Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 006 : Tugasan pertama, bagilah muka

6

The Body Secret, The Mines Shopping Mall

Jam 1007

Pelanggan pertama pada hari Isnin yang membosankan telah masuk melangkah. Badannya sederhana saja rendang. Kalau sekali pandang memang tidak padan dia datang. Namun pelanggan yang vogueberkaca mata hitam itu masuk sambil tersenyum dan kelihatan bersemangat sekali untuk memulakan sesi menguruskan badan.

“Selamat pagi!” Tiga orang pekerja berbangsa Cina di kaunter menyambut pelanggan pertama itu dengan senyuman yang semesra mungkin.

“Selamat pagi! Jamailia. J.A.M.A.I.L.I.A.” Pelanggan yang tak lekang-lekang dengan senyuman itu siap mengeja namanya. Tentu selalu orang silap eja namanya yang klasik itu.

“Puan duduk dulu, nanti staf kami datang kepada puan.” Staf yang duduk di kaunter, yang sedang membelek kad temu janji memberitahu.

Jamailia senyum lagi. “Maaf ya... saya terlambat tujuh minit. Susah juga cari parkir hari Sabtu macam ni.” Sempat lagi dia beramah mesra dengan pekerja pusat pelangsingan itu. “Err... kalau boleh, saya nak staf nama Maryam Eisya yang buat rawatan. Boleh, kan?” Dia menolak cermin mata hitamnya ke atas supaya dapat bertentang mata dengan pekerja kaunter yang memegang kad temu janjinya itu.

“Maryam? Hmm...” Pekerja itu memandang kawannya yang sedang berdiri di sebelah.

“Kenapa? Ada masalah ke?” Jamailia bertanya. Cermin mata hitamnya sudah disimpan ke dalam beg tangan.

“Tak ada masalah... Maryam Eisya masuk syif sebelas pagi, puan,” ujar pekerja kaunter itu.

“Bukan selalunya dia masuk pukul sepuluh?” Jamailia bertanya bagai kenal sangat dengan pekerja bernama Maryam Eisya itu.

“Selalunya memang dia masuk pukul sepuluh, tapi hari ni dia ada urusan peribadi. Baru sekejap tadi dia beritahu masuk lambat sikit.” Pekerja yang sedang berdiri tadi menjawab dengan suara yang lembut dan sopan. Memang sepatutnya begitulah cara pekerja pusat rawatan kecantikan menjawab soalan pelanggan. Cantik bukan diukur dari segi fizikal saja tapi juga dalaman.

“Kalau macam tu, saya datang balik kejap lagi. Saya nak Maryam Eisya juga yang buat rawatan.” Jamailia bertegas mahukan Maryam Eisya juga yang menemaninya sepanjang kira-kira dua jam sesi rawatan itu.

“Puan kenal ke dengan Maryam?” Pekerja yang berdiri di sebelah kiri yang sedari tadi asyik memerhati tiba-tiba bertanya. Dia hairan kerana pelanggan beria-ia hendakkan khidmat daripada rakan setugasnya itu sedangkan dia lebih senior daripadanya. Tentulah dia lebih berpengalaman. Maryam Eisya baru saja beberapa hari bekerja di sini. Takkanlah khidmatnya begitu tip top sampai pelanggan hari pertama datang sudah meminta khidmatnya?

“Eh! Kawan saya yang rekomen. Katanya bagus budak tu... lembut... peramah...” Jamailia menjelaskan. “Boleh kan saya datang pukul sebelas?” Malas hendak memanjangkan cerita, dia terus bertanya.

“Kejap, saya semak. Kalau Eisya tak ada temu janji dengan pelanggan lain, tak ada masalah puan.” Pekerja yang duduk tadi terus menjawab. Dia sudah dapat mencium bau tidak enak teman setugas di kirinya itu. “Okey... boleh, puan. Jadi, puan datang baliklah, ya?”

“Ya. Terima kasih.” Jamailia meninggalkan kaunter dengan senyuman lalu keluar dari pusat kecantikan itu.

Setelah agak jauh dan tersorok sikit dari premis itu, Jamailia memegang alat perhubungan di telinganya.

“Helo! Bos! Dah dengar tadi? Kenapa tak roger dia tak ada? Penat tau, aku datang dari rumah tadi pagi-pagi merempit.” Jamailia menyatakan ketidakpuasan di hatinya. “Mujur tak kantoi tadi. Nasib baik otak aku ni geliga nak bagi alasan baik punya.” Dia menyambung dengan bangga sebelum sempat orang yang di sebelah talian sana menjawab soalan awalnya tadi.

“Negatif. Alasan ditolak. Hampir-hampir kantoi tadi. Berapa kali dah pesan, jangan bagi nama betul? Adoi! Dahlah lambat tujuh minit!” Suara lelaki di hujung talian sana kedengaran tegas.

Jamailia tidak tahu, si lelaki sedang mengetuk kepalanya ke stereng kerana frustmenonggeng! Dapat partner pertama kali beraksi di lapangan, jenuh semua nak kena bimbing!

Jamailia tersengih. “Opss... sorry, boss... Eh? Bos! Bunyi apa tu? Bos okey ke?” Dia bersuara risau tatkala telinganya menangkah bunyi bising di hujung talian. Dia sudah bersedia berlari untuk misi menyelamat jika partnernya itu kena ambushatau apa sahaja?

“Negatif. Tunggu situ. Tak ada apa. Nyamuk dalam kereta...” Lelaki di talian memberi alasan. Dia membetulkan duduknya sambil memegang kepala sendiri. Beberapa ketika kemudian dia menyambung, “Ni... Lain kali jangan terlebih ramah, ya? Selalu dia masuk pukul sepuluh konon!” Kali ini dia mengulang kembali dialog yang dituturkan Jamailia di kaunter tadi.

“Zed! Lain kali kau bagitahulah awal-awal, dia tak sampai lagi.” Jamailia masih tidak mahu mengalah. Rakan setugasnya yang bersalah, bukan dia. Dia cuma hampir terlepas cakap, tapi dah coverbaik punya.

“Jem, dengar sini. Memang siasatan awal, aset masuk kerja jam sepuluh pagi. Kau tak baca surveillance file yang aku letak atas meja? Pagi tadi aku dah pastikan dia masuk ke tempat kerja. Aset memang positif sedang berada di dalam premis. Mungkin ada hal lain menyebabkan dia tak bertugas lagi.” Zed memberitahu kepada rakan setugasnya yang baru masuk ke lapangan itu beberapa bulan.

“Habis? Kau nak aku masuk dan redah?” Jamailia cepat-cepat bertanya. Dia sudah memalingkan badannya untuk kembali ke arah pusat rawatan kecantikan itu. Bersedia menerima arahan seterusnya.

“Negatif! Negatif! Kau ingat ini operasi gempur ke apa? Jumpa aku di lot parking L1A sebelah kanan, kereta 2315.” Arahan diberikan kepada Jamailia. Talian dimatikan. Zed menggeleng-gelengkan kepala. Nampaknya, dia terpaksa bersabar banyak untuk membimbing Jamailia atau senang dipanggil Jem menjadi ejen hebat sepertinya suatu hari nanti. Dia menarik nafas... bertenang. Ini bukannya ada aksi tembak-menembak yang memerlukan dia berasa cemas untuk melindungi rakan setugas di lapangan tempur.

Nasiblah kali ini dia digandingkan dengan pasangan wanita. Mungkin ini semua kerana dia perlu untuk selalu berada dengan wanita. Lapangannya pun cuma di pusat rawatan kecantikan wanita! Zed VS Jem! Huhu! Memang jammed kepalanya. Zed VS Wanita? Huh! Lagilah tak boleh nak kata!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.