Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 011: Menuntut ilmu depan Zed aje

011

Restoran Kenny Rogers Rosters, The Mines Shopping Mall

Jam 1.00 tengah hari

Lelaki itu dari jauh dilihatnya sedang begitu khusyuk menghadap makanannya. Tenang dan perlahan. Kalau sekali pandang, pastilah tidak menyangka, lelaki yang sedang dihampirinya itu adalalah seorang ejen perisikan antarabangsa. Tangkas memegang senjata dan boleh bertempur pada bila-bila masa.

Perlahan-lahan Jamailia berjalan ke arah lelaki itu. Cuba membuat kejutan. Terjengket-jengket dia menghampiri lelaki itu.

“Batalkan niat tu!”

Kata-kata yang tiba-tiba itu membantutkan pergerakan Jem. Terus dia mengambil tempat di sisi lelaki itu. Potong moodhendak bergurau senda.

“Serius boleh tak?” Zed mengelap bibirnya dengan tisu kemudian membetulkan topi di kepalanya. Dia kembali menyambung makan tanpa memandang Jamailia yang sudah muncung.

“Ajarlah...” Jem menjeling. Rancangannya hendak mengena­­kan Zed sah-sah gagal.

“Ajar apa?”

“Tu tadi?”

“Apanya?”

“Macam mana tadi, aku tengok kau makan, duduk baik punya. Alih-alih kau sedar aku ada kat belakang?” tanya Jem tidak puas hati. Dia membelek-belek menu yang ada di atas meja.

“Tu! Tak nampak cermin kat belakang kau tu?” Zed memuncungkan mulutnya ke arah cermin itu. Kepalanya tergeleng-geleng. Jem harus diberi banyak pengalaman. Seorang ejen mesti sentiasa bersedia. Pada bila-bila masa, tidak kira sedang makan atau sedang melakukan apa-apa sahaja, mesti siap siaga. Tadi dia sudah nampak kelibat Jem yang berada di belakangnya melalui pantulan cermin yang tegantung pada dinding restoran itu.

Jem menoleh ke belakang. “Ceh!” Nampak sangat Jem tak puas hati. Macam mana boleh dia tidak terfikir trick itu?

Sebenarnya, dia bengang kerana nampak sangat dia tidak fikir persekitaran yang boleh membantu. Baik, dia akan ingat di kepalanya kali ini. Pengajaran nombor dua hari ini selepas jangan terlebih ramah.

Pelayan datang membuatkan hasrat untuk bertanya lebih lanjut terbantut.

“Saya nak yang macam dia makan, tambah salad dan mufin pisang dua biji.” Jem membuat pesanan kepada pelayan itu tanpa perasaan.

Zed merenung gadis itu bagai tidak percaya.

“Kenapa tengok macam tu?”

“Bukan tadi baru balik pusat pelangsingan ke?”

“Jadi?” Soalan yang ditanyakan Zed tidak dipedulikan Jem. Dia selamba menyauk coleslaw di dalam pinggan Zed dengan sudu, kemudian makan tanpa rasa bersalah bagaikan mereka berdua rakan setugas yang sudah kenal lama.

“Dengar ni... Kalau kita nak jadi pasangan rakan setugas yang baik, aku rasa kita kena saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain.” Zed menolak pinggan yang dimakannya tadi kepada Jem. “Perkara pertama yang kau perlu tahu tentang aku, aku tak suka orang kacau pinggan aku.” Lelaki itu sudah menyilangkan tangannya lalu bersandar memandang tepat ke wajah Jem.

“Oppss... Maaf.” Terkebil-kebil Jem dipandang begitu. Tentulah sebab dia sudah bersalah mencuri makanan di dalam pinggan orang.

“Perkara kedua, kalau kau tak tahu, tanya. Itu aku suka. Kau jangan main buat kesimpulan sendiri. Aku ketua, kau membantu. Kau kena ingat tu. Jangan bertindak sendiri.” Zed memberitahu. Inilah pertama kali dia hendak berterus terang dengan Jem. Semasa kali pertama diperkenalkan, dia mengambil pendekatan, tunggu dan lihat. Tapi dilihatnya, semakin tunggu, semakin parah minah ni. Jadi hendak tak hendak kenalah buka mulut juga.

Jem menganggukkan kepala, mengeyakan maklumat yang baru diterima. Dia seorang yang boleh menerima teguran dengan hati yang terbuka. Lagipun Zed memberitahu apa yang sepatutnya dia tahu.

“Yang ketiga...”

Baru saja, Jem hendak bertanya, Zed sudah menambah lagi.

“Aku tak suka bergurau. Waktu kerja kena fokus. Waktu tak kerja lain cerita.”

Mata Jem juling ke atas mendengar penjelasan itu. Sejak dia mengenali Zed, dia tidak ingat masa bila yang dia bersama lelaki itu berada di luar waktu kerja. Kalau di luar waktu kerja sudah tentu balik ke rumah masing-masing. Selebihnya memang kerja... kerja... dan kerja...

‘Nak bergurau pun tak boleh. Apa pun tak boleh!’ Mulutnya terkumat-kamit sambil terherot-herot.

“Tengok! Main-main!” Zed cuba menahan gelak.

“Dah habis?” Jem bertanya. Kini gilirannya pula mahu memberitahu perkara-perkara yang dia mahu Zed tahu tentang dirinya.

“Okey... giliran kau...” Zed sudah bersedia mendengar. Dia menyilangkan tangannya, menumpukan perhatian.

“Tapi sebelum tu, aku nak tanya dua perkara.” Jem menunjukkan dua jarinya. Dia meneruskan soalannya apabila melihat Zed menganggukkan kepala.

“Mana kau dapat nama Zed? Kalau Jade aku tahu. Sebab itu memang nama penuh dia, kan? Tapi kau, memang jauh menyimpang, tak ada kaitan.” Jem sudah sengih-sengih sambil mengangkatkan keningnya. Dia tahu Zed tidak akan marah kerana mereka sedang dalam taaruf, walaupun sedikit lambat. Alah... Better late than never!

“Sibukla kau... Ni mana fail yang kau tengok?” Zed sedikit kesal. Dia tidak mahu mengungkit kisah lama.

“Alah... tak payah nak berdalih. Aku tahulah mana fail rekaan, mana fail yang benaran... haha.” Gembira betul Jem sebab dapat mengenakan Zed. Tadi dah banyak kali dah dia terkena. Sekarang, amekaw! Payback time!

“Okeylah... sebab kau partner aku, aku bagitau. Tapi kat sini aje. Janji?” Akhirnya Zed beralah.

Dia sedar, dia tak boleh berkeras sangat dengan Jem. Ada masanya nanti, mungkin dia akan berhutang nyawa dengan gadis di depannya. Lagipun ini kali pertama Jamailia dapat menyelesaikan tugasan pertamanya, tap telefon bimbit aset. Biarlah dia gembira sikit.

“Macam kau cakap tadi, Jade dapat nama sebab itu memang nama dia. Semasa aku digandingkan dengan dia, bila mereka tanya nak nama apa, aku belasah aje. Zain... Zed... Masa tu Jade pun terus setuju sebab bila disebut, kan bunyinya dekat-dekat? Zed... Jade... Senang, kan? Ternyata gandingan kami memang serasi.” Zed memecahkan salah satu rahsianya.

Itu yang dia beritahu. Yang dia tak bagitahu, sebenarnya apabila sudah bertahun-tahun berganding dengan Jade, dia sentiasa dibayangi Jade. Memang dia bengang.

“Yang kedua...” Jem berjeda membuatkan Zed berdebar-debar. Bimbang soalan Jem akan membuka satu rahsia lain dalam dirinya. Dia memang ada banyak sangat rahsia. Seorang yang sangat tertutup sejak dari mula.

“Bagaimana kau menyembunyikan semua ini daripada keluarga kau? Hidup bagai tak ada apa-apa. Kau tak pernah bercinta? Tak ada perasaan untuk berkeluarga?” Jem bertanya bertubi-tubi.

“Wow! Itu bukan satu soalan, itu tiga soalan!” Zed berkata sambil ketawa sinis.

“Okey, satu soalan aje. Bagaimana kau menyembunyikan semua ini daripada keluarga kau? Tolonglah jawab, sebab aku nak belajar. Semua ini baru untuk aku.” Jem berkata lemah. Dalam nampak riuh-riuh, sebenarnya dia sensitif hal-hal keluarga.

“Bagaimana aku nak menyembunyikan daripada mereka sedangkan aku tak pernah ada mereka.” Zed menyembunyikan perasaannya dengan meneguk air minuman.

“Habis, yang di Sabah tu?” Jem masih tidak putus asa. Dia memandang Zed bersungguh-sungguh bagai sedang menyoal siasat tertuduh.

Zed memandang Jem agak lama. Mata mereka bersabung. Masing-masing tidak mahu mengalah. Dia berdeham, membetulkan rengkungnya sendiri.

Saat ini dia harus mengakui yang rakan setugasnya yang baru itu memang pakar dalam hal perisikan. Dia tahu, maklumat seperti yang ditanya oleh Jem sebentar tadi, hanya ada di bahagian penyimpanan maklumat bertaraf X. Bermakna bukan mudah untuk dicuri, melainkan ejen yang sangat mahir dengan persekitaran APG sendiri.

Dalam diam, dia mengakui, pasangannya ini bukan calang-calang ejen. Dia sudah tersalah membuat tanggapan! Dia terlalu memandang rendah kepada seorang perempuan!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.