003
Bangunan SPA, Putrajaya
Jam 1000
Sebaik kembali daripada tandas, Eisya
meninjau-ninjau memerhatikan sekiranya lelaki desperate tadi ada di tempat duduknya. Dia memegang dada. Lega!
Lelaki tersebut telah tiada di kerusi menunggu.
Mungkin nombornya telah dipanggil atau mungkin juga
lelaki tadi malu sendiri. Nak sangat berdebat! Amekaw! Entah-entah hilang
keyakinan diri... tu yang terus batalkan hasrat nak merebut jawatan tersebut
dengan Eisya. Macam-macam ada di kepala Eisya.
Eisya tersengih. Selamat seorang dah tak ada!
Peluang mendapat jawatan tersebut semakin terbuka, fikirnya. Kalaupun lelaki
tersebut masih meneruskan hasratnya dan sedang berada di dalam bilik temuduga,
Eisya tidak gusar. Setakat lelaki begitu, KO sahaja pukulannya, tiada masalah
untuk dia bersaing pada bila-bila masa. Begitulah tingginya tahap keyakinan
diri Eisya pada ketika itu.
Dia kembali ke kerusinya lalu membetulkan duduknya.
Tinggal lagi dua nombor sebelum nombornya dipanggil. Hatinya berdebar-debar,
namun kali ini dikuatkan semangat. Akhbar yang dibelinya di stesen KL Sentral
pagi tadi dibelek sekali lagi. Mana tahu tiba-tiba ada pula soalan isu dan
berita dalam akhbar hari ini untuk dia hurai. Kalau tidak dibaca, mana mungkin
dia dapat menjawab soalan panel nanti dengan lancar.
Eisya kembali fokus. Pengalamannya menghadiri
temuduga kerajaan yang lalu memang banyak mengajarnya. Sememangnya panel-panel
temuduga jawatan kerajaan suka sangat bertanya soalan yang tiada kaitan dengan
pekerjaan seperti isu globalisasi, berita politik, ekonomi, sukan dan
sebagainya. Semuanya perlu diambil tahu.
Atas sebab itu, hendak tidak, dia terpaksa juga
mengambil tahu. Daripada tidak tahu apa-apa tentang dunia bolasepak, dia kini
sudah boleh menamakan kesebelasan pemain utama Manchester United dan Barcelona.
Bukan sahaja bolasepak, malah sukan-sukan lain
seperti renang berirama dan pentaque pun dihafalnya hinggakan kadang-kadang dia
terasa seperti mahu memohon jawatan pengulas sukan pula.
Itu belum cerita bab ekonomi lagi. Mahu terlopong
pensyarahnya jika mendengar dia merungkai tentang Teori Ekonomi Keynes, Marxis atau teori mikro dan
makro yang dia boleh sebut satu persatu dengan terperinci. Hehe... Mulalah dia
membanggakan diri sendiri.
"0016!"
Panggilan nombor bertuah itu mengejutkan dirinya.
Eisya melihat ke papan digital nombor yang tergantung di hadapan bilik-bilik
temuduga. Nombor tersebut terpapar di depan bilik K03. Setelah meletakkan surat
khabar di atas kerusi, dia mencapai beg tangan dan fail koleksi sijilnya untuk
melangkah masuk ke dalam bilik keramat itu.
Lagak seorang profesional, dia melangkah dengan
penuh yakin. Penampilannya kali ini ternyata berbeza. Berkot dan skirt panjang
hitam. Dia rasakan kali ini jawatan yang diimpikan itu akan menjadi miliknya.
Pasti.
Dengan tiga kali ketukan, dia memulas tombol pintu
bilik K03 sambil memberi salam meminta kebenaran untuk masuk. Ada tiga orang
panel di situ. Semuanya lelaki. Eisya rasa lega... Kacang weh! Orang kata kalau
penemuduga lelaki, senang nak lulus. Tambah-tambah kalau yang punya senyuman
semanis gula sepertinya. 'Senyum Eisya, senyum!' Hatinya galak memberikan
perangsang.
Semasa di hadapan pintu lagi Eisya sudah memasang
strategi temuduga. Senyuman paling manis dilemparkan kepada panel pertama;
seorang lelaki berkepala botak. Hatinya sudah berlagu riang memandang senyuman
balas lelaki itu. Hehe. Ada peluang ni! Hatinya sudah bersorak riang.
Senyuman kedua dilempar kepada panel kedua. Lelaki
yang nampak serius tetapi cara dia memandang, menampakkan minat yang mendalam.
Eisya melebarkan lagi senyumannya. 'Harap-harap mamat ni pun boleh makan...'
doanya di dalam hati.
"Cukup sekali senyum cik, dua kali senyum
mengundang bahaya."
Komen pedas daripada panel nombor dua itu
menyebabkan Eisya terkelip-kelip seketika. Namun ia berjaya membawanya sedar ke
alam nyata. Dia sedang menghadapi panel temuduga kerja, bukannya panel
pencarian model ubat gigi.
"Er... maafkan saya. Er... ini fail dan resume
saya." Eisya tergagap-gagap. Langkahnya sudah terasa sumbang. Dia
menundukkan wajahnya ke lantai, cuba memanggil kembali keyakinan dirinya yang
terbang seketika kerana ditegur tadi.
"Silakan duduk, cik... hmm... Cik Maryam Eisya ye?" Suara panel penemuduga ketiga membuatkan
Eisya mengangkat wajahnya. Bagaikan ada magnet, dia memandangnya... Elok-elok
duduk, Eisya spontan terbangun.
"Minta maaf sebab terpaksa membuatkan Cik
Maryam menunggu lama tadi di luar. Kunci bilik ini tadi hilang, terpaksa pihak
urusetia minta bantuan cari kunci spare.
Maaf ye sebab lambat."
Lelaki di sebelahnya tadi, kini di hadapan sedang
menghadapnya... duduk di kerusi panel penemuduga!
Gulp! Terasa air liur yang ditelan lekat di
rengkungnya.
'Oh! Bala apakah ini?' Tiba-tiba Eisya rasa mahu
pitam.