Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 019 : Boleh tahan merenyam ye?

019

Dalam kapal terbang menuju Lapangan Terbang Heathrow, London

Jam 2112

Jefry tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia memejamkan mata, namun matanya degil untuk mendengar kata. Dia terasa macam ada sesuatu yang lain benar dengan misi kali ini yang mengusik-ngusik hatinya, mengacau matanya.

Sepatutnya dia menggunakan masa perjalanan 14 jam ini untuk berehat-rehat. Namun di kepalanya asyik teringatkan emak di kampung dengan janjinya. Teringatkan Mak Cik Marsita dengan janjinya. Teringatkan Eisya dengan janjinya. Argh! Kali ini dia menanam janji-janji dengan begitu ramai perempuan.

Bukan tidak pernah dia berjanji dengan ramai perempuan! Tetapi janji-janji itu tidak pernah menyebabkan dia tidak lena pada waktu malam. Janji yang membawa pengertian yang besar, bakal mengubah kehidupannya di masa depan.

Ini bukan berjanji untuk mendapatkan maklumat dan imbuhan. Ini bukan berjanji untuk mengorek rahsia dan mendapatkan habuan. Seperti kata emaknya yang terakhir sebelum memamitkan salam, ini janji untuk mendapatkan sebuah kehidupan. Dia melepaskan nafas. Ingatannya kepada Maryam Eisya melayang-layang.

Pertama kali memandang gambar si gadis berwajah Melayu tulen itu, hatinya tidak bergetar. Masakan tidak, kerana dia telah mendampingi terlalu ramai gadis dalam misi-misi rahsianya. Gadis-gadis cantik, baginya sama saja. Yang berwajah bagai Miss Universe juga pernah didampingnya. Lalu wajah Eisya yang begitu Melayu itu tidak menggetarkan hatinya.

Tetapi apabila bertemu dengan ibu Eisya, mendengar ceritanya tentang gadis itu, mengubah idea asal kedatangannya ke rumah itu. Maryam Eisya, menurut ibunya seorang gadis yang sangat cekal dan istimewa sekali. Pada usia lapan tahun, gadis itu telah diduga dengan satu peristiwa yang menyebabkannya fobia, tidak percaya pada makhluk TUHAN yang bernama lelaki.

Ya, kerana cerita itulah membuatkan dia membatalkan rancangan asalnya untuk menolak cadangan kedua-dua ibu untuknya dan Eisya membina istana. Seperti ada sesuatu yang terpanggil untuk dia membantu Eisya keluar daripada persepsi ‘lelaki sangat bahaya dan tak boleh diharapkan’.

Jefry melihat jam di tangan. Dia teringatkan Eisya. Pada waktu menjelang tengah malam, adakah Eisya sudah lena tidur? Atau Eisya sepertinya, masih tidak dapat melelapkan mata? Sudahkah Eisya membaca notanya? Dia senyum sendiri mengingatkan nota tulisannya, mengingatkan wajah polos Eisya menyambut bunga pemberiannya.

Abang harap Eisya selalu positif. Boleh jadi apa yang paling kita benci adalah yang terbaik. Hanya ALLAH yang tahu apa yang tertulis untuk kita.

Abang akan lama berada jauh dari Eisya. Abang tak akan dapat menghubungi Eisya dalam satu tempoh yang abang tak dapat mengagaknya. Jika ALLAH mentakdirkan jodoh untuk kita, abang redha menerimanya. Abang berharap Eisya juga redha dengannya. Namun jika sebaliknya, abang harap kita boleh menjadi sahabat selamanya.

ALLAH menciptakan Hawa untuk melengkapkan kehidupan Adam. Pastilah ALLAH tidak menemukan kita untuk sesuatu yang sia-sia. Abang akan berusaha untuk memberikan Eisya makna bahagia. Tunggu kejutan abang dua minggu lagi, ya?

Sehingga itu doakan abang sentiasa berada dalam lindungan-NYA. Semoga ada pertemuan lain yang lebih indah tercipta di antara kita. Antara persahabatan dan kesetiaan. Di manakah kita berdiri? Sampai jumpa lagi.

Jefry masih sengih-sengih mengingatkan notanya kepada Eisya. Abang? Rasa macam dia hendak gelak guling-guling. Biasalah kalau tiba-tiba dia bertukar karakter jadi lelaki terlebih tengok cerita Korea, tetapi dia tidak pernah guna istilah ‘abang’. Rasa merenyam terlebih pula bila diingatkan. Kalau emak mendengar, rasanya mahu pitam atau mungkin boleh lompat sampai ke bintang!

Harapnya Eisya jenis wanita yang boleh menyimpan kemas rahsia antara mereka. Kalau benar kisah yang diceritakan oleh bakal ibu mertuanya itu, dia yakin Eisya jenis yang memang boleh berkongsi rahsia. Tapi kalau Mak Cik Marsita sengaja mereka-reka cerita untuk meraih simpati, Jefry tidak menjamin luahan hatinya menjadi rahsia lagi.

Jefry mengangkat tangan tatkala nampak kelibat pramugari bernama Wati. Dia memerlukan sesuatu untuk menjadikan lebih segar. Kalau mengantuk dan tidur tidak mahu didengar tubuhnya, mungkin dengan secawan kopi akan menjadikan dia bertenaga dan fokus semula.

Dia mengeluarkan sekeping sampul surat bersaiz A4. Di luar sampul bercop CLASSIFIED dan FOR YOUR EYES (FYE) ONLY. Sampul itu diberikan Zed saat mereka berpisah tadi. Selain pertemuan bekas rakan sekerja, kerana dokumen inilah mereka berjumpa.

Jefry Ahmad Deraman @ Jade sudah mula menyisihkan diri antara kedua-duanya. Yang tertinggal di Malaysia adalah Jefry dan yang sedang bekerja di dalam pesawat ini adalah Jade. Bukan semua orang berpeluang menikmati ‘dua kehidupan’.

Kopi sampai. Masa bekerja baru bermula. Dalam ruangan pesawat kelas perniagaan yang begitu selesa, dia mula memberikan tumpuan 100% pada kerjanya. Dengan seteguk kopi, wajah-wajah yang di fikirannya sebelum ini memudar lalu digantikan dengan Misi MRX1.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.