlah maklumat terkini. Dah basi. Hanya ada tambahan sipi-sipi.

"Bila kamu akan ke Hong Kong?" KP menyoal Jade. Perlahan tetapi tegas. Kali ini dia membelakangkan Jade. Jelas nampak wajahnya sedikit keruh tetapi Jade tidak dapat meneka apakah yang sedang bermain di kepala ketuanya itu. Ada satu rasa lain macam di benaknya. KP seolah-olah tidak teruja untuk mendengar penerangannya seperti selalu. Bagai ada sesuatu yang tidak kena!

KP menekan punat panel bidai tingkap. Semerta cahaya dari luar masuk, tembus ke dalam bilik yang sederhana besar itu. Kebanyakan ruang di bilik itu diisi dengan sijil-sijil dan plak penghargaan sama ada di dinding mahupun di dalam almari.

Jade tersenyum sendiri. Soalan KP memang tepat kena pada masanya. Jade memang akan ke Hong Kong kerana dia mendapat maklumat yang Eagle Eye sedang merangka satu lagi 'agenda' yang akan membuatkan nama Malaysia lebih terpalit.

Namun disebabkan maklumat yang baru diterimanya itu masih samar-samar, dia tidak mahu memaklumkan hal itu kepada APG. Dia mahu semuanya telah benar-benar sah, barulah dia akan bermukadimah. Sekarang bukan masanya. Mendedahkan hal yang masih tidak pasti hanya menunjukkan kelemahan diri sendiri.

"Esok!" Yakin saja Jade menjawab. Ke Hong Kong bukanlah ada dalam agendanya dalam masa terdekat ini. Dia perlu berjumpa dengan seorang informer di Singapura dalam tempoh tiga hari lagi. Tapi mulutnya meluncur laju mendahului otaknya.

Dia sengih lagi. Jawapan spontan itu demi menutup kekurangan dirinya di hadapan KP, dirasakan idea yang baik juga. Dia pun belum pernah ke Hong Kong. Kurang-kurang pertemuannya dengan informer itu nanti, dia telah ada sedikit gambaran sebenar tentang lokasi yang dikatakan sebagai tempat persembunyian Eagle Eye.

"Tangguhkan dulu pemergian tu. Kalau penting, minta Zed yang ambil alih tugasan tu. "

Arahan KP jelas membuatkan dahi Jade berkerut. Pastilah ada sesuatu yang lebih besar daripada itu hingga KP meminta dia mengalihkan tumpuan kes yang sebegitu penting. Ternyata agakannya sebelum ini ternyata benar! Dia tidak akan dipanggil balik saja-saja. Kes yang sedang disiasatnya sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia. KP tidak sekali-kali meminta dia hilang fokus tiba-tiba.

KP yang sudah duduk di tempatnya semula memandang Jade tanpa berkelip. Kesedihan itu dapat dirasakan Jade sebaik mata mereka bersabung. Dadanya bergetar dek isyarat mata yang bening itu. Lain macam aje pandangannya...

Setelah beberapa ketika, KP bersuara. Sedikit beremosi. "Beberapa hari yang lalu, kita menerima isyarat kecemasan daripada ejen Olga."

Nada suara KP perlahan saja namun sebaik nama itu disebut, Jade terus tersentak. Dadanya berdebar. Dia jadi tidak sabar menantikan butiran selanjutnya dari bibir KP.

"Isyarat itu dihantar kira-kira 9 hari yang lalu. Namun kerana masalah teknikal, kami hanya dapat mengenalpasti kedudukan sebenar Olga semalam. Misi kamu seterusnya adalah menjejak Olga dan menyelamatkannya di sebuah penjara di pedalaman Xiaotanshan, Beijing." Butiran seterusnya menyebabkan kaki Jade terasa bergegar.

"Kita tak pasti keadaan Olga sekarang. Penjara itu memang dikawal rapi dan adalah antara penjara paling sukar untuk ditembus kerana kawalan keselamatannya. Mungkin kerana itu isyarat yang kita terima dari Olga lewat tiba."

"Ejen Jade, kamu mungkin tidak punya banyak masa. Olga memang dalam bahaya. Orang yang menangkapnya merupakan seorang Jeneral Komunis yang mempunyai rangkaian berlian di China. Kamu pasti boleh bayangkan bagaimana mereka menyiksa Olga untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan."

Wajah Jade jadi keruh. Berita terbaru yang disampaikan kepadanya membuatkan dia hampir terduduk. Ini sememangnya suatu perkara yang sangat besar!

"Olga menamakan kamu sebagai ejen yang harus dipanggil untuk menyelamatkannya jika isyarat kecemasan dilancarkannya."

Kata-kata KP membuatka Jade terasa dia sudah tercekik air liur sendiri.

"Dan... kamu perlu tahu, nama kamu adalah satu-satunya nama yang ditulis di dalam senarainya. Hanya nama kamu!"

Kata-kata terakhir KP membuatkan Jade terkaku.

"Berdoalah!"

Tepukan KP di bahu Jade membuatkan Jade tersentak. Dia tidak sedar bilakah masanya KP sudah berdiri di sebelahnya. Dunianya terasa telah kelam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.