019
Dalam
kapal terbang menuju Lapangan Terbang Heathrow, London
Jam
2112
Jefry
tidak dapat melelapkan matanya. Puas dia memejamkan mata, namun matanya degil
untuk mendengar kata. Dia terasa macam ada sesuatu yang lain benar dengan misi
kali ini yang mengusik-ngusik hatinya, mengacau matanya. |
Sepatutnya
dia menggunakan masa perjalanan 14 jam ini untuk berehat-rehat. Namun di
kepalanya asyik teringatkan emak di kampung dengan janjinya. Teringatkan Mak
Cik Marsita dengan janjinya. Teringatkan Eisya dengan janjinya. Argh! Kali ini
dia menanam janji-janji dengan begitu ramai perempuan.
Bukan
tidak pernah dia berjanji dengan ramai perempuan! Tetapi janji-janji itu tidak
pernah menyebabkan dia tidak lena pada waktu malam. Janji yang membawa
pengertian yang besar, bakal mengubah kehidupannya di masa depan.
Ini bukan
berjanji untuk mendapatkan maklumat dan imbuhan. Ini bukan berjanji untuk
mengorek rahsia dan mendapatkan habuan. Seperti kata emaknya yang terakhir
sebelum memamitkan salam, ini janji untuk mendapatkan sebuah kehidupan. Dia
melepaskan nafas. Ingatannya kepada Maryam Eisya melayang-layang.
Pertama
kali memandang gambar si gadis berwajah Melayu tulen itu, hatinya tidak
bergetar. Masakan tidak, kerana dia telah mendampingi terlalu ramai gadis dalam
misi-misi rahsianya. Gadis-gadis cantik, baginya sama saja. Yang berwajah bagai
Miss Universe juga pernah didampingnya. Lalu wajah Eisya yang begitu Melayu itu
tidak menggetarkan hatinya.
Tetapi
apabila bertemu dengan ibu Eisya, mendengar ceritanya tentang gadis itu,
mengubah idea asal kedatangannya ke rumah itu. Maryam Eisya, menurut ibunya
seorang gadis yang sangat cekal dan istimewa sekali. Pada usia lapan tahun,
gadis itu telah diduga dengan satu peristiwa yang menyebabkannya fobia, tidak
percaya pada makhluk TUHAN yang bernama lelaki.
Ya, kerana
cerita itulah membuatkan dia membatalkan rancangan asalnya untuk menolak
cadangan kedua-dua ibu untuknya dan Eisya membina istana. Seperti ada sesuatu
yang terpanggil untuk dia membantu Eisya keluar daripada persepsi ‘lelaki
sangat bahaya dan tak boleh diharapkan’.
Jefry
melihat jam di tangan. Dia teringatkan Eisya. Pada waktu menjelang tengah
malam, adakah Eisya sudah lena tidur? Atau Eisya sepertinya, masih tidak dapat
melelapkan mata? Sudahkah Eisya membaca notanya? Dia senyum sendiri
mengingatkan nota tulisannya, mengingatkan wajah polos Eisya menyambut bunga
pemberiannya.
Abang
harap Eisya selalu positif. Boleh jadi apa yang paling kita benci adalah yang
terbaik. Hanya ALLAH yang tahu apa yang tertulis untuk kita.
Abang akan lama berada jauh dari Eisya. Abang tak akan dapat
menghubungi Eisya dalam satu tempoh yang abang tak dapat mengagaknya. Jika
ALLAH mentakdirkan jodoh untuk kita, abang redha menerimanya. Abang berharap
Eisya juga redha dengannya. Namun jika sebaliknya, abang harap kita boleh menjadi
sahabat selamanya.
ALLAH menciptakan Hawa untuk melengkapkan kehidupan Adam. Pastilah
ALLAH tidak menemukan kita untuk sesuatu yang sia-sia. Abang akan berusaha
untuk memberikan Eisya makna bahagia. Tunggu kejutan abang dua minggu lagi, ya?
Sehingga itu doakan abang sentiasa berada dalam lindungan-NYA. Semoga
ada pertemuan lain yang lebih indah tercipta di antara kita. Antara
persahabatan dan kesetiaan. Di manakah kita berdiri? Sampai jumpa lagi.
Jefry
masih sengih-sengih mengingatkan notanya kepada Eisya. Abang? Rasa macam dia
hendak gelak guling-guling. Biasalah kalau tiba-tiba dia bertukar karakter jadi
lelaki terlebih tengok cerita Korea, tetapi dia tidak pernah guna istilah
‘abang’. Rasa merenyam terlebih pula bila diingatkan. Kalau emak mendengar,
rasanya mahu pitam atau mungkin boleh lompat sampai ke bintang!
Harapnya
Eisya jenis wanita yang boleh menyimpan kemas rahsia antara mereka. Kalau benar
kisah yang diceritakan oleh bakal ibu mertuanya itu, dia yakin Eisya jenis yang
memang boleh berkongsi rahsia. Tapi kalau Mak Cik Marsita sengaja mereka-reka
cerita untuk meraih simpati, Jefry tidak menjamin luahan hatinya menjadi rahsia
lagi.
Jefry
mengangkat tangan tatkala nampak kelibat pramugari bernama Wati. Dia memerlukan
sesuatu untuk menjadikan lebih segar. Kalau mengantuk dan tidur tidak mahu
didengar tubuhnya, mungkin dengan secawan kopi akan menjadikan dia bertenaga
dan fokus semula.
Dia
mengeluarkan sekeping sampul surat bersaiz A4. Di luar sampul bercop CLASSIFIED
dan FOR YOUR EYES (FYE) ONLY. Sampul itu diberikan Zed saat mereka berpisah
tadi. Selain pertemuan bekas rakan sekerja, kerana dokumen inilah mereka
berjumpa.
Jefry
Ahmad Deraman @ Jade sudah mula menyisihkan diri antara kedua-duanya. Yang
tertinggal di Malaysia adalah Jefry dan yang sedang bekerja di dalam pesawat
ini adalah Jade. Bukan semua orang berpeluang menikmati ‘dua kehidupan’.
Kopi
sampai. Masa bekerja baru bermula. Dalam ruangan pesawat kelas perniagaan yang
begitu selesa, dia mula memberikan tumpuan 100% pada kerjanya. Dengan seteguk
kopi, wajah-wajah yang di fikirannya sebelum ini memudar lalu digantikan dengan
Misi MRX1.