Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 002 : Pertemuan pertama mengundang rasa

002

Sepuluh hari kemudian...

Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Putrajaya

Jam 0845

Dia menghampiri seorang kerani yang bertugas di meja pendaftaran pagi itu. Kerani itu begitu tekun menyemak nama calon-calon yang akan ditemuduga. Seorang demi seorang calon datang kepadanya.

"Nama apa, cik?" Soalan resam yang diulang-ulang pagi itu akhirnya tiba kepadanya.

"Ada tak nama Maryam Eisya? Haa! Tu..." Eisya menunjukkan namanya di baris bawah kertas senarai nama yang dipegang oleh wanita di hadapannya itu. Seketika namanya terus digaris tanda hadir.

"Ini nombor giliran. Cik tunggu di depan bilik K03. Nanti panel akan panggil guna nombor ni. Bila keluar nombor cik, baru masuk bilik."

"Okay, terima kasih." Eisya mengambil kad pengenalan lalu melangkah ke hadapan bilik K03. Dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi plastik berbaris yang disusun dengan teratur di dalam bilik menunggu di bangunan SPA ini.

Pandangannya melilau melihat calon-calon yang dipanggil temuduga pagi ini. Dia tersenyum sebaik melabuhkan punggung di bilik menunggu itu.

Ada yang menyemak fail peribadi, belum bersedia sepenuh hati. Ada pula yang memegang kertas, soalan spotbarangkali, dengan mulut terkumat-kamit sendiri. Ada juga yang bertanya itu ini kepada teman baru dikenali, sudah yakin dengan diri atau sekadar cuba menutup gugup di hati. Pagi itu dia membuat analisis sendiri.

Menurut kakak di meja pendaftaran tadi, seramai 35 orang calon dipanggil untuk mengisi 10 kekosongan jawatan Pegawai Belia dan Sukan, Gred S41 kali ini.

Pada kiraan awalnya tadi, yang sudah hadir dalam 15 orang; 5 lelaki, 10 perempuan. Bermakna bagi setiap 1 jawatan ada kira-kira 3.5 orang yang akan bersaing merebutnya. Selepas jadi pakar psikologi, otaknya ligat pula membuat perkiraan matematik pula pagi itu. Sibuk betul!

Eisya tersenyum mengenangkan diri, senyum sendiri. Ini kali ketiga dia menjejak kaki ke bangunan yang sama dalam tempoh satu setengah tahun. Kali pertama sebaik sahaja tamat belajar, dia dipanggil untuk temuduga jawatan Pegawai Penerangan.

Ternyata kali pertama dia amat tidak bersedia. Apabila tiba namanya dipanggil, dia terlalu menggigil pucat sehingga tidak dapat bangun daripada tempat duduk. Akhirnya panel menyuruh dia pulang sahaja. Temuduga yang sangat mudah!

Kali kedua dia sememangnya sudah bersedia. Jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan jawatan yang diimpikan oleh ramai orang yang ingin berkhidmat dengan kerajaan.

Permintaan untuk menjawat jawatan premier perkhidmatan awam ini amat tinggi. Untuk jawatan itu, kerajaan menjalankan 3 siri tapisan ketat untuk menyaring calon yang bakal ditempatkan sama ada di agensi kerajaan di dalam mahupun di luar negara. Sudah tertulis rezekinya, dengan mudah dia berjaya melepasi 2 tapisan pertama iaitu ujian peperiksaan dan penilaian PTD Assesment Center.

Tapi tertulis rezekinya setakat itulah saja. Tiba di tapisan ketiga, namanya tidak sangkut. Ketika itu rasanya tahap keyakinan dirinya berada pada tahap 100%. Kesemua buku-buku berkaitan kerajaan dikhatamnya. Semua nama-nama menteri sehinggakan ke nama ketua-ketua jabatan juga ada di koceknya.

Namun kelalaiannya sekali lagi memerangkap. Soalan panel yang bertanyakan tentang kesanggupannya untuk ditempatkan di luar negara membuatkan dia tersangkut di situ. Sikapnya yang 'over confident' akan diterima bekerja membuatkan dia berkeras menuntut untuk ditempatkan di Kuala Lumpur sahaja, dekat dengan keluarga.

Kegagalannya untuk sanggup ditempatkan di mana-mana pelusuk bumi ini menyebabkan panel menyuruh dia pulang dan fikirkan semula kedegilannya. Alangkah ironi!

Kali ini dia benar-benar sudah bersedia. Dia tidak akan melakukan perkara-perkara bodoh lagi. Sudah lama dia menantikan saat untuk berkhidmat dengan kerajaan. Peluangnya terlepas jawatan PTD beberapa bulan lalu, akan dijadikan iktibar untuk tidak mengulang kesalahan yang sama lagi dalam sesi temuduga hari ini.

Kali ini dia akan sanggup lakukan apa sahaja. Biarlah ditempatkan di Alaska atau Iraq sekalipun, dia akan mengaku sanggup pergi. Bak kata orang, alang-alang menyeluk pekasam. Teringat Eisya pesanan rakan serumahnya, Zie Hashim beberapa hari yang lalu.

"Kau cakap je sanggup ditempatkan kat mana-mana pun... bukannya mereka nak hantar kau ke Matahari ke Marikh ke. Dah dapat nanti cubalah adjust kat mana-mana. Mesti boleh punya..."

Kata-kata azimat Zie itu menguatkan lagi semangat Eisya untuk berjanji bulan dan bintang. Apa saja masalah dalam bilik temuduga nanti akan sanggup dihadapinya. Jangan suruh buka baju sudahlah... Itu memang dia tak akan sanggup! Dan rasanya panel tu pun tak sanggup hendak menengok!

