Beberapa
minggu kemudian...
Flat
Bosnia, Taman Seri Serdang
Jam
1012
Hari ini
Maryam Eisya tidak bekerja. Dia duduk di rumah santai-santai sambil melayari
internet. Dia masih tidak berputus asa mencari pekerjaan. Boleh dikatakan, mana
saja jawatan yang dirasakan bersesuaian dengan ijazahnya, semuanya dia
menghantar resume. Dalam sepuluh, takkan satu pun tak ada yang sangkut
dan terkena. |
Dalam dua
minggu ini fikiran Eisya lebih tenang. Ibu tidak sibuk-sibuk lagi memberi
tekanan dengan soalan-soalan berkaitan dengan pekerjaan gomen yang
dicanang-canang. Mungkin ibu sudah boleh menerima kenyataan, bukan senang
hendak menjawat jawatan dalam kerajaan sekarang.
Eifa juga
sudah tidak menyumbang kepada bil bulanan yang panjang. Lega rasanya tetapi
kadang-kadang rindu juga mendengar adiknya itu berceloteh macam-macam. Dia
bercadang hendak pulang ke kampung minggu depan. Cuti semester Eifa sudah pun
hampir tamat. Esok dia akan memohon cuti. Sudah rindu untuk pulang ke kampung
halaman.
Bunyi
telefon bimbit mengganggunya yang sedang melayari internet. Telefon bimbitnya
yang ‘menyanyi’ dibiarkan seketika sebelum dia menjawabnya.
“Selamat
pagi, ya... saya Maryam Eisya Herman.” Hatinya sudah berdebar-debar. Mungkinkah
ini panggilan daripada salah seorang pegawai yang akan menemu duganya?
Kebelakangan
ini, ramai betul pegawai sumber manusia menemu duga bakal pekerja melalui
telefon. Walaupun kadang-kadang dia merasakan, temu duga seperti itu tidak adil
kerana dibuat dalam keadaan tidak bersedia, dia melayannya juga. Mana tahu
sudah tertulis rezekinya.
Fail yang mengandungi resumedan senarai syarikat
beserta jawatan yang pernah dipohonnya dibuka perlahan-lahan. Dia tidak mahu
kantoi kerana terlalu banyak menghantar resume hingga dia terlupa
jawatan yang dipohonnya. Pastilah nanti belum apa-apa sudah kena pangkah
namanya kalau jawatan yang dipohonpun dia sudah lupa.
“Dari
mana tadi?” Eisya bertanya kembali. Tangannya yang asyik menyelak fail
terhenti.
“Oh!
Encik telefon dari PERODUA. Sekejap ya...” Cepat-cepat Eisya menyelak fail di
tangannya, mencari fail yang disimpan di dalam abjad bermula dengan huruf P.
‘P...
Putrajaya Holding... Pretex Corporation... Proton... P... P... alamak tak ada
pulak.’ Eisya kalut sendiri. Dia menyelak lagi, cuba mencari perkataan PERODUA
tetapi tiada.
“Kenapa
ya encik telefon?” Akhirnya setelah gagal, dia bertanya. Biarlah... belasah
aje. Apa yang encik ni nak tanya nanti, dia jawab aje dengan
seikhlas-ikhlasnya.
Dia
pasrah kerana dia tidak menyimpan sesalinan surat permohonannya kepada PERODUA.
Eh, ada ke? Dia sudah ingat-ingat lupa dek banyaknya dia menghantar permohonan
kerja.
“Apa dia?
Kereta saya dah siap?” Eisya menyoal kembali? Dia bimbang tersalah dengar. “Eh,
encik salah orang ni. Saya ni mampu bawa motor aje, bila masa saya ada order
kereta pulak.” Dahinya berkerut
Ini
panggilan prank ke apa? Entah-entah Zie mahu mengenakannya dengan
panggilan hangit, HotFM. Dia memang rajin mendengar pagi-pagi sambil seronok
menggelakkan orang. Lebih baik dia berhati-hati. Jangan sampai dia pula
digelakkan orang.
“Betul
encik ni salah orang. Saya tayar kereta pun belum tentu mampu nak beli, apatah
lagi kereta cash, encik. Salah orang ni...” Eisya beria-ia memberitahu.
“Eh!
Betul tu memang IC saya. Encik ni jangan main-mainla encik.” Dia sudah cuak
bila lelaki yang dikatakan dari PERODUA itu sudah membacakan nombor kad
pengenalannya.
“Encik
nak hantar? Yalah... betullah tu alamat saya. Eh! Encik, saya tak nak terima,
bukan kereta saya tu.” Dia masih lagi bergelut dengan pegawai PERODUA itu.
“Kalau
encik hantar, saya report polis.” Akhirnya Eisya fikir dengan membuat
ugutan begitu, dia akan berjaya menakutkan lelaki di hujung talian.
“Pulak?
Eeii... gatal kepala.” Eisya serba salah apabila diberitahu jika dia tidak mahu
menerima kereta itu, dia akan dipersalahkan majikannya.
“Beginilah...
encik simpan aje kereta tu. Saya memang tak pernah orderkereta.
Bagitahu dengan majikan encik, ini semua dah salah faham. Ada orang yang nama
sama dengan saya tu yang beli kereta tu.” Eisya masih cuba mempertahankan
dirinya.
Gila ke
apa? Dia tak akan sekali-kali masuk perangkap siapa-siapa yang bertujuan hendak
mengenakannya. Dia memang miskin harta, tapi dia jujur orangnya. Kalau sudah
bukan miliknya dia tidak akan mengaku hanya untuk mendapat habuan yang bukan
haknya. Dia mahu meletakkan telefon bila pegawai itu menghalangnya.
“Apa
lagi?” Eisya sudah bosan melayan. Pegawai itu beria-ia hendak menghantar kereta
ke rumahnya, dia pula beria-ia menafikan kereta itu dia yang memesannya. Sampai
esok pun perkara tak selesai kalau dua-dua mahu mempertahankan, dua-dua mahu
mencapai kemenangan.
“Hadiah?
Hadiah apa pulak? Saya tak masuk peraduan apa-apalah...” Eisya semakin keliru.
Tadi kata kereta itu dia pesan, sekarang kata hadiah pula. Sah! Orang yang di
talian itu hendak mengenakan dia!
Klik!
Habis cerita.