014
Flat
Bosnia, Taman Seri Serdang
Jam
2000
Perlahan-lahan Maryam Eisya turun dari motosikal Honda Wave. Dia memakirkan motosikal di
kawasan parkir Blok Damar yang terang-benderang. Masih awal lagi, jadi
motosikal di parkir masih belum penuh. Tak susah, dapat parkir baik punya.
Elok-elok kat bahagian tepi sekali. Senang dia hendak keluar esok pagi. Kudrat
perempuannya kuat mana? Kalau parkir ditengah, payah juga dia hendak keluar
dari parkir esok pagi. Esok hari Khamis, hari cutinya. Dia bercadang hendak ke
Pejabat Pos Serdang untuk mengepos beberapa resume. |
Eisya
menarik topi keledar dari kepalanya. Dia memang cuba balik seawal ini kerana
bimbangkan keselamatan diri. Hendak beli kereta, masih belum mampu. Jadi naik
motosikal ke mana-mana atau kenderaan awam saja. Tapi kalau hendak ke tempat
kerja di The Mines, dia terpaksa bermotorsikal juga.
Kalau
asyik naik teksi mahunya makan mi segera. Kos sara hidup memang tinggi. Mana
nak bayar sewa rumah, bil utiliti, PTPTN lagi. Dia terpaksa berjimat sementara
mencari pekerjaan tetap. Selagi dia boleh berdikari, jangan haraplah dia
meminta emak wang saku lagi.
Tiba-tiba
telefon bimbitnya berdering. Cepat-cepat dia menyeluk saku seluar, mengeluarkan
telefon bimbit. Huh! Baru saja mengomel hal berjimat, sudah datang bil bulan
depan! Maria Eifa! Miss calledlah tu! Eisya buat-buat tidak tahu. Siang
tadi mereka sudah bercakap lama, macamlah mereka anak tuan punya konglomerat
komunikasi terhebat.
Telefon
bimbitnya kembali disimpan dan dia terus mendaki tangga, menuju ke rumah
sewanya di tingkat dua. Dibiarkan telefon bimbitnya berbunyi dan terus
berbunyi.
Darijauh, Jamailia hanya memerhati. Malam
ini, tugasnya mengekori Eifa sampai ke rumah gadis itu. Amanah itu diberikan
Zed sebelum pulang tadi. Katanya dia mahu menganalisis data yang berjaya
‘diskodeng’ di telefon bimbit milik Eisya di pejabat. Biarlah dia buat kerja
yang mudah-mudah. Beri kepada pakar yang susah-susah.
Matanya
begitu asyik pada ‘aset’ yang sedang berada di depan pintu rumah sewanya. Gadis
itu dilihat memandang ke kiri kanan bagai memastikan keselamatan dirinya. Dia
mengeluarkan kunci dan tidak lama kemudian masuk ke dalam rumah.
“Berani
juga minah ni naik motor malam-malam macam ni,” kata Jem sendiri. “Stok
berdikari dan berani, memang bagus kalau jadi bini spy.” Dia membebel
lalu tergelak. Dia menggelengkan kepala mengingatkan diri supaya jangan pula
dia jadi gila kerana tugas-tugasnya begini.
Sebaik
gadis itu masuk, dia mengundurkan keretanya. Tugasnya untuk malam itu telah
selesai. Seorang penyiasat lain telah datang untuk menyambung tugasan. Dia
menguap. Hari ini hari yang betul-betul penat. Dia tidak tahu sampai bila dia
dan Zed akan memerhatikan pergerakan Maryam Eisya. Tugas yang nampak boleh
dilakukan sambil makan kacang dan pejam mata! Macam mudah saja!
Telefon
bimbit yang masih berbunyi, Maryam Eisya
letakkan saja di atas meja di tepi TV. Beberapa kali berbunyi dibiarkan begitu
saja. Dia meletakkan topi keledar dan sebungkus makanan di atas meja makan lalu
menonong menuju ke biliknya. Pergerakannya hanya diperhatikan Zie, rakan
serumahnya yang sedang berehat sambil membaca novel ‘Cinta 2you.My’, karya
Weeda Airiza terbitan Alaf 21. Kelibat Eisya memang mengganggu kosentrasi
pembacaannya.
“Wei! Ni handphone
ni apasal tak nak jawab?” laung Zie kepada Eisya.
“Saja...
dengar ajelah lagu abang One Direction tu.” Lagu ‘What Makes You Beautiful’
berkumandang dari telefon bimbitnya itu.
“Abang?
Agak-agaklah... umur dia orang tu semua sah-sah lebih muda dari kita, abang
konon...” Zie mengomel tetapi tidak diendahkan Eisya. Dia terus menutup pintu
biliknya.
“PMS
agaknya!” Zie membuat kesimpulan sendiri sebelum meneruskan pembacaannya.
Setelah 15 minit masa berlalu, Eisya keluar
dari biliknya dengan berbaju tidur. Rambutnya sudah pun disimpul di dalam
tuala. Wajahnya sudah bersih. Tidak ada kesan mekap bekerja siang tadi. Dia
membawa bungkusan makanan bersama sudu menyertai Zie yang sedap terbaring di
ruang tamu yang kecil itu.
