Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 012 : Hantukkan kepala ke dinding, Jefry!

012

Kampung Ketoyong

Jam 1800

Jefry memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pintu rumah papan itu. Dia mematikan enjin dan menoleh ke arah rumah yang sunyi. Pintu hadapan rumah itu ternganga luas, begitu juga dengan tingkap. Dalam teragak-agak, dia keluar dari perut kereta. Selalunya dia tak pernah ragu-ragu. Keputusan yang diambil tepat dan konsisten selalu.

Dia bersandar pada kereta sport Lamborghini berwarna merah terang. Kereta sewa pun. Esok bila dia balik ke KL, kereta itu akan dipulangkan. Orang yang kerjanya lebih lama di luar negara, membazir kalau membeli kereta, tapi kemudian disimpan di garaj berbulan-bulan.

Dia menarik nafas. Dia sudah memikirkan hal ini dalam-dalam. Pagi tadi dia sudah berjanji mahu menyelesaikan hal ini hari ini, sebelum dia kembali ke KL esok pagi. Dia menanggalkan cermin mata hitamnya lalu menyangkutkannya ke kocek kemeja. Kakinya menghampiri pintu rumah. Sederap demi sederap, sama deraunya dengan hati yang sedang bergetar di dalam.

Eifa bangun sebaik terdengar bunyi enjin kereta mengaum di hadapan pintu rumahnya. Dari celah dinding papan rumahnya, dia mengintai. Hatinya terus tidak keruan sebaik ternampak seorang jejaka sasa siap bercermin mata hitam bersandar di kereta merah menyala. Siapakah jejaka itu dan apakah hajatnya datang ke rumah pada petang yang baru usai hujan?

Dadanya berdebar, sama debarnya melihat derap sang jejaka yang melangkah gagah menuju ke pintu rumah. Setapak demi setapak.

“Assalamualaikum!” Suara jejaka memberi salam kedengaran di luar.

“Kawal diri, Eifa. Kawal diri!” Eifa berkata sendiri. Dia sedang berkira-kira hendak menjawab salam apabila tiba-tiba ibunya sudah menonong ke hadapan.

“Waalaikumussalam. Anak ni cari siapa?” Laju Marsita bertanya. Dia memegang sudip di tangan. Terkocoh-kocoh tadi langsung terbawa sampai ke depan.

“Ni rumah Mak Cik Marsita, kan?” Lelaki itu sopan bertanya sambil memberikan senyuman manisnya.

Bukan setakat Eifa di dalam yang terpesona, Marsita juga nampak terkebil-kebil memandangnya. “Ha’ah... ya...” Gagap pula dia tatkala bertatapan dengan anak muda yang begitu berkharisma. Hmm... baunya pun wangi... model minyak wangi barangkali, agak hatinya.

“Saya anak Mak Cik Faridah. Mak kirim salam. Ni... dia kirim kuih talam,” beritahu Jefry.

Marsita terangguk-angguk faham. “Jefry? Ini betul ke Jefry?” tanyanya waswas. Dalam gambar lain sikit daripada rupa sebenar. Biar betul ini anak Faridah ratu kebaya Kampung Permai?

Sekali imbas, macam tak ada iras. Rasa macam hendak percaya tak percaya. Mungkin ikut wajah sebelah arwah bapa agaknya. Kecil sangat masa arwah Ahmad Deraman meninggalkan mereka. Masa tu umur Jefry sembilan ke sepuluh tahun, dia pun ingat-ingat lupa. Masa macam cepat betul berlalu. Arwah Ahmad Deraman orang kampung ni juga. Di sebelah rumahnya ini dulu rumah orang tua Ahmad Deraman.

“Eh! Mari masuk. Mak kamu kenapa tak datang sekali?” Marsita bertanya ramah.

Kalau betul di depannya ini bernama Jefry, inilah dia bakal menantu yang hendak dijodohkan dengan anak sulungnya nanti. Bertuah Eisya. Bakal suami yang handsome, bergaya dan nampak macam banyak duit! Sempat lagi Marsita menjeling kereta Lamborghini merah menyala-nyala yang terparkir di hadapan rumahnya.

“Mak ada kenduri malam ni. Dia kata takut tak sempat nak siapkan tempahan. Biasalah mak, mana nak duduk diam-diam. Ada aje yang hendak dikerjakan.” Jefry berbasa-basi. Dia kini sudah pun berada di dalam rumah kayu milik Marsita.

“Duduklah dulu. Mak cik tengah goreng karipap. Memang langkah kanan kamu. Kenapalah datang tak bagitahu? Mujur mak cik dah balik kerja. Kalau tidak, sia-sia aje datang. Kejap ya, mak cik ke dapur.” Marsita meminta izin untuk ke dapur.

“Tak payah susah-susah, mak cik. Saya ke sini pun sebab nak ziarah mak cik. Esok saya dah nak balik KL, kemudian entah bila pula saya nak balik lagi,” ujar Jefry. Matanya sempat menangkap beberapa keping gambar yang tergantung pada dinding.

‘Ada dua orang anak mak cik ni. Yang mana satu Maryam Eisya ya?’ Hatinya tertanya-tanya. Matanya terus ‘menyelongkar’ dalam diam tanpa diketahui tuan rumah sendiri.

“Tak ada susah-susah, duduk dulu. Kejap aje.” Marsita tidak berlengah lagi terus ke dapur.

“Yang kau tercegat kat depan tangga ni kenapa?” tanya Marsita kepada Eifa sebaik ternampak anak gadisnya di tangga dapur.

