Home Novel Cinta CINTA TOP SECRET
BAB 001 : MISI CINTA TOP SECRET

001

Pengkalan Utama (HQ), Agensi Perisikan Global (APG), Putrajaya

Jam 0843

Dia membelokkan kereta ke bangunan mewarna hijau sebaik melepasi bulatan di Presint 5. Sebaik sampai di palang keselamatan, dia menyentuh pas masuknya ke skrin pembaca kad di pintu masuk. Sambil mengangkat tangan tanda hormat ke arah pengawal keselamatan bertugas, dia terus memandu Mercedes Benz C200 miliknya menuju ke kawasan parkir pekerja.

'Bahagian Penyelenggaraan Landskap' dia membacanya di dalam hati sebaik di pintu masuk. Bangunan hijau ini masih cantik. Masih sama seperti kali terakhir dia tinggalkan kira-kira empat bulan lepas.

Landskap tamannya yang cantik dan terjaga menunjukkan ia benar-benar sebuah bangunan yang menempatkan pekerja yang menjaga landskap. Satu penyamaran yang cukup berjaya. Pastilah tiada siapa menyangka di sinilah letaknya APG. Dia senyum sendiri! Terasa seronok menjadi sebahagian 'penyamaran' ini.

Dia meneruskan pemanduan sebelum memberhentikan kereta sebaik tiba di hadapan palang besi mesin automatik menuju ke kawasan parkir. Dia menyentuh kad nama di papan pengimbas. Sebaik palang dinaikkan dia memandu ke aras bawah sekali. Rutin yang selalu dia lakukan apabila ke sini, sama juga dengan pekerja-pekerja lain di bangunan ini.

Dia mematikan enjin kereta sebaik tiba di parkir yang dikhaskan untuknya. Sebelum keluar, dia memandang ke arah cermin, membetulkan tali leher. Dia tersenyum. Ini hari yang besar! Dadanya tiba-tiba berdebar. Setiap kali ke sini, dia pasti berdebar. Di sinilah dia akan melaporkan diri untuk setiap misi; bermula dan berakhir. Walau sejauh mana dia pergi, dia pasti kembali ke sini.

Dia memegang dada. Debarannya terasa lebih sedikit kali ini. Dia cuba menambahkan lebar senyuman. Menutup gugup di hati. Inilah masa yang dia nanti-nantikan sebaik bersetuju terlibat dalam arena ini.

Setelah yakin, dia keluar menuju ke lif. Matanya membelingas ke kiri kanan, memastikan dia sendirian di dalam lif. Dia menekan beberapa kod yang sudah dihafal di butang kekunci.

"Selamat datang ke HQ, Mr. Zed! Sila aktifkan imbasan retina." Suara perempuan berkomputer kedengaran jelas di pendengaran. Dia mendekatkan matanya ke mesin pengimbas retina di butang kekunci lif.

"Pengesahan retina 100%. Sila tekan butang untuk ke pintu masuk." Sebaik arahan tamat, butang kekunci di lif tiba-tiba bergerak. Panel lif yang tadinya hanya memaparkan butang dari aras lantai, G hingga ke tingkat 3, tiba-tiba menggelongsor turun. Aras-aras baru tertera di panel lif, memaparkan butang dari aras -1 hinggalah ke -3.

Tanpa melengahkan masa dia terus menekan butang -3, bangunan paling bawah sekali, di mana nadi agensi perisikan ini. Sebaik butang ditekan, panel lif tambahan tadi terus naik semula ke atas, menyerlahkan panel lif yang asal. Menakjubkan! Bagi yang pertama kali melihatnya tetapi dia sudah lali!

APG, Putrajaya

Jam 0857

Jade melihat jam di pergelangan tangan. Ada beberapa minit saja lagi sebelum angka menginjak ke 0900. Dia sampai lebih awal 5 minit daripada yang sepatutnya. 5 minit yang dirasakan seperti 5 jam lamanya. Dia tidak pernah rasa begini sebelum ini.

Tapi hari ini itulah yang dirasakannya. Dia memandang lagi ke arah lif lutsinar yang sedang menggelongsor turun. Dari sofa di ruangan menunggu itu dia sudah nampak kelibat yang ditunggu.

"Cepat kau datang? Selalunya kau datang tepat, tak pernah tercepat atau terlambat." Zed menyambut huluran salam Jade dengan pertanyaan tetapi Jade hanya tersenyum.

"Selamat datang ke dunia baru sahabat!" Jade mengucapkan lalu memeluk Zed dengan erat.

Hari ini dia akan berpisah dengan Zed setelah beberapa tahun bersama. Jade dan Zed adalah pasangan pengintip yang selalu menyelesaikan misi-misi antarabangsa. Mungkin kerana itu, hari ini Jade berasa sedikit tidak selesa. Rakan setugas akan dipisahkan. Dia dan Zed masing-masing akan diberikan rakan setugas yang baru.

"Terima kasih kerana banyak memberi tunjuk ajar selama ni. In syaa ALLAH kita akan berjumpa lagi lepas ni." Zed memberitahu selepas meleraikan pelukan.

"Kau adalah rakan setugas yang terbaik pernah aku ada." Jade menepuk bahu Zed pula.

"Kau akan jumpa dengan rakan setugas yang lebih baik daripada aku, percayalah." Zed gelak-gelak. Sedaya mungkin dia tidak mahu episod persahabatan di dalam tugas mereka berakhir di situ.

Sekalipun banyak yang dia tidak puas hati sepanjang menjalankan misi dengan Jade, dia tahu Jade adalah sahabatnya yang terbaik. Apabila bekerja, mereka bagaikan ada dua otak dalam satu badan.

Sekalipun otak milik Jade jarang nak berkongsi, tapi apabila di lapangan, di tempat kejadian, gandingan mereka sangat serasi. Dia bagaikan boleh membaca apa yang dikehendaki oleh fikiran Jade. Beberapa kali mereka saling menyelamatkan di antara satu sama lain. Mission accomplished. Apa lagi yang hendak dikatakan?

"Jom! KP dah menanti. Nanti kita sambung borak lepas ni." Jade sudah menolak Zed berjalan di hadapannya.

"Eh! Jalan dulula... macam tak biasa." Zed mengelak.

"No! No! This is your big day!" Jade ketawa-ketawa, cuba menyembunyikan rasa duka dan sedih di hatinya. Zed itu kan apprenticenya. Daripada tak tahu apa-apa macam bayi, Zed digilapnya hingga menjadi salah seorang agen yang disegani.

Mestilah Jade ada rasa campur baur di hatinya. Sedih terpaksa berpisah, gembira sebab sahabatnya telah dinaikkan ke jawatan penuh, sama sepertinya. Dia bagai teringat-ingat hari pertama dia diberikan tugasan pertama dulu. Agaknya inilah perasaan yang sama dirasakan oleh rakan tugasannya, Eye semasa berpisah dengannya.

"Kita jalan sama-sama." Akhirnya Zed membuat keputusan. Mereka menuju ke arah kanan, masuk ke dalam lif yang tertutup. Sebaik masuk, mereka mendepakan tangan bersedia untuk diperiksa.

"Imbasan senjata negatif." Kedengaran suara daripada mesin pengimbas senjata membuat laporan sebaik mengimbas tubuh mereka. Zed menekan butang pertama bertanda L. Lif akan membawa mereka ke satu bilik rahsia bertemu dengan KP (Ketua Pengarah), ketua APG. Tidak lama lagi mereka akan diberikan taklimat tugasan terkini.

Lif dibuka. Kelihatan Moon, setiausaha kepada KP sedang menanti dengan senyuman di mejanya. Seperti biasa juga, meja Moon kemas dan licin berkilat bagaikan kerjanya di situ hanya jadi tukang jawab telefon, selebihnya tukang lap meja. Macam dia tidak membuat sebarang kerja.

"Selamat kembali agen Jade dan agen Zed. KP sedang menanti di dalam." Moon bangun memberi tabik hormat.

"Bunga untuk awak Moon." Jade menyerahkan sekuntum mawar biru dari kocek blazernya kepada Moon sambil mengerdipkan matanya. Moon tersenyum bahagia menyambut kuntuman bunga itu lalu menggeleng kepala.

"Awak sedikitpun tak berubah, agen Jade." Moon ketawa bahagia.Dia sudah masak sangat dengan perangai Jade yang suka menyakat wanita. Melihatkan kepada penampilan Jade, mana-mana wanita boleh dipikatnya tetapi sehingga kini setahu Moon, Jade masih single and available.

"Sekeping coklat untuk menceriakan harimu," Zed tiba-tiba mencelah sambil menghulurkan tangannya kepada Moon. Senyuman Moon semakin melebar.

"Awak juga agen Zed.Terima kasih." Pandangan Moon terarah kepada Zed pula. Agen yang seorang ini, sekalipun nampak macam sedikit pendiam tetapi nampaknya dapat menyerap bakat playboy Jade dengan baik, bisik hati Moon.

"Jumpa lagi Moon!" Kedua-dua agen itu memberikan senyuman paling mesra kepada Moon. Mereka membetulkan blazer dan masuk ke dalam bilik KP dengan gah sekali.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.