“Sedapnya
bau!” Sebaik haruman nasi goreng kampung itu tersusuk hidung, Zie bangun. Dia
duduk menadah tangan sambil bersila, sabar menunggu Eisya habis membaca doa.
“Makanlah
dulu.” Eisya menghulurkan sudu. Memang dia selalu begitu. Mendahulukan orang
lain daripada dirinya sendiri. Mungkin sudah terbiasa menjadi kakak yang selalu
beralah dengan adiknya.
“Sedapnya,
Sya! Kau beli kat padang ke? Sempat singgah, ek? Kenapa tak telefon aku bagitau
tadi? Boleh kirim.” Mulut ada nasi, Zie hendak bercakap juga. Mujur tidak
tersembul keluar isinya.
Eisya
sengaja membiarkan Zie makan dahulu. Dia bangun lalu mengambil telefon
bimbitnya. Dia membelek telefon bimbitnya lalu mengerutkan dahi. Banyaknya
panggilan yang tidak berjawab!
Sepuluh
panggilan? Biar betul! Hanya ada satu saja panggilan daripada Eifa, panggilan
paling awal sekali. ‘Tentu panggilan di tangga tadilah ni,’ fikir Eisya. ‘Yang
lagi sembilan ni daripada siapa pulak?’ Otak tidak boleh berfikir kerana
terpapar ‘private number’.
Dia
melihat peti SMS kalau-kalau ada namun yang ada hanyalah SMS daripada pengiklan
yang memang tidak kuasa hendak dilayan. Pelik. Kalau sudah telefon sampai
sembilan kali tidak berjawab tentulah penting sangat-sangat, tapi kenapa tidak
tinggalkan SMS? Dia cuba menekan nombor tersebut tapi masuk ke dalam peti suara
pula. Dahinya berlapis-lapis kerut.
“Siapa
yang telefon banyak kali tadi?” Zie bertanya. Dia sudah menolak kotak
polistirena nasi goreng kampung ke tepi Eisya.
“Entah,
nombor peribadi.” Eisya menjawab ringkas lalu menyuapkan sesudu nasi ke dalam
mulutnya. Dia kemudian menekan nombor telefon Eifa. Kotak polistirena bertukar
tangan lagi.
“Kenapa
telefon kakak lagi? Pagi tadi kan kita dah cakap panjang? Ingat kakak cop duit
ke?” Eisya terus menyerang tanpa memberi peluang Eifa bermukadimah selain
menjawab salamnya. “Hah? Apa? Beraninya dia...”
Kata-kata
Eifa membuatkan badan Eisya jadi tegak tiba-tiba. ‘Ini sudah lebih...’ Dia
marah di dalam hati. Berita yang baru disampaikan oleh Eifa membuatkan rasa
yang elok disimpan di dasar hati kembali muncul menyesakkan dada. Tadi dia
elok-elok boleh pura-pura lupa.
“Ya ke?
Ada aku kisah? Ada bersepah lagilah jantan kat KL ni yang putih melepak.” Eisya
sudah mula marah-marah.
Kali ini
badan Zie pula yang tegak. Telinganya bergerak-gerak. Wah! Berita gempak!
Sambil-sambil itu, dia cover line dengan pura-pura asyik benar melantak!
“Apa?
Esok?” Eisya sudah menepuk dahi sendiri. “Dia nak buat apa? Alah... ibu
nilah...” Dia sudah menggaru kepalanya, tetapi tidak boleh kerana kepalanya
berbalut dengan tuala. Semuanya serba tidak kena.
“Yalah...
yalah... Nanti kakak telefon dia bagitau tak payah ngada-ngada nak datang.
Kakak tak bersedia nak jumpa.” Eisya berkata sambil muncung. Geramnya siang
tadi tak habis, malam ni ditambah lagi... Dia menekan butang mematikan talian
selepas menjawab salam pamitan daripada Eifa tapi muncungnya tidak juga surut
juga.
“Ni
apasal pulak?” Zie bertanya kerana prihatin. Dilihat rakannya di sebelah sedang
membelek skrin telefon. Muka tak payah cerita. Buat mati selera makan aje.
Sudahlah dia memang lapar gila!
“Hisy! Handphone
masuk mesin pulak,” bebel Eisya.
“Siapa
yang kau marah-marahkan ni, Sya?” Zie bertanya sambil menyuapkan nasi ke
mulutnya. Di dalam bekas polistirena memang sudah sikit sangat bakinya. Memang
sah dia lapar sebenarnya.
“Tunang
aku...”
Mendengarkan
jawapan Eisya, habis tersembur makanan yang ada di dalam mulut Zie. “Bila masa
pulak kau dah bertunang?” Dalam batuk-batuk, dia masih mahu bertanya. Dia
membetul-betulkan kerongkongnya. Tercekik dia mendengar ayat Eisya itu.
“Pagi
tadi...” jawab Eisya selamba. Di kepala sebenarnya sudah pun ada rencana! Jefry
pasti menyesal kerana memilihnya jadi tunang segera!