"Datang temuduga ke?"

'Oh mak kau!' Terkejut dengan sapaan tersebut, hampir-hampir Eisya terlentang. Sejak bila pula ada lelaki di sebelah kerusi menunggu yang dia sandar sedari tadi? Seingat Eisya, sejak dia sampai lagi, dia seorang saja yang mengisi baris kerusi tersebut. Nampak sangat mindanya jauh melayang menerawang entah ke mana-mana.

"Datang temuduga ke?" Sekali lagi lelaki di sebelahnya menyapa. Mengulang soalan yang sama.

'Taklah, saya datang nak ambil ubat. Awak sakit mental jugak ke?' Jawapan bodoh yang keluar untuk soalan bodoh, tetapi di dalam hatinya sahaja.

"Ya, encik pun sama ke?" Sangat berhemah kata-kata yang keluar daripada bibirnya, diiringi dengan senyuman yang menawan.

"Hmm... Bilik mana?" Lelaki itu bertanya lagi, mungkin bosan dengan nombor giliran yang tidak kunjung tiba.

"K03. Sampai sekarang panel tak panggil. Janji pukul 9 pagi, sekarang dah masuk 9.40 tak panggil-panggil lagi. Bilik temuduga lain dah lama panggil. Kata janji ditepatilah, rakyat didahulukanlah, bila lambat macam ni, tak pulak mengaku salah, minta maaf ke..." Tiba-tiba Eisya meluahkan anginnya.

Masakan tidak, perjalanan ke Putrajaya dari kampungnya di Tanjong Malim bukannya dekat. Seawal jam 4.30 pagi dia sudah bangun hari ini. Hampir 2 jam pula dalam perjalanannya dengan keretapi yang diambil dari hentian Tanjong Malim menuju ke KL Sentral.

Dari situ dia terpaksa pula menaiki ERL KLIA Transit menuju ke hentian Putrajaya. Jam 8.30 pagi dia sampai di hentian ERL Putrajaya dan terpaksa pula mengambil teksi ke bangunan SPA di kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Mana tak hangin bila sampai tepat, panel pula tak panggil-panggil. Sudah 40 minit masa emasnya terbazir!

Berapa jauh perjalanan yang terpaksa diharunginya, berapa masa terpaksa dihabiskan dan berapa pula harga yang perlu dia bayar hanya untuk mendapatkan kerja sebagai seorang pegawai kerajaan? Kalau tidak jadi temuduga hari ini, pasti Eisya mengamuk sakan. Biar seluruh kompleks C ini terkejut dengar amukannya. Dia sudah berangan-angan di dalam kepala.

"Sabar cik. Sabar kan separuh daripada iman?" Lelaki di sebelahnya berbisik. Cukup untuk kedengaran di telinganya saja. Romantik.

'Eh, eh! Sibuk pula lelaki ini hendak menasihatkan dia. Berbisik-bisik pula.' Hatinya terbakar. Dia merenung lelaki di sebelahnya atas bawah. Sudah nampak kecil besar.

"Cik rasa boleh ke dapat jawatan ni?" Lelaki itu bertanya pula membuatkan hangat di hatinya meruap.

'Kalau aku dapat kerja tu nanti, kau tak dapat baru melopong kau!' Hati Eisya berkeras ingin mengeluarkan kata-kata tersebut namun ditahannya. Melihat kepada gaya dan paras rupanya, Eisya mengagak lelaki itu di awal umur 30an.

"Entahlah, nampak macam saingan sengit juga." Sekali lagi dia memilih perkataan-perkataan yang baik-baik saja. Itupun setelah jenuh ditapis oleh lembaga penapisan hatinya. Kalau ikutkan memang banyak pilihan jawapan yang boleh diberikan tetapi mujurlah yang keluar daripada mulutnya bukan pilihan-pilihan yang banyak tadi.

"Gaji kerja kerajaan ni bukan besar pun. Saya rasa lebih baik kerja swasta. Melihat perwatakan cik ni, saya rasa mungkin cik sesuai kerja dengan syarikat swasta kot." Lelaki itu mencelah lagi. Kali ini telinga Eisya berdesing. Walaupun kata-katanya lembut tetapi menikam terus ke hatinya.

"Maaf encik, tak perlulah nasihatkan saya. Kalau hebat sangat kenapa encik pun takde kerja datang interview macam saya? Sekurang-kurangnya saya baru setahun je takde kerja. Tengok muka encik ni, macam desperate dah lama tanam anggur. Silap la encik nak nasihatkan saya." Eisya tiba-tiba membalas, penuh sinis. Kali ini lembaga penapisan di hatinya sudah memilih barisan-barisan pilihan yang memang sedia menanti untuk dihamburkan.

"Bukan niat saya untuk menasihat, tapi cuma saya kasihan, 40 minit cik tadi terbuang..." Lelaki itu menjawab dengan tenang seperti tadi. Tiada riak-riak yang dia akan meletup dengan jawapan 'kena sebiji' di batang hidung tu.

Eisya terasa lelaki itu seperti pesakit psiko pula. Caranya memandang, berbisik membuatkan dia seram tiba-tiba.

"40 minit ke, 40 jam ke, apa encik peduli?" Eisya menjawab. Dia lantas mencapai beg tangannya lalu menonong ke bilik air. Langsung dia tidak memandang ke arah lelaki itu tapi dia yakin sangat yang lelaki itu sedang tersenyum kepadanya.

Haila! Kenapalah mamat tu tak melenting? Kalau melenting memang dia lagi suka nak ajak bergaduh. Kalau dia sudah hangin, dan lawannya buat muka sardin, lebih baik dia bercakap dengan dinding.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.