002
Sepuluh hari kemudian...
Bangunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),
Putrajaya
Jam 0845
Dia menghampiri seorang kerani yang bertugas di
meja pendaftaran pagi itu. Kerani itu begitu tekun menyemak nama calon-calon
yang akan ditemuduga. Seorang demi seorang calon datang kepadanya.
"Nama apa, cik?" Soalan resam yang diulang-ulang
pagi itu akhirnya tiba kepadanya.
"Ada tak nama Maryam Eisya? Haa! Tu..."
Eisya menunjukkan namanya di baris bawah kertas senarai nama yang dipegang oleh
wanita di hadapannya itu. Seketika namanya terus digaris tanda hadir.
"Ini nombor giliran. Cik tunggu di depan bilik
K03. Nanti panel akan panggil guna nombor ni. Bila keluar nombor cik, baru
masuk bilik."
"Okay, terima kasih." Eisya mengambil kad
pengenalan lalu melangkah ke hadapan bilik K03. Dia melabuhkan punggungnya di
atas kerusi plastik berbaris yang disusun dengan teratur di dalam bilik
menunggu di bangunan SPA ini.
Pandangannya melilau melihat calon-calon yang
dipanggil temuduga pagi ini. Dia tersenyum sebaik melabuhkan punggung di bilik
menunggu itu.
Ada yang menyemak fail peribadi, belum bersedia
sepenuh hati. Ada pula yang memegang kertas, soalan spotbarangkali, dengan mulut terkumat-kamit sendiri. Ada juga yang
bertanya itu ini kepada teman baru dikenali, sudah yakin dengan diri atau
sekadar cuba menutup gugup di hati. Pagi itu dia membuat analisis sendiri.
Menurut kakak di meja pendaftaran tadi, seramai 35
orang calon dipanggil untuk mengisi 10 kekosongan jawatan Pegawai Belia dan
Sukan, Gred S41 kali ini.
Pada kiraan awalnya tadi, yang sudah hadir dalam 15
orang; 5 lelaki, 10 perempuan. Bermakna bagi setiap 1 jawatan ada kira-kira 3.5
orang yang akan bersaing merebutnya. Selepas jadi pakar psikologi, otaknya ligat
pula membuat perkiraan matematik pula pagi itu. Sibuk betul!
Eisya tersenyum mengenangkan diri, senyum sendiri.
Ini kali ketiga dia menjejak kaki ke bangunan yang sama dalam tempoh satu
setengah tahun. Kali pertama sebaik sahaja tamat belajar, dia dipanggil untuk
temuduga jawatan Pegawai Penerangan.
Ternyata kali pertama dia amat tidak bersedia.
Apabila tiba namanya dipanggil, dia terlalu menggigil pucat sehingga tidak
dapat bangun daripada tempat duduk. Akhirnya panel menyuruh dia pulang sahaja.
Temuduga yang sangat mudah!
Kali kedua dia sememangnya sudah bersedia. Jawatan
Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) merupakan jawatan yang diimpikan oleh ramai
orang yang ingin berkhidmat dengan kerajaan.
Permintaan untuk menjawat jawatan premier perkhidmatan awam ini amat
tinggi. Untuk jawatan itu, kerajaan menjalankan 3 siri tapisan ketat untuk
menyaring calon yang bakal ditempatkan sama ada di agensi kerajaan di dalam
mahupun di luar negara. Sudah tertulis rezekinya, dengan mudah dia berjaya
melepasi 2 tapisan pertama iaitu ujian peperiksaan dan penilaian PTD Assesment Center.
Tapi tertulis rezekinya setakat itulah saja. Tiba
di tapisan ketiga, namanya tidak sangkut. Ketika itu rasanya tahap keyakinan
dirinya berada pada tahap 100%. Kesemua buku-buku berkaitan kerajaan
dikhatamnya. Semua nama-nama menteri sehinggakan ke nama ketua-ketua jabatan
juga ada di koceknya.