“Ibu! Handsome banget. Dalam gambar biasa aje. Yang betul memang luar biasa, ibu. Itu orang ke patung lilin? Kulit dia putihnya... Dia pergi spa ke apa?” Tidak puas hati, Eifa terus bertanya. Sedari tadi dia asyik mengintai jejaka kacak itu.

“Kau ni, Eifa... kalau bercakap siang-siang, pandang-pandanglah sikit. Dengar dek Jefry tu nanti, malu ibu. Kata Che Ta tak pandai jaga anak dara!” Marsita mengomen. “Dah! Dah! Pergi buat air. Lepas tu hantar kat depan.” Dia meletakkan beberapa ketul karipap yang sudah digoreng ke dalam piring.

“Ibu hantarlah. Eifa segan. Nanti Abang Jefry tu nampak Eifa, dah berkenan kat Eifa. Melopong Kak Eisya. Dah nak kena bersaing dengan adik sendiri pulak.” Eifa mengelak.

Sebenarnya, itu semua alasannya saja. Dia mahu menjadi pemerhati PBB dari dapur, kemudian buat lintas langsung terus kepada kakaknya di Kuala Lumpur. Kalau dia yang kena menghadap si teruna, berita terkini sudah jadi siaran tertunda.

“Ada-ada ajelah. Cepat sikit!” Marsita malas hendak bertekak.

Jefry sedang menyelak helaian album yang ada di atas meja apabila Marsita datang dengan sedulang minuman dan karipap panas. Dia bangun sekadar memberi hormat kepada bakal ibu mertuanya itu.

“Maaf, mak cik... saya tengok album tadi.” Dia memberitahu sebelum duduk semula. Dia yakin jika album gambar itu diletakkan di atas meja tetamu, tentulah tuan punya tidak kisah albumnya dibelek orang yang bertamu.

“Oh! Memang sengaja letak kat situ. Tak apa, tengoklah. Bukan ada gambar siapa pun... gambar kami anak-beranak aje.” Marsita meletakkan cawan dan piring karipap lalu menjemput Jefry makan. Itu album gambar semasa Eisya graduate semasa diploma dan ijazahnya dulu.

“Saya datang ni ada hajat, mak cik.” Jefry berterus terang kepada Marsita. Apa guna ‘kona-kona’ kalau masing-masing sudah sedia maklum?

“Tentang kamu dengan Eisya?” Macam faham-faham, Marsita menyambung apa yang dimulakan Jefry.

“Ya... begitulah. Saya ni bukannya siapa-siapa... harta tak ada, apatah rupa. Saya... err...” Berat hati Jefry untuk mengatakan apa yang mahu disampaikan. Walaupun setelah melihat foto anak dara Marsita, hatinya masih berbolak-balik. Dia tahu Eisya cantik. Dia tahu Eisya menarik. Wajah Eisya wajah Melayu klasik. Tapi... dia sendiri tidak mahu jadi plastik.

Dia harus berani untuk berterus terang. Dia ada sejarah hitam yang sukar untuk dilenyapkan. Buat masa ini, dia tidak bersedia untuk membuat sebarang komitmen. Emak juga sudah sedia maklum. Hari ini dia datang beradab sopan, mahu menarik diri daripada sebarang ikatan.

“Eh! Eisya pun bukannya siapa-siapa. Selain ada budi bahasa, anak dara mak cik tu tak ada apa yang istimewa. Mak cik bertuah sangat kalau Jefry sudi menerima...” potong Marsita. Merendah diri sangat anak bujang di depannya ini. ‘Bukan siapa-siapa? I Like!’ Hatinya sudah berkenan sangat dengan jejaka itu.

“Ya... anak mak cik memang tak ada kurangnya...”

“Kamu dah telefon dia?” Cepat pula Marsita memotong cakap Jefry. Daripada gaya-gaya Jefry bermukadimah, dia boleh baca ada ayat-ayat berbaur penolakan berhemah.

“Err... belum. Belum sempat.” jawab Jefry.

‘Bukan belum sempat, mak cik... tak ada kudrat,’ Hatinya menjawab begitu. Pagi tadi, dia memang hendak menelefon Maryam Eisya. Beberapa kali dia cuba menggagahkan diri, tetapi akhirnya dia gagal sendiri.

Kemudian akal lelakinya yang waras memberi idea yang bernas. Tentulah lebih baik dia berjumpa dengan ibu Eisya terlebih dahulu. Kalau sudah selesai dengan ibunya, pandai-pandailah nanti ibunya menyelesaikan dengan anak daranya pula.

“Mak cik dah beritahu dia. Dia tengah tunggu panggilan Jef. Anak mak cik tu memang tak ada boyfriend, jangan risau. Bila-bila aje Jef boleh telefon dia.”

Kata-kata Marsita membuatkan Jefry semakin resah. Lain tujuan dia ke sini, lain pula mak cik di depannya mendapat versi.

“Oh! Sebelum mak cik lupa. Esok Jef nak balik KL, tolong bagi barang Eisya yang tertinggal, boleh? Kejap mak cik ambil kat bilik dia. Dah alang-alang Jef nak jumpa dia, kan? Tak payahlah dia balik semata-mata nak ambil barang dia. Boleh ya? Tak susahkan Jef, kan?”

Pertanyaan Marsita membuatkan Jefry tersengih-sengih bodoh. Ketika itu, dia terasa hendak menghantukkan saja kepalanya ke dinding papan rumah itu. Biar Marsita tidak berkenan. Namun, dia hanya terpempan lalu mengukirkan senyuman!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.