015
Flat
Bosnia, Taman Seri Serdang
Jam
2030
Zie mengelap
saki-baki nasi goreng yang tersembur di lantai. Selera makannya hilang
gara-gara berita terkini yang dia baru dapat. Mengenali Maryam Eisya sejak di
UiTM, dia tahu sangat. Kerja-kerja mencari jodoh itu mesti didalangi ibunya. |
Pernah
juga ibu Eisya yang cantik itu meminta dia tengok-tengokkan rakannya itu kerana
kata wanita itu, Eisya macam tidak berminat saja dengan hal-hal perkasihan.
Pelik. Kalau emak orang lain, bagi nasihat lain kut? Belajar rajin-rajin,
jangan fikir boyfriend.
Tetapi
ibu Eisya memang cantik dan pelik. Eisya pernah bercerita yang ibunya memang
selalu bagi nasihat sambil-sambil belajar, carilah jodoh yang sesuai. Risau
benar si ibu bila anak daranya yang cantik manis itu tidak berjodoh.
“Aku
ingat dalam novel dan drama aje ada kahwin paksa. Dalam hidup yang betul pun
ada juga, ya?” Zie bertanya. Mugberisi air Milo panas dihulurkan kepada
Eisya. Dia bawa juga biskut kering kerana bersalah‘menayakan’
nasi goreng Eisya tadi sampai habis.
“Janganlah
ngok ngek. Kalau orang buat novel, buat drama, mestilah ada kejadian tu
dalam dunia sebenar. Kau macam tak kenal ibu aku. Kan dari dulu lagi dia risau
pasal aku yang tak ada boyfriend ni? Tambah-tambah bila Eifa ada kat
rumah cuti-cuti ni. Memang menjadi-jadilah.” Eisya meluahkan apa yang terbuku
di hatinya.
“Apasal
ibu kau beria-ia sangat nak kahwinkan kau? Umur kau baru dua puluh tujuh aje
pun...” Zie mengambil peluang untuk melontar soalan. Lama sudah soalan itu
berlegar-legar cuma tidak terluah.
“Dua
puluh enamlah... bulan dua belas, baru cukup dua puluh tujuh.” Eisya
membetulkan.
“Hek
eleh... samalah tu. Lagi nak berkira. Berapa bulan aje lagi pun...” Zie
mencebik.
“Kau tak rasa angka dua puluh tujuh tu macam
dah dah lewat kalau baru nak mula belajar mencari partnerdan bercinta?”
soal Eisya. Seperti baru tersedar, umurnya sudah mahu bertukar angka depannya
beberapa tahun saja. Tentulah ibunya ada sebab untuk rasa susah hati... tak
senang duduk diam-diam di kampung sana.
“Aku pun
baru gradaje. Samalah dengan kau, tapi mak aku tak risau!” Zie
menyatakan lagi sesak di kepalanya sebelum ini.
“Kau dan
aku lain. Umur kau baru dua puluh empat. Memang patutlah mak kau tak bising.
Lagipun kau dah ada boyfriend.” Eisya memenangkan ibunya di dalam sakit
hati dengan aturan yang telah direncana untuknya.
Zie
tersengih-sengih. Betul juga kata temannya itu. Dia dan Eisya memang tak sama.
Tapi itu kan pilihan Eisya juga? Bukan tidak ada yang berkenan tetapi temannya
itu berhati batu. Langsung tidak melayan mana-mana lelaki yang mahu berkenalan
dengannya. Sedar-sedar sudah habis graduasi. Seorang jejaka pun tak lekat lagi.
“Lagipun...
aku tak percaya lelaki.” Lemah Eisya menuturkan kata-kata itu. Apa yang
disimpannya selama ini tiada ramai yang tahu. Dia tidak suka menjaja cerita
peribadi. Dia ada alasan sendiri mengapa tidak percaya kepada lelaki.
“Perkara
dah lepas, buat apa nak dikenang lagi?” Zie memegang bahu Eisya memberi
simpati. Baginya semalam adalah kenangan. Hari ini kenyataan dan esok sebuah
harapan. Hidup perlu diteruskan. “Kejap... kejap... Kau baca novel ni...” Dia
menarik sebuah novel dari rak novelnya yang bersusun cantik lalu
menghulurkannya kepada Eisya.
Eisya
teragak-agak menyambut novel itu yang bertajuk Cinta Pandang Ke-2, karya Laila
Kamilia.
“Kata
penulisnya, Kak Laila Kamilia kat autografnya, forgive and forget and let’s
rock the world!” Zie sudah gelak-gelak seorang, mengingatkan aksinya yang
menunjukkan isyarat bagai lepas menonton konsert rock.
‘Rock
the world?’
“Ya ke
dia cakap macam tu?” Eisya macam tidak percaya. Zie kadang-kadang suka buat
cerita, tambah-tambah perisa. Tapi dalam teragak-agak, dia ambil juga novel di
tangan Zie itu akhirnya.
“Ya...
aku kan baru lepas main boling dengan dia? Kami satu pasukan tau! Johan! Kan
hari tu aku ada bagitau?” Zie mempertahankan ceritanya.
Eisya
menganggukkan kepala. Teringat hal Zie memang baru aje lepas bermain boling
Novelist & Novelholic, acara yang mengumpulkan penulis dan pembaca novel
itu. Beria-ia Zie mengajak dia, tetapi dia bekerja pada hari itu. Jadi, dia
menganggap cerita Zie itu betullah. Malas hendak memanjang cerita sebab
ceritanya sendiri lagi berat untuk difikirkan.
“Cubalah
baca. Novel ni memang pasal kehidupan silam. Zairul dan Ainnur masing-masing
ada kehidupan silam yang mereka tak dapat nak lupakan. Tapi, akhirnya apabila
mereka belajar memaafkan diri, forgive and forget, mereka berjaya keluar
daripada kenangan dan hidup bahagia. Kau berhak hidup bahagia, macam mereka.”
Beria-ia Zie memberi motivasi.
“Kau ni
sah-sah dah overdose baca novel!” Eisya tergelak.
“Eh! Kau
ingat aku main-main ke? Kalau nak lebih umph, kau kena tonton dramanya
juga. Dazrin dengan Izara yang berlakon tau?” Zie tak ambil kisah dengan
gurauan Eisya. Dia sudah lali. Dia memang hantu novel pun!
“Jadi,
apa yang kau hairan kalau ibu aku nak aturkan jodoh aku? Cakap aje
berdegar-degar.” Eisya memulang paku buah keras sambil menggelengkan kepala.
Kalau setakat bercakap, semua orang boleh. Cuba buat!
“Yalah...
yalah...” Zie mengalah.
“Eh!
Balik pada kes tunang kau ni. Kau bertunang pagi tadi? Cuba kau cerita dari A
sampai Z. Peninglah!” Zie malas hendak bertekak. Dia mahu tahu cerita tunang
daripada mulut Eisya.
“Entah.
Eifa yang telefon bagitahu. Dia kata ni hal aturan orang-orang tua kat kedai
kopi.” Eifa memberitahu sambil mula mencecah biskut kering ke dalam air
Milonya.
“Kedai
kopi? Selalunya kedai kopi kan hal orang lelaki? Ayah kau bukan ke dah lama tak
ada?” Zie bertanya menunjukkan minat.
“Hari tu,
aku ada temankan mak aku pergi ziarah kawan dia yang ada kedai kopikat kampung
sebelah. Kebetulan, mak tunang aku tu kerja kat situ juga, jadi tukang masak.
Biasalah kalau dah orang-orang tua bersembang... terkeluarlah cerita arwah bapa
tunang aku tu dulu sekampung dengan mak aku... siap jiran lagi rupanya. Siap
aku dan tunang aku tu dulu pernah main sama-sama masa kecil.” Eisya
menceritakan kembali apa yang diceritakan oleh Eifa pagi tadi kepadanya. “Aku
ingat, kunjungan tu sampai setakat di situ, rupanya... makin menjadi-jadi dan
melarat-laratlah sampai mak aku ziarah mak dia kat rumah. Masa tulah idea nak
menjodohkan anak-anak ni tercetus. Kononnya mak dia tu dah berkenan sangat
dengan aku...” sambungnya. Panjang ceritanya, sama panjang dengan bil yang dia
akan dapat bulan ini.
“Mak kau
kan dah tahu kau tak berkenan dengan mana-mana jantan? Benci sangat kononnya!
Habis, takkanlah dia tak terfikir nak bincang dulu dengan kau. Kalau kau reject,
kan ke malu sebab dah bertunang ni dah libatkan keluarga?” Zie menyatakan
pendapatnya. Hal-hal kahwin orang mana boleh dipaksa-paksa. Kalau lembu lainlah
ceritanya.
“Tahu...
adik aku kata, alasan mak sebab dia dah bagi masa lama sangat dengan aku tapi
aku tak ada tunjuk minat nak kahwin pun. Jadi dia bertindak dengan pantas bila
ada tawaran daripada mak lelaki itu.” Eisya mengulangi lagi fakta daripada
mulut Eifa.
“Mak kau
ni berani betulah, macam dah terdesak sangat nak bermenantu! Kau baru aje grad!”
Zie membuat kesimpulan.
“Itulah...
susah hati aku.”
“Berapa
umur tunang kau tu?” Masih dalam moodmengorek lebih banyak cerita, Zie
bertanya.
“Tiga
puluh lima.”
“Tiga
puluh lima tak kahwin lagi?”
“Tulah...
macam tak percaya aje, kan?”
“Jangan
laki orang sudah. Sekarang ni, orang suka menipu. Ramai aje yang mengatur anak
mereka kahwin lagi satu sebab tak suka dengan menantu. Baik kau hati-hati.” Zie
cuba menjadi batu api. “Lagi satu... macam mana tunang kau tu tak jumpa kau,
terus berkenan, hantar rombongan meminang? Kau tak rasa macam ada unsur-unsur
‘misteri’ ke kat situ? Hisy, aku dah mula risau ni!” tambahnya lagi.
Hati
Eisya semakin gusar. Dia termenung, memikirkan baik buruk kata-kata Zie. Ibunya
tidak fikirkah semua yang Zie lontarkan tadi? Betulkah ibu sayangkannya?
Begitukah bukti ibu sayangkan dia? Kepala Eisya sudah fikir macam-macam. Kasih
sayang ibu kepadanya pula kini dipersoalkan.
Ini
bukannya cara terbaik ibu membantu dia membetulkan persepsinya tentang lelaki.
Ini bukannya cara betul untuk memadam rasa fobia yang bersarang di kepalanya.
Ibu tidak adil! Ibu sayangkan Eifa lebih daripadanya. Kalau benar ibu sayang
dia, tentu ibu tidak akan menjodohkannya dengan lelaki yang entah siapa-siapa.