Namun kelalaiannya sekali lagi memerangkap. Soalan
panel yang bertanyakan tentang kesanggupannya untuk ditempatkan di luar negara
membuatkan dia tersangkut di situ. Sikapnya yang 'over confident' akan
diterima bekerja membuatkan dia berkeras menuntut untuk ditempatkan di Kuala
Lumpur sahaja, dekat dengan keluarga.
Kegagalannya untuk sanggup ditempatkan di mana-mana
pelusuk bumi ini menyebabkan panel menyuruh dia pulang dan fikirkan semula
kedegilannya. Alangkah ironi!
Kali ini dia benar-benar sudah bersedia. Dia tidak
akan melakukan perkara-perkara bodoh lagi. Sudah lama dia menantikan saat untuk
berkhidmat dengan kerajaan. Peluangnya terlepas jawatan PTD beberapa bulan
lalu, akan dijadikan iktibar untuk tidak mengulang kesalahan yang sama lagi
dalam sesi temuduga hari ini.
Kali ini dia akan sanggup lakukan apa sahaja.
Biarlah ditempatkan di Alaska atau Iraq sekalipun, dia akan mengaku sanggup
pergi. Bak kata orang, alang-alang menyeluk pekasam. Teringat Eisya pesanan
rakan serumahnya, Zie Hashim beberapa hari yang lalu.
"Kau cakap je sanggup ditempatkan kat
mana-mana pun... bukannya mereka nak hantar kau ke Matahari ke Marikh ke. Dah
dapat nanti cubalah adjust kat
mana-mana. Mesti boleh punya..."
Kata-kata azimat Zie itu menguatkan lagi semangat
Eisya untuk berjanji bulan dan bintang. Apa saja masalah dalam bilik temuduga
nanti akan sanggup dihadapinya. Jangan suruh buka baju sudahlah... Itu memang
dia tak akan sanggup! Dan rasanya panel tu pun tak sanggup hendak menengok!
"Datang temuduga ke?"
'Oh mak kau!' Terkejut dengan sapaan tersebut, hampir-hampir
Eisya terlentang. Sejak bila pula ada lelaki di sebelah kerusi menunggu yang
dia sandar sedari tadi? Seingat Eisya, sejak dia sampai lagi, dia seorang saja
yang mengisi baris kerusi tersebut. Nampak sangat mindanya jauh melayang menerawang
entah ke mana-mana.
"Datang temuduga ke?" Sekali lagi lelaki
di sebelahnya menyapa. Mengulang soalan yang sama.
'Taklah, saya datang nak ambil ubat. Awak sakit
mental jugak ke?' Jawapan bodoh yang keluar untuk soalan bodoh, tetapi di dalam
hatinya sahaja.
"Ya, encik pun sama ke?" Sangat berhemah
kata-kata yang keluar daripada bibirnya, diiringi dengan senyuman yang menawan.
"Hmm... Bilik mana?" Lelaki itu bertanya
lagi, mungkin bosan dengan nombor giliran yang tidak kunjung tiba.
"K03. Sampai sekarang panel tak panggil. Janji
pukul 9 pagi, sekarang dah masuk 9.40 tak panggil-panggil lagi. Bilik temuduga
lain dah lama panggil. Kata janji ditepatilah, rakyat didahulukanlah, bila
lambat macam ni, tak pulak mengaku salah, minta maaf ke..." Tiba-tiba
Eisya meluahkan anginnya.
Masakan tidak, perjalanan ke Putrajaya dari kampungnya
di Tanjong Malim bukannya dekat. Seawal jam 4.30 pagi dia sudah bangun hari ini.
Hampir 2 jam pula dalam perjalanannya dengan keretapi yang diambil dari hentian
Tanjong Malim menuju ke KL Sentral.
Dari situ dia terpaksa pula menaiki ERL KLIA
Transit menuju ke hentian Putrajaya. Jam 8.30 pagi dia sampai di hentian ERL
Putrajaya dan terpaksa pula mengambil teksi ke bangunan SPA di kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. Mana tak hangin bila sampai tepat,
panel pula tak panggil-panggil. Sudah 40 minit masa emasnya terbazir!
Berapa jauh perjalanan yang terpaksa diharunginya,
berapa masa terpaksa dihabiskan dan berapa pula harga yang perlu dia bayar
hanya untuk mendapatkan kerja sebagai seorang pegawai kerajaan? Kalau tidak
jadi temuduga hari ini, pasti Eisya mengamuk sakan. Biar seluruh kompleks C ini
terkejut dengar amukannya. Dia sudah berangan-angan di dalam kepala.
"Sabar cik. Sabar kan separuh daripada
iman?" Lelaki di sebelahnya berbisik. Cukup untuk kedengaran di telinganya
saja. Romantik.
'Eh, eh! Sibuk pula lelaki ini hendak menasihatkan
dia. Berbisik-bisik pula.' Hatinya terbakar. Dia merenung lelaki di sebelahnya
atas bawah. Sudah nampak kecil besar.
"Cik rasa boleh ke dapat jawatan ni?"
Lelaki itu bertanya pula membuatkan hangat di hatinya meruap.
'Kalau aku dapat kerja tu nanti, kau tak dapat baru
melopong kau!' Hati Eisya berkeras ingin mengeluarkan kata-kata tersebut namun
ditahannya. Melihat kepada gaya dan paras rupanya, Eisya mengagak lelaki itu di
awal umur 30an.
"Entahlah, nampak macam saingan sengit
juga." Sekali lagi dia memilih perkataan-perkataan yang baik-baik saja.
Itupun setelah jenuh ditapis oleh lembaga penapisan hatinya. Kalau ikutkan
memang banyak pilihan jawapan yang boleh diberikan tetapi mujurlah yang keluar
daripada mulutnya bukan pilihan-pilihan yang banyak tadi.
"Gaji kerja kerajaan ni bukan besar pun. Saya
rasa lebih baik kerja swasta. Melihat perwatakan cik ni, saya rasa mungkin cik
sesuai kerja dengan syarikat swasta kot." Lelaki itu mencelah lagi. Kali
ini telinga Eisya berdesing. Walaupun kata-katanya lembut tetapi menikam terus
ke hatinya.
"Maaf encik, tak perlulah nasihatkan saya.
Kalau hebat sangat kenapa encik pun takde kerja datang interview macam saya? Sekurang-kurangnya saya baru setahun je takde
kerja. Tengok muka encik ni, macam desperate
dah lama tanam anggur. Silap la encik nak nasihatkan saya." Eisya
tiba-tiba membalas, penuh sinis. Kali
ini lembaga penapisan di hatinya sudah memilih barisan-barisan pilihan yang
memang sedia menanti untuk dihamburkan.
"Bukan niat saya untuk menasihat, tapi cuma
saya kasihan, 40 minit cik tadi terbuang..." Lelaki itu menjawab dengan
tenang seperti tadi. Tiada riak-riak yang dia akan meletup dengan jawapan 'kena
sebiji' di batang hidung tu.
Eisya terasa lelaki itu seperti pesakit psiko pula.
Caranya memandang, berbisik membuatkan dia seram tiba-tiba.
"40 minit ke, 40 jam ke, apa encik peduli?"
Eisya menjawab. Dia lantas mencapai beg tangannya lalu menonong ke bilik air.
Langsung dia tidak memandang ke arah lelaki itu tapi dia yakin sangat yang
lelaki itu sedang tersenyum kepadanya.
Haila! Kenapalah mamat tu tak melenting? Kalau
melenting memang dia lagi suka nak ajak bergaduh. Kalau dia sudah hangin, dan
lawannya buat muka sardin, lebih baik dia bercakap dengan dinding.