Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 003 : Prasangka membawa padah

003

Bangunan SPA, Putrajaya

Jam 1000

Sebaik kembali daripada tandas, Eisya meninjau-ninjau memerhatikan sekiranya lelaki desperate tadi ada di tempat duduknya. Dia memegang dada. Lega! Lelaki tersebut telah tiada di kerusi menunggu.

Mungkin nombornya telah dipanggil atau mungkin juga lelaki tadi malu sendiri. Nak sangat berdebat! Amekaw! Entah-entah hilang keyakinan diri... tu yang terus batalkan hasrat nak merebut jawatan tersebut dengan Eisya. Macam-macam ada di kepala Eisya.

Eisya tersengih. Selamat seorang dah tak ada! Peluang mendapat jawatan tersebut semakin terbuka, fikirnya. Kalaupun lelaki tersebut masih meneruskan hasratnya dan sedang berada di dalam bilik temuduga, Eisya tidak gusar. Setakat lelaki begitu, KO sahaja pukulannya, tiada masalah untuk dia bersaing pada bila-bila masa. Begitulah tingginya tahap keyakinan diri Eisya pada ketika itu.

Dia kembali ke kerusinya lalu membetulkan duduknya. Tinggal lagi dua nombor sebelum nombornya dipanggil. Hatinya berdebar-debar, namun kali ini dikuatkan semangat. Akhbar yang dibelinya di stesen KL Sentral pagi tadi dibelek sekali lagi. Mana tahu tiba-tiba ada pula soalan isu dan berita dalam akhbar hari ini untuk dia hurai. Kalau tidak dibaca, mana mungkin dia dapat menjawab soalan panel nanti dengan lancar.

Eisya kembali fokus. Pengalamannya menghadiri temuduga kerajaan yang lalu memang banyak mengajarnya. Sememangnya panel-panel temuduga jawatan kerajaan suka sangat bertanya soalan yang tiada kaitan dengan pekerjaan seperti isu globalisasi, berita politik, ekonomi, sukan dan sebagainya. Semuanya perlu diambil tahu.

Atas sebab itu, hendak tidak, dia terpaksa juga mengambil tahu. Daripada tidak tahu apa-apa tentang dunia bolasepak, dia kini sudah boleh menamakan kesebelasan pemain utama Manchester United dan Barcelona.

Bukan sahaja bolasepak, malah sukan-sukan lain seperti renang berirama dan pentaque pun dihafalnya hinggakan kadang-kadang dia terasa seperti mahu memohon jawatan pengulas sukan pula.

Itu belum cerita bab ekonomi lagi. Mahu terlopong pensyarahnya jika mendengar dia merungkai tentang Teori Ekonomi Keynes, Marxis atau teori mikro dan makro yang dia boleh sebut satu persatu dengan terperinci. Hehe... Mulalah dia membanggakan diri sendiri.

"0016!"

Panggilan nombor bertuah itu mengejutkan dirinya. Eisya melihat ke papan digital nombor yang tergantung di hadapan bilik-bilik temuduga. Nombor tersebut terpapar di depan bilik K03. Setelah meletakkan surat khabar di atas kerusi, dia mencapai beg tangan dan fail koleksi sijilnya untuk melangkah masuk ke dalam bilik keramat itu.

Lagak seorang profesional, dia melangkah dengan penuh yakin. Penampilannya kali ini ternyata berbeza. Berkot dan skirt panjang hitam. Dia rasakan kali ini jawatan yang diimpikan itu akan menjadi miliknya. Pasti.

Dengan tiga kali ketukan, dia memulas tombol pintu bilik K03 sambil memberi salam meminta kebenaran untuk masuk. Ada tiga orang panel di situ. Semuanya lelaki. Eisya rasa lega... Kacang weh! Orang kata kalau penemuduga lelaki, senang nak lulus. Tambah-tambah kalau yang punya senyuman semanis gula sepertinya. 'Senyum Eisya, senyum!' Hatinya galak memberikan perangsang.

Semasa di hadapan pintu lagi Eisya sudah memasang strategi temuduga. Senyuman paling manis dilemparkan kepada panel pertama; seorang lelaki berkepala botak. Hatinya sudah berlagu riang memandang senyuman balas lelaki itu. Hehe. Ada peluang ni! Hatinya sudah bersorak riang.

Senyuman kedua dilempar kepada panel kedua. Lelaki yang nampak serius tetapi cara dia memandang, menampakkan minat yang mendalam. Eisya melebarkan lagi senyumannya. 'Harap-harap mamat ni pun boleh makan...' doanya di dalam hati.

"Cukup sekali senyum cik, dua kali senyum mengundang bahaya."

Komen pedas daripada panel nombor dua itu menyebabkan Eisya terkelip-kelip seketika. Namun ia berjaya membawanya sedar ke alam nyata. Dia sedang menghadapi panel temuduga kerja, bukannya panel pencarian model ubat gigi.

"Er... maafkan saya. Er... ini fail dan resume saya." Eisya tergagap-gagap. Langkahnya sudah terasa sumbang. Dia menundukkan wajahnya ke lantai, cuba memanggil kembali keyakinan dirinya yang terbang seketika kerana ditegur tadi.

"Silakan duduk, cik... hmm... Cik Maryam Eisya ye?" Suara panel penemuduga ketiga membuatkan Eisya mengangkat wajahnya. Bagaikan ada magnet, dia memandangnya... Elok-elok duduk, Eisya spontan terbangun.

"Minta maaf sebab terpaksa membuatkan Cik Maryam menunggu lama tadi di luar. Kunci bilik ini tadi hilang, terpaksa pihak urusetia minta bantuan cari kunci spare. Maaf ye sebab lambat."

Lelaki di sebelahnya tadi, kini di hadapan sedang menghadapnya... duduk di kerusi panel penemuduga!

Gulp! Terasa air liur yang ditelan lekat di rengkungnya.

'Oh! Bala apakah ini?' Tiba-tiba Eisya rasa mahu pitam.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.