Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 008 : Nakal ye adik?

Kampung Ketoyong

Jam 1016

Eifa terkebil-kebil memandang telefon bimbit di tangannya yang sudah sunyi. Terasa panas kerana lama dia berborak dengan si kakak. Sama panas dengan hati kakak. Dia tergelak. Jenuhlah kakaknya membayar bil bulan ini gara-gara panjangnya mereka bercerita.

Untunglah dia sebagai adik yang belum bekerja, buat miss called saja. Tapi yang paling beruntung, tentulah ibunya kerana tidak payah buang masa menelefon kakak dan tak perlu bayar bil juga.

Maria Eifa cepat-cepat bangun dari katil. Hendak mencari ibunya di dapur untuk membuat laporan lintas langsung perbualannya dengan kakak tadi.

Ibu! The job has been done!” Eifa tersengih menunjuk isyarat bagus di tangga memberi laporan bagai polis membuat laporan kepada orang atasan.

“Apa kata kakak?” Si ibu yang sedang menanak nasi menunjukkan minat dengan laporan anak bongsunya itu.

“Macam yang kita bincanglah. Hangin dia, ibu!” Eifa sudah menarik kerusi di meja makan. Pucuk ubi di atas meja dipatahkan satu per satu untuk dibuat gulai. Cuti semester begini, memang aktiviti dia menggemukkan badan.

“Dah kamu motivasikan dia dengan ayat-ayat powerkamu tu?” Marsita bertanya acuh tak acuh. Dia tahu sangat kalau anak bongsunya itu bercakap, memang asyik hendak menang saja. Jadi lebih baiklah dia kipas-kipas bagi anaknya itu terlebih seronok. Alah... nanti dia juga yang untung, goyang kaki.

“Dah, ibu. Bukan setakat puji-pujian, beria-ia Eifa promote Abang Jefry tu. Siap Eifa nak WhatsApp lagi gambar bakal abang ipar Eifa tu, tapi...” Eifa berjeda, menarik nafas. Sebenarnya sengaja dia mahu memancing ibunya agar memberi perhatian kepadanya. Kalau tidak, sia-sia saja Eisya bayar bil melambung, tapi hasilnya nanti kosong.

“Eisya tak minat? Biar betik?” Marsita bertanya tidak percaya. Dia yakin sangat Eifa boleh memujuk Eisya. Takkanlah Eifa tak berjaya memancing minat Eisya? Lalu dia duduk di di hadapan Eifa, turut mematahkan pucuk ubi.

“Amboi! Ibu dah jadi macam orang muda-muda pula. Mana ibu belajar cakap macam tu?” Eifa bertanya tidak puas hati. Dia tahulah ibunya jenis yang ‘easy going’. Boleh layan dengan semua orang, tapi bila dengar perkataan-perkataan pelik yang keluar daripada mulut ibu, dia teringin juga hendak tahu.

“Alah... apa nak hairan. Ibu kau ni kan dah dipanggil Che Ta kat UPSI tu? Tentulah macam-macam perkataan orang muda yang ibu belajar.” Marsita memenangkan diri sendiri. Sambil buat gaya ala-ala peserta Kilauan Emas di pentas konsert akhir melambai peminat.

“Okey... okey... penjelasan diterima...” Eifa malas mendengar ibunya berceloteh panjang. Nanti sampai makan tengah hari esok pun ibunya masih bercerita tidak habis-habis.

“Kenapa Kak Eisya kau tak minat?” Terus Marsita bertanya. Anaknya, si Eifa kalau promosi barang mesti berjaya jual. Belajar pun Pengajian Perniagaan. Tapi dia lupa, anaknya belajar jual barang, bukannya jual orang.

“Ibu... macam tak kenal kakak. Dia mana minat dengan lelaki?” Eifa buat muka sekupang.

“Takkan punya lama Eifa bercakap, sedikit pun hati dia tak tunjuk minat?” Marsita bertanya macam tidak percaya.

“Siapa kata kakak tak minat?” Eifa bertanya pula.

“Tadi... yang Eifa cakap dah beria-ia promo lepas tu nak WhatsApp gambar si Jef. Lepas tu Eifa berhenti... Eisya tak minatlah... gamaknya.”

“Ibu, Kak Eisya tu, bagi gambar Adi Putra pun dia akan reject. Buang masa aje nak hantar gambar Abang Jef tu.” Eifa memberitahu sambil senyum-senyum nakal.

“Habis tu?”

“Nak susah apa? Eifa cakaplah ibu dah terima pinangan Abang Jef. Kak Eisya dah sah jadi tunang orang. Hah, kan senang?” Eifa memberi idea, kemudian sengih-sengih seronok. Macam orang menang cabutan bertuah hadiah utama TV skrin rata!

What?!” Marsita @ Che Ta terkeluar speakingLondon!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.