Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
Bab 017 : Beraninya Zed minta Jade belanja nasi minyak!


Terminal Penerbangan Tambang Murah, Kuala Lumpur (LCCT)

Jam 2030

Zed berjalan agak laju menuju ke arah kereta yang diparkirnya di kawasan parkir di Zon A semalam. Dia memandang jam. Dia baru tiba dari Kota Kinabalu sekejap tadi menaiki pesawat Air Asia. Dia terpaksa pulang segera kerana mendapat panggilan daripada seseorang.

Hal keluarga terpaksa dia tangguhkan dulu. Apabila hal kerja sudah masuk ke dalam hidupnya, hal kenduri-kendara pun dia letak ke belakang. Tambah pula ini kenduri adik tirinya. Dia akan balik semula ke KK dengan penerbangan malam ini juga. Sekadar menghormati kenduri yang diatur keluarga.

Dia masuk ke dalam kereta dan bersedia untuk memecut ke KLIA. Dia tidak pasti hal apa yang mahu dibincangkan. Tentulah ini berkenaan janjinya tempoh hari. Dia masih ada 30 minit untuk mencari dan mengucapkan selamat jalan. Mujurlah LCCT dengan KLIA tidak sejauh mana.

Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuala Lumpur (KLIA)

Jam 2030

Zed meliarkan matanya memandang orang yang lalu-lalang di KLIA. Cuti sekolah begini, ramai juga pada waktu malam. Tentulah masing-masing mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga. Hmm... bagi yang ada keluarga tapi seperti tidak ada seperti dirinya, cuti sekolah atau tidak sama saja.

Kepulangannya ke Kota Kinabalu pagi tadi kerana adik tirinya akan melangsungkan perkahwinan esok hari. Kalau tidak, jangan harap dia akan balik.

Tidak lama dia duduk di Restoran Secret Recipe, seseorang tiba-tiba duduk di sisinya.

“Apa khabar, Zed?” Lelaki itu menghulurkan tangan. Mesra.

“Baik. Aku sihat-sihat aje. Kau?” Zed membalas dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Dapat juga dia berjumpa dengan Jade, sahabatnya itu walaupun masa suntuk dan dia ada urusan di luar Kuala Lumpur. Itulah namanya takdir ALLAH. Masih sempat dia mengejar kapal terbang terakhir dari KK walaupun hanya diberi notis tidak sampai tiga jam.

“Maaflah tergesa-gesa. Kau tahulah kerja kita. Minit akhir barulah aku tahu destinasi seterusnya. Terima kasih kerana datang juga berjumpa aku,” ujar Jade.

Dia sendiri tidak menyangka, penerbangannya ke London diawalkan tiga hari. Petang tadi sebaik diberitahu akan berlepas malam ini, dia terus menghubungi Zed. Dia mahu bertemu lelaki itu untuk mengucapkan selamat jalan. Memang mereka telah berjanji untuk berjumpa lagi tetapi disebabkan Zed ada tugasan, dia mengambil keputusan untuk pulang terus ke kampung dan berjumpa kembali sebaik tiba di KL. Mujurlah dia sempat berjumpa kerana ada perkara yang ingin dia sampaikan kepada Zed.

“Tak apa. Aku memang nak jumpa kau. Aku patut jumpa kau.” Zed berkata. Dia memandang lelaki yang sudah begitu akrab dengannya. Lelaki yang banyak memberinya pengalaman dalam dunia penyiasatan.

“Aku tak tahu bila aku akan balik. Nampaknya Mr. X sukar untuk dijejaki. Aku akan mula di London dengan rakan baru. Mat salih. Tak tahulah dia boleh kerja dengan aku ke tak? Kalau tak boleh nanti, aku balik cari kau,” tutur Jade.

“Insya-ALLAH boleh. Dulu mula-mula dengan aku pun aku rasa kau waswas juga, Jade,” ujar Zed .

Jade tergelak. “Kau memang selalu boleh baca fikiran aku. Aku harap rakan baru tu pun hebat macam kau. Eh, aku belum belanja kau makan sempena meraikan kau naik pangkat.”

“Ini... okeylah ni...”

“No... You deserved more than this partner.” Jade menggelengkan kepala. Bagaimana seorang rakan setugas yang begitu dedikasi menemaninya hanya dibelanja makan sepotong kek? Sungguh memalukan dirinya.

“Jemput aku makan nasi minyak kenduri kahwin kau. Aku rasa itu belanja yang paling bermakna bagi aku!” Zed mengusik membuatkan wajah Jade merah tiba-tiba. Macam tahu-tahu saja, nasi minyak sedang on the way, dalam rencana emaknya.

“Eh! Macam mana dengan penyiasatan kau? Ada tanda-tanda Mr. X hubungi anaknya?” Jade mengubah topik perbualan. Dia diam apabila nampak pelayan datang menghampiri meja mereka sambil membawa secawan kopi latte. Dia telah memesan lebih awal di kaunter sebelum menegur Zed tadi.

“Setakat ni tak ada tanda-tanda dia ada menghubungi anaknya. Aku rasa anaknyapun tak tahu apa-apa. Cuma semalam... ada orang guna nombor peribadi telefon banyak kali tapi dia tak jawab. Kami tengah siasat. Bosan jugalah tunggu buah yang tak gugur.” Zed memberitahu perkembangan kes yang sedang disiasatnya. Di akhir ayat, dia mengeluh. “Harapnya tak lamalah aku jadi jaga dia. Bosan gila! Dahlah rakan setugas aku yang baru tu perempuan. Aku lemas!” Dia meluahkan rasa hatinya kepada tugasan barunya yang nampak seperti statik dan tidak mencabar.

Jade sudah tergelak.

“Aku akan rindu aksi-aksi kita dulu, bro!” Zed menggelengkan kepala. Sangkanya tugasan pertama selepas menjadi ejen penuh akan membuatkan dia teruja. Tapi tugasan mengintip orang macam ni, bagi ejen yang pertama kali masuk lapangan macam Jem memang sesuailah sangat. Dia mengharapkan tugasan yang lebih mencabar!

Jade tergelak lagi. Dia dapat membayangkan kerja Zed sekarang jika dibandingkan ketika mereka bertugas bersama. Setiap hari adalah hari yang penuh misi mencabar. Mengembara dari satu negara ke negara lain, menjejak penjenayah adalah tugas yang penuh bahaya tetapi begitu mengujakan.

“Kau boleh letak senjata kau dalam kotak dan simpan dalam peti besi kat APG,” usulnya kemudian. “Layankan ajelah. Dah nasib badan dapat partnerperempuan. Bergetah ke?” Jade menyoal dengan gelak yang masih belum habis bersisa.

Seronok betul dia mendapat khabar Zed sedang dalam tension setelah dipisahkan daripadanya. Dulu Zed yang beria-ia sangat hendak mengetuai misi. Sekarang bila sudah dapat, masih tidak puas hati.

“Bergetah sangat! Sampai melekat-lekat!” Zed turut ketawa. Di hadapannya bergentayangan wajah rakan setugasnya bernama Jamailia yang sangat ‘menghiburkan’ itu. Dia dapat merasakan dia akan ‘ngam’ dengan gadis yang dipanggil Jem itu nanti. Cuma dia masih perlukan masa untuk mendapatkan chemistry.

“Terima kasih, bro untuk HIBISCUS! Kalau kau tak ada pada masa yang tepat, aku mungkin tak ada peluang gelak-gelak macam ni.” Tawa Jade mati, suaranya bertukar serius ketika berkata. Dia terkenangkan peristiwa yang membuatkannya betul-betul terhutang nyawa dengan Zed. Peristiwa yang memberinya kesedaran bahawa dia bukanlah ejen yang hebat tanpa sokongan rakan sekerja yang hebat seperti Zed.

“Aku juga banyak terhutang pengalaman berharga. Berbanding pengalaman yang telah kau bagi melatih aku untuk menjadi seorang ejen seperti hari ini, HIBISCUS itu tak ada apa-apa. Aku terhutang seluruh nyawa dan karier aku pada kau. Terima kasih banyak.” Kali ini Zed bersuara meluahkan rasa yang terbuku di hatinya.

Pengumuman pendaftaran masuk pesawat yang akan membawa Jade ke kota London kedengaran mengganggu kedua sahabat itu untuk berbual lebih lama.

“Okey, aku patut pergi dulu.” Misi Jade untuk menjejaki Mr. X akan bermula.

Khabarnya lelaki yang mempunyai sebuah mikrofilem mengandungi dokumen bertaraf TOP SECRET sedang dalam proses menjualnya kerana tidak mahu hidup menjadi pelarian lagi. Jadi sekarang ini menjadi tugasnya mencari mikrofilem itu sebelum sempat dijual kepada mana-mana agensi mahupun penjenayah.

Semasa di London, dia hampir-hampir berjaya menemui Mr. X dan mendapatkan mikrofilem itu tetapi pada saat akhir Mr. X mengubah fikiran. Ketika dia sedang menanti Mr. X di Tourism Malaysia, Zed berjaya menjejaki Mr. X yang menyamar. Mr. X memang sangat licik.

Kerana peristiwa itulah, gandingan Jade dan Zed dibubarkan. Zed di Malaysia dan dia ke London. Dia ditugaskan menjejak Mr. X dan menyelamatkan mikrofilem sedang Zed melindungi anak gadis Mr. X di sini.

Tugasnya memang mencabar. Nyawanya pun boleh melayang bila-bila. Hasil daripada fail intipan, mikrofilem itu memang menjadi idaman ramai penjenayah antarabangsa. Mungkin kerana begitu mencabarnya tugas itu, dia digandingkan dengan pasangan baru yang mempunyai rekod kerja yang hebat juga.

Tetapi Jade tidak menyampaikan hal itu kepada Zed. Dia tidak mahu Zed berputus asa dan semangat. Zed baru sahaja bersemangat kerana telah diamanahkan mengetuai satu misi. Jade rasakan inilah masanya Zed perlu menunjukkan bakat dan kebolehannya yang sebenar.

“Sampai jumpa lagi, bro. Aku tak tahu sama ada aku akan kembali atau tidak. Kalau aku tak kembali, aku mohon kau jengukkan mak aku di kampung dan uruskan semua simpanan aku. Aku amanahkan kau untuk jaga mak aku.” Jade memeluk Zed lalu menitipkan sesuatu di dalam genggaman Zed.

“Kau akan selamat. Kau akan datang menuntut hak kau. Aku akan jaga semuanya sampai kau kembali.” Zed memberitahu dengan rasa yang sebak tetapi dia cuba menahan emosinya.

“Kita akan selalu berhubung! Kau tahu mana nak cari aku!” Jade mengangkat tangan lalu melambai